in

CryCry

Tanggungjawab yang Belum Selesai

“Acik, ayah nak tanya, acik izinkan ayah kahwin ?”. 

“Alhamdulillah, syukur Allah bukakan hati ayah. Sebenarnya, ayah tidak perlu tanya kami. Itu kan hak ayah”. 

“Along dan angah pula bagaimana?”

“Maaf ayah, Along memang tak setuju langsung. Ummi baru saja pergi, ayah dah mula cari pengganti Ummi.”

 “Angah pun tak sokong dengan tindakan ayah tu, terus terang cakap, angah rasa perempuan tu sebenarnya macam ada udang di sebalik batu, entah-entah ada niat jahat. Manalah tahu dia nak gunakan ayah demi kepentingan dia ke.” dengan selamba Angah melontarkan kata-katanya tanpa memikirkan perasaan si Ayah.

Acik yang duduk menghadap Angah dan Along menjengkilkan mata petanda tidak setuju. Mendengarkan pendapat anak-anaknya menyebabkan ayah bertambah sedih. Hati siapa yang tidak terguris, kata-katanya ibarat si ayah ini tidak punya hati dan perasaan.

Genap empat bulan Ummi pergi meninggalkan mereka. Semenjak setahun yang lepas kesihatan Ummi sering terganggu. Selepas bertarung nyawa di bilik pembedahan, doktor mengesahkan Ummi telah pergi buat selama-lamanya. Ummi menghidap penyakit lemah jantung dan sudah bertahun-tahun Ummi berhenti kerja kerana kesihatannya yang tidak menentu. Ummi juga sering berulang alik ke hospital ditemani oleh ayah.

Mujur ayah pesara awam, bulanan mereka ditanggung oleh wang pencen dan Ummi pula pekerja swasta dan Ummi mendapat bantuan daripada PERKESO. Jika digabungkan lepaslah untuk kehidupan bulanan mereka berdua. Anak masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing, Acik masih lagi menuntut di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, manakala kakak dan abangnya sudah bekerja. Duit sumbangan Along dan Angah disimpan buat belanja Acik.

Selang dua bulan perbincangan tempoh hari, ayah menikahi perempuan tersebut, namanya Zuhaila. Orang kampung sebelah, seorang balu yang kematian suami mempunyai 5 orang anak dan semuanya telah besar dan mempunyai kehidupan sendiri. Walaupun hakikatnya Along dan Angah tidak bersetuju, namun setelah dipujuk oleh Acik, mereka berdua hanya menurut sahaja.

Namun, sepanjang tempoh itu juga mereka berdua tidak pulang ke kampung menjenguk ayah, hanya Acik sahaja yang pulang apabila cuti semester. Mungkin mereka tidak selesa dengan emak baharu. Orang tua mana yang tidak berkecil hati, kadang-kala dia merasa perkahwinannya dengan Zu kesilapan besar yang dia pernah lakukan dalam hidupnya. Oleh kerana inginkan teman baru, dia kehilangan anak-anaknya sebagai teman.

Puas si Acik memujuk abang dan kakaknya untuk pulang ke kampung. Ayah sedikit pun tidak membenci Along dan Angah, bahkan sentiasa merindui peluk cium mereka seperti masa Ummi masih ada dulu. Apatah lagi gelak tawa cucu-cucunya yang kini sudah memasuki tujuh orang.

Sebenarnya sangkaan kedua anak-anaknya terhadap ibu tiri mereka itu tidak benar. Zuhaila seorang ibu yang penyayang. Acik antara yang merasa kasih sayangnya.

Oleh kerana terlalu kecewa dengan anak-anaknya, ayah tidak mahu masalah ini berlarutan, biarlah dia yang mengalah walaupun dia seorang ayah. Bukankah Nabi Yaakub juga pernah mengalah dengan anak-anaknya sendiri, yang telah melakukan khianat kepada saudaranya mereka sendiri, Nabi Yusuf AS. Nabi Yaakub AS mengetahui di sebalik penipuan yang dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf yang mahu membawa baginda ke hutan, lalu meninggalkannya di dalam perigi. Lalu apabila pulang, mereka khabarkan kepada bapanya bahawa Yusuf telah dibaham oleh serigala. Walhal Nabi Yaakub tahu bahawa Yusuf ditinggalkan di hutan supaya kasih sayang Yaakub dapat melupakan Yusuf. Kehilangan Yusuf itu ibarat sebuah kematian buat Yaakub sehingga hilang penglihatannya sehinggalah Yusuf kembali dan Yaakub dapat mengenali bau Yusuf.

