Lorong- lorong  di Bandar Ho Chi Minh masih meriah pada waktu malam. Premis-premis perniagaan masih setia menunggu kunjungan pelanggan baru. Lampu LED daripada papan-papan tanda mereka ceria membiaskan cahaya berwarna-warni ke bingkai malam. Menurut ayahku, ada sebatang lorong di bandar sederhana ini mirip Malaysia dek ramainya pelancong Malaysia berkunjung ke situ.

Benar sekali kata-kata Ayah. Cuba kalian bayangkan di negara Vietnam ini, ada papan tanda yang yang dicetak padanya: “Tudung, jubah dan telekung ada dijual di sini. Sedia menerima tempahan”. Ayat promosi kedai ditulis dalam bahasa Malaysia rasmi. Malah, patung manekuin yang dipamerkan di sebalik tingkap kaca kedai juga memperagakan pakaian Muslimah lengkap bertudung. Hairan aku dibuatnya.  Adakah sebegitu ramai pelancong Melayu Muslim dari Malaysia yang berkunjung ke lorong ini sehingga kaedah promosinya juga seakan-akan diacu khusus untuk warga Malaysia? Atau adakah wujud sejarah dulu yang sudah terkubur di bumi Vietnam ini?

Beberapa kumpulan pelancong Malaysia kelihatan memenuhi aneka kedai di lorong itu. Ibu mengajak aku dan adik-adik perempuanku yang lain ke sebuah kedai kain. Mereka menjual kain pasang untuk baju kurung, kain bersulam, telekung malah jubah yang telah siap dijahit. Aku seolah-olah berada di Pasar Payang di negeri sendiri. Ibu dan adikku, Ba kekal bertenaga memilih kain pasang. Aku, perempuan aneh yang tidak suka membeli-belah sudah dihambat kebosanan yang amat.

Gerai beg tangan

“Ya Allah cepat lah pilih kain, nak balik hotel” monologku.

Ayah dan adik lelakiku awal-awal lagi sudah berhijrah ke kedai sebelah yang menjual kopi ais halal. Logo halal tertampal jelas di gerai kopi ais mereka. Mungkin sebagai teknik untuk meyakinkan pelanggan Muslim untuk menikmati kopi tanpa rasa ragu. Entah bagaimana aturan takdir Tuhan, sewaktu Ayah dan Aslam menikmati kopi ais di gerai sebelah beralaskan bangku plastik merah, ada seorang lelaki datang ke meja mereka dan turut duduk bersembang.  

Rupa-rupanya lelaki itu merupakan sebahagian daripada kelompok minoriti Muslim di Vietnam. Lelaki itu kemudian menawarkan pakej pelancongan khusus untuk Muslim kepad Ayah. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Ayah pun bersetuju memandangkan agak payah untuk mencari makanan halal di luar bandar Ho Chi Minh.

Keesokan harinya, sebuah van berwarna biru lembut datang menjemput kami di luar hotel bajet. Seorang pemuda warga Vietnam memperkenalkan dirinya sebagai Solehin. Pemuda itu berkulit sawo matang dan matanya tidaklah sepet seperti warga Vietnam lain yang kami lihat di bandar. Apabila ditanya tentang perbezaan rupa fizikalnya itu, Soleh berkata dia keturunan orang Cham, kaum minoriti yang semakin sedikit di Vietnam.

Faham bahasa Melayu ke?” tanya Ayahku.

Boleh sikit-sikit. Sebab ah dulu saya pernah pergi Malaysia, belajar di Terengganu. Ada satu sekolah agama, pondok” jawabnya dengan bahasa Melayu pelat dan agak tersangkut-sangkut.

Ohh kami memang dari Terengganu. Terengganu di bahagian mana?” tanya Ayah lagi.

Di Kuala Ibai

MasyaAllah, siapa sangka boleh wujud kebetulan sebegini antara dua negara. Betapa jauh orang Muslim Vietnam merantau untuk menimba ilmu agama. Katanya lagi, dulu di madrasah dan musolla di Vietnam, ada banyak kitab-kitab kuning tulisan jawi. Jadi, Soleh boleh memahami makna dan tulisan Jawi. Tambahnya, dialek yang digunakan oleh oleh orang Cham juga berbeza daripada majoriti orang Vietnam yang berkulit putih dan bermata sepet. Namun, sayangnya, bahasa Cham itu sudah semakin tidak digunakan dan hilang ditelan zaman.

