in

Rantau Di Negeri Sarawak

EPSON MFP image

Pada 19 Januari 2015 saya mulakan tugas sebagai seorang guru di negeri bumi kenyalang iaitu negeri Sarawak. Macam-macam perasaan ada sebelum saya terbang ke Sarawak, ada rasa sedih, takut dan geram. Sedih sebab saya akan berjauhan dengan keluarga, takut hidup seorang diri di negeri orang dan geram kenapa saya dihantar ke sana. Perasaan ini memang akan ada dalam diri setiap guru semenanjung yang perlu bertugas di Sarawak terutama sekali guru perempuan. Ada kawan saya yang buat rayuan untuk berkhidmat di semenanjung, ada yang tolak tawaran menjadi seorang guru kerana tidak sanggup berjauhan dengan keluarga tetapi saya ambil keputusan untuk terima tawaran ini dan akan cuba berkhidmat untuk anak-anak Sarawak dengan baik.

Tahun 2016, guru kelas bagi kelas 3A4. Majoriti pelajar adalah kaum Bidayuh.

Sekarang sudah 5 tahun saya mengajar di Serian, Sarawak. Banyak perkara saya belajar di bumi kenyalang antaranya ialah budaya penduduk Serian. Majoriti kaum di Serian adalah kaum Bidayuh, minoriti kaum Iban, Melayu dan Cina. Kaum Bidayuh dan Iban meraikan perayaan hari Gawai yang diraikan pada 1 Jun setiap tahun. Semasa hari Gawai mereka akan pergi ziarah rumah sedara-mara atau kawan-kawan sama seperti kaum melayu menyambut hari raya Aidilfitri. Mereka akan pakai baju kaum Bidayuh atau Iban yang mempunyai corak yang sangat cantik dan unik. Setiap tahun saya tidak dapat melawat kawan-kawan saya semasa Gawai kerana masa Gawai adalah waktu cuti sekolah penggal II dan itu adalah waktu saya balik ke Kuala Lumpur. Di sekolah saya, ada sambutan pra Gawai yang disambut sebelum cuti sekolah penggal II. Semua guru dan pelajar pakai pakaian tradisional dan membawa makanan dari rumah dan makan ikut kelas masing-masing. Antara makanan yang mereka bawa ialah kuih jala yang selalu dibuat semasa Gawai. Kelas dihias mengikut tema Gawai sehari sebelum sambutan pra Gawai. Ada pelajar tebang buluh dan buat pondok di dalam kelas dengan menggunakan buluh. Daun kelapa muda atau tua digantung pada sudut kelas. Sambutan pra Gawai dimulakan dengan acara makan-makan di dalam kelas dan diakhiri dengan upacara gulung tikar. Upacara gulung tikar adalah simbolik bagi penutupan Gawai atau disebut dalam bahasa Bidayuh sebagai ‘nyisan bunos’. 

Sambutan pra Gawai di sekolah. Pelajar pakai pakaian tradisional kaum Bidayuh.

Di sini saya ada cuba pelbagai jenis makanan yang saya susah nak jumpa di semenanjung antaranya laksa Sarawak, mee kolok, umai, sayur midin, kek lapis dan ayam pangsuh (ayam yang dimasak dalam buluh, makanan bagi kaum Dayak). Ada juga nasi yang dimasak dengan ayam dalam buluh yang disebut sebagai ‘asaam’ dalam bahasa Bidayuh. Makanan yang paling saya suka ialah mee kolok daging, ia adalah mee seperti mee segera yang diberi sup daging atau ayam. Kalau saya pulang bercuti ke Kuala Lumpur saya pasti merindui nak makan mee kolok.

Ayam dimasak bersama daun ubi dalam buluh sedap dimakan dengan nasi.

