in

Cerita Hari Kebangkitan Yang Ramai Tidak Tahu

Sebagai orang islam yang beriman, kita wajib mengimani bahawa hari kebangkitan (yaumul hasyir) adalah benar kerana ia termasuk daripada perkara-perkara yang dinyatakan di dalam al-Quran. Sejak kecil lagi, kebanyakan dari kita telah didedahkan dengan pelajaran agama di sekolah bahawa hidup di dunia ini adalah sementara.

Semua yang hidup pasti akan meninggal dunia, dan kemudiannya akan dibangkitkan semula, dikumpulkan di mahsyar sebelum dihisab untuk ditentukan sama ada akan ke syurga atau neraka. 

 

Firman Allah S.W.T, Surah al-A’raaf ayat 57:

وَهُوَ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَٰحَ بُشْرًۢا بَيْنَ يَدَىْ رَحْمَتِهِۦ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَقَلَّتْ سَحَابًا ثِقَالًا سُقْنَٰهُ لِبَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَنزَلْنَا بِهِ ٱلْمَآءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ ۚ كَذَٰلِكَ نُخْرِجُ ٱلْمَوْتَىٰ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

“Dan DIA-lah (ALLAH) yang menghantar angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan Rahmat-NYA (hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, KAMI halakannya ke negeri yang mati, lalu KAMI turunkan hujan dengan awan itu, Kemudian KAMI keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikian pula akan KAMI keluarkan (hidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (akan kedatangan Hari Kebangkitan).”

Pembuktian Hari Kebangkitan Dengan Logik Akal

Baru-baru ini, saya telah menghadiri satu kelas pengajian siri Risalah an-Nur, karangan Imam Badiuzzaman Said Nursi. Pengajian tersebut adalah berkenaan hari kebangkitan (yaumul hasyir). Apa yang menariknya di sini ialah beliau menceritakan dan membuktikan hari kebangkitan yang akan berlaku itu dengan menggunakan logik akal. Sangat menarik bukan? Ya. Begitulah yang saya rasa!

Di bawah, saya akan kongsikan apa yang dapat saya faham daripada pengajian tersebut. Untuk makluman, Imam Badiuzzaman Said Nursi gemar menggunakan analogi untuk menguatkan lagi penulisan beliau. 

1. Analogi satu

Pernahkah kalian pergi ke negara 4 musim? Atau sekiranya tidak pernah sekalipun, ayuh kita bermain dengan kuasa imaginasi. Bayangkan anda kini berada di salah sebuah negara 4 musim. Pilihlah negara mana yang anda suka. Dan bayangkan, anda sekarang berada di dalam penghujung musım sejuk. Anda sedang berdiri di tengah-tengah taman, pada waktu petang. 

Taman itu sepatutnya penuh dengan pokok-pokok bunga, rerumput hijau, serangga kecil berterbangan dan beberapa jenis haiwan jinak yang sering dibawa bersiar-siar ke taman. Tetapi, apa yang anda dapat lihat sekarang hanyalah kawasan yang diselaputi dengan salji tebal. Warna sekitar juga seakan-akan suram. Cuma hitam dan putih. 

Esoknya, pada waktu dan tempat yang sama, anda kembali lagi. Dan kini, anda melihat alam seakan baru bangun daripada tidur. Selimut musim sejuk telah diangkat dan musim bunga telah tiba. Rerumput hijau mulai tumbuh. Pokok bunga mula mekar dan mengharumkan kawasan sekitar. Anda berasa sangat gembira berada dalam taman yang kini cantik dan ceria. 

Baiklah. Apa kaitannya dengan cerita kebangkitan tadi? Ada kena-mengena kah? Ya, sudah tentu! 4 musim yang sering bertukar mengikut waktunya merupakan salah satu contoh kebangkitan yang berada di hadapan mata kita.

Musim sejuk yang suram dan kelabu ibarat alam yang sedang tidur atau dimatikan. Banyak haiwan dan tumbuhan yang mati, layu atau berhibernasi di kediaman mereka. Kemudian, apabila musim bunga tiba, Allah membangkitkan semula lebih daripada 300,000 jenis makhluk tanpa ada satu pun yang dilupai. 

Maha suci Allah yang maha mencipta. Unggas-unggas kecil dan serangga seperti semut, anai-anai, dan belalang. Kesemua hidupan kecil seperti mereka mati dan tidak dapat bertahan menghadapi cuaca musim sejuk. Ajaibnya, kita dapat bertemu kembali dengan mereka pada musim bunga.

Siapakah yang menciptakan atau membangkitkan mereka semula? Sudah tentu dan tidak lain tidak bukan, dialah Allah, Tuhan yang Maha Hidup dan Maha Menciptakan. 

