in

LoveLove

Merawat ‘Anxiety’ Dengan al-Quran

Kebelakangan ini, saya sering terbaca kisah perjalanan seseorang insan yang menghidapi penyakit anxiety. Nampaknya penyakit ini sering melanda mereka yang masih berusia muda. Termasuk diri saya sendiri. 

Anxiety atau keresahan adalah suatu perasaan cemas, risau dan ketakutan yang melampau. Normal sebagai manusia mempunyai semua perasaan cemas, risau dan bimbang namun bagi mereka yang menghidap penyakit anxiety, kesemua perasaan itu timbul secara berlebihan sehingga mengganggu aktiviti seharian.

Pengalaman saya  dalam berjuang untuk sembuh daripada anxiety bukanlah suatu perkara yang mudah. Setiap hari harus berlawan dengan emosi sendiri. Mental menjadi sangat letih berbanding dengan fizikal. Apabila mental kacau-bilau maka ia turut mengganggu kesihatan fizikal kita.

Pakar kesihatan mengatakan bahawa penyakit anxiety adalah berpunca daripada ketidakseimbangan hormon dalam tubuh badan seseorang. Berkurangnya pengeluaran hormon dopamin dimana hormon ini dikaitkan dengan perasaan gembira, bahagia dan menyeronokkan. Ini terjadi kerana pemakanan yang tidak seimbang, kurang bersenam dan melakukan aktiviti luar, tidak pandai mengawal stress, suka memendam perasaan.

Ada segelintir individu mengatakan bahawa pesakit anxiety adalah mereka yang tidak kuat imannya dan jauh daripada Tuhan, allahul musta’an. Betapa mudahnya manusia menghakimi orang lain tanpa mengambil tahu secara terperinci apa sebenarnya yang berlaku dalam kehidupan pesakit-pesakit anxiety tersebut. Tidakkah kita mahu bersangka baik? Boleh jadi mereka yang menghidap penyakit tersebut lebih berkualiti ibadahnya kepada Allah. Alangkah eloknya kalau kita mendoakan kebaikan buat mereka daripada suka mencela.

Biasanya setiap penyakit yang datang itu berasal daripada perut bak kata pepatah orang Barat, You are what you eat. Oleh itu, nasihat saya untuk mereka yang ada penyakit anxiety ini, tinggalkanlah makanan-makanan yang tinggi proses, banyak mengandungi pengawet, pewarna dan pemanis tiruan. Begitu juga minuman-minuman berperisa sama ada bergas atau tidak bergas. Sebaliknya banyakkan makanan real food seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan lain sebagainya. Lagipula apabila kita membuat atau memasak makanan dan minuman sendiri, ia lebih menjimatkan sebenarnya. 

Segeralah mendapatkan rawatan daripada pakar kesihatan jika mengalami simptom penyakit anxiety. Sebenarnya penyakit ini boleh dicegah dengan menjaga pemakanan, diet yang seimbang, dan aktif bergerak. Sekiranya ada masalah, cari dan luahkan kepada orang yang dipercayai. Jangan memendam seorang diri. Itulah yang mengakibatkan serangan anxiety semakin teruk.

Tahukah anda bahawa salah satu kaedah untuk sembuh daripada penyakit ini adalah dengan memperbanyak membaca, menghayati dan merenungi kitab al-Quran. Memang ia tidak akan sembuh dalam masa yang singkat tapi dengan izin Allah, perlahan-lahan kita akan beransur pulih. Begitulah yang terjadi kepada diri saya.

Sebaik saja saya mengalami serangan anxiety, kesannya terhadap emosi dan fizikal saya sangat teruk.sehinggakan mengganggu ruin harian saya. Hobi kegemaran saya pun saya sudah tidak berminat melakukannya. Saya rasa putus asa dalam hidup. Menangis tak kira masa. Takut dan cemas yang melampau tanpa apa-apa sebab. Hati dan fikiran sangat bercelaru.

Namun, ada suatu masa itu saya memutuskan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Saya fikir tiada sesiapa yang dapat membantu saya melainkan Allah. Saya jadikan al-Quran sebagai teman setia saya dimanapun saya berada, saya akan selalu membawa kitab itu bersama. Istiqamah membaca ayat al-Quran beserta terjemahannya walaupun sedikit. Tidak sesekali saya meninggalkan al-Quran. 

Disamping itu, saya juga merutinkan ibadah solat Tahajud, witir, solat sunat Fajr. Saya memperbanyakkan istighfar. Zikir pagi dan petang tidak pernah dilupa.

Apabila saya merenungkan ayat-ayat kasih sayang Allah dalam al-Quran, alhamdulillah saya terus menjadi tenang. Perlahan-lahan saya berubah menjadi seseorang yang bersemangat. Penyakit anxiety saya itu pun beransur sembuh. Walaupun tidak sepenuhnya pulih tapi saya masih dapat melawan dan mengawalnya dengan izin Allah.

Allah yang menurunkan penyakit maka Dia juga lah yang menurunkan penawarnya. Cumanya kekadang kita ini lupa meminta kesembuhan daripada Dia. Kita suka bergantung seratus-peratus kepada ubat-ubatan sehingga kita alpa bahawa selain berikhtiar, Allah jua yang menentukan kesembuhan kita.

Walaupun begitu, janganlah kita mendekatkan diri kepada Allah semata-mata mahu sembuh daripada penyakit tapi ikhlas lah dalam menjadi hamba kepada-Nya. Sekiranya Allah takdirkan kita pulih, jangan sesekali melupakan-Nya. Teruskan beribadah dan istiqamah. Tidak semestinya dengan amalan-amalan yang besar tapi amalan yang sedikit tapi istiqamah itulah yang dicintai Allah.

Semoga mereka yang diuji dengan penyakit sebegini segera disembuhkan Allah, diangkat darjatnya dan diampuni segala dosa. Allah tidak akan menguji seseorang diluar kemampuannya. Boleh jadi di dunia ini kita bersusah-susah dahulu tapi di akhirat kita hidup bersenang-lenang. 

Penulis: Meirose

Rasa Stres? “Kenapa Selalu Aku..”

ISLAM MENJAMIN HAK ORANG BUKAN ISLAM