Jika bidadari syurga digambarkan dengan sangat cantik dengan segala keindahan dan kesempurnaan dirinya, maka wanita dunia sudah tentu banyak kekurangan dan selayaknya ditutupi dan dilengkapi oleh kelebihan seorang lelaki yang menjadi pendampingnya.

Jika kita menghayati anjuran Rasulullah SAW tentang pentingnya memperlakukan wanita dengan baik sudah tentu kehidupan rumah tangga itu akan dihiasi dengan keindahan dan syurga dunia bagi setiap pasangan berkahwin.  

Nabi SAW bersabda, “Aku berwasiat kepada kalian agar bersikap baiklah terhadap wanita .” 

Itulah kalimat yang diulang-ulang hingga tiga kali dalam khutbah perpisahannya (wada’) sebelum Nabi Muhammad SAW meninggalkan kita semua selamanya. Nabi SAW  Melanjutkan lagi, 

“Janganlah mencari-cari alasan untuk menyakiti wanita.”

“Janganlah seorang mukmin (suami) membenci mukminah (isteri), apabila ia tidak suka dengan salah satu akhlaknya, ia tentu akan redha dengan akhlak yang lainnya.” (HR. Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan agar umat islam menghargai dan memuliakan kaum wanita. Di antara sabdanya :

 اِسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا

 “Aku wasiatkan kepada kalian untuk berbuat baik kepada para wanita.” (HR Muslim: 3729)

 خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap istrinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap istriku.” (HR Tirmidzi, dinyatakan shahih oleh Al Albani dalam “ash-shahihah”: 285)

Demikian anjuran dan saranan Rasulullah SAW untuk menyayangi dan melindungi wanita. Tanpa wanita, hidup seorang lelaki pasti akan sunyi sepi di dunia ini.

Walaupun begitu, masih ramai lelaki di luar sana yang bersikap kasar terhadap wanita, baik dengan ibu, adik beradik perempuan mahupun isteri yang menjadi pendamping mereka. Yang paling jelas dilihat adalah sikap kasar terhadap isteri yang menjadi pasangan hidup mereka. Betapa ramai para lelaki yang sering mengkasari isterinya, dengan lisan mahupun dengan perbuatan mereka. Akhlak yang dituntut oleh agama hanya menjadi teori semata-mata tanpa ada usaha menerapkan dalam kehidupan. 

Dalam mencari pasangan hidup, wanita dititikberatkan untuk mencari pasangan yang baik akhlaknya dan bukan sahaja baik penampilan luaran semata-mata kerana pada zaman ini, ramai sekali para lelaki yang rosak akhlaknya walaupun berpenampilan baik di mata masyarakat.

Sebelum berkahwin, kaum lelaki bukan sahaja dituntut untuk menuntut ilmu agama tetapi perlu juga mengamalkan ilmu tersebut dan memperbaiki akhlak mereka agar dapat menjadi pemimpin rumah tangga yang baik dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan seorang ayah.

Apabila memasuki alam rumah tangga, wanita atau isteri bukanlah seorang hamba seperti salah faham sesetengah orang yang berpendapat bahawa isteri perlu melakukan segala hal dalam rumah dan juga tempat melampiaskan emosi sang suami. 

Islam adalah agama yang adil. Kerana itu Islam melarang kezaliman dan terdapat banyak sekali ayat-ayat Al Quran dan hadits-hadits Nabi SAW yang mencela dan melarang perbuatan zalim. 

Allah Ta’ala berfirman:

أَلاَ لَعْنَةُ اللّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ

“Ingatlah, laknat Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim” (QS. Hud: 18).

إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ 

“Sesungguhnya orang-orang yang aniaya itu tidak mendapat keberuntungan” (QS. Al An’am: 21).

Pasangan hidup kita adalah cerminan diri kita sendiri, ketika diperlakukan dengan sebaiknya, pasti membuahkan kemanisan, dan begitu juga sebaliknya.

 اتَّقوا الظُّلمَ . فإنَّ الظُّلمَ ظلماتٌ يومَ القيامةِ

“Jauhilah kezaliman karena kezaliman adalah kegelapan di hari kiamat” (HR. Al Bukhari no. 2447, Muslim no. 2578).

Disediakan oleh: Aishah Nerina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.