in

LoveLove

Kita Hidup untuk Pulang

Kehidupan di dunia membuatkan kita terpana lebih-lebih melihatkan keindahan dunia dan penghuninya. Merdunya ombak memukul pantai, harum wangi segar bau embun pagi, kepulan kabus awan selepas hujan dan indahnya panorama di puncak gunung. Alpa seketika hingga terlupa hakikat kehidupan sebenar adalah di negeri abadi yang tiada penghujung iaitu mati. Begitulah syurga dunia.

Pemergian Almarhum ayahanda pada pertengahan tahun lalu, mengingatkan ku bahawa kehidupan ini sungguh hanya sebentar. Seperti yang dinyatakan dalam buku Karya Terakhir tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim yang merupakan mantan seorang pensyarah dan profesor, menyatakan bahawa usia umat Nabi Muhammad hanya sekitar 60 tahun. Jika hari ini usia kita adalah 36 tahun, maka hanya berbaki 33.33 peratus sahaja kehidupan iaitu berada pada fasa 4 daripada 7 fasa. Tahukah sekalian fasa terakhir berada pada umur berapa? Pada umur lebih 61 tahun. Itu pun dah dikira bonus. 

Karya Terakhir

Sebuah cicipan dari blog Mark Manson yang merupakan seorang penulis dan juga blogger menyatakan bahawa manusia ini akan melalui empat proses kehidupan. Proses pertama adalah mimicry atau dalam bahasa Melayu adalah meniru iaitu pada usia bayi sehingga kanak-kanak. Ketika ini sungguh manusia seolah-olah sehelai kanvas yang putih, menunggu dicorakkan oleh ibu dan ayah dan tidak kurang juga orang-orang sekeliling yang berada dalam lingkungan mereka. 

Proses kedua adalah self-discovery atau dikenali sebagai penemuan diri. Ketika usia ini iaitu usia remaja hingga dewasa, manusia akan pergi jauh sehingga tiba kepada had kehidupan mereka. Ada ketika kita akan berada hebat dalam sesuatu perkara tetapi ada juga kita akan berasa kalah dalam sesuatu perkara. Contoh paling jelas, ada kawan yang boleh berlari balapan tanpa rasa penat, namun kita baru 10 langkah memecut sudah terasa mengah. Mengetahui dan memaksa sejauh mana kita perlu maju adalah baik untuk kehidupan ketika fasa ini. Walau bagaimanapun, fasa ini selalunya berakhir pada pertengahan umur 20an hingga 30an. 

Fasa ketiga yang lebih adalah fasa komitmen yang merupakan had kehidupan manusia. Ketika fasa dua, banyak perkara baru dicuba dan dipelajari seperti melancong ke luar negara, mencuba aktiviti lasak mahupun mengumpul wang siang dan malam. Namun apabila memasuki fasa ketiga ini, komitmen menjadi had kehidupan seperti kekangan kesihatan, kewangan, ibu bapa yang kurang sihat, pasangan, anak-anak yang makin membesar memerlukan perhatian dan sebagaimana. Pada fasa ini, komitmen menjadikan kita lebih memilih untuk menghabiskan masa dan wang serta dengan siapa yang perlu kita habiskan masa bersama. Pada masa ini, istilah kualiti berbanding kuantiti terlihat sangat bermakna. 

Malah, manusia akan mula memikirkan bahawa sesetengah impian yang dibina tak semua dapat dicapai dan kembali berpijak ke bumi nyata dengan meningkatkan potensi diri dan mula membina legasi untuk diwariskan. Fasa ketiga ini akan berakhir apabila manusia akan berasa tiada apa lagi yang perlu dicapai seiring dengan pertambahan usia dan kepenatan menjalani kehidupan. Apa yang lebih bermakna adalah dengan menghirup kopi O panas bersama goreng pisang tanpa memikirkan lagi komitmen-komitmen yang tidak perlu. Inilah dinamakan fasa keempat, iaitu fasa meninggalkan legasi. Besar kemungkinan kehidupan hanyalah di atas katil, tandas dan dapur sahaja. Ketika fasa ini, manusia memikirkan bahawa setengah abad yang lalu dilaburkan dalam perkara yang dipercayai bermakna dan penting serta telah mencapai kepuasan.

Kepuasan yang lalu adalah seperti membina keluarga, nama, bekerja keras, memperoleh segala yang mereka miliki, membuat sedekah jariah, badan amal serta revolusi politik. Dengan ayat yang mudah telah bersara. Di sini tenaga dan usia tidak lagi membenarkan mereka meneruskan perjuangan kehidupan.

Justeru tanpa kita sedari, kehidupan di dunia ini adalah hidup untuk pulang. Pulang bertemu Ya Rabb. Sejauh mana kita membina legasi membina rumah empat tingkat tetap di akhirnya rumah terakhir kita adalah 4 kaki lebar dan 7 kaki kedalamannya.

‘Semoga semua kita dikurniakan umur yang bermanfaat dan umur yang berkat’.

Saiyidatina Balkhis 

Adakah Membaca Memberi Ketenangan?

Untuk Seseorang Bergelar Sahabat