in

Al-Quran: Buku Sains atau Petunjuk?

Adakah al-Quran sebuah buku sains atau sebuah buku petunjuk atau petanda kepada manusia? Mungkin adalah lebih baik untuk artikel ini menghuraikan terlebih dahulu secara ringkas apakah itu al-Quran dan bagaimana al-Quran dikaitkan dengan sains. Umumnya pengertian al-Quran ialah kalam Allah yang diutuskan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai satu mukjizat baginda melalui perantaraan malaikat Jibril AS dengan jalan mutawatir dan membacanya dikira sebagai ibadah. Jelaslah bagi seorang muslim, al-Quran merupakan sebuah kitab yang tiada sama tandingnya dengan kitab-kitab yang lain buatan manusia walau hebat mana sekalipun. Perkara ini jelas dibuktikan melalui ayat 9 surah al-Hjir yang bermaksud,

“SesungguhNya Kamilah yang menurunkan al-Quran (az-Zikr) dan Kami jugalah yang akan menjaganya”

Ayat ini telah menjadi satu bukti yang kukuh bahawa al-Quran telah mendapat jaminan dari Allah SWT akan pelindungan isi kandungnya dari dirosakkan atau diubah oleh mana-mana pihak sehingga hari kiamat. Pada hari ini, beberapa cubaan penyelewangan al-Quran telah dilakukan oleh pelbagai pihak yang jelas ingin mengelirukan pemahaman umat islam. Al-Quran merupakan sebuah buku panduan agung bagi seluruh manusia bukan sahaja bagi muslim tetapi juga bagi golongan yang bukan muslim. Ini berdasarkan sepotong hadith Rasulullah  SAW pernah bersabda:

“aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu: kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah RasulNya.” (HR Malik)

Melalui hadith ini, Rasullullah  SAW  telah memberikan panduan agung kepada sekalian manusia bagi mengharungi kehidupan di bumi yang sementara ini.

Di dalam kaedah pentafsiran al-Quran, terdapat salah satu daripada topik perbincangannya mengenai ayat- ayat muhkamat dan mutasyabihat berdasarkan ayat 7 surah ali-Imran. Ayat- ayat di dalam al-Quran yang berbentuk muhkamat ialah ayat-ayat yang jelas mempunyai satu makna sahaja tanpa perlu ditakwil ke makna yang lain. Sebagai contoh, di dalam surah as-Syura ayat 11, Allah berfirman,

“ Dia (Allah) tidak menyerupai sesuatupun dari makhlukNya.”

Ayat ini sangat terang dan jelas bahawa Allah tidak boleh disamakan dengan apa-apa sahaja yang dicipta olehNya. Walaubagaimanapun, di dalam al-Quran, terdapat juga ayat-ayat yang berbentuk mutasyabihat. Ayat-ayat ini secara ringkas merupakan ayat-ayat yang maknanya tidak jelas serta mempunyai pelbagai pehamaman dan tafsiran. Sebagai contoh dalam surah al-Fath ayat 10,

“yadullahi fauqa aydihim

yang bermaksud secara literal “tanganNya di atas tangan-tangan mereka”. Ayat seperti ini mempunyai kesamaran bagi maksudnya secara literal dan perlu kepada proses-proses pentafsiran dan pentakwilan yang lain bagi memberikan pemahaman yang sesuai mengenai ayat tersebut seperti yang telah dilakukan oleh para ulama terdahulu.

Namun, ayat-ayat muhakamat dan mutasyabihat ini bukan sahaja ditujukan kepada ayat-ayat atau tanda-tanda di dalam al-Quran sahaja tetapi juga ditujukan kepada alam semesta. Menurut Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, seorang tokoh pemikir Melayu telah mengklasifikasikan Wahyu Tuhan kepada dua pecahan, pertama al-Quran dan kedua alam semesta. Menurut Prof Al-Attas, ayat-ayat atau tanda tanda muhakamat dan mutasyabihat itu juga ada pada segala ciptaan-ciptaan yang wujud di alam semesta ini. Perbezaaan alam ciptaan dan al-Quran menurut Prof Al-Attas adalah sesuatu alam yang diciptakan dalam pelbagai bentuk yang berbeza-beza yang berfungsi sebagi simbolwujud secara berterusan dilahirkan melalui Kalam Tuhan yang kreatif. Hal ini kerana Wahyu Tuhan bertujuan untuk menunjukkan bahawa Tuhan itu wujud.

Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Jelaslah bahawa untuk mencari akan kebenaran tentang kewujudan Tuhan, alam semesta juga merupakan salah satu Wahyu Tuhan yang telah Allah sediakan kepada hambanya melalui firman Allah di dalam al-Quran surah Fussilat ayat 41,

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar”.

Namun, tanda-tanda yang ada pada alam semesta ini tidak semuanya jelas ataupun muhkamat. Ianya juga mempunyai tanda-tanda yang kabur dan mengelirukan ataupun mutasyabihat bagi manusia. Tanda-tanda ini perlu kepada pelbagai proses seperti pemerhatian, penakulan, penalaran dan sebagainya untuk memahami tujuan kewujudan sesuatu ciptaan itu dan hubungannya dengan Sang Pencipta.

