in

Siri Rahsia Basmallah 2: Apa ada pada huruf Ba’ Basmallah?

Semua perkara yang berkaitan dengan al-Quran dari sudut binaan ayat, pembentukan kata hatta sehingga perletakkan huruf, semuanya ada sebab-sebab tertentu tentang mengapa ia terletak di suatu tempat dan sebagainya. Kerana mukjizat al-Quran bukan dinilai semata-mata pada makna al Quran malah segala yang berkait rapat dengan al-Quran, maka itulah mukjizat.

Sebab itu kita tak boleh ketepikan walaupun satu saja huruf di dalam  al-Quran kerana ia ada makna dan sebab tersendiri ‘kenapa Allah S.W.T meletakkan pada awal ayat, pertengahan ayat atau hujung ayat’. 

Begitu juga pada huruf ba’ yang terdapat pada permulaan basmallah ini, mungkin bagi sesetengah mereka yang tidak mempelajari bahasa arab tak terasa huruf ini memberikan kesan pada keseluruhan basmallah ini. Tapi dalam majoriti penulisan tafsir yang kita baca dan selak, kita akan dapati perincian huruf ba’ ini  ada didapati perbincangannya dalam kitab-kitab tafsir, sama ada ditulis oleh ulama terdahulu mahupun terkemudian. 

Kerana apa? Ya, sudah pasti sebab ia istimewa dan tak seperti huruf ba’ yang kita temui dalam bacaan penulisan-penulisan berbahasa arab yang lain.

 

Dengan Nama Allah

بِسْمِ اللَّـهِ

 

Jadi kalau kita lihat pada terjemahan ba’ tersebut akan diterjemah dengan maksud ‘dengan’. Untuk kita yang berbahasa melayu ini tak terasa terjemahan “Dengan Nama Allah” ini ada sesuatu yang kurang pun.

Satu lagi yang menjadi tarikan para ulama adalah pada bentuk binaan ayat ini. Dalam bahasa arab, ada jumlah ismiyyah dan fi’liyyah. Jumlah ismiyyah adalah “nominal sentence– ayat yang bermula dengan kata nama” , contohnya saya bermain – dia seorang yang baik. Jumlah fi’liyyah pula adalah “actual sentence– ayat yang bermula dengan kata kerja” , contohnya berkerja seorang ayah.

Dalam bahasa melayu kita hanya gunakan nominal sentence dalam bahasa rasmi, takde actual sentence dalam tatabahasa kita. 

Jadi kalau kita perhatikan basmallah ni, nak kata actual sentence tak- nak kata nominal sentence pun macam tak. Sebab ia bermula dengan huruf bukan dengan kata nama atau kata kerja, huruf-huruf di sini berfungsi sebagai preposition iaitu kata sendi atau kata yang digunakan untuk menyambungkan frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat.

Jadi dalam mana-mana bahasa pun, jika ada kata sendi pasti ada yang kata  yang menghubungkan dan  kata yang dihubungkan. Tapi dalam basmallah, ayat tersebut bermula dengan kata sendi maka ia seolah-olah menjadikannya ayat tersebut tergantung kerana frasa yang menyambungkan huruf ba’ tersebut dipadamkan, seterusnya menjadikan ia satu kata-kata tersirat dan bersembunyi di sebalik huruf ba’ tersebut.1

Ulama tafsir pun cuba mengemukakan pandangan mereka terhadap kata tersirat tersebut di dalam kitab-kitab tafsir. Sebahagian ulama’ tafsir mengatakan kata-kata yang terpadam tersebut adalah “aku mulakan, aku meminta pertolongan, aku mengambil berkat, aku menyeru” dan banyak lagi tafsiran-tafsiran, yang pasti tafsiran-tafsiran tersebut menuju kepada makna yang hampir sama.

Bila kita gabungkan semula diantara kata tersirat dan basmallah tersebut maka jadilah; aku mulakan/ aku menyeru/ aku meminta pertolongan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.2 Diantara kata tersirat yang selalu digunakan juga adalah “Dengan kekuasaan Allah dan pertolongan-Nya pekerjaan yang aku lakukan ini dapat terlaksana.3

Salah seorang ulama daripada India iaitu Maulana Muhammad Junagarhi menterjemahkan Basmallah dengan ; “aku mulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”. Disebabkan kita biasa membaca versi terjemahan Abdullah Muhammad Basmeih maka kita tidak jumpa ayat yang tertulis “aku mulakan, aku menyeru etc” kerana beliau menterjemahkan ba’ tersebut dengan makna tersirat.

Dari segi uslubnya, kata tersirat ini disembunyikan bagi menunjukkan suatu penetapan dan suatu penerusan, berterusan4 pada basmallah ini bermaksud kerap diguna, diucap, dilafaz dan diamalkan sampai bila-bila. Sebabnya basmallah ini memang selalu dibaca dan disunatkan membaca sebelum melakukan sesuatu perkara. 

