in

Bahaya Hadith Palsu

     Hadith Mawdu’(موضوع)  atau dikenali sebagai hadith palsu merupakan hadith yang direka-reka dan disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW atau Sahabat atau Tabi’in secara dusta, atas sebab-sebab tertentu (Pengantar Ulum Hadith). Hadith palsu tergolong dalam golongan hadith Mardud (Tertolak). Ia tertolak dari segi periwayatan dan penghujahan di khalayak ramai. Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW mengancam mereka yang berdusta atau meriwayatkan hadith palsu atas nama baginda SAW. Diriwayatkan oleh Zubair bin al-‘Awwam, bahawa Rasulullah SAW bersabda : 

مَن كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya : ‘Barang siapa yang berdusta atas namaku, mka siaplah tempatnya di dalam neraka’

[ HR Bukhari, No.1291 ]

Sejak 1400 tahun lagi, Nabi Muhammad SAW sudah memberi ancaman kepada sesiapa yang berdusta atas nama baginda akan ditempatkan di dalam neraka. Dalam erti kata lain, Nabi Muhammad SAW telah menjamin sesiapa yang berdusta atas nama Baginda SAW, ia merupakan dosa yang besar dan mendapat azab di akhirat kelak.

     Menurut pendapat ahli hadith, bermulanya kelahiran hadith mawdu’ ialah setelah tercetusnya fitnah ataupun pertelingkahan antara Saidina Ali bin Abi Talib dan Muawiyyah bin Abi Sufyan. Antara golongan terawal yang mencipta hadith palsu terdiri daripada puak Syiah, iaitu golongan yang menyokong Saidina Ali bin Abi Talib. Selain itu, golongan yang mencipta hadith palsu adalah golongan ar-Rafidah yang juga tergolong dalam golongan Syiah. Disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852H) , mengenai hadith dalam bab Fadha’il : ‘ Banyak hadith palsu yang direka oleh golongan Rafidah seperti hadith berkenaan dengan ‘Kelebihan Ahlul Bait’. Mereka juga mencipta hadith palsu berkenaan dengan kejahilan Ahlu Sunnah Waljamaah.’

     Antara faktor terciptanya hadith mawdu’ adalah pertelingkahan politik. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini ialah pertelingkahan antara puak penyokong Saidina Ali bin Abi Talib dan Muawiyyah bin Abi Sufyan. Kedua, diriwayatkan oleh tukang cerita. Tukang-tukang cerita tidak pernah ada segan silu untuk bercerita di khalayak ramai dengan cerita-cerita yang kadang-kala kita juga tidak tahu dari mana asalnya cerita tersebut. Pada zaman salafussoleh hingga ke hari ini, mereka juga tidak pernah segan untuk menyandarkan sesuatu kisah atau riwayat kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak berasas. Ketiga, kejahilan. Mereka yang jahil dengan tidak mendalami ilmu pengetahuan tentang Islam, namun niat dan tujuan mereka adalah benar dan baik untuk agama. Contohnya : Ahli Sufi dan ahli Tasawuf. Kebanyakan daripada mereka ini terlalu bersemangat untuk membawa manusia ke jalan yang benar sehingga sanggup mencipta hadith palsu. Mereka menarik orang ramai untuk kembali kepada ajaran Islam dengan mencipta hadith-hadith palsu tentang fadhilat-fadhilat sesuatu amalan, sesebuah surah di dalam al-Quran dan banyak lagi, Dari sudut niat, tujuan mereka adalah benar dan terpuji. Namun, niat yang baik, tidak menghalalkan cara. Keempat, mengampu pihak pemerintah. Kaedah ini untuk mencari nama dan pangkat di sisi pemerintah atau orang ramai. 

     Kebanyakkan hadith palsu menceritakan fadhilat-fadhilat yang melampau kepada orang ramai. Sehinggakan sekiranya kita beramal dengan sesuatu amalan, maka kita akan mendapat fadhilat ini dan itu. Disebut oleh Ibn Jauzi, 

ما أحسن قول القائل : إذا رأيت الحديث يباين المعقول, أو يخالف المنقول, أو يناقض الأصول, فاعلم أنه الحديث موضوع.