Si Ayah tidak menyalahkan anaknya, tetapi mahu Along dan Angah sedar bahawa kasih sayangnya tidak pernah padam dan rindunya tidak pernah hilang, malah semakin membuak-buak lagi. Lalu Ayah mengambil keputusan mengirimkan surat buat anak-anaknya. Biarlah surat itu tidak berbalas, asalkan anak-anaknya tahu isi hatinya.


Assalamualaikum,

Kehadapan anak-anak ayah yang dikasihi,

Apa khabarnya Along, Angah, menantu-menantu dan cucu-cucu ayah? Ayah merindui kalian semua. 

Pertama sekali ribuan ampun dan maaf ayah pohon kepada kamu semua di atas keputusan ayah menikahi makcik Zuhaila. Ayah akui ayah bukan bapa yang terbaik buat kamu semua, begitu juga kepada Ummi kamu. Ketahuilah anak-anakku bahawa ayah tidak pernah sama sekali mahu mengecilkan hati kamu semua. Ayah memilih Makcik Zuhaila kamu bukan kerana nafsu.

Kalau ayah ini mampu, tidak ayah berhajat begini. Ayah bukan kahwin atas dasar cinta atau perempuan itu cantik. Cinta itu fitrah yang lahir daripada hati nak, tapi hal ini bukanlah yang paling utama dalam usia sebegini. Sejujurnya ayah memang benar-benar memerlukan penjaga, ayah tidak mampu melakukan semua perkara sendiri. Dahulu ketika Ummi kamu masih hidup, semua Ummi yang buatkan dari ayah bangkit tidur hinggalah ayah tidur semula, hatta pakaian ayah pun disediakan setiap hari. Benar, memang ayah manja, terlalu dimanjakan oleh Ummi kamu sehingga ayah tidak pandai berdikari. Lagi satu ayah ini sudah semakin lemah, ayah mengahwini Makcik Zu dengan harapan dia dapat membantu ayah menguruskan hidup ayah seharian.

Hasrat di hati mahu anak-anak jagakan ayah, namun melihat kesibukan kamu semua, ayah tidak tergamak wahai anak-anakku. Ayah takut menyusahkan anak menantu dan cucu pula. Kalau ayah dibawa ke rumah kamu nanti, ada pula yang tidak selesa. Ayah sudah minta kamu semua hantarkan sahaja ayah ke rumah orang tua, tetapi kamu tidak mahu, mungkin kerana bayarannya. Maka ayah memilih jalan ini supaya tiada siapa yang terbeban. Semoga kamu semua dapat menjalankan tugasan seharian kamu seperti biasa. 

Jika kamu khawatir kasih sayang ayah ini berbelah bahagi, ternyata kamu salah. Ayah yang sepatutnya mempersoalkan kamu, tatkala kamu sedang bergembira di sana, pernah kamu mengingati ayahmu di sini. Ketika kamu sedang menyiapkan makan pakai keluargamu, pernah kamu terfikir kehidupan ayah yang bersendirian. Sakit bila mengenangkan. Justeru kasih sayang siapa yang sedang berbelah bahagi? Ayah atau kamu? Fikirlah wahai anakku. Benar perempuan yang menjadi ibu tirimu, akan ayah cintai, tapi itu tidak bermakna cinta ayah buat Ummi hilang. Bukankah makin banyak kita meluahkan kasih, sayang dan cinta makin bercambahlah menjadi tunas-tunas yang makin berkembang. Maafkan ayah wahai anakku, mungkin ayah salah mendidikmu atau terlampau memanjakan kamu semua.

