in

Agama yang Mempercayai Konsep Roh Berpindah dan Kelahiran Semula

Penciptaan manusia adalah kombinasi dua elemen terpenting. Elemen-elemen tersebut apabila dicantum dan digabungkan, maka ia akan menghasilkan sifat manusia yang sempurna yang terdiri daripada zahir dan batin. Elemen tersebut adalah jasad dan roh. Tanpa salah satu elemen tersebut, maka tidak sempurnalah sesuatu ciptaan itu. Mudahnya, jasad tanpa roh tidak boleh melakukan apa-apa pergerakan. Sebaliknya, roh tanpa jasad juga tidak dapat menzahirkan diri manusia yang sebenar.

Menurut seorang ulama al-Azhar, Syeikh Dr. Muhammad al-Musayyar, dalam sebuah penulisan beliau yang bertajuk “Roh Menurut Perbahasan Ulama Kalam & Ahli Falsafah”, perkataan Tanasukh membawa erti berulang-ulang dan pusingan sehingga tiada penamat. Manakala perkataan al-Arwah pula merupakan kata jamak (plural) kepada makna roh. Dalam falsafah Greek, konsep ini disebutkan sebagai Metempsychosis yang membawa maksud pemindahan roh dan kelahiran semula roh selepas mati.

Secara ringkasnya, kepercayaan Tanasukh al-Arwah ini adalah kepercayaan bahawa roh manusia boleh berpindah-pindah dari seseorang kepada seseorang yang lain. Ini bermakna tidak ada kiamat dan hari akhirat. Hakikatnya, Idea-idea kepercayaan yang dibina dalam kepercayaan ini secara tidak langsung telah mengajar umat manusia untuk menolak akan adanya hari kiamat dan akhirat.

Kepercayaan Tanasukh al-Arwah ini sangat mirip dengan konsep Reinkarnasi (lahir semula) yang telah dipelopori oleh agama selain Islam. Antaranya agama Hindu, Buddha dan Sikh. Konsep yang sama namun pembawakannya dibaluti dengan cara islamik. Tanasukh al-Arwah ini digubah menjadi mesra islamik oleh Syiah Hasyimiah. Bagi Syiah Hasyimiah, mereka percaya bahawa roh boleh berpindah dari jasad ke jasad yang lain. Lebih berbahaya, mereka juga mempercayai bahawa roh Allah juga bertanasukh (berpindah) masuk ke jasad para imam mereka. Juga kepercayaan ini telah meresap masuk ke dalam ajaran sesat Qadiani.

Fahaman Tanasukh al-Arwah yang dipelopori oleh golongan Syiah Hasyimiah dan ajaran Qadiani tidak jauh bezanya dengan konsep Reinkarnasi (kelahiran semula) dan hukum karma yang dipelopori oleh agama lain. Menurut kamus Dewan, perkataan reinkarnasi membawa maksud penjelmaan kembali makhluk yang telah mati (mengikut sesetengah kepercayaan). Karma pula membawa maksud semua perbuatan manusia sewaktu hidupnya di dunia. Secara mudahnya, kepercayaan ini mempunyai persamaan dengan apa yang difahami oleh agama lain melalui konsep Reinkarnasi dan karma.

Dalam sejarah agama dunia, kepercayaan reinkarnasi dan karma ini terdapat dalam banyak ajaran agama dunia lain seperti Zoroaster, Hindu, Buddha dan Sikh. Namun begitu, setiap kepercayaan yang dianuti oleh agama tersebut diolah dan digubah mengikut aturan agama masing-masing. Oleh kerana itu, kita akan mendapati pelbagai penggunaan istilah dan ritual yang berbeza namun membawa asas konsep yang sama iaitu yang disebut Reinkarnasi dan karma.