Perkataan Cham kedengaran asing di telingaku, mungkin bahasa orang Vietnam. Tetapi bagaimana boleh ada kitab kuning jawi di sini? Aneh.

Lamunan aku terganggu apabila Soleh mengumumkan tempat persinggahan kami yang seterusnya.

Okay lepas ni, kita akan pergi tengok tempat buat barang-barang kulit, dengar orang nyanyi dan makan bubur Han

Bubur Han

Aku sudah teruja memikirkan makanan Vietnam yang bakal dicuba nanti, bubur Han. Setibanya di tempat itu, kami dibawa melihat-lihat produk kulit yang dibuat daripada kulit lembu, burung unta malah buaya. Beg-beg tangan yang dijual digantung berderet-deret di dinding kayu gerai yang agak uzur itu. Ibu berpesan:

Jaga-jaga, jangan sampai terpegang beg kulit babi.

Kemudian, kami  dipersilakan rehat di beberapa pondok yang diperbuat daripada buluh. Kami dihidangkan dengan buah naga, betik dan nenas. Rasanya sama sahaja seperti di Malaysia. Sambil kami menikmati hidangan ringan itu, seorang wanita dewasa, seorang remaja perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan datang ke arah meja kami. Mereka memakai pakaian tradisional Vietnam yang kelihatan seperti cheongsam ketat yang diperbuat daripada kain yang agak jarang dan berseluar panjang. Rambut hitam mereka didandan dengan rapi menjadi sanggul dan bibir mereka merah dengan olesan gincu merah.

Wanita dewasa tersebut mula memainkan alat muzik tradisional yang dipegangnya dengan diiringi nyanyian daripada ketiga-ketiga generasi perempuan itu. Sejujurnya, nyanyian mereka bukanlah halwa telinga terbaik, namun kami meraikan sahaja layanan mereka. Pada mulanya mereka menyanyi lagu dalam bahasa yang tidak dapat aku fahami. Namun, selepas itu, aku dikejutkan apabila mereka mulai menyanyi lagu “Rasa Sayang Hei”. Aku tidak pasti adakah mereka mendendangkan lagu itu untuk meraikan pelancong Malaysia atau sememangnya lagu itu popular sebagai lagu tradisi di Vietnam. Aku juga berasa agak janggal apabila dipersembahkan nyanyian khusus untuk kami, namun aku diamkan sahaja.

Setelah selesai makan, kami dibawa melihat tempat pembuatan manisan daripada kekacang. Para pekerja di situ membuatnya secara manual menggunakan tangan sahaja. Satu gumpalan besar berwarna putih digentel-gentel menjadi manisan kacang yang kecil dan dibungkus ke dalam bungkusan merah. Tidak mengapa lah, aku tidak jadi mencubanya.

Apabila dah menaiki van kembali untuk pulang ke hotel, aku bertanya kepada Ayah:

“Ayah, mana bubur Hannya ?
Eh kejap”

….

“Bubur Han ke buah-buahan?”

Ah, aku tertipu dengan kepelatan bahasa Melayu Solehin. Ayah pula hanya tersengih seperti kerang busuk. Rupa-rupanya, Bubur Han yang dimaksudkan hanyalah buah-buahan. Kecewa aku dipermainkan begini.

Aku melemparkan pandangan ke luar van dan melayan lamunanku yang terbantut awal tadi. Pertembungan budaya antara orang Melayu dan orang Cham dalam aspek tulisan jawi dan bahasa Melayu pasti berasal-usul daripada kisah sejarah yang tersimpan lama. Kepalaku ligat berfikir.

Cham. Cham. Cham. CHAMPA!

Pemuda Melayu Cham (Soleh di tengah)

Adakah Soleh dan keluarganya tergolong daripada peninggalan kerajaan Champa dahulu kala? Iras muka, warna kulit dan bahasa mereka juga berbeza daripada warga Vietnam yang sering dipaparkan di media sebagai berkulit putih dan bermata sepet. Mereka lebih mirip orang Melayu, malah beragama Islam.

Adakah mereka saudara Melayu Muslim kita yang aku sendiri tidak tahu kewujudannya?

Oleh: Auni Baharin

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.