Terima kasih buat kalian yang telah merestui walaupun dalam keadaan yang tidak reda. Bukan anak dara pilihan ayah, cuma seorang balu yang kematian suami sepuluh tahun yang lalu. Umurnya lebih kurang dengan ayah 55 tahun. Alhamdulillah hidupnya sederhana, cukup makan pakai ayah dijaga, selalu menemani ayah solat berjemaah, keluar bersiar-siar, sakit demam semua terjaga. Terima kasih Acik sudi datang menjenguk ayah. Tidak mengapa kalau Along dan Angah merajuk dengan ayah. Ayah tidak berkecil hati. Mungkin kalau ayah di tempat Along dan Angah sekali pun, mungkin ayah akan melakukan sedemikian. Cukuplah ayah tahu khabar Along dan Angah daripada Acik. 

Satu pesanan ayah, satu hari apabila kamu sampai di usiaku ini nanti, pasti kamu akan merasai. Bukan doa, tapi kenyataan. Makan, minum, pakai, sakit, pengsan ayahmu tiada siapa yang peduli. Wahai anak, kamu hanya mengatur kata, sedang aku yang merasai. Kalau kamu risau ayah akan melupakan Ummi, buanglah perasaan itu jauh-jauh, ternyata salah. Mana mungkin insan yang berkorban hidupnya demi suami, siang dan malamnya sentiasa di sisi, jasanya aku lupa. Membesarkan kalian sehingga menjadi anak yang berjaya menyambung pengajian di sana-sini. Tidak akan pernah pudar segala ingatan terhadap diri bondamu yang tercinta, kecuali dengan kekuasaan-Nya.

Benar ayah kehilangan ibumu, tetapi ayah tidak pernah hilangkan cintanya dari dalam diri ini. Kalaulah kamu semua tahu bagaimana bulatnya cinta ayah terhadap ibumu, kamu tidak akan sekali tergamak melakukan sedemikian. Ketahuilah bahawa walaupun hati itu kecil, tapi di dalamnya tersimpan 1001 perasaan yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Hati ini kurniaan Allah yang paling ajaib, tidak mengapalah mungkin anak-anak ayah masih belum memahami.

Ketika usia tua menjengah, Ayah sudah mula terfikir siapa yang akan menjaga Ummi kamu kalau Ayah yang pergi dahulu. Namun, takdir Allah SWT itu sebaliknya, siapa yang akan menjaga Ayah apabila Ummi kamu pergi. Ayah benar-benar takut kehilangan Ummi di saat sakitnya, sehingga ayah lupa yang ayah ada anak-anak. Namun, kini ayah sedar dan faham kenapa Allah SWT tidak menghadirkan kesedaran itu kerana di saat ayah hilang Ummi, ayah turut hilang anak-anak ayah. Ayah tidak memaksa kamu untuk pulang ke kampung, cukup sekadar kamu tahu bahawa pintu rumah ayah ini sentiasa terbuka dan menanti kehadiran kamu semua. Terima kasih anak-anakku atas jasa dan budi kamu selama ini dan semoga Allah SWT sempat menemukan ayah dengan kamu semua sebelum ayah menghembuskan nafas yang terakhir.

Kehidupan ayah diteruskan seperti biasa bersama dengan Makcik Zu. Anak-anak masih tidak pulang setelah setahun ayahnya melangsungkan perkahwinan. Hari Raya rumah itu turut sunyi, yang tinggal hanya mereka bertiga. Hanya Acik yang masih setia menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak. 

Anak-anak Makcik Zu juga sama seperti mereka, tidak mahu mengambil berat lagi tentang hal ibu mereka memandangkan Makcik Zu sudah mempunyai suami. Sungguh kasih sayang ibu bapa terhadap anak tidak akan sama nilainya dengan kasih sayang anak terhadap ibu bapa, tetapi satu perkara yang perlu diingati dunia ini berputar, yang menjadi anak juga akan menjadi ibu bapa suatu hari nanti jika diizinkan Allah. Jadi sebelum putaran sampai ke titik sendiri, perbaiki sebelum perkara berulang kembali.

***

Nukilan,

Rusydiah Salehudin

Jangan Kaburkan Kebenaran dengan Kebatilan dan Ketaasuban

Emosi Kanak-kanak Juga Perlu Dijaga