in

Titip Nasihat Tentang Aurat

Dedaun masa gugur satu persatu dihembus bayu masa. Evolusi pakaian turut berubah seiring waktu yang pantas beredar. Wanita dan lelaki  Islam semakin sedar dan cenderung  untuk berpakaian  menutup aurat .  Namun begitu, adakah cara berpakaian itu  benar-benar  menepati syarak ? Marilah sama-sama kita hayati dan fahami erti menutup aurat yang sebenarnya. 

Aurat adalah  bahagian tubuh badan yang wajib ditutup dan tidak boleh didedahkan.

Had  aurat  perempuan adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan  manakala  aurat lelaki dari pusat sehingga  ke lutut.

Telah tercatat dalam Al Quran  Allah S.W.T  berfirman:

 

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا

Ertinya:

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan

Surah Al A’raf :26

Begitu jelas dan terang intipati yang terkandung dalam   kalam Tuhan.  Namun,  kenapa masih ada  yang   mendedahkan aurat? Kalau makanan yang terdedah pasti akan dihurungi lalat. Bagaimana kalau  aurat terdedah ? Fuh, runtuh tembok iman ! Maruah terbang melayang   bagaikan dedaun yang ditiup angin kencang ! 

Sahabat sekalian,

Agama  Islam yang syumul  tidak menghalang umatnya untuk tampil bergaya dengan memakai pakaian yang indah dan cantik. Pakailah dan  bergayalah dengan  pelbagai fesyen  tetapi mestilah menepati syariat Islam.

Untuk yang bergelar muslimah insan terindah ciptaan Allah, pakailah pakaian yang bersih, tidak nipis  dan longgar. Pakailah tudung yang cantik dihiasi keronsang dan pusinglah  shawl tu  berapa kali pun…..asalkan labuhnya melepasi bawah  dada. Lambakan pelbagai fesyen tudung di pasaran amatlah dibanggakan namun amatlah mengecewakan kerana inovasi yang dilakukan tidak berteraskan syariat. Tudung cantik dihiasi permata gemerlapan  tetapi singkat dan kainnya nipis walaupun harganya  mahal. Para muslimah mestilah sedar dan memahami konsep bertudung dan berpakaian menepati syariat.

Untuk para lelaki perwira pembela agama, berpakaianlah yang selesa  menepati syariat agar terserlah  kewibawaan  sebagai lelaki harapan negara. Tapi ingat…kaum lelaki diharamkan memakai pakaian daripada sutera.  Golongan lelaki muslim agak kurang memperagakan pakaian yang mencolok mata berbanding golongan wanita. Ini kerana amat jarang lelaki yang berseluar pendek atas lutut mempamerkan peha yang kental di khalayak ramai. Namun, sudah tiba masanya para atlet muslim seperti pemain bola sepak memakai seluar dan menyarungkan   legging  ketika beraksi di padang. Jika syariat terpelihara pasti kemenangan akan  lebih bermakna. 

Sahabat sekalian,

Terdapat   juga segelintir insan  yang keliru indetiti dalam berpakaian. Mutkhir ini , ramai lelaki yang berpenampilan seperti perempuan dan perempuan yang berperwatakkan seperti  lelaki.

Dalam kitab  Al Libas hadith sahih daripada Abdullah Ibnu  ‘Abbas  Radiyallahu an hu yang bermaksud:

“Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.” 

(Hadis Riwayat Bukhari)

  Semoga mereka yang keliru identiti  ini diberi hidayah agar  kembali  ke jalan yang diredhai Ilahi. Sewajarnya kita hendaklah menegur dan membimbing mereka untuk mengamalkan cara hidup yang sesuai dengan fitrah yang ditetapkan Ilahi. Golongan ini amat memerlukan sokongan  dan tunjuk ajar bukannya kutukan dan tohmahan. 

Sahabat sekalian,

Marilah kita mencontohi sunnah Rasulullah S.A.W  dalam berpakaian. Baginda memakai baju yang berlengan panjang hingga ke pergelangan tangan. Baginda juga suka memakai pakaian berwarna putih, bersih, wangi dan berpakaian sederhana.  Pernahkah terdetik di hati soalan .kenapa kita mesti berpakaian menutup aurat  ? .Tujuannya adalah untuk membuktikan ketaatan terhadap perintah Allah S.W.T. dan menjaga maruah serta kehormatan diri. Sebagai hamba Allah yang kerdil, sewajarnya kita wajib patuh dan taat pada setiap suruhan dan larangan yang telah termaktub dalam al Quran dan al hadis. 

Kesimpulannya, kita hendaklah memahami dan mengamalkan cara berpakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Setiap amalan hendaklah berdasarkan ilmu yang berlandaskan syariat.  Justeru, peri pentingnya kolaborasi para pereka fesyen dan agamawan untuk menghasilkan busana yang berteraskan syariat Islam. Pakaian yang diperagakan adalah mencerminkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. 

 

Ditulis oleh Noris Laila

 

Leave a Reply

Loading…

Al Farabi “Al Mu’alim At-thani”

Puisi: Duhai Bintang Syurgaku