‘Sekiranya engkau melihat suatu hadith, yang bercanggah dengan akal, atau yang menyanggahi apa yang dinukilkan (seperti al-Quran & hadith), atau yang mencabut usul (tidak terdapat di dalam kitab-kitab Islam dari al-Masanid atau kitab-kitab masyhur  yang muktabar). Maka, ketahuilah bahawa ia adalah palsu.’

 (Tadrib al-Rawi, jilid 1, hal. 327). 

Contohnya, berkenaan dengan hadith ‘Fadhilat Solat Tarawih’. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda apabila ditanya akan kelebihan solat tarawih dalam bulan Ramadhan. Antara fadhilatnya adalah akan diampunkan dosa orang yang beriman sebagaimana keadaannya yang baru dilahirkan, akan dikurniakan oleh Allah SWT pahala empat puluh tahun ibadat pada malam kedua puluh enam, diangkat kedudukannya seribu darjat di syurga dan lain-lain. Sekiranya, kita berfikir dengan akal yang waras. Bagaimana mungkin dengan solat pada satu malam di bulan Ramadhan, akan menyebabkan kita diampunkan dosa sehingga seperti baru dilahirkan? Hal ini seolah-olah ingin menunjukkan bahawa ada jalan ‘Shortcut’ di dalam agama ini. 

Antara kesan buruk hadith palsu terhadap masyarakat adalah :

 

  • Merosakkan Akidah Yang Murni

 

Unsur-unsur yang terdapat di dalam Hadith Palsu mencemarkan kemurniaan agama, seperti hal akidah.

Contohnya :

“Jika seseorang kamu berbaik sangka dengan batu nescaya ia akan memberi manfaat kepadanya.”

Berdasarkan hadith palsu ini, masyarakat akan terikut-ikut menyimpan benda-benda khurafat sebagai pembawa manfaat buat dirinya dan ahli keluarganya. Tidak hairanlah jika masih ada orang-orang tua yang masih menyimpan benda-benda yang karut.

 

  • Menjatuhkan Nilai Kewibawaan Agama

 

Ini kerana, kandungan dalam Hadith palsu menjadikan Islam sebagai bahan sendaan dan rekaan semata-mata. Ini berlaku apabila rekaan Hadith Palsu dengan wahyu yang sebenar. Mana mungkin rekaan manusia diletakkan sama standing dengan wahyu. Contohnya :

“Sesiapa yang solat dhuha sekian rakaat, maka dia diberi pahala sebanyak 70 para nabi”

Hadith ini jelas telah merendahkan dan menjatuhkan martabat ketinggian para nabi kerana dengan menyamakan pahala sekalian para nabi dengan hanya solat beberapa rakaat sahaja.

Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam bukunya al-Manar al-Munif, ketika mengulas Hadith ini menyebut :

 

“Seolah-olah pendusta yang keji ini tidak mengetahui bahawa selain nabi, sekalipun bersolat selama umur Nabi Nuh, ia tidak akan diberikan pahala setanding seorang nabi”

 

Hadith ini menyebabkan manusia akan menyangka pahalanya sudah banyak kerana sudah menyamai pahala para nabi dan sudah tentu akan masuk syurga, maka umat Islam akan meningggalkan amal ibadah yang lain. Ini berlaku bagi hadith solat Tarawih setiap malam, di mana terdapat unsur yang melampau di dalam fadhilat. Kemelampauan fadhilat di dalam fadhilat solat terawih ini telah menyebabkan manusia merasakan diri mereka lebih banyak pahala daripada para Rasul. Bahkan, hal tersebut amat MUSTAHIL sama sekali!

 

 

  • Menyusahkan dan Memundurkan Umat Islam.

 

Nilai-nilai kezuhudan yang melampau, unsure-unsur khurafat dan kepercayaan yang tidak berasas. Contohnya :

“Dunia itu Haram untuk ahli akhirat. Akhirat itu haram untuk ahli dunia. Dunia dan Akhirat itu haram untuk ahli Allah”

Hadith ini adalah hanyalah rekaan kaum sufi yang melampau. Hadith seperti boleh menyebabkan umat Islam tidak berdaya saing dan meninggalkan urusan dunia yang menjadi jambatan untuk ke akhirat. Mana mungkin hadith ini benar, sedangkan Allah menyebut dalam Quran, Surah al-A’raf, ayat 32 :

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِىٓ أَخْرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّيِّبَٰتِ مِنَ ٱلرِّزْقِ ۚ قُلْ هِىَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلْءَايَٰتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya : “ Katakanlah: ‘Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang Telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezki yang baik?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat’ Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang Mengetahui.”

