Penulis buku, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau nama pena, SM Zakir. 

 

 

‘Rumah Kupu-Kupu’ merupakan buah tangan terbaru daripada seorang penulis novel dan cerpen terkenal yang berada dalam kelasnya tersendiri yakni, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali dengan nama penanya, SM Zakir. Beliau merupakan antara penulis muda yang dianugerahi ‘South. East. Asia’ (S.E.A) Write Award 2011 selepas Zaen Kasturi yang menerimanya pada tahun 2010. Selain karya-karyanya yang sering menarik minat pembaca menggunakan gaya bahasa unik dan bunga bahasa indah, penulisannya juga kerap menjentik minda dengan memanifestasikan pemikiran beliau berkenaan isu-isu masyarakat sebagai perkara pokok dalam penulisan. Hal ini turut terpapar dalam 176 halaman yang disusun dalam 10 bab buku ‘Rumah Kupu-Kupu’. Resensi buku ini akan berdiskusi mengenai beberapa tema serta persoalan yang digarap murni oleh penulis supaya pembaca beroleh pengajaran dan membawa kepada kemaslahatan bersama.

   Melalui permulaan novel ini, penulis memberi gambaran awal berkenaan latar tempat keseluruhan cerita yakni berlatarkan kehidupan urban di mana penduduknya hidup di dalam pangsapuri (apartment). Menariknya, Rumah Kupu-Kupu yang menjadi tajuk kepada novel ini merupakan metafora digunakan penulis untuk menggambarkan kehidupan masyarakat di pangsapuri tersebut. Penggayaan bahasa yang tepat berjaya membuatkan pembaca seolah-olah dapat berkongsi imaginasi penulis dalam menggambarkan pangsapuri tersebut sebagai rumah kupu-kupu atau kepompong. 

Hal ini bertepatan dengan tema serta persoalan pertama dibawa penulis yakni, kehidupan warga kota yang berada dalam kesibukan serta kesantakan dalam mengurus ‘dunia’ mereka. Penduduk pangsapuri di kota ini diibaratkan sebagai kupu-kupu. Kupu-kupu ini tinggal berkurung di dalam tempat yang sempit, kecil, terkongkong seperti dalam kepompong dan  apabila tiba masanya, ia akan bebas berterbangan keluar. Penulis menggunakan simbolik ini untuk menggambarkan keadaan penduduk kota di pangsapuri tersebut yang hanya terperap di unit rumah masing-masing, tidak bertegur sapa antara satu sama lain, saling tidak mengenali meskipun kerap berselisih di kawasan parkir atau di dalam lif. Mereka hanya ‘membebaskan diri’ daripada rumah masing-masing apabila hendak keluar bekerja. Di sini, penulis jelas memanifestasikan satu kritikan sosial berkenaan nilai kejiranan yang mulai luntur dan pupus dalam kalangan masyarakat pada marcapada ini. 

              Seterusnya, penulis meneruskan plot cerita dengan menggambarkan kehidupan seorang penulis karya sastera sepenuh masa melalui watak Mustafa Ilham. Menerusi bahagian penceritaan ini, penulis memaparkan realiti kehidupan seseorang yang mata pencariannya bergantung dengan huruf-huruf yang membuahkan beras dan gandum untuk keluarganya makan. Selain menyentuh berkenaan kejerihan hidup seorang penulis sastera sepenuh masa, SM Zakir turut menceritakan dilema yang membelenggu seorang penulis sastera dalam menghasilkan karya serius mencambah minda sedangkan, masyarakat kini lebih terpukau dengan program realiti hiburan, lawak jenaka dan buku cerita yang tidak memerlukan otak untuk berfikir dan menikmati seni.

 Secara tidak langsung, penulis mengemukakan isu masyarakat kini yang pola pemikirannya lebih tertumpu ke arah perkara-perkara dangkal dan tidak kritis terhadap realiti sekeliling mereka. Penulis juga menunjukkan sisi sensitif seorang pengkarya sastera melalui watak Mustafa Ilham ini apabila dia mengurung diri di dalam rumah dengan menulis tanpa henti sehingga menjadi ‘akar pokok’ akibat merajuk dengan isterinya yang tersalah cakap. Karya ini banyak menggunakan gaya bahasa seperti metafora dan simbolisme bagi menambah ‘rasa’ dalam kalangan pembaca serta menguatkan lagi imaginasi penulis seolah-olah ianya realiti. 

             Selain itu, bersangkut-paut dengan isu berkenaan nilai kejiranan yang disentuh penulis di awal bab, beliau turut memberi teguran sosial terhadap sikap individualistik yang menghuni dalam diri seseorang insan. Dalam novel ini, dikisahkan seorang pemuda yang hanya menghadap komputer riba tanpa mempedulikan keadaan sekeliling sehingga akhirnya hilang menjadi ‘debu’. Sikap ‘dia’ dalam novel ini juga dilihat seperti tidak mempedulikan keadaan pemuda tersebut yang hanya menghadap komputer riba dengan posisi sama, tanpa berubah sehingga berhari-hari. Meskipun pemuda dan ‘dia’ merupakan jiran di pangsapuri tersebut, hubungan mereka tidak akrab dan kurang kecaknaan antara satu sama lain.

