in

Patuh SOP adalah Sebahagian daripada Ibadah dan Taat Kepada Allah

Islam adalah suatu cara hidup yang menyeluruh. Bermula dari kita bangun tidur di awal pagi sehingga kita kembali tidur di waktu malam. Bermula dari di tiupkan roh di alam rahim sehingga kita dibangkitkan semula di negeri abadi akhirat kelak. Maka segala gerak geri dan amal perbuatan adalah mesti bertujuan taat dan patuh kepada Nya. 

Ibadah adalah suatu bentuk ketaatan kita kepada Allah Azza Wa Jalla. Taat dalam melakukan suruhan Nya dan taat dalam meninggalkan larangan Nya.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 102 yang bermaksud :

” Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwa lah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada Nya, dan jangan lah sekali-kali kamu mati melainkan dalam beragama Islam “

Maksud taqwa kepada Allah membawa makna melakukan ketaatan kepada Nya dengan melakukan suruhan Nya dan menjauhi segala larangan Nya. Termasuk dalam suruhan Nya adalah mentaati pemerintah. Dalam banyak ayat Al Quran, seringkali di ulang ayat tentang taat kepada pemerintah. Maka dalam segala hal pentadbiran, apa yang telah di putuskan oleh pemerintah menjadi kewajipan kita untuk mentaatinya selagi mana arahan tersebut tidak melanggar syarak. 

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

” Hendaklah kamu dengar dan patuh (kepada pemerintah) walaupun belakang kamu di pukul dan harta kamu diambil “

Kata al Syahid Syeikh Dr. Said Ramadan al Buti, hikmah disebalik wasiat hadis ini supaya tidak terbuka pintu fitnah yang tidak mampu di tutup oleh sesiapa pun selepas ini. Hadis ini juga menjelaskan kepada kita bahawa ketaatan kepada pemerintah adalah kekal selama mana arahan tersebut tidak menyanggahi syarak. 

Maka, pematuhan SOP yang telah diputuskan oleh para pemerintah dengan mengambil kira maslahah ummah dan hal itu tidak bercanggah dengan Al quran dan As Sunnah, wajib kita dengar dan kita taat. Usah timbulkan persoalan konspirasi, agenda yahudi dan sebagainya. Ini semua boleh membuka ruang fitnah dan memburukkan lagi keadaan. 

Ibadah kepada Allah bukan sahaja dalam hal solat, puasa, zakat dan haji sahaja bahkan mentaati arahan atau undang-undang yang diputuskan oleh pemerintah yang sah juga merupakan satu ketaatan dan ibadah kita kepada Allah. Sebaliknya, jika kita melawan, ingkar dan tidak mematuhi SOP, hal ini bermaksud bahawa kita sudah tidak mentaati arahan Allah kerana tidak mendengar dan mentaati pemerintah. 

Firman Allah SWT dalam surah al Anbiya’ ayat 7 yang bermaksud : 

“…maka tanyakan lah olehmu pada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui”

Berhentilah daripada terus mencetuskan teori konspirasi dan sebagainya. Rujuk dan bertanya kepada ahlinya sekiranya tidak berpuas hati. Keputusan solat dengan jarak 1 meter bukanlah semudah belajar ‘ABC’. Namu, percayalah bahawa Allah sedang mendidik kita supaya tidak terlalai dan terleka dengan kehebatan yang kita ada kerana hakikatnya Allah Maha Berkuasa. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita.

Disediakan oleh,

Faidhi Azis

Pemahaman Tentang Ayat-Ayat Sifat Allah

Mengubah Ciptaan Allah SWT; Antara Larangan dan Keperluan Menurut Perspektif Al-Quran.