in

Rendah Hati: Wanita di Sebalik Tirai Besi

Bismillah..setiap sesuatu yang baik dimulakan dengan Nama Allah. 

Kita mesti pernah berada dalam suatu keadaan di mana, situasi yang berlaku itu dekat dengan kita, bukan? Entri kali ini merupakan perkongsian pada tahun 2018 yang dikongsikan semula. Entri ini berkaitan dengan hati kita, sebagai seorang manusia. Saya katakannya sebagai “Rendah Hati” atau “Rendah Diri”.

Boleh dikatakan saya ini seorang yang sangat sibuk, ada saja aktiviti di sekolah. Sebagai seorang guru swasta, saya sering mengambil peluang dan ruang untuk aktif dalam pelbagai program. Sesekali cuti sekolah atau berpeluang ambil cuti, saya akan menemani abah atau mak ke hospital. 

Beberapa kali menemani abah ke hospital untuk janji temu dengan doktor, dua kali saya terserempak dengan banduan wanita yang dibawa ke hospital untuk tujuan yang sama. Kali pertama, ternampak seorang banduan wanita muda berketurunan Cina sedang menunggu giliran untuk bertemu doktor, yang diapit oleh dua orang pegawai polis wanita. Masa itu terfikir-fikir akan kesalahan yang dilakukan sehingga menyebabkannya dimasukkan ke dalam penjara. Sikit pun tidak terfikir tentang perkara yang baik-baik, tetapi saya tidaklah bersangka buruk padanya. 

Kali kedua, saya terserempak dengan banduan wanita bertudung (sepertinya Melayu Malaysia atau Indonesia) yang mendukung anaknya untuk berjumpa doktor sambil diawasi oleh dua orang pegawai polis wanita. Sepertinya anak kecil itu sedang mengalami penyakit mata. 

Ketika itu, terus terasa dalam hati dan terfikir dalam minda. Adakah dia dimasukkan ke dalam penjara disebabkan kesalahannya sendiri atau kesalahan orang lain? Adakah dia dikhianati? Masa itu pesan pada hati sendiri, “Tolonglah…fikir yang positif.”

Sebab sebelum itu, saya terbaca Pesanan Imam Ghazali tentang “Rendah Hati”. Biasa juga dengar daripada tazkirah rakan-rakan lain sebelum ini. Cuma, kali ini berbeza sedikit perasaannya. Mahu tahu apa pesanan Imam Ghazali itu??

 

  1. Jika engkau melihat orang yang masih muda, maka katakan dalam hatimu, “Orang ini belum banyak dosa kepada Allah, sedangkan aku sudah banyak dosa pada Allah. Tidak diragukan lagi orang ini lebih baik daripada aku.”

 

  1. Jika engkau melihat orang yang lebih tua, katakan dalam hatimu, “Orang ini sudah beribadah sebelum aku, dengan begitu tidak diragukan dia lagi baik daripadaku.”

 

  1. Jika engkau melihat orang alim (berilmu), katakan dalam hatimu, “Orang ini sudah diberikan kelebihan yang tidak diberikan kepadaku. Dia menyampaikan suatu kebaikan kepada orang lain sedangkan aku tidak menyampaikan apa-apa. Dia tahu hukum-hukum yang tidak aku tahu. Maka bagaimana mungkin aku sama dengannya.”

 

  1. Jika engkau bertemu dengan orang bodoh, kurang ilmu dan wawasan, katakan dalam hatimu, “Orang ini sudah berdosa kepada Allah kerana jahil sedangkan aku berdosa kepada Allah dengan pengetahuanku, maka balasan Allah kepadaku lebih berat dibanding orang ini. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir hidupku dan akhir hidup orang ini.”

 

  1. Jika engkau melihat orang kafir, maka katakan dalam hatimu, “Aku tidak tahu, boleh jadi dia akan masuk Islam dan mengisi akhir hidupnya dengan amal kebaikan, dan dengan keislamannya itu, dosa-dosanya keluar daripada dirinya seperti keluarnya rambut daripada timbunan tepung. Sedangkan aku, boleh tersesat daripada Allah (kerana tidak mahu meningkatkan iman) dan akhirnya menjadi kafir, dan hidupnya berakhir dengan amal buruk. Orang seperti ini, boleh jadi esok menjadi yang dekat dengan Allah dan aku menjadi yang jauh dari Allah.” (Na’uzubillahi min zalik! )

Berbalik kepada banduan wanita tersebut. Boleh jadi sekarang dia dipenjarakan atas kejahilannya atau mungkin dia dipenjarakan atas sebab pengkhianatan. Apapun yang dialaminya saat sebelum dia dipenjarakan, kehidupannya selepas itu mungkin boleh berubah lebih baik berbanding kita. Pernah dengar kata seperti ini?

Jadilah seperti mata lebah yang hanya mencari madu, jangan jadi seperti lalat yang hanya mencari sampah. Maksudnya, kita sebaiknya jadilah orang yang melihat kebaikan orang lain, janganlah hanya melihat keburukan yang ada pada diri seseorang.

Kesimpulannya, kita ini masing-masing saling menuju ke arah kebaikan, saling berlari, berjalan, bertatih menuju kepada Allah. Dalam apa keadaan sekalipun kita sekarang, Allah tetap bersama kita. Allah tidak pernah berjauhan daripada kita, hanya kita yang semakin jauh dari Allah. Buat teman-teman yang membaca entri ini, jika tidak jumpa saya di Syurga, cari saya di Neraka..dan tariklah saya sama-sama masuk ke Syurga-Nya. 

Nas’alukal Jannah, wa na’uzubika minannar..Ya Allah kurniakan kami Syurga-Mu dan jauhkanlah kami dari Neraka-Mu. Aamiin ya Rabb!

 

Penulis,

Siti Khairiah binti Abu Hassan,
Serdang.

Leave a Reply

Loading…

Cerpen: Suara Eskapisme Hati

Kuasa Iqra : Menguasai Dunia, Menikmati Akhirat