Bukankah ada firmanNya dalam al-Quran, Surah al-An’am ayat 102

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ ۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

“…tidak ada Tuhan selain Dia; Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia; dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu.”

 

2. Analogi Kedua

Sebenarnya, tidak susah untuk kita percaya bahawa hari kebangkitan itu adalah sesuatu yang pasti dan akan terjadi. Apatah lagi setelah kita beriman bahawa Allah adalah pencipta kepada alam ini.

Bayangkan keadaannya seperti penulis-penulis hebat yang kita kenal. Contohnya seperti Buya Hamka, Kang Abik, Ramlee Awang Murshid, Andrea Hirata dan ramai lagi. Mereka pasti memerlukan beberapa tempoh masa yang tertentu untuk mengolah dan menulis idea dan isi penting mereka sehingga dapat menyiapkan sebuah manuskrip yang lengkap sebelum dihantar kepada pihak editor dan penerbitan. 

Andaikata sekiranya komputer yang digunakan oleh mereka untuk menaip manuskrip tersebut, telah rosak dan mereka terpaksa menaip semula manuskrip tersebut dari awal, sudah tentu proses penulisan manuskrip untuk kali yang kedua tidak serumit pada kali pertama. Ideanya telah diolah. Tinggal lagi untuk ditulis semula. Malah, para penulis sudah tentu menjadi orang yang paling mengingati apa yang ditulis. 

Begitu jugalah keadaannya dengan Allah, Tuhan yang Maha Menciptakan. Dialah yang telah menciptakan segala sesuatu dari sekecil zarah hinggalah ke sebesar-besar matahari, dari yang zahir mahupun yang tidak kelihatan. Sudah tentu tidak susah untuk Dia menghidupkan kembali apa yang telah dihidupkannya pada kali yang pertama. 

Firman Allah S.W.T di dalam Surah Ar-Rum, ayat 27:

وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ ۚ وَلَهُ الْمَثَلُ الْأَعْلَىٰ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Dan Dialah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah bagi-Nya. Dan bagi-Nya-lah sifat yang Maha Tinggi di langit dan di bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

3. Analogi Ketiga

Ketika saya belajar di sekolah menengah, antara aktiviti kokurikulum yang terkenal ketika itu adalah pertandingan kawad kaki. Kami menyertai pertandingan ini sehingga ke peringkat negeri. Setiap kali sesi latihan, kami akan melakukan apa-apa pergerakan apabila mendapat arahan daripada seorang ketua yang dipanggil sebagai komander kawad. 

Selalunya, sebelum memulakan sesi latihan, komander kawad akan meniup wiselnya dan kesemua anggota kawad akan bergegas menuju ke tapak latihan dalam susunan dan kedudukan formasi. Bayangkan, hanya dengan satu tiupan wisel sahaja kesemua anggota kawad dengan cepat dapat mengenalpasti bahawa itu adalah arahan daripada komander dan bergegas mengambil tempat masing-masing. 

Begitulah juga keadaannya dengan hari kebangkitan. Kesemua makhluk Allah, hatta sel-sel badan yang paling kecil juga dengan cepat akan dapat mengenalpasti bahawa itu adalah arahan pengumpulan daripada Allah S.W.T dan dengan cepat kembali berkumpul untuk membentuk sebuah jasad manusia yang lengkap. 

 

وَأَقْسَمُوا بِاللَّهِ جَهْدَ أَيْمَانِهِمْ لَا يَبْعَثُ اللَّهُ مَنْ يَمُوتُ بَلَى وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

“Mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sumpahnya yang sungguh-sungguh: “Allah tidak akan membangkitkan orang yang mati”. (Tidak demikian), bahkan (pasti Allah akan membangkitkannya), sebagai suatu janji yang benar dari Allah, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.” (Surah an-Nahl ayat 38)

 

Subhanallah. Allahu Akbar!

 

Kesimpulannya, terlalu banyak dalil dan bukti yang ditunjukkan Allah dalam kehidupan seharian kita sebagai bukti kepada hasyir. Kewujudan musim sejuk dan musim bunga, siang dan malam, penurunan hujan, malah terdapat banyak lagi contoh yang kesemuanya menguatkan akan kewujudan hasyir.

Penting utuk kita beriman dan faham akan wujudnya hari kebangkitan. Keyakinan terhadap hari kebangkitan inilah yang akan mendorong kita untuk terus melakukan kebaikan dan tidak melakukan kejahatan. Kerana kita tahu dan pasti, kesemua amalan baik mahupun jahat kita pasti akan dihisab dan dibalas di sana.

 

Disediakan oleh,

Imani


Hantar karya anda di emel [email protected]

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave a Reply

Loading…

Cerpen: Tentang Sampul Itu

Interaksi Antara Falsafah, Sejarah Dan Agama