in

LoveLove CryCry

Rasa Stres? “Kenapa Selalu Aku..”

Rasa ‘down’, terasa nak mengalah atau putus asa? Terkadang rasa tak mampu lagi nak hadapinya kemudian rasa nak lari sejauh mungkin. Lantas ayat ini yang muncul “kenapa aku?”, “kenapa selalu aku yang kena?”…

Mungkin ada dalam kalangan kita yang sedang ataupun pernah melalui perasaan sebegini kan. Sungguh ia memang menyakitkan. Terasa nak menyalahkan semua orang, diri sendiri dan kadangkala rasa nak menyalahkan Tuhan juga. Jika perasaan seperti itu mula muncul maka ketahuilah bahawa anda memang sedang berada pada fasa stres. 

Bila kita tengah stres kita harus ingat bahawa bukan semua stres itu tidak elok. Jadi kita tidak perlu nak menafikan yang kita tengah rasa stres sangat-sangat sebab apabila kita cuba menafikannya, kita pasti akan mula menyalahkan takdir, mula nak mempersoalkan kerja Tuhan. Sememangnya pada saat ini kita merasakan seolah-olah kita hilang tempat pergantungan tetapi sekali lagi saya ingatkan bahawa bukan semua stres itu tidak elok. 

Allah cipta kita ini memang sudah elok dah cuma mungkin kita yang belum tanya kepada diri kita, “adakah aku dah buat yang terbaik selama ini?”  

Cuba kita lihat balik firman Allah SWT dalam al-Quran:

“Dan jika kami rasakan suatu rahmat (nikmat) daripada Kami kemudian rahmat itu Kami cabut darinya, pastilah dia menjadi putus asa lagi tidak berterima kasih”. 

(surah Hud ayat 9)

Ya, bahasa mudahnya “memang itu perangai manusia”. Kita apabila seronok dikurniakan nikmat seperti nikmat dapat kerja ataupun peroleh keputusan peperiksaan yang cemerlang, kita rasa sangat bahagia tetapi apabila kita kecewa dan rasa sakit apabila Allah tarik nikmat dengan cara kita hilang pekerjaan secara tiba-tiba mahupun gagal dalam peperiksaan tanpa disangka jadi akan kita rasa ‘down’, rasa nak berputus asa kemudiannya hilang rasa syukur kepada Allah. Memang begitu sistem stres  manusia yang Allah sudah ciptakan untuk kita. 

Sama juga seperti nikmat-nikmat lain yang Allah dah bagi kemudian ditarik balik daripada kita pastinya kita akan rasa stres. Jadi, tidak usah nafikan yang kita sedang stres, layankan sahaja dahulu perasaan itu kerana akibat daripada kita cuba menafikannya adalah kita akan mula buat benda tidak elok dan kita akan mula menyalahkan Allah atas apa yang terjadi. 

Oleh itu, jangan menafikannya, jangan tanya “Ya Allah kenapa aku rasa ‘down’ sangat sekarang?” kerana memang begitu hakikatnya perangai seorang manusia  keika sedang stres.

Just take your time, ambil seberapa banyak masa yang kamu perlukan untuk stres, nak menangis sekuat hati pun silakan. Seminggu? sebulan? Menangislah sepuas hati tetapi jangan terlalu lama kerana terlampau bersedih dalam sesuatu perkara itu tidak digalakkan. Apabila sudah cukup masa yang kamu perlukan untuk bersedih dan bersendirian maka bangkitlah semula. 

Allah meletakkan sistem stres itu dalam diri kita supaya kita mula bertanyakan kepada diri kita soalan introspective iaitu soalan berbentuk muhasabah diri. Sebagai contoh:

“Aku ni sebenarnya nak jadi apa? 

“Siapa aku? 

“Kerja yang aku buat sekarang ini memang aku minatkah? 

“Apa yang aku buat? 

“Apa benda yang ada pada aku untuk aku capai matlamat aku? 

“Adakah memang Allah sudah takdirkan nasib aku begini sejak dahulu lagi? 

Nampak tak? Apabila kita stres, kita nangis, saat itu baru kita ingat Allah, baru nak mula mencari Tuhan. Kita akan mula pohon pertolongan daripada Allah SWT.

“Tuhan, tolong aku…” 

Sememangnya itu yang Allah inginkan, Allah mahu kita mencari Dia, Allah mahu kita bergantung hanya kepada Dia sahaja, tiada yang lain. Allah itu sangat menyayangi dan sentiasa merindui kita.

Ingatlah bahawa di dunia ini mungkin ramai yang berbicara tentang Allah namun sedikit sekali yang berbicara (mengadu) kepada-Nya.

Jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah!

Warkah buatmu

Adakalanya kita mengharapkan agar masa lalu yang pahit dan perit dapat diubah ataupun dipadamkan terus. Namun, hakikatnya kita tidak akan mampu mengubah hari-hari yang berlalu tetapi kita boleh mengubah hati yang digunakan bagi menempuhi hari-hari yang sedemikian. Hati yang tabah pasti dapat menghadapinya dengan tenang.

Sebenarnya kita hanya perlu melupakan masa lalu itu dan mulai fokus untuk kebahagiaan pada masa akan datang. Ini bukan waktunya untuk menyerah.

Berilah ruang dan peluang buat dirimu menumpukan dengan penuh pengharapan untuk masa hadapan nanti.

Hati yang remuk itu hanya untuk dunia yang sementara. Tiada kebahagiaan hakiki di dunia ini. Nantikanlah kebahagiaan itu di tempat yang abadi (akhirat) kelak.

Bersabarlah seketika. Yakini bahawa hari yang bahagia itu pasti akan tiba, percayalah.

PROFIL PENULIS :

N. Nur Nasuha berasal dari Kelantan, Malaysia yang merupakan seorang pelajar pra-universiti dalam bidang Sains Sosial (Kesusasteraan Melayu Komunikatif). Beliau juga merupakan salah seorang penyumbang kepada penulisan artikel dakwah untuk YouM (satu laman webSingapura) dalam Bahasa Inggeris. Aktif berkongsi tentang agama di media sosial, ikuti beliau di laman sosial instagram dan twitter @nasuharsl .

Cinta dan Keserasian Itu Perlu Seiring

Merawat ‘Anxiety’ Dengan al-Quran