Terus kepada ayat yang membicarakan poligami, Allah menunjukkan kita berkenaan arahan Tuhan kepada kaum lelaki, seperti sebuah perbualan antara mereka berdua sahaja, tentang hak yang tersangat perlu lelaki isi jika dia layak berpoligami.

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَىٰ فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilama kamu mengawininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi ; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya” [An-Nisa/4 : 3)

Penulisan ini tidak akan menyentuh soal syariat. Kerana penulis dan masyarakat sudah banyak mendengar dan membaca teks dan perenggan karangan yang membicarakan hukum pensyariatan poligami. Namun suka untuk penulis bawa kepada pembaca untuk kita lihat realiti. Poligami yang baik itu banyak, namun contoh yang tidak baik lebih banyak dan membimbangkan.

Poligami wujud untuk wanita. Ia untuk memperjuangkan hak wanita yang tidak layak diabaikan jika suaminya mati dalam perang kerana menyelamatkan agama dan negaranya. Ia wujud untuk wanita yang ditinggalkan suaminya walaupun mempunyai anak kecil yang masih perlu hidup berbumbungkan sifat ayah yang garang serta menjaga kesihatan mental dan fizikalnya. Ia wujud untuk wanita yang difitnah oleh segelintir masyarakat.

Di mana hak isteri pertama dalam pensyariatan poligami?

Penulis percaya, jika kita cukup manusia, ianya adalah perbahasan yang tidak perlu untuk kita bincangkan lama dan panjang. Namun realitinya, manusia itu tamak dalam menilai hak mereka melebihi hak manusia di sekeliling, sehinggakan sebarang situasi yang boleh dimanipulasi akan cuba digarap untuk memihak pada mereka. Sayang, manusia yang berjiwa kemanusiaan itu lebih sedikit dari manusia yang memilih binatang sebagai emosinya.

Persetujuan dari isteri pertama itu sangat perlu untuk melangsungkan keharmonian rumah tangga. Terlebih lagi jika rumah tangga ini mempunyai anak yang bakal terkesan dengan emosi ibunya jika poligami dibawa masuk ke dalam dunia mereka. Terlihat mudah untuk lelaki membuli anak sendiri, bukan? Tetapi sebenarnya dia sedang membuli negara dan agamanya ketika kita sama-sama merasai kesan psikologi yang tertanam dalam di dua puluh tahun akan datang.

Tidak ada kesan buruk yang berlaku hari ini, jika masyarakat di dua puluh tahun dahulu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. Dan keputusan lelaki dalam menjadi kuasa besar di sebuah institusi keluarga sangat memberi impak dalam pembentukan jati diri anak sepanjang mereka meniti kedewasaan. Anak ini bukan sahaja amanah Tuhan kepada ibu ayahnya, namun harapan agamanya, harapan negaranya, dan harapan bangsanya dalam memberi kelangsungan terhadap identiti yang hidup dalam jiwa yang terbentuk elok dan nyaman.

Apabila kita mengorak langkah di perbatasan masyarakat Islam yang sedia mempunyai kisah sendiri yang mematangkan mereka, ianya mengelirukan bagaimana sebuah syariat dari Tuhan boleh membentuk manusia yang rendah kesedaran agamanya. Dari mana permulaan titik fikir anak muda yang tidak mengendahkan hukum Tuhan jika bukan kerana diperlihatkan sisi buruk yang menjadi kesan satu pensyariatan yang merendahkan martabat ibunya? Yang membisukan suara saudara perempuannya dalam rumah tangga mereka? Yang dipekakkan dan diberhentikan kepentingan anak perempuannya apabila mereka bakal berumah tangga?

Hasilnya, masyarakat hari ini lebih selesa berkiblatkan gaya fikir ‘manusia kebanyakan’ yang lebih mengangkat hak kemanusiaan dan lebih menjaga hak mereka sebagai suara manusia untuk didengarkan. Dan menjadi kewajipan pula kepada orang yang sedar dan memahami secara jelas pensyariatan Tuhan untuk memberi pendidikan kepada masyarakat mereka. Sedangkan jika pensyariatan ini dilihat dan dinilai dari kaca mata santun dan kasih terhadap wanita, ianya takkan memperlihatkan kita masyarakat yang anti-syariat seperti yang dibentangkan.

Sesuai dengan peredaran waktu, pengetahuan yang berkembang dan berevolusi membuatkan penulis percaya masyarakat sedang menjahit satu-satu kelompangan ilmu agama yang ada. Perkongsian demi hujah sedang mengambil perhatian masyarakat daripada perkongsian demi emosi. Pembincangan meja kopi anak muda lebih terarah ke arah isu semasa yang kritis dan membina. Jika kalian bukan anak muda seperti ini, kalian perlu mulakan langkah pertama secepat mungkin. Kerana sebanyak manapun bicara kita, ia tidak akan pernah cukup untuk menjadi lidah dakwah yang menerangkan yang benar dan meningkah yang salah.

Namun kita harus akur dengan realiti, bahawa syariat poligami ini adalah pensyariatan yang waktu demi waktu akan terus dimanipulasi jika kita tidak berhati-hati. Akan ada manusia yang datang dan pergi kerana ingin memudahkannya, dan akan ada jiwa-jiwa yang ingin membawa kita terus meninggalkan suruhan Allah yang satu ini. Kita harus cekal berdiri di tengah, sederhana dalam menjunjung perintah Tuhan, dan seimbang dalam meraikan hak wanita dan anak dalam membentuk negara bangsa yang tidak terkeluar dari suruhan agamanya.

Ini adalah pandangan peribadi penulis yang melihat masyarakat. Pada pandangan penulis, hukum itu datangnya selepas adab, selepas ia memberi laluan kepada jiwa manusia itu berlapang dada kerana memperdengarkan sebab poligami ingin dilakukan. Dan selepas jiwa manusia itu tahu suaranya didengari dan hak dia dan anaknya tidak akan bergerak seinci pun selepas kewujudan orang kedua, ketiga, mahupun keempat. 

Bukankah Allah memperkenalkan diri-Nya dengan Kasih dan Sayang dalam basmallah yang sering kita ucapkan? 99 nama-Nya, dan kasih sayang itulah yang mahu Dia ingatkan di setiap perlakuan kita. Bagaimana mungkin Dia mahu dikenali dengan kasih sayang, jika Dia tidak mahu kita sendiri bersifat dengan kasih sayang yang sama dalam meraikan setiap jiwa manusia? 

Semoga adab kita lebih berat dari ilmu. Semakin terisi, semakin merendah dan mengenal kemanusiaan.

 

Disediakan oleh,

 Fatin Farhana A.Wahid

 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.