in

Wahai Anak, Dimanakah Kesudahanmu?

Bullying in schools comes in all forms.

Agak menyedihkan melihat apa yang terjadi di kalangan anak-anak muda sejak kebelakangan ini. Kes terbaru adalah kes buli, yang entah berapa kali menjadi isu sensasi. Kemudian setelah beberapa ketika, akan kembali senyap dan kehidupan diteruskan seperti biasa. Tahun lepas ada isu budak sekolah mencarut kepada guru, ada yang membuang buku ke sungai. Semasa PKP, ada yang mempermainkan guru di media sosial. Macam macam lagi kerenah anak anak zaman sekarang yang tidak berlaku di zaman dahulu.

Polis siasat kes buli di asrama
Isu terkini tentang kes buli

Lihatlah dari sudut yang lebih luas. Ini bukan isu yang kecil. Generasi hari ini makin parah dan jika dibiarkan begitu sahaja, perkara yang lebih buruk akan berlaku. Semua pihak mesti memainkan peranan dan memberikan sumbangan di dalam menangani masalah ini. Tidak adil jika hanya satu pihak sahaja yang dipertanggungjawabkan. Ibu bapa, guru, masyarakat dan pihak berwajib harus bekerjasama dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ini.

Anak-anak itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah, bersih. Bagaimana dia membesar, itulah yang akan menentukan pembawakan dirinya apabila dewasa. Kita juga pernah lalui zaman remaja. Satu peringkat umur yang mana suka mencuba benda baharu, sukakan keseronokan dan suka memberontak.  Pun begitu, tidaklah begitu ketara permasalahan yang timbul di zaman dahulu jika hendak dibandingkan dengan sekarang. Zaman sudah berubah, pendekatan dalam pendidikan anak anak juga harus berubah.

Ada banyak faktor yang menyebabkan perkara ini boleh terjadi. Faktor yang utama adalah bermula dari rumah. Sekolah pertama bagi kita adalah rumah kita sendiri. Anak-anak yang membesar dengan didikan yang baik mampu membezakan baik buruk apabila keluar dari rumah. Pun begitu, tidak semua orang direzekikan dengan suasana begitu. Ada yang dibesarkan tanpa ayah, ada yang dibesarkan tanpa ibu, ada juga yang dibesarkan tanpa keduanya. Pembentukan sahsiah anak-anak amat penting untuk diterapkan pada usia muda. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Sosioekonomi masyarakat sekarang mungkin boleh dikatakan antara punca terbesar kepada permasalahan ini. Saya lebih cenderung melihat isu ini dari sisi mata orang kampung, memandangkan saya membesar di kampung, dan menetap di kampung. Ibu bapa di kampung terpaksa keluar bekerja untuk mencari rezeki, rata-rata menjadi penoreh atau bekerja kampung.  Anak-anak dibiarkan sahaja dengan kawan mereka. Mulalah terpengaruh dengan dengan kawan-kawan. Bermula dengan rokok, kemudian beralih kepada cakoroi. Setelah itu bermulalah dengan dadah.

Apa yang terjadi di kota mungkin juga sama situasinya di kampung, atau lebih parah lagi. Ini kerana kehidupan di kota lebih menekan dan memerlukan perbelanjaan yang besar. Ibu bapa terpaksa bekerja keras bagi membesarkan anak-anak. Anak-anak yang dulu semasa kecilnya kita tatang, terpaksa dibesarkan dalam suasana ini. Keluar pagi balik petang, adakala sampai malam. Bagaikan tiada jalan keluar dari kitaran hidup ini bagi orang orang di kota. Terkontang kantinglah anak-anak itu membesar dalam dunianya sendiri.

Pendedahan gajet kepada anak-anak pada usia yang terlalu muda ada baik dan buruknya. Mendapat akses tanpa batasan kepada dunia internet amat berbahaya kepada mereka. Mereka yang tidak matang ini mudah terdedah kepada permainan yang ganas. Permainan tembak menembak, bunuh membunuh seakan akan biasa untuk anak- anak ini. Secara tanpa sedar, permainan ini akan menerapkan sifat ganas ke dalam diri mereka. Ada juga anak anak yang terdedah dengan gambar dan video yang tidak senonoh. Akhirnya akan menjerumus mereka kepada pornografi. 

Ini adalah realiti zaman sekarang, tiada siapa yang dapat menyangkalnya. Ia sedang berlaku dan akan berlaku. Keruntuhan akhlak dan moral, gejala sosial berleluasa, anak-anak belasan tahun sudah pandai melakukan hubungan intim, masalah dadah, buli, gangsterisme dan banyak lagi. Perempuan jika dahulu menjadi simbol  kelembutan dan kesopanan, kini tidak lagi. Cara percakapan pun tidak sopan, bercakap perkataan lucah sudah menjadi kebiasaan sesama mereka. Sudah tiada beza lelaki dan perempuan. Sama sama hilang rasa hormat kepada guru, apatah lagi kepada orang lain.

Dahulu, sekiranya ada terlihat anak jiran atau tetangga yang berkelakuan tidak senonoh, masyarakat setempat akan tampil memberi nasihat dan teguran, dan sudah pasti berita itu akan sampai kepada ibu bapa. Kini situasi itu tidak lagi berlaku. Kalau ada orang yang memberi nasihat, orang yang memberi nasihat itu akan dipersalahkan. Saman menyaman guru adalah perkara biasa pada zaman ini, sedangkan tidak pernah berlaku dahulu. Ibu bapa lebih mementingkan ego mereka daripada memperbetulkan kesalahan anak-anak mereka. 

Anak-anak yang masuk ke alam persekolahan rendah, sebelumnya menghabiskan masa enam tahun di rumah. Anak-anak yang masuk ke asrama, sebelumnya menghabiskan masa 12 tahun di rumah. Namun, setelah dilepaskan ke sekolah, beban mendidik diletakkan 100% kepada guru. Anak-anak itu yang dibesarkan secara salah selama bertahun-tahun, namun diharap guru dapat mengubah mereka dalam sekelip mata. Mana mungkin guru dapat mengubah segalanya. Tugas guru lebih kepada memberikan pendidikan, bukan hendak menyelesaikan masalah kita.

Lihatlah anak-anak di kampung, berapa ramai yang tiada minat untuk belajar. Mereka tiada cita-cita yang tinggi, tidak didorong untuk menambah ilmu pengetahuan, yang mana dengan ilmu sahajalah dapat mengubah masa depan mereka. Tempoh PKP yang lalu dapat kita nilai sejauh mana kesungguhan mereka di dalam menuntut ilmu. Boleh dikatakan, guru yang bersemangat lebih daripada anak murid. Generasi yang bagaimanakah sedang kita hasilkan?

Melihat kepada permasalahan yang timbul, tanpa mencari solusi tidak akan mendatangkan perubahan. Kes-kes yang melibatkan remaja hari ini bukanlah timbul secara tiba-tiba. Ia merupakan hasil daripada didikan anak anak itu sejak kecil lagi. Buat ibu bapa, bersama samalah kita ambil iktibar dari kejadian yang berlaku agar kita memperbaiki didikan kita terhadap anak kita. Pendidikan anak-anak tidak terhad kepada apa yang kita ajar mereka di rumah, tetapi anak-anak kita akan belajar daripada sekeliling mereka. Ibu bapa harus menyiapkan anak-anak untuk hidup dalam situasi sekarang ini yang banyak cabaran. 

Disediakan oleh: Muhammad Al Mahdi Bin Abdullah

Pesan-pesan Terakhir

Malaysia Negara yang Beruntung Walaupun Tidak Semaju Negara Jepun