in

Penulisan Sejarah; Antara ‘Pop’ Ilmiah Atau Akademik?

Baru-baru ini, media sosial dikejutkan dengan satu pertelingkahan melibatkan golongan penulis ‘pop’ ilmiah dan penulis ‘akademik’ berkaitan penulisan sejarah. Dalam pertelingkahan tersebut, golongan penulis akademik mendakwa penulisan sejarah bercorak ‘pop’ ilmiah itu penuh dengan unsur romantisme, sumber-sumber yang diragui kesahihannya dan digelar ‘segerombolan penipu’. Manakala golongan penulis ‘pop’ ilmiah pula, mereka mempersoal penulis akademik yang banyak menulis dengan laras bahasa yang tinggi, tidak mesra masyarakat dan mementingkan diri.

Secara umumnya, sejarah ditakrifkan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai sastera lama, asal-usul (keturunan), salasilah, riwayat, peristiwa dan tambo. Sejarawan ulung Islam, Ibnu Khaldun di dalam Muqaddimah mentakrifkan sejarah sebagai catatan dan maklumat tentang sesuatu organisasi manusia dan ia serupa dengan peradaban dunia.

Dalam pengajian sejarah, sumber maklumat merupakan subjek paling teras dalam pengajian tersebut. Di antara pelbagai jenis sumber maklumat berkaitan sejarah, sumber dalam bentuk penulisan merupakan yang  paling kerap dikaji dan ditelaah.

Penulisan  bercorak akademik merupakan penulisan yang paling banyak mendominasi bidang sejarah. Ini kerana penulisan tersebut padat dengan fakta-fakta yang mempunyai rujukan dan sumber yang sangat autentik. Penyelidikan-penyelidikan yang dijalankan oleh para pengkaji dan ilmuan dimuatkan dalam jurnal, kertas kerja, tesis dan buku dengan memenuhi disiplin penulisan dan metodologi penyelidikan yang sangat ketat dan tinggi di samping laras bahasa yang disifatkan agak jargon. Kebiasaannya, penulisan sejarah berbentuk akademik ini dibaca, dikaji dan dibahas oleh para pengkaji, pensyarah-pensyarah, dan pakar-pakar dalam bidang sejarah itu sendiri.

Ketika penulisan akademik menguasai dalam bidang sejarah, lahir pula penulisan yang berbentuk ‘pop’ ilmiah, iaitu satu bentuk penulisan yang lebih santai dan tidak terikat dengan disiplin penulisan yang ketat. Malah, bahasa yang digunakan lebih mesra masyarakat. Para penulis ‘pop’ ilmiah ini lebih selesa memuatkan tulisan-tulisan mereka di laman-laman sesawang, media sosial dan buku-buku. Bahkan, ada juga yang mengarang novel dan cerpen yang berasaskan peristiwa-peristiwa bersejarah buat tatapan masyarakat apatah lagi pemula dalam bidang sejarah.

Pertelingkahan yang berlaku di antara dua ‘mazhab’ penulisan sejarah ini bagi penulis secara peribadi adalah sesuatu yang menyihatkan memandangkan sangat jarang pertelingkahan berbentuk intelektual dibawa ke media sosial apatah lagi yang melibatkan bidang sejarah. Banyak sekali fakta dan ilmu yang boleh dikutip oleh warganet dalam pertelingkahan ini.

Walaubagaimanapun, pertelingkahan ini semakin buruk tatkala muncul adegan tuduh-menuduh, falasi dan tidak kurang juga serangan berbentuk peribadi dan politik. Penulis ingin menekankan bahawa kedua-kedua penulisan ini, tidak kira ‘pop ilmiah’ mahupun akademik membantu dalam bidang sejarah itu sendiri. Masing-masing menyumbang di bidang yang sama cuma pendekatan yang berbeza.

Sebagai seorang yang meminati sejarah, penulis mempunyai beberapa cadangan bagi meraikan di samping meleraikan pertelingkahan kedua-dua ‘mazhab’ ini.

Pertamanya, setiap penulisan yang membabitkan sejarah perlulah diletakkan sumber rujukannya sama ada ‘pop’ ilmiah mahupun akademik. Seperti yang penulis nyatakan di awal artikel ini, sumber maklumat merupakan subjek paling teras dalam bidang sejarah. Oleh itu, meletakkan sumber rujukan adalah amat penting bagi mengelakkan unsur-unsur pembohongan fakta. Dalam hal ini, suka sekali penulis bawakan contoh novel Julia karangan Abu Hassan Morad yang menyisipkan keratan-keratan akhbar sebagai rujukan peristiwa-peristiwa dalam novelnya di bahagian lampiran.

Selain itu, penulisan akademik perlu dirapatkan dengan masyarakat. Sudah tiba masanya akses kepada penulisan sejarah berimpak tinggi dibuka kepada masyarakat dan dibedah secara umum. Ramai sekali peminat dan pencinta sejarah yang ingin mendapatkan penulisan-penulisan sejarah yang dihasilkan oleh para sarjana dan pakar sejarah namun terhenti disebabkan terhadnya akses terhadap penulisan-penulisan tersebut. Ada juga yang sudah mendapat akses namun tidak dapat memahami penulisan tersebut dengan lebih jelas disebabkan tiada penerangan lanjut dibuat oleh para sarjana tersebut.

Apabila menyebut tentang pertelingkahan, sudah semestinya wujud istilah debat dan diskusi. Penulis amat bersetuju andai diadakan diskusi ilmiah di antara para penulis ‘pop’ ilmiah dan akademik. Namun, diskusi yang dijalankan seharusnya bebas daripada unsur-unsur emosi, ego dan tuduh-menuduh yang tidak berkesudahan. Diskusi yang baik adalah diskusi yang bebas dari unsur-unsur falasi dan penuh beradab. Bukankah Kesopanan dan Kesusilaan itu prinsip dalam kehidupan kedua-dua kumpulan penulis?

Dalam mengkritik sesebuah penulisan, membaca dan menilai bahan-bahan yang ingin dikritik menjadi keutamaan setiap pengkritik. Seperti seorang juri chef mengkritik masakan para peserta acara memasak dengan merasai terlebih dahulu sebelum mengkritik, begitulah juga dalam penulisan. Tidak adil untuk menuduh satu-satu buku atau jurnal itu picisan, tidak laku, lapuk dan sebagainya tanpa melakukan proses pembacaan dan penilaian yang sewajarnya. 

Penulis secara peribadi lebih suka melihat pendekatan kritikan penulisan yang dibawa oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil terhadap fakta-fakta dalam novel Hijrah tulisan Abdul Latip Talib kira-kira 7 tahun yang lalu. Kritikan yang sangat sopan dan berilmiah di samping menunjukkan Ustaz Hasrizal sendiri telah membaca dan melakukan penilaian terhadap novel tersebut.

Mengakhiri artikel ini, penulisan ‘pop’ ilmiah dan akademik sangat membantu dalam bidang sejarah. Tidak dinafikan kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan, namun tidak boleh dijadikan penghalang untuk kedua-duanya berjasa dalam bidang sejarah. Walaubagaimanapun , pelajari dan hayatilah sejarah kerana ianya iktibar di masa lalu dan pedoman di masa hadapan.

Disediakan oleh,

Muhamad Fariz Azmi,

Peminat dan Pencinta Sejarah,

Leave a Reply

Loading…

10 Kata-Kata Menginspirasikan oleh Buya Hamka

Ke Masa Depan atau Ke Masa Lalu?