Relevannya kata-kata yang kerap dilafazkan tidak perlu detail ketika diterangkan, manakala penjelasan yang jarang-jarang kita dengar perlukan suatu penerangan yang terperinci.

Sebagai contoh, ada dua sekawan yang bernama A dan B. Satu hari A ingin perkenalkan kenalan barunya iaitu Ali. Jadi untuk berkenalan dengan Ali, maka si A pun beritahu ciri-ciri Ali pada si B . 

“Ali dari kelas 5 Zubair, rambut kerinting, peramah dan lemah lembut.”

Jadi untuk kali kedua dan yang seterusnya, bila si A mention nama Ali pada si B. Adakah perlu disebut balik “Ali dari kelas 5 Zubair, rambut kerinting, peramah dan lemah lembut.” Tak perlu pun, mention nama sahaja pun sudah cukup untuk beri hint pada si B bahawa ini adalah Ali yang ingin dimaksudkan.

Sama juga dengan basmallah, sebab ia memang amalan yang dilakukan setiap hari. Maka kalau dizahirkan lafaz tersirat “ أبدأ بسم الله  (aku mulakan dengan bismillah….)”setiap kali nak lakukan sesuatu perkara maka  dari gaya bahasanya seolah-olah menunjukkan basmallah adalah amalan yang kita baca pada waktu-waktu tertentu sahaja. Maka dipadamkan lafaz أبدأ/ أستعين  dan lain-lain bagi menunjukkan kekerapan tersebut.

Kesimpulannya, kita dapati turutan basmallah ini sengaja diturunkan dalam bentuk yang sebegini unik bagi beberapa tujuan. Pertama, bagi memudahkan hamba-hambanya memulakan sesuatu perkara dengan menyebut nama Allah S.W.T dan melafazkannya pada bila-bila masa dengan lafaz yang singkat, padat serta agung.

Kedua, dengan lafaz bismillah pada permulaan ayat basmallah memberi tanda bahawa basmallah adalah suatu bentuk doa dan seruan, di dalam hadis-hadis pun banyak saranan untuk setiap muslim memulakan sesuatu dengan basmallah. Kerana seseorang yang memulakan sesuatu perkerjaan tanpa basmallah seolah-olah menunjukkannya tidak bertawakkal sepenuhnya kepada Allah S.W.T, melainkan jika seseorang tersebut terlupa. Hatta di dalam sebuah hadis memberikan isyarat jika seseorang terlupa membaca basmallah ketika makan maka disunatkan untuk membacanya ketika ingat.5 

Ketiga, cukup dengan memulakan dengan nama Allah S.W.T dalam sesuatu perkara- menunjukkan kita ini hamba yang lemah lagi tidak berdaya. Hatta di dalam melakukan sesuatu perkara yang di dalam lingkungan asbab seperti minum air-berjalan-bertutur dan lain-lain pun kita masih dianjurkan untuk memulakan dengan basmallah apatah lagi perkara-perkara luar asbab seperti memohon rezeki-hidayah etc. Maka memahami basmallah bermakna memahami bahawa; hanya Allah S.W.T sahaja yang berkuasa dan layak meminta pertolongan, manusia serta makhluk-makhluk yang lain tidak berkuasa. Gabungan kedua ini memberikan maksud tauhid-aqidah-iman.

Wallahua’lam.

 

Disediakan oleh,

Fitri Asmad

 


Rujukan:

Sebenarnya ia adalah konsep Hazaf dan Taqdir yang digunapakai dalam tatabahasa arab atau ilm nahu, tetapi bagi memudahkan pembacaan, kita melihat pada frasa dan kata bahasa melayu yang bersesuaian bagi pengaplikasian dalam terjemahan arab-melayu.

( التفسير البسيط — الواحدي (٤٦٨ هـ), تفسير القرآن العظيم — ابن كثير (٧٧٤ هـ) ) ,( معالم التنزيل — البغوي (٥١٦

  Muhammad Quraish Shihab, Tafsir Al-Mishbah; Pesan, Kesan dan Keserasian Al Quran, Lentera Hati

4 http://www.habous.gov.ma/daouat-alhaq/item/8790  

5 Apabila seseorang daripada kamu ingin makan maka sebutlah nama Allah Taala. Sekiranya dia lupa menyebut nama Allah Taala pada awalnya (sebelum daripada makan) maka bacalah: Dengan nama Allah aku memulakannya dan aku mengakhirinya.” [Riwayat Abu Daud (3767)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini adalah sahih li ghairihi ketika mengtakhrijkan hadith-hadith di dalam Sunan Abu Daud]

Leave a Reply

Loading…

Cerpen: Tangan Kecil, Menagih Genggaman

Cerpen: Pelangi Petang