in

Rupanya Baguette itu Lembut!

Saya suka melihat rancangan masakan luar negara seperti My Kitchen Rules, Masterchef, Cake Boss dan banyak lagi. Menonton cara mereka memasak yang tidak rumit dan hanya memerlukan bahan yang sedikit membuatkan saya benar-benar teringin merasa makanan mereka di sana. Bayangkan, betapa mudahnya cara mereka memasak pasta yang digaul dengan tomato yang telah dikisar hancur, ditumis dengan bawang putih, ditabur rempah Itali dan keju, siap untuk dimakan! Reaksi juri tatkala sedang menjamah pasta itu kelihatan sungguh menyelerakan!

Nah, apa jauh beza sedapnya dengan yang dimasak di Malaysia? Sudah tentu kebanyakan masakan barat sudah diasimilasi rasanya dengan rempah di Malaysia. 

Saya berkelana di bumi Eropah bersama seorang rakan, hanya kami berdua tanpa jadual perjalanan yang lengkap. Hanya berpandukan aplikasi dan penulisan di blogger yang menyuluh perjalanan kami dan Saya tidak membuat sebarang jangkaan terhadap bumi Eropah. Walaupun sebelum ke sana, saya selalu saja melayari laman blog kembara dan saya berharap perjalanan kami berdua baik-baik saja. Yang penting, saya tidak sabar untuk melihat dan menjelajah budaya setempat disana.

Interlaken yang sangat menenangkan dan mendamaikan itu membuatkan saya jatuh cinta dengannya. Bandar kecil yang tidak sesak dan orang tempatan yang peramah menjadi asbab kuat untuk saya menjelajah disana. Saat naik turun bas, penjaga kaunter, malah kanak-kanak di sana juga sangat ramah dan tidak lekang dengan senyuman. Rupanya, kita mudah jatuh cinta dengan kebaikan. Ya, saya jatuh cinta dengan perkara yang baik-baik di sini.

Kami turut menjelajah kota Paris. Setibanya di sana, kami berjalan-jalan di kawasan hotel untuk mencari kedai runcit yang menjual makanan halal bagi mengisi perut. Kami telah terjumpa sebuah kedai yang pemiliknya kelihatan seperti orang Timur Tengah. Masuk saja ke dalam kedai, kami terus disapa dan terus kami mengajukan soalan,

“Ada roti halal?” Pemilik kedai mengambil sebungkus roti dan memberikan kepada kami.

“Saya baru periksa bahannya, ia ada alkohol. Boleh saya dapatkan roti yang lain?”

Beliau dengan muka terkejut, terus memeriksa bungkusan roti yang lain, yang kami sudah tahu setiap roti ada alkohol.

“Maaf, semuanya ada alkohol tapi kami ada buat baguette sendiri, yang ini memang tiada alkohol. Kami yang buat sendiri,” beliau cuba meyakinkan kami.

Dengan harganya yang murah, kami membeli sebatang baguette untuk dimakan bersama Nutella. Luaran baguatte nampak keras kalau diketuk tidak akan patah. Apabila dimakan, saya baru tahu baguette lembut di dalam! Sebelum ini, tidak terfikir untuk makan baguette kerana tampak keras di luar, rupanya lembut di dalam. Wah, saya benar-benar teruja!

Semestinya apabila berada negara Eropah, makanan wajib dicuba adalah pasta dan piza di Itali. Saya sangat terkejut kerana piza bersaiz kecil disana sama besar dengan saiz ekstra besar di Malaysia. Ternganga kami tatkala dihidangkan piza yang tidak mungkin habis dimakan dalam masa sehari. Sudahnya, piza itu disimpan untuk makan tengah hari sehingga makan malam dan sarapan esoknya. Lagi terkejut, rasanya masih sama!

Terbeliak mata saya ketika melihat sepasang kekasih yang sedang menjamah dua keping keseluruhan piza, fuh! Maknanya, seorang boleh makan sekeping keseluruhan piza. Kalau di Malaysia, makan dua keping pun sudah tersandar, apatah lagi untuk menghabiskan keseluruhan.

Oh, terlupa pula saya tentang pasta yang kami nikmati. Rupanya, masakan yang kelihatan mudah di kaca tv itu benar-benar sedap! Walaupun hanya campuran tiga bahan, cukup membuatkan saya tidak akan lupa dengan bauan campuran rempah Itali di kota Venice. 

Saban hari kita belajar untuk menerima perbezaan. Perbezaan tidak menjadikan mereka salah, hanya kita yang betul. Perbezaan juga tidak membuatkan kita paling sempurna dan mereka sentiasa kekurangan. Namun, perbezaan ini wujud untuk menyatukan. Adakah kita mampu membuka hati untuk menerima perbezaan? Atau adakah kita masih lagi dibayangi adat atau tradisi yang menjadikan kita seorang rasis tanpa sedar? Walau ianya tampak sedikit janggal di mata kita tetapi selagi ia tidak mendatangkan mudarat, maka, raikanlah!

Pastinya setiap tempat yang dijejaki memberikan pengalaman yang luar biasa. Melihat budaya, merasa makanan tempatan, memerhati gelagat penduduk tempatan; seharusnya cukup mengingatkan kita kepada Sang Tuhan. Dialah yang menciptakan semua ini untuk kita saling berkenalan dan membina hubungan. Bukan saja membina hubungan antara makhluk tetapi hubungan dengan Sang Pencipta juga. Alhamdulillah atas nikmat pengembaraan ini, pastinya kebaikan sentiasa menjadi tauladan dan sisi kurang baik akan dijadikan pedoman. 

Disediakan oleh,

Jiha Jahari,

Alumni Beijing Foreign Studies

Menangislah Kawan

Benarkah Hidup Akan Tenteram Tanpa Media Sosial?