 Sebagai pembaca, saya dapat mengaitkan hal ini dengan realiti yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang. Sikap individualistik sesetengah pihak dalam komuniti khususnya membuatkan kita tidak ambil prihatin terhadap keadaan orang di sekeliling. Misalnya, kita tidak tahu-menahu mungkin salah sebuah keluarga dalam kejiranan kita anak-anaknya didera oleh ibu-bapa, barangkali ada yang hanya makan sekali dalam sehari malah, mungkin ada seorang tua yang sedang bertarung dengan nyawa dan kita hanya boleh mengesan bau busuk mayatnya setelah berhari-hari terbiar sendiri. Dapat dilihat bahawa penulis melaksanakan tanggungjawab sosialnya untuk meluahkan kritikan berkenaan tuntutan moral yang perlu kita serapkan dalam hidup bermasyarakat, melalui penulisan beliau pada kali ini. 

             Selain membawa isu-isu yang berkaitan dengan moraliti masyarakat, penulisan beliau pada kali ini juga memaparkan beberapa babak yang membuatkan pembaca mengaitkan penceritaan dengan dongeng dahulukala dan unsur fantasi. Antaranya ialah kisah watak ‘dia’ yang bertemu duyung di kolam mandi pangsapuri dan watak ‘dia’ yang menaiki lif lalu lif tersebut bergerak menembusi bawah tanah dan menjulang ke atas sehingga ia berada di awangan. Meskipun kedua-dua plot ini saya lihat sebagai pelengkap kepada cerita namun ianya menjadi antara elemen tarikan dalam mengurus emosi pembaca untuk merasai pengalaman unik ketika menelaah karya ini. Malah, kedua-dua plot ini dialirkan dengan cukup dramatik serta menggunakan olahan bahasa yang gramatis. Pengolahan yang baik membuatkan cerita fantasi biasa ini dibaluti unsur suspen dan membuatkan pembaca tidak sabar-sabar untuk mengetahui penamat kepada kisah tersebut.

           Penulis kemudiannya mengakhiri kisah ini dengan penemuan semula seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Mengambil ibrah daripada pengakhiran kisah ini, penulis memaparkan sisi kehidupan sesetengah kelompok masyarakat di pangsapuri tersebut yang mengambil enteng terhadap peranan surau sebagai titik penyatuan ummah di sesuatu tempat tinggal. Dalam novel ini, dikisahkan bahawa surau di pangsapuri tersebut hanya diimarahkan apabila bulan Ramadan dan kembali sunyi pada bulan-bulan lainnya. 

Hal ini sebenarnya memaparkan realiti sikap sesetengah masyarakat kita pada hari ini yang terlalu santak diulit tuntutan duniawi sehingga melupakan tanggungjawab yang perlu dilunaskan untuk bekalan ukhrawi. Memetik kata-kata dalam novel ini, ‘bangunan surau ini seperti sebuah medan magnet yang besar dan kuat dalam memberikan daya kepada semua objek berada dengan teguh pada kedudukan masing-masing’. Di sini, kita dapat melihat bagaimana penulis mahu membawa pembaca menyedari bahawa sekiranya urusan ukhrawi diperkasakan dalam diri dan masyarakat, semua perkara duniawi lainnya di sekeliling kita akan turut merasakan impak positifnya. Bak kata SM Zakir di penghujung novel ini, ‘Akhir. Kehidupan kembali kepada titik asal’. Asal seorang hamba dilahirkan ke dunia dalam keadaan suci tanpa noda maka, perjalanannya di dunia juga perlu diselarikan dengan tujuan mendapat rahmat Allah SWT agar kembalinya nanti di negara abadi sebagaimana asalnya, suci bagai kain putih.

            Akhir kata, sebagai pembaca, banyak pengajaran yang saya peroleh melalui penulisan SM Zakir pada kali ini. Menjadi satu kepuasan kepada saya juga sebagai pembaca apabila naskah yang diterbitkan penulis ini cukup relevan dengan senario kehidupan masyarakat pada ketika ini. Karya ini bukan penulisan sastera picisan malah tinggi nilai keintelektualannya serta mencabar seni berfikir pembaca dalam menghadam maksud yang ingin disampaikan penulis melalui setiap aksara tersebut. Semoga karya ini dapat menarik pembaca daripada pelbagai lapisan umur masyarakat serta memberi kesan kepada cara kita menghidupkan kehidupan.

 

Penulis, 

Nur Madihah Aqish binti Muhammad Fadzli

Teratak Legenda, Labis, Johor

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.