 

 

  • Menjadikan Hadith Bercanggah Dengan Realiti Dan Akal Fikiran Yang Waras.

 

Banyak Hadith Palsu direka dengan dikuasai perasaan dan emosi tanpa berfikir. Tidak juga diteliti akan teks Hadith berkenaan. Contohnya :

“Sesungguhnya bahtera Nuh sudah tawaf di Kaabah sebanyak tujuh kali dan solat dua rakaat di Makan Ibrahim.”

Hadith adalah jelas tidak masuk akal dan bercanggah dengan sejarah kenabian, kerana Nabi Nuh lahir sebelum Nabi Ibrahim. Di maka Kaabah dan makam Nabi Ibrahim ketika itu? Dan jelas masa zaman Nabi Nuh, Kaabah belum wujud. Hadith palsu ini amat membodohkan akal.

Imam Al-Suyuti di dalam kitabnya Tadrib al-Rawi menyatakan seluruh para sarjana Hadith membantah akan hadith palsu ini.

    Ketahuilah, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang lain berjuang untuk meraih redha Allah SWT dan ingin mendapat kedudukan yang terpuji di sisi Allah azza wajalla. Ada yang terbunuh di medan perang, dipukul, diseksa, dipulau, dibuang keluarga semata-mata ingin mempertahankan kesucian agama yang mulia ini. Tidak ada yang hanya duduk di masjid dan mengira tasbih selama dua puluh empat jam, semata-mata untuk mendapat redha dan kedudukan yang terpuji di sisi Allah SWT. Para sahabat bertebaran di muka bumi untuk meluaskan agama yang mulia ini. Contohnya, Saad bin Abi Waqash yang wafat di Guangzhuo, China. Saad bin Abi Waqash sanggup berlayar pergi ke Tanah Besar China untuk mengembangkan Islam. Mengapa Saad bin Abi Waqash tidak mengatakan : ‘Tidak mungkin aku tidak masuk syurga, aku berjuang dengan Rasulullah SAW sewaktu perang, bukan itu sahaja, aku yang pertahankan baginda SAW sewaktu perang’. Semua orang yang ingin meraih redha Allah SWT mesti mengikuti jalan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :

فإنَّ أصدَقَ الحديثِ كتابُ اللهِ، وإنَّ أفضلَ الهَدْيَ هَدْيُ محمَّدٍ

Maksudnya : ‘ Sebenar-benar ucapan adalah kitab Allah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW’

[ Takhrij al-Musnad, No.14334 : Sahih ]

     Namun, lahir satu golongan yang kuat pengaruhnya, lalu membawakan riwayat-riwayat yang palsu tentang kelebihan-kelebihan tertentu tentang sesuatu amalan. Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan mimpi yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW mengajarkan amalan ini dan itu, dan barangsiapa yang beramal dengan amalan ini maka akan mendapat fadhilat ini dan itu. Sedarlah, bahawa agama itu sudah sempurna. Allah SWT berfirman :

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksdunya :  ‘ Pada hari ini, Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu. Dan Aku cukupkan untuk kamu, nikmat-Ku. Dan Aku redha Islam itu sebagai agama kamu.’

[ Surah al-Maidah : 3 ]. 

Sekiranya kita mendakwa Nabi Muhammad SAW membawakan sesuatu amalan yang baru, maka terdapat suatu hadith yang baharu. Hal ini demikian kerana hadith bermaksud segala ucapan, perbuatan, iqrar atau sifat hilqiah atau huluqiah Nabi Muhammad SAW. Dan hal ini juga seolah-olah memfitnah Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang bersifat kitman (menyembunyikan), sedangkan ia adalah sifat yang mustahil bagi Rasul. Rasulullah SAW bersifat tabligh (menyampaikan) bukan bersifat kitman (menyembunyikan).

