in ,

Resensi Buku: Menjuarai Transformasi oleh Najib Razak

Buku ini dihasilkan oleh ahli politik negara dan juga merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6 ketika itu Y.A.B Dato’s Sri Mohd Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak. Buku berjudul Menjuarai Transformasi bukanlah karya pertama beliau tetapi karya kesinambungan yang ke empat selepas kejayaan buku berjudul Menakhoda Zaman: Menyingkir kelemahan, menyahut cabaran, menggerak perubahan, membina masa depan, diikuti oleh penerbitan Jawapan Najib: Merungkai Persoalan Semalam, Konflik Hari Ini dan Cabaran Masa Depan dan juga buku ketiga berjudul Perkhidmatan Awam: Meneraju Perubahan Melangkau Jangkaan. Buku berjudul Menjuarai Transformasi ini merupakan terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia dengan mempunyai ketebalan 158 halaman. Menariknya buku ini dipersembahkan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Intipati buku ini menyentuh tentang proses melestarikan kelangsungan kepimpinannya di persada politik negara ketika tahun tersebut dan juga aspek penting yang perlu diterapkan oleh pemimpin untuk mencapai negara maju.

Buku ini juga merupakan buku pertama di Malaysia dengan menggunakan proses ekocetak yang mendapat pengiktirafan SIRIM QAS International Eco-Labelling Scheme yang mengamalkan ciri percetakan yang mengambil kira penjagaan terhadap alam sekitar kita. Ini jelas mengambarkan usaha dan sokongan Institut Terjemahan Negara Malaysia sebagai syarikat penerbitan khususnya menyedari kepentingan  tanggungjawab sosial kepada pemuliharaan alam sekitar. Kulit buku ini dihiasi dengan gambar pemimpin yang juga penulisannya kepada perjuangan beliau dalam mentransformasikan negara kita. Isyarat satu pula menunjukkan kepentingannya kita bersatu dalam apa jua keadaan demi memajukan negara Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Buku ini tersusun rapi kandungannya yang terdiri daripada 11 bab yang akan merungkai kepada tajuk besar buku ini iaitu Menjuarai Transformasi. Dalam empat bab awal buku ini penulis meluahkan gaya pemikiran dan wawasannya dengan cara memertabatkan bangsa Malaysia khususnya orang Melayu dalam membentuk mekanisme siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Pada halaman 19 buku ini, penulis mengajak pembaca berfikir secara terbuka mengenai “…orang Melayu adalah bangsa yang bersifat amat inklusif, Sekiranya orang Melayu bersikap dan bersifat perkauman, tidak mungkin Melaka menjadi sebuah pelabuhan entrepot terkmakmur pada abad ke-15.” Selain itu,pembaca juga jelas dengan tiga prinsip utama penulis iaitu kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional; Islam sebagai ad-din dan juga kemakmuran negara sebagai tonggak keadilan sosial.

Pada bab-bab seterusnya, penulis menerangkan kepentingan dan usaha kerajaan dibawah pimpinannya untuk memastikan kestabilan perpaduan nasional. Pada halaman 47 dan 48 buku ini, penulis mengajak pembaca mengenang  masa lalu mengenai pelbagai masalah yang berlaku seperti …pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstremisme agama mahupun cauvinisme perkauman, telah dapat kita hadapi secara berhemah dan demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlemgaan dan kedaulatan undang-undang.”  Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya penulis mengajak rakyat Malaysia agar bersatu padu tidak mengira bangsa dan agama dalam menghadapi apa jua masalah demi negara berpaksikan perpaduan nasional dan juga undang-undang.

Seterusnya pembaca akan mendalami kepentingan perpaduan nasional dan juga transformasi yang dilaksanakan semasa membaca bab 9 hinggalah bab terakhir buku ini. Sebagai contoh, pada halaman 64, negara di bawah pimpinan kerajaan telah “…berjaya memajukan bidang sosio-ekonomi dan memastikan keselamatan serta ketenteraman nasional. Barisan Nasional mencipta kemakmuran melalui pembangunan lima tahun, rangka rancangan jangka panjang, reformasi tanah besar-besaran, perang terhadap kemiskinan, dasar ekonomi baru, dasar pembangunan nasional dan dasar pembangunan wawasan.” Ini dapat memberi ruang kepada pembaca untuk menilai kepimpinan dan tanggungjawab pemimpin dan kerajaan terdahulu dalam memastikan transformasi yang telah dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada semua rakyat di negara ini.

Kesimpulannya, buku ini sesuai dibaca oleh setiap rakyat Malaysia yang ingin menyelami gaya pemikiran dan melihat perspektif dari kaca mata pemimpin yang berhasrat memajukan negara ini dengan pelbagai transformasi yang diperkenalkan. Penulis juga berharap agar setiap rakyat Malaysia mempunyai jati diri yang kental dan terus berusaha memperkukuhkan diri dari pelbagai aspek ke arah negara yang stabil dan maju. Buku ini juga masih relevan untuk dibaca pada hari ini dan pembaca dapat membuat refleksi mengenai kepentingan perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial yang diterapkan oleh pemimpin terdahulu. Biarpun terdapat peralihan politik yang ketara yang berlaku dalam negara ketika ini, namun transformasi yang telah dilakukan dan juga jasa yang disumbangkan oleh bekas Perdana Menteri ke-6 perlu terus dikenang dan dihargai oleh masyarakat pada hari ini.

 

Pengulas: Mohd Nizam Bin Salahudin

Leave a Reply

Loading…

Al-Quran: Buku Sains atau Petunjuk?

Fikih Kontemporer karya Dr. H. M. Jamil