in

Sebenarnya Kita Berada dalam Golongan yang Mana?

‎ٱتَّبِعُوا۟ مَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكُم مِّن رَّبِّكُمۡ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِیَاۤءَۗ قَلِیلࣰا مَّا تَذَكَّرُونَ

(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan”. (Surah Al-A’raf, Ayat 3)

Ayat di atas jelas menerangkan tentang keperluan mentaati serta mengikuti apa yang diturunkan oleh Allah SWT melalui Al-Quran dan jangan sesekali menurut akan segala kebendaan dan sembahan melainkan kepada Allah SWT semata-mata.

Di dalam Tafsir Fi Zilal menyebutkan bahawa setelah Allah SWT memberikan tanggungjawab  besar yang perlu digalas kepada Nabi SAW, Allah SWT juga ingin menegaskan kepada umat yang menerima agama Islam iaitu sesungguhnya ditujukan kepada mereka akan peringatan daripada Al-Quran bukanlah suatu yang sia-sia.

Sangat jelas, hanya dengan Al-Quran mampu menyelamatkan dan mengeluarkan manusia dari jahiliah.

Terdapat juga satu intisari yang sangat penting, iaitu janganlah sesekali menuruti dan mengikuti segala apa selain daripada Allah SWT. Hanya bagi mereka yang mentaati seluruh perintah-Nya layak tergolong dalam golongan yang beriman. Namun bagi mereka yang mengikuti hawa nafsu, habuan keduniaan dan tidak menjunjung perintah-Nya, mereka termasuk di dalam golongan selain yang beriman. 

Inilah sebuah persoalan dan pokok yang kita ingin fahami dengan lebih lanjut. Kita sebenarnya berada dalam golongan yang mana?

Adakah kita sudah banyak meletakkan nilai-nilai serta peringatan daripada-Nya sebagai panduan hidup kita?

Kita menyedari bahawa mereka yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan pasti hidupnya akan dirahmati dan diberkati. Sesuai dengan firman-Nya;

‎وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ مُبَارَكࣱ فَٱتَّبِعُوهُ وَٱتَّقُوا۟ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat. (Surah Al-An’am, Ayat 155)

Wahai orang yang beriman, sejauh manakah kita menjadikan Al-Quran sebagai panduan? Adakah kita sekadar membacanya tanpa melalui makna-maknanya? Muhasabahlah sejenak serta perbaharuilah amalan sementara masih bersama di dalam bulan yang mulia ini. 

Semoga kita semua tergolong dalam golongan-golongan yang diberkati serta dirahmati dan dijauhkan dari azab-Nya yang mengerikan.

Disediakan oleh,

Anwar Shahir

Bukan Untuk Abah

Lebih Baik Khatam Al-Quran atau Tadabbur al Quran?