    Di Malaysia, penulis juga menyedari terdapat banyak riwayat-riwayat palsu di meja penceramah. Mereka membawakan riwayat-riwayat yang palsu berkenaan dengan Nabi Muhammad SAW. Contohnya, kisah Nabi bersama wanita Yahudi buta, kisah Nabi dan Uqasya, yang mana Uqasya ingin memukul baginda SAW, kisah kelahiran Nabi Muhammad SAW seperti istana Kaisar bergegar, api-api orang-orang Majusi yang 1000 tahun tidak pernah terpadam, terpadam sewaktu kelahiran Nabi Muhammad SAW dan banyak lagi. Penceramah-penceramah yang membawa riwayat yang palsu ini menyebarkannya tanpa ada rasa bersalah terhadap Nabi Muhammad SAW. Yang menjadi mangsa adalah orang-orang awam yang tidak mengetahui status hadith tersebut. Mereka akan menyebarkan hadith-hadith yang mereka dengar daripada penceramah-penceramah tersebut. Pihak di Jabatan Mufti di seluruh Malaysia, seharusnya peka terhadap penceramah-penceramah yang suka mencampuradukkan hadith-hadith yang sahih dengan hadith-hadith yang palsu di majlis ceramahnya atau kuliahnya, tanpa menjelaskan kepalsuan hadith berkenaan (jika hadith tersebut palsu). Sepatutnya Jabatan Mufti di seluruh Malaysia tidak mengkhususkan ‘pemecatan’ kepada penceramah yang suka memecahbelahkan masyarakat di Malaysia sahaja, bahkan mereka juga seharusnya melakukan tindakan terhadap penceramah yang suka menyebarkan hadith-hadith palsu kepada masyarakat awam.

     Dr. Dzulkifli Mohammad al-Bakri (mufti Wilayah Persekutuan ketika itu) mengeluarkan fatwa berkenaan dengan hadith palsu. ‘Para Ulama’ menyatakan bahawa tidak dibolehkan atau HARAM hukumnya kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan kepada orang ramai akan kepalsuannya.’ (Irsyad al-Hadith, ke-249). Ini merupakan pendapat Imam Ibn Solah, Imam al-Nawawi, al-Suyuti dan ramai lagi. Hukum ini terbina berdasarkan hadith-hadith berkaitan dengan larangan keras daripada Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW. Antara kitab yang dihimpunkan oleh para ulama’ berkenaan dengan hadith palsu adalah al-Mawdu’at, karya Ibn Jauzi.

     Akhir kalam, penulis mempunyai harapan yang besar berkenaan dengan isu ini. Isu ini bukan merupakan isu yang kecil dan remeh kerana ia bermain di sekitar maruah Nabi Muhammad SAW. Bagaimana kita boleh menyatakan bahawa kita mencintai Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak ada tindakan untuk mempertahankan maruah baginda SAW?. Penulis juga berharap pihak atasan sama ada di peringkat sekolah, pengajian tinggi awam dan swasta, kerajaan dan lain-lain harus peka dengan isu ini. Setiap muslim yang mengaku mencintai Nabi Muhammad SAW mesti ada sifat cakna di dalam diri. Semoga penularan hadith-hadith palsu dapat dikurangkan sedikit demi sedikit, dan seterusnya semakin pupus asbab daripada kesedaran masyarakat tentang bahayanya menyebarkan hadith palsu. Penulis mengajak pembaca semua agar menyemak status suatu hadith sebelum menyebarkannya di media sosial atau menyampaikannya di khalayak. Pada zaman teknologi yang serba canggih ini, semua maklumat yang diinginkan semuanya di hujung jari. Terdapat banyak laman sesawang yang membantu kita untuk menyemak status sesuatu hadith. Contohnya, Maktabah Syamela dan Al-Mausu’ah al-Hadithiyyah (الموسوعة الحديثية) .  Sebelum menamatkan penulis kali ini, penulis ingin membawakan suatu riwayat berkenaan dengan berhati-hati terhadap golongan yang suka membawakan hadith-hadith palsu di dalam masyarakat. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

يَكونُ في آخِرِ الزَّمانِ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ، يَأْتُونَكُمْ مِنَ الأحادِيثِ بما لَمْ تَسْمَعُوا أنتُمْ، ولا آباؤُكُمْ، فإيَّاكُمْ وإيَّاهُمْ، لا يُضِلُّونَكُمْ، ولا يَفْتِنُونَكُمْ

Maksudnya : “Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadith-hadith yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar)”

[ HR Muslim, No.7 ]

Ingat, Hadith bukan suatu permainan!

 

Disediakan oleh,

Muhammad Hamzani al-Kanowiti 

 

Leave a Reply

Loading…

Diari Buat Baidaitul Alya

Kesederhaan Pada Hujan Bulan Juni