Apakah reinkarnasi dalam hindu - 2022 - Berita

Dalam kepercayaan agama Zoroaster, iaitu sebuah agama monoteisme kuno yang wujud di Iran, mereka percaya bahawa apabila seseorang itu sudah mati, roh si mati akan kekal di sisi mayat selama tiga hari dan tiga malam. Dalam tempoh ini, semua tindakan dan kesalahan yang dilakukan sewaktu masih hidup akan ditayangkan kepada roh si mati. Jika didapati si mati berat ke arah dosa, maka roh tersebut akan dihumban ke neraka. Tetapi setelah selesai tempoh menjalani hukuman, si mati akan dibangkitkan semula.

Bagi agama Hindu pula, mereka percaya bahawa jasad akan musnah tetapi roh akan bersifat kekal abadi. Oleh itu, sewaktu pada hari pembalasan, setiap roh manusia akan dibalas mengikut amal perbuatan mereka ketika di dunia. Mereka yang telah mati akan menerima balasan sama ada balasan berupa “Samsara” atau “Mokhsha”. Balasan Samsara bermaksud balasan penerimaan roh ke dalam jasad makhluk yang lebih rendah seperti haiwan sebagai penyeksaan. Manakala balasan Moksha pula bermaksud balasan penetapan roh kepada tahap yang lebih tinggi sebagai balasan baik.

Demikian juga kepercayaan bagi agama Buddha. Ia merupakan pecahan daripada agama Hindu. Bagi mereka, jika seseorang itu ketika di dunia melakukan perbuatan baik, maka karmanya juga baik, ianya berpotensi untuk dilahirkan kembali dengan kelahiran yang lebih baik. Begitu juga sebaliknya, jika ketika di dunia melakukan perbuatan jahat, maka karmanya juga jahat, ianya berpotensi untuk dilahirkan kembali dengan kelahiran yang lebih jahat.

Agama Sikh pula, menurut Dr. Ghazali Bin Basri dalam sebuah penulisan buku beliau yang berjudul Ilmu Perbandingan Agama Suatu Pengenalan, beliau menyatakan bahawa ajaran agama Sikh banyak dipengaruhi oleh kepercayaan Hindu. Berdasarkan kenyataan ini, maka tidak pelik jika kita akan temui dalam ajaran mereka tentang kepercayaan Samsara sama seperti kepercayaan agama Hindu. Bagi mereka, apabila seorang guru mati, roh tersebut akan berpindah kepada guru yang berikutnya.

Ilmu Perbandingan Agama: Suatu Pengenalan

Sudah jelas bagi kita, kepercayaan roh hidup semula ini adalah bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Sebagai umat Islam, kita wajib menolak dan menentang sebarang usaha untuk menerima kepercayaan karut seperti ini daripada membarah dalam minda umat Islam. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya pandangan orang yang meninggal itu mengikut jiwanya ketika dia meninggal dunia”.

Hadith ini menjelaskan kepada kita semua bahawa tidak ada konsep berpindah roh atau roh hidup semula di dalam Islam. Orang yang telah meninggal dunia, dirinya akan dipandang berdasarkan apa yang ada dalam dirinya. Tidak ada kehidupan semula di dunia melainkan dihidupkan semula di negeri akhirat. Dalam hal ini juga, Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam surah Ath-Thuur ayat 21 yang bermaksud :

“Dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka ; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”

Berdasarkan firman tersebut, jelas kepada kita bahawa setiap yang bernyawa pasti akan dihitung oleh Allah tanpa dikurangkan walau sedikit. Allah SWT tidak akan membebani hamba yang lain untuk menanggung beban hamba yang lain. Oleh yang demikian, tidak ada istilah roh berpindah atau roh hidup semula di jasad orang lain seperti yang didakwa oleh sebahagian orang. Kepercayaan tersebut secara terangnya telah menyanggahi syariat Islam. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis

Adakah Kita Pendengar yang Baik?

Bagaimana untuk Menilai Baik Buruk Seseorang Sebelum Memilihnya Menjadi Pasangan Hidup?