Setiap kali program di sekolah, persembahan tarian kaum Bidayuh wajib dipersembah kepada tetamu VIP. Alunan muzik yang merdu  diiringi tarian yang menarik perhatian penonton. Di Kuching kita boleh pergi melawat ke Kampung Budaya di Santubong yang mempamerkan rumah tradisional kaum di Sarawak. Ada juga persembahan tarian setiap kaum di Sarawak. Jika anda datang bercuti ke Kuching, wajib anda datang ke Kampung budaya untuk belajar tentang budaya bagi semua kaum di Sarawak.

Persembahan tarian yang dipersembahkan oleh staf Kampung Budaya

 

Setiap kaum ada baju tradisional mereka, bagi kaum Bidayuh baju tradisional mereka berwarna hitam dan mempunyai selendang berwarna merah di leher. Bagi perempuan ada topi warna merah dan gelang di kaki mereka. Selalunya pelajar Bidayuh akan pakai pakai baju tradisional mereka semasa sambutan pra Gawai dan sambutan hari perpaduan. 

Pakaian tradisional bagi perempuan kaum Bidayuh.

Sepanjang 5 tahun saya mengajar di Serian, saya ada belajar sedikit bahasa Bidayuh, melayu Sarawak dan Iban tetapi tidak berapa fasih, hanya perkataan tertentu. Bahasa Bidayuh banyak saya belajar dari pelajar saya. Ada juga saya cuba bercakap dalam bahasa Bidayuh dengan pelajar supaya saya dapat tingkatkan pengetahuan saya dalam bahasa Bidayuh. 

Kaisah = Tidak perlu

Maan = Makan

Sungkoi = Nasi

Nitih = Rinduh

Dingan = Kawan

Itu adalah antara perkataan dalam bahasa Bidayuh. Bahasa Bidayuh berbeza ikut tempat, bahasa Bidayuh di Serian tidak sama dengan bahasa Bidayuh di Padawan Kuching.

Ramai rakan saya di semenanjung tanya soalan ini

‘Mereka duduk di rumah Panjang ke?’

Rumah di sini sama macam di semenanjung, tiada lagi rumah Panjang cuma di Serian tiada rumah flat atau apartmen. Di kawasan kampung semua rumah batu dan kebanyakan mereka mempunyai kebun sendiri. Ada kebun jagung, lada hitam dan durian. Di sini kaya dengan lada hitam dan di kawasan sekolah saya terkenal dengan durian yang sedap dan bagus. Musim durian dalam bulan desember hingga Februari.

Kepada sesiapa yang perlu merantau mencari rezeki ke negeri orang jangan ada rasa takut dan sedih. Banyak perkara dan ilmu baru yang anda boleh pelajari di negeri orang. Sekurang-kurangnya kita boleh tambah pengalaman yang susah kita nak dapat di tempat lain. Pengalaman ada guru yang terbaik dalam menjalani kehidupan kita.

Saya gunakan rasa takut untuk sahut cabaran mengajar di Sarawak membuatkan saya rasa lebih berani menjalani kehidupan di Bumi Kenyalang. Banyak ujian saya hadapi sepanjang saya menetap di sini dan ujian itu membuatkan saya lebih kuat. Allah sudah diaturkan jalan hidup kita dengan baik sekali tanpa ada cacat cela. 

‘Hanya orang takut yang bisa berani karena keberanian adalah melakukan sesuatu yang ditakutinya maka bila merasa takut anda akan punya kesempatan untuk bersikap berani’

-Buya Hamka-

Apabila kita dihantar ke negeri orang untuk mencari rezeki, kutiplah sebanyak mana  pengalaman di sana supaya kita boleh kongsikan pengalaman yang kita ada di negeri kita sendiri. Semoga suatu hari nanti saya dapat kongsikan pengalaman sepanjang berada di Sarawak dengan anak didik saya di semenanjung.

 

Disediakan oleh,

Munie Kahar

 

Leave a Reply

Loading…

Isu Pendidikan Dalam Orang-Orang Biasa

Quraish Shihab, Sosok Seorang Idola.