in

Untuk Seseorang Bergelar Sahabat

Sungguh aku mendambakan sahabat yang dapat sama-sama berpimpin tangan menuju syurga. Bersama-sama mengejar bahagia yang abadi.

Buatmu Sahabat

Wahai Sahabat,

Detik ini jemariku sedang menaip luahan hati sambil 

mendengar nasyid ‘doa perpisahan’.

Hatiku meronta-ronta mengatakan bahawa;

sungguh aku merinduimu,

dan tidak sekalipun aku menafikannya.

Tiada guna tangisan yang menitis ke pipi,

namun perasaan itu hanya mampu terbuku di 

dalam sanubari ini.

Segala memori indah yang pernah kita lakar bersama-sama,

terus menerus melintasi fikiranku tanpa henti.

Tidak ku ketahui bagaimana cara menghapusnya 

dari minda ini.

Dalam jeda yang sama kenangan manis datang 

bersama pahitnya.

Dahulu saat kita tidak menghebohkan tentang 

persahabatan yang terjalin ini,

aku dapat merasakan betapa indahnya kehidupan bersahabat,

walau hanya sebentar,

Itu kerna hanya kita dan Tuhan sahaja yang tahu.

Tatkala persahabatan kita itu telah diketahui orang,

aku perasan hari demi hari sudah tidak seperti dulu lagi,

sehinggalah tali persahabatan yang suatu saat dahulu diikat mati,

kini telah terputus,

terlerai begitu sahaja.

Sama sekali tidak inginku menuding jari kepada 

sesiapa kerna sepenuhnya ia salahku jua.

Seringkali aku gagal dalam persahabatan dan 

tika ini untuk kesekian kalinya aku gagal lagi.

Ternyata terlalu banyak kelemahan diri ini yang 

menjadi punca hubungan kita terputus.

Beribu kemaafan ku pohon padamu duhai teman.

Aku kecundang dalam membina hidup sendiri.

Kusedari kehidupan ini perlu diteruskan dan 

aku tinggalkanmu dalam jagaan ilahi.

Moga engkau bahagia dengan apa yang kau 

punyai sekarang.

Persahabatan yang dikhianati

Ada sekeping foto yang sudah lama tidak ditatap namun seketika ia muncul kembali dalam kotak fikiranku. Pabila dikenang, luka lama berdarah semula. Walau bertahun sudah berlalu, luka itu masih meninggalkan kesan parut. 

Sebuah persahabatan yang dahulunya ku genggam erat. Mengenang kisah silam membikin diri sakit. Ah sungguh sakit sekali pengkhianatan itu. Hanya ada satu persoalan yang berlegar di mindaku. Persoalan yang tidak pernah ku temukan jawapannya.

Ingin sekali aku mengkhabarkan kepadamu bahawa suatu masa dahulu kamu pernah menjadi orang yang begitu berharga dalam hidupku. Ya, kamu dahulunya pernah menggenggam gelaran insan yang aku percayai. 

Padamu ku adukan masalahku, sungguh hati terasa tenang tatkala segala beban di bahu telah ku lepaskan selepas bercerita padamu. Namun, aku yang salah. Aku yang silap kerana begitu menaruh kepercayaan padamu. Engkau pada akhirnya pergi begitu sahaja meninggalkanku dalam kekeliruan, penuh tanda tanya. Aku kebingungan.

Akibat tidak berterus terang maka retaklah persahabatan itu.

Sahabat yang benar-benar peduli 

Saat kamu berpesan kepadaku agar tidak memendam rasa lagi dan tidak menyembunyikan kesakitan itu sendiri — saat itu aku benar-benar tergamam, menyedari diriku sememangnya menyembunyikan segala kesakitan dalam hati ini.

Sejujurnya ada begitu banyak hal yang ingin aku kongsikan denganmu namun mungkin kerana sudah terbiasa menyimpan segala luka sendiri maka aku memilih untuk tetap berdiam diri. 

Cuma, aku mahu kamu tahu bahawa ketika kamu menyatakan begitu padaku, aku amat terharu kerana kamulah antara insan terawal yang peduli tentangku dan sentiasa ada untukku saat susah dan senang. 

Sungguh aku bersyukur pada Tuhan kerana mengirim kamu kepadaku.

Insan yang sepatutnya kita hargai

Terkadang kita lupa untuk menghargai orang yang benar-benar peduli tentang kita. Kita terlupa bahawa masih ada insan yang memberikan sepenuh perhatiannya untuk kita dikala susah mahupun senang.

Saat badai melanda hidup kita, dia masih ada. Tetap setia untuk berada di sisi tanpa kita sedari. Namun, kita tidak menghiraukannya langsung apatah lagi mahu menghargai. Saat itu, kita telah menjadi manusia yang kejam — sungguh kejam.

PROFIL PENULIS :

N. Nur Nasuha berasal dari Kelantan, Malaysia. Beliau aktif berkongsi perihal agama Islam di media sosial instagram dan twitter @nasuharsl . 

Kita Hidup untuk Pulang

Kenapa Allah Masih Beri Nikmat kepada Orang yang Kufur?