in

LoveLove

Anti Vaksin: Golongan yang Menolak Integriti Ilmu dan Ahlinya

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, Malaysia telah menerima bekalan fasa pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada hujung bulan Februari lepas. Program vaksinasi mula diberikan secara berperingkat kepada seluruh rakyat dengan menyasarkan sebanyak 25 juta orang rakyat Malaysia akan menerima suntikan vaksin. Usaha ini sudah mula dijalankan di beberapa buah negara seperti Indonesia, Australia, Rusia dan lain-lain. 

Dalam kegigihan pihak berautoriti untuk mewujudkan  sebuah komuniti yang imun terhadap penyakit ini, terdapat ramai golongan anti-vaksin yang berfikiran sempit dan kolot cuba menimbulkan keraguan dengan keberkesanan vaksin ini. Antara alasan mereka adalah wabak dan vaksin ini adalah hasil daripada teori konspirasi, vaksin mengandungi bahan yang haram dan lain-lain alasan yang tidak berasas.

Walaupun pelbagai program dan usaha penerangan dijalankan oleh kerajaan atau organisasi bukan kerajaan, namun masih ramai yang percaya dengan dakyah dan menolak vaksin ini. Aneh sungguh, penerangan daripada golongan perubatan tidak diendahkan sebaliknya mereka lebih percaya akan kata-kata golongan yang bukan ahlinya. Hal ini jelas bertentangan dengan perintah Allah s.w.t di dalam Tanzilul ‘Aziz iaitu untuk sentiasa merujuk mereka yang ahli dalam setiap bidangnya. 

FirmanNya di dalam surah an-Nahlu dan al-Anbiya’  iaitu; 

فَسۡـَٔلُوۤا۟ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” [Surah An-Nahl 43] 

Sebelum vaksin ini mula memasuki pasaran, para ulama dan para pakar perubatan sudah pun duduk semeja untuk berbincang mengenai kesucian bahan yang digunakan dan lain-lain. Natijahnya, mereka  menyimpulkan bahawa hukum mengambil vaksin ini adalah harus bahkan menjadi wajib bagi mereka yang ditetapkan. (Rujuk fatwa yang dikeluarkan oleh mufti Wilayah Persekutuan.)

Namun, masih ramai pihak yang menolak ijtihad oleh para ulama dan pakar perubatan. Hal ini demikian kerana kejahilan masih menguasai masyarakat kita dan mereka berani mencabar kepakaran ahli dalam bidangnya. Mereka menyebarkan cerita yang tidak berasas dan menolak tepi kajian-kajian saintifik yang sudah dijalankan di makmal-makmal secara telus.

Keadaan ini mengingatkan kisah-kisah umat terdahulu yang menolak para Nabi yang diutuskan Allah s.w.t atas alasan mengikut amalan tradisi nenek moyang mereka sahaja. Contohnya,

(وَإِذَا قِیلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُوا۟ مَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ بَلۡ نَتَّبِعُ مَاۤ أَلۡفَیۡنَا عَلَیۡهِ ءَابَاۤءَنَاۤۚ أَوَلَوۡ كَانَ ءَابَاۤؤُهُمۡ لَا یَعۡقِلُونَ شَیۡـࣰٔا وَلَا یَهۡتَدُونَ)

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah.” Mereka menjawab, “(Tidak!) Kami mengikuti apa yang kami dapati pada nenek moyang kami (melakukannya).” Padahal, nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa pun, dan tidak mendapat petunjuk.” [Surah Al-Baqarah 170]

Golongan anti-vaksin sebenarnya adalah golongan yang telah menolak integriti ilmu dan ahlinya. Dalam erti kata lain, mereka meragui kelayakan para ulama dan para saintis walhal golongan inilah yang bertungkus-lumus siang dan malam untuk mencegah  wabak ini daripada menular yang mengakibatkan kes kematian semakin meningkat saban hari.

Bukankah kalian membaca al-Quran?

Allah s.w.t telah mengingatkan kepada kita untuk meneliti dahulu kesahihan berita-berita yang sampai daripada orang yang fasik. Ingatlah, orang jahat dan fasik itu sentiasa wujud walaupun zamannya berbeza-beza.

SabdaNya dalam surah al-Hujurat;

(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن جَاۤءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإࣲ فَتَبَیَّنُوۤا۟ أَن تُصِیبُوا۟ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةࣲ فَتُصۡبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِینَ)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum karena kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.”[Surah Al-Hujurat 6]

Tegasnya, golongan anti-vaksin ini sangat adalah orang yang sangat jahil walaupun para ulama telah mengeluarkan hukum mengambil vaksin dan. Ketahuilah bahawa para ulama tidak sesekali mengambil mudah untuk mengeluarkan sesuatu fatwa atau kenyataan. Mereka perlu menelaah pelbagai kitab-kitab tebal mengenai fiqh bahkan mereka juga perlu menyesuaikannya mengikut keadaan uruf dan adat masyarakat setempat.

Manakala, para saintis adalah tulang belakang ketika dunia ini dilanda wabak. Tanpa mereka, kita tidak akan tahu bahawa Covid-19 ini boleh tersebar melalui sentuhan. Tanpa kajian mereka juga, vaksin mungkin tidak akan wujud dan begitu banyak peringkat kajian yang dijalankan untuk menghasilkan sebotol vaksin itu sahaja. 

Kegagalan demi kegagalan dalam uji kaji dan ramai pegawai perubatan yang telah tumpas ketika menjalankan tugas tidak diketahui umum. Kita pula masih lagi berdegil tidak mahu menerima vaksin kerana terpengaruh dengan dakyah-dakyah golongan anti-vaksin.

Apakah kesannya terhadap negara kita?

Kepercayaan terhadap golongan professional dan ahli pakar dalam bidang mereka akan hilang. Bukankah ini suatu petanda yang tidak baik?

Selain itu, ada segelintir ahli agama juga yang turut mempercayai berita palsu mengenai vaksin yang tersebar di laman sesawang. Orang yang berilmu akan sentiasa menjadi rujukan masyarakat dalam menyelesaikan masalah harian. Namun, apabila ahli mereka sendiri menyebarkan perkara yang salah, kesannya akan terpalit kepada agama dan negara.

Ilmu seharusnya menghasilkan kefahaman yang jitu dan membawa kepada penyatuan bukan perpecahan. Mereka yang mempunyai autoriti dalam agama itu tetap orang awam dan tidak mampu untuk berijtihad seperti para ulama.

Sebagai Muslim, kita juga perlu mempunyai sikap berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi. Jika tidak mampu untuk menyumbang sebuah kemajuan buat negara, sekurang-kurangnya jadilah penyokong dalam sumbangan mereka. Kesimpulannya, saya akhiri dengan sebuah kata-kata Arab yang berbunyi;

الناس اعداء ما جهلوا”

“Manusia itu memusuhi perkara yang tidak diketahuinya”

Disediakan oleh,

Nik Nur Humaira’


Hantar karya anda di emel [email protected]

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Bagaimana Untuk Belajar Tentang Akhlak dan Adab?

Temerloh Bandar Kelahiran Para Pejuang