in

CuteCute LoveLove

7 Cabaran yang Perlu Dilalui Penulis Buku

Bercita-cita hendak memiliki sebuah buku atau karya solo sendiri pada suatu hari nanti ialah impian setiap penulis. Alangkah bahagianya apabila penulis berjaya menulis sebuah buku yang didambakan selama ini, lebih-lebih lagi di hadapan kulit buku ada tertera nama penulis sendiri.

Meskipun begitu, terdapat cabaran dan risiko yang perlu diketahui serta ditempuhi oleh setiap penulis dalam dunia penulisan ini. Menulis bukan cuma mengejar deadline dan menyiapkan manuskrip yang terperam ataupun terbengkalai. 

Pada awalnya, menulis ini sangatlah seronok kerana cabarannya tidaklah terlalu besar. Namun setelah itu, cabaran dan risikonya boleh jadi terlalu tinggi terutama sekali bagi penulis-penulis baharu yang memasang niat dan bercadang hendak menulis buku sendiri.

Berikut merupakan tujuh cabaran yang perlu dipersiapkan oleh setiap penulis buku dan seterusnya. Di antaranya,

1. Cari penerbit buku yang sesuai. 

Selepas sahaja selesai menulis, penulis perlu mencari penerbit buku untuk menerbitkan karya mereka. Dalam hal ini, penting untuk anda mengetahui penerbit yang bagaimana yang layak untuk menerbitkan karya anda.

Jika anda menulis buku-buku berkaitan agama anda perlu mencari penerbit buku yang menerbitkan berdasarkan genre anda. Jika anda menulis buku novel, semestinya anda menghantar novel anda kepada penerbit yang mencari karya-karya novel.

Selain daripada itu, anda perlu mengetahui format dan syarat yang ditentukan dalam setiap karya oleh penerbit. Ini bagi mengelakkan karya anda ditolak secara mentah-mentah kerana tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan. Sebagai contoh, Telaga Biru mempunyai syarat yang agak ketat iaitu setiap karya yang dihantar wajib diletakkan sumber rujukan seperti ayat Al-Quran dan nombor hadis.

Oleh itu, rajinlah dalam mencari penerbit dan membaca peraturan-peraturan yang ditetapkan di laman web syarikat penerbitan masing-masing.

2. Laburkan wang yang banyak.

Manuskrip boleh dihantar kepada syarikat buku yang berkemungkinan besar kurang penulis ataupun tidak perlu melaburkan wang. Malahan, anda akan mendapatk pulangan royalti yang cukup lumayan. Berbanding penulis yang memilih menerbitkan buku secara swaterbit, terdapat kos yang perlu ditanggung sendiri merangkumi kos bacaan pruf, kulit buku, lay out dan cetakan buku mengikut anggaran buku yang hendak dikeluarkan. 

Menerbitkan buku secara swaterbit sebenarnya lebih mudah berbanding menghantar kepada penerbit besar yang memakan masa berbulan-bulan lamanya untuk menilai karya anda layak diterima ataupun ditolak. Jika anda memilih langkah secara swaterbit, bersiap sedialah dalam melaburkan wang dalam ribuan ringgit.

3. Berani menjual buku.

Buku penulis ialah tanggungjawab penulis. Jangan segan dalam mengiklankan karya-karya anda di media sosial walaupun karya tersebut tidak laku keras seperti penulis-penulis bestseller yang naskhahnya terjual sehingga angka empat. 

Ia memerlukan proses yang perlahan dalam merealisasikan impian sebagai penulis buku yang ingin dikenali oleh orang ramai. Setiap penulis mempunyai pengikutnya masing-masing. Mungkin karya anda diminati sebahagian pembaca. Oleh itu, teruskan usaha menyebarkan manfaat melalui buku-buku yang telah dihasilkan.

4. Sedia bersaing.

Dalam dunia pembukuan ini telah melahirkan penulis-penulis yang berbakat. Oleh kerana itu, penulis perlu bersaing antara satu sama lain terutama sekali dari sudut pemasaran buku. Lebih-lebih lagi penulis baharu yang masih kurang didengari namanya oleh penggemar buku. Maka tenaga anda mesti lagi kuat untuk mempromosikan karya-karya anda. Kekal aktif dalam memperkenalkan buku terbaharu melalui platform-platform yang lain.

5. Sedia dikritik.

Penulis dikritik adalah perkara biasa yang kerap terjadi apabila buku anda sudah berada dalam pelukan pembaca. Selera pembaca ada yang berlainan. Sesetengah pembaca mungkin berpuas hati dan sebahagian lagi kurang menyukainya. Akhir sekali mereka memilih untuk mulai mengkritik anda.

Kritikan terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, kritikan yang membina. Kedua, kritikan yang tidak membina.

Kritikan yang membina meliputi kritikan yang positif dalam rangka menasihati penulis untuk membuat penambahbaikan. Sementelahan kritikan yang tidak membina pula termasuk kritikan yang mengandungi unsur-unsur mencela penulis dan komen negatif misalnya. 

Bagi penulis, pilih dan terimalah kritikan yang pertama untuk anda mengemaskini dan mencantikkan lagi karya anda pada edisi yang akan datang. Kritikan Kedua ini, anda tutup mata sahaja dan biarkan mereka bersorak serta buktikan bahawa anda ialah penulis yang jujur dan matang.

6. Buat perkongsian buku.

Penulis yang mahu bukunya dibeli, mestilah memperkenalkan buku mereka kepada pembaca. Antara cara memperkenalkan buku anda ialah dengan menulis ulasan sedikit dan keistimewaannya.

Di samping itu, menerima pelawaan live bagi kupasan buku daripada pihak-pihak tertentu. Tujuannya adalah supaya karya anda semakin mendapat perhatian luas baik melalui tulisan mahupun lisan. Penulis tidak boleh malas dalam berkongsi menghebahkan karyanya.

7. Tidak mudah berputus asa.

Semangat menulis buku ini pada awalnya mencapai kemuncak yang amat dahsyat dan luar biasa. Walaupun begitu, ada kalanya sesetengah penulis berasa tidak ada lagi keinginan menulis dan berputus asa disebabkan faktor-faktor seperti kekurangan idea, karya ditolak dan buku tidak laku lantas membolehkan penulis terkena serangan block writers.

Menulis buku memerlukan perjuangan mental dan fizikal. Kedua-duanya mesti diseimbangkan supaya minat menulis tidak pudar daripada menukang. Jauhi sebab-sebab yang boleh mengekang hajat anda menulis buku.

Jika anda menulis kerana tidak mampu melepasi ujian ini suatu saat nanti anda mungkin tidak mahu berkarya lagi. 

Tuntasnya, tetaplah berkarya meskipun dihujani ujian berlipat ganda. Menulis dengan tekad yang kuat bukan hanya untuk mengejar populariti di dunia. Menulislah untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak, iaitu dengan cara mengajak manusia kepada kebaikan melalui helaian-helaian kertas.

Rasulullah SAW bersabda,

“Ikatlah ilmu dengan menulisnya.”

[Shahih Al-Jami’, no. 4434. Shahih menurut Syaikh Nashiruddin Al-albani]

DIsediakan oleh,

Syuhara suriati,

Penulis buku antologi dan anekdot yang telah menulis dua buku solonya.


Hantar karya anda di emel [email protected]

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Perempuan-perempuan Simbol Kepahlawanan

Hasrat Seorang Ibu