in

Resensi Buku: Terusir (Hamka)

Satu lagi karya daripada Buya Hamka yang penuh dengan ibrah. Sebuah buku yang cukup nipis ataupun novel ringkas kerana dalam lingkungan 130 halaman sahaja tetapi lebih mampu membuatkan jiwa kita menyelami apa yang ingin disampaikan. Malah, ia turut menggugah emosi kepada yang lebih menghayatinya. Ringkas kata, mesejnya untuk semua kerana sangat menepati tema dakwah dan kasih sayang pada setiap bait – bait kata yang telah diungkapkan. Antara bahan bacaan yang mesti dimiliki. Hamka secara berterusan terlebih dahulu memberi satu sudut pandang yang positif dalam membela nasib seorang wanita yang berada di lorong gelap pada zahirnya kelihatan hina – dina tetapi batinnya tetap terselit jua akhlak mahmudah yang tidak mampu ditonjolkan. Membaca buku ini akan lebih membuatkan kita berasa termuhasabah. Ini kerana adalah lebih baik memohon maaf terlebih dahulu berbanding terus menghukum. Hal – hal sebegini semakin ghuyub daripada jiwa – jiwa insan dewasa ini.

Berkisarkan mengenai jalan hidup seorang perempuan malang yang diberi nama Mariah. Nasibnya boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga. Beberapa kali terusir dan memperolehi bahagia yang tidak kunjung kekal. Tetapi hanya disebabkan satu fitnah tanpa dipastikan sama ada sahih mahupun tidak, dia yang sentiasa setia dihalau dan dicerai oleh suami yang dikasihinya. Hilang kepercayaan sang suami hanya kerana satu kejadian jahat yang telah direncanakan oleh keluarganya sendiri. Malah yang lebih memilukan hati, ikatan pertalian darah antara ibu dan anak dipisahkan sehingga mengakibatkan anaknya itu tidak kenal siapakah ibunya yang selama ini telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Siapa sangka orang yang memberi segunung harapan akhirnya dia jugalah yang meranapkan harapan yang sentiasa mekar itu. Lalu, Mariam tinggallah keseorangan meneruskan haluan demi kelangsungan sebuah kehidupan dan bermula detik – detiknya menjadi pembantu rumah dan salah satunya pada orang Belanda. Kemudian, berkahwin lagi dengan rakan sekerjanya. Langit yang diharapkan sentiasa memberi sejuta sinar harapan kembali mendung apabila suami barunya itu hanya ingin mempergunakannya sahaja dengan harta yang telah dia simpan sepanjang bekerja menjadi pembantu rumah. Sehinggalah ia menjadi parah apabila beliau terpaksa terjerumus ke lembah hina untuk sesuap nasi. Terbuang lagi. Klimaks cerita ini ialah di mana Mariah bekerja di rumah pelacuran namun teruji sekali lagi apabila dia terpaksa membunuh musuh anaknya. Akan tetapi kes pembunuhan itu dibela sendiri oleh anaknya tanpa beliau sedar.

“Barang sesuatu apabila berada dalam tangan, kecacatannya yang dilihat. Setelah ia lepas daripada tangan, barulah kita ingat akan baiknya”. 

Antara petikan di dalam buku ini yang memberi seribu satu makna untuk kita sama – sama hadam. Ini kerana diceritakan juga yang mana ia turut berlaku di alam realiti sememangnya manusia akan lebih menghargai sesuatu apabila ia terlepas daripada genggamannya. Dan sudah terang lagi bersuluh juga bahawa terkadang jiwa – jiwa manusia lebih suka menghukum tanpa mengetahui kebenaran terlebih dahulu. Maka, seharusnya pesanan klise dalam menjadi manusia yang sabar, tidak sewenang – wenangnya membuat keputusan mengikut emosi dan selidik terlebih dahulu sebelum bertindak hendaklah dipraktikkan agar kelak tidak menyesal di masa hadapan. Boleh jadi ia adalah fitnah semata – mata ataupun atas kekhilafan sendiri.

Hakikatnya, Mariah memberi pengajaran kepada kita walaupun seperit apa pun kehidupan yang telah dilalui tetapi hendaklah sentiasa tetap mengharapkan kebaikan jua yang memenuhi sisa – sisa kehidupan terakhir. Kita hendaklah berusaha dan tidak sepatutnya mudah mengalah dalam mengharapkan pengakhiran hidup yang baik. 

Perkara penting yang ingin disampaikan juga, betapa besarnya nilai kasih sayang seorang ibu yang langsung tidak mempunyai sebarang terma dan syarat yang membataskannya. Ia adalah sebesar – besar nikmat yang perlu kita bersungguh – sungguh menghargainya. Rindunya sang ibu tidak pernah terpadam malah sentiasa teringat – ingat terhadap anak yang tidak mengenalinya. Hubungan antara seorang ibu dan anak hendaklah jangan dipisahkan kerana ia perkara yang sangat menyakitkan.

Terdapat dua jenis perempuan yang mempengaruhi kehidupan seorang lelaki. Golongan pertama ialah perempuan yang mencintainya dengan tulus. Perempuan sebegini mencintai lelaki itu untuk kemajuan dan kebahagiaannya. Mereka lebih banyak memberi dan mempengaruhi daripada menerima kerana sedar bahawa lelakinya bukan untuk dirinya sahaja tetapi juga harus memberi manfaat kepada masyarakat di luar sana. Namun ada juga golongan kedua yang dinyatakan di dalam ini ialah biasanya perempuan itu merasakan bahawa lelaki yang dicintainya hanya untuk dirinya sahaja. Malah, lelaki itu mesti jatuh di bawah kuasanya. Segala kehendak perempuan ini harus diturutkan. Anehnya, perempuan sebegini tidak ingin berkorban untuk orang yang disayanginya itu. 

         Akhir kalam, amalkanlah sifat tabayyun. Selain itu, sebelum bercakap membuat sebarang keputusan hendaklah berfikir terlebih dahulu. Seterusnya, sesukar apapun ujian yang dilalui yakinlah Allah Maha Mengetahui bahawa hambanya mampu untuk menempuhinya dan pastinya ada hikmah yang tersembunyi. Paling penting juga hargailah kewujudan wanita yang seharusnya dilindungi dengan sebaiknya. 

 

Pengulas: Ardinisa Najati Bt Noor Rizal. 

Leave a Reply

Loading…

Ibrah Sukan Memanah Sebagai Persediaan Masa Depan

Puisi: Pertolongan Kemenangan Pasti Datang