Walaubagaimanapun, sebahagian besar manusia hanyut dalam proses mencari makna bagi tanda-tanda alam semesta ini kerana terlalu kagum dengan keajaiban yang ada pada alam ini sehingga menyebabkan lupa matlamat asalnya akan kewujudan setiap perkara-perkara yang mawjud di alam semesta ini. Kelompok manusia sebegini wujud pada masa kini sebagai kumpulan ahli sains moden. Perumpamaan yang diberikan oleh Prof Al-Attas bagi kelompok sebegini adalah seperti penciptaan sebuah kerusi. Perkara yang utama bagi penciptaan sebuah kerusi ialah tujuan apa kerusi itu dicipta dan pastinya kerusi itu mempunyai penciptanya. Namun, sesetengah pihak mungkin lebih gemar mengkaji akan bahan apakah kerusi itu diperbuat, cat apakah yang digunakan untuk menyaluti kerusi itu dan sebagainya sehingga akhirnya lupa akan tujuan utama kerusi itu dicipta.

Berbalik kepada salah satu soalan yang diutarakan pada pendahuluan artikel ini. Sains yang difahami pada hari ini, bukanlah sains yang seperti mana difahami oleh ilmuwan-ilmuwan terdahulu. Sains daripada Latin, Scientia yang bermaksud ilmu yang mempunyai kaitan dengan ketuhanan. Namun menurut Prof Emeritus Shaharir Mohamad Zain, seorang tokoh sarjana dari Malaysia, kelahiran sains moden pada hari ini telah berusahau untuk memberikan makna baru bagi pengistilahan sains. Mereka ingin membebaskan sains dari aspek ketuhanan sehingga lahirlah sains sekular atau sains moden pada hari ini. Kini sains moden bermaksud ilmu berkenaan kejadian alam kejasmanian dan isinya serta interaksinya antaranya yang diperoleh menerusi kaedah sains.

Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai gerakan sarjana Muslim pada era moden ini berusaha untuk memurnikan kembali sains dan islam seperti mana yang telah dikembangkan oleh sarjana-sarjana muslim terdahulu. Pada masa kini, antara pendekatan kebanyakan sarjana muslim telah usahakan ialah pendekatan yang dikenalkan oleh Maurice Bucaille, seorang pakar perubatan yang mengkaji tentang sains dan agama. Antara buku yang paling terkenal dihasilkan oleh beliau ialah Bible, Quran dan Sains Moden. Kaedah Bucaille secara ringkasnya ialah kaedah menyesuaikan, mengakomodasi atau bertolak ansur apa sahaja unsur sains moden dengan ajaran agama yakni apa yang terkandung di dalam Bible dan al-Quran sehingga boleh dikatakan semua sains moden itu mencapai taraf sains islam. Beliau sebagai contoh akan mengkaji ayat-ayat quran dan mencari ayat-ayat yang berpadanan dengan kajian sains moden. Lalu memberikan kesimpulan bahawa kajian sains yang telah dijumpai adalah benar seperti mana terkandung di dalam al-Quran. Hal ini semestinya bukan matlamat utama bagi penciptaan al-Quran kerana al-Quran bukan hanya untuk dipadankan dengan penemuan-penemuan sains sahaja walaupun al-Quran sememangnya menceritakan pelbagai kejadian-kejadian alam semesta.

Namun, untuk menyatakan al-Quran ialah sebuah buku sains amatlah menjatuhkan status al-Quran sebagai Kalam Allah dan mukjizat bagi Rasulullah SAW. Al-Quran seharusnya menjadi panduan dalam segala aspek kehidupan manusia hatta dalam menelusuri keadah saintifik perlu didasarkan dengan ajaran al-Quran. Sains moden pada hari ini jelas mempunyai batasannya kerana sains moden tidak mampu untuk memberikan jawapan bagi perkara-perkara yang tidak mampu dicapai oleh pancaindera. Namun sebaliknya hal-hal ini telah diceritakan di dalam al-Quran seperti alam barzakh, malaikat, alam akhirat dan sebagainya. Jelaslah bahawa kaedah Bucaille untuk memurnikan sains moden dengan islam ini haruslah dilakukan pengesahan semula kerana kaedah ini telah digunakan oleh sebahagian besar sarjana Muslim pada hari ini sebagai contoh Harun Yahya, seorang penulis Muslim dari Turki yang banyak menghasilkan buku-buku sains dan islam.

Kesimpulannya, al-Quran ialah sebuah buku yang mempunyai pelbagai jawapan dasar bagi segala persoalan dan aspek kehidupan manusia sesuai dengan status al-Quran sebagai sebuah buku panduan agung bagi seluruh manusia. Jelaslah bahawa al-Quran merupakan buku sains dan juga buku petunjuk bagi umat manusia tanpa memisahkan kedua-duanya sama sekali. Sebagai manusia yang beragama Islam, tugas untuk memahami al-Quran dan pengkajian mengenai mesej-mesej yang ada pada al-Quran dan alam semesta haruslah giat dijalankan agar hasil atau jawapan yang diperolehi mampu untuk membawa seseorang itu menuju kepada al-Haq (kebenaran).


Muhammad Ikram Bin Abdul , graduan ijazah sarjana muda dalam bidang kimia gunaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan. Sekarang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana dalam bidang Sains Alam Sekitar , Universiti Sains Malaysia.

Leave a Reply

Loading…

Puisi: Pertolongan Kemenangan Pasti Datang

Resensi Buku: Menjuarai Transformasi oleh Najib Razak