in

Kenapa Ada Syurga dan Neraka?

Persoalan ini seringkali ditanya oleh mereka yang bukan muslim. Malah kadang kala terdapat segelintir masyarakat orang muslim juga tertanya-tanya apakah relevan Allah menciptakan syurga dan neraka andai Allah itu bersifat dengan Maha Pengasih ? Sekiranya benar Allah itu Maha Pengasih, mengapa tidak mengampuni semua hamba-Nya dengan sifat pengasih-Nya dan memasukkan semua hamba-Nya ke syurga.

Pertamanya, kehendak Allah itu tidak bergantung pada hasrat dan impian makhluk-Nya. Dia berkehendak dengan menciptakan apa-apa sahaja meski pun tidak rasional di akal makhluk Nya. Hatta, malaikat juga pernah mempersoalkan tujuan Allah menciptakan manusia dan menjadikan manusia sebagai khalifah di atas dunia ini. Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 30 yang bermaksud :

” Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi”. Mereka berkata, ” Adakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosakkan dan menumpahkan darah di sana sedangkan kami sentiasa bertasbih dan mensucikan Mu ?”. Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

Demikian dialog Allah bersama para malaikat-Nya yang mempersoalkan tentang rasional menjadikan manusia sebagai khalifah walhal para malaikat mendakwa Allah lebih mengetahui bahawa manusia ini akan merosakkan dan bergaduh berperang sesama sendiri. Namun atas kehendak-Nya, tidak ada yang lebih mengetahui melainkan hanya Dia.

Keduanya, tujuan penciptaan syurga dan neraka ini adalah ujian bagi para hambaNya yang benar-benar mendambakan keredhaan-Nya. Sekiranya tiada syurga dan neraka, nescaya manusia jahat juga akan di lihat sebagai baik kerana tiada ada yang perlu di bimbangkan sekiranya melakukan kezaliman. Boleh juga kita katakan bahwa penciptaan syurga dan neraka juga adalah suatu kayu ukur motivasi manusia untuk melakukan kebaikan dan amaran kepada manusia untuk menjauhi kezaliman.

Maka timbul lagi persoalan, apakah neraka diciptakan bertujuan menghukum hamba Nya semata-mata ?

Jawapannya sudah tentu tidak. Allah Azza Wa Jalla tidak akan sesekali menghukum seseorang hambaNya melainkan setelah datangnya peringatan dan ancaman kepadanya. Allah dengan sifatNya yang Maha Pengasih, tidak akan menghukumkan seseorang melainkan setelah membawa utusan untuk membimbing umat.

Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah an Nahl ayat 36 yang bermaksud :

” Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan seorang Rasul untuk setiap umat (untuk menyeru), “Sembahlah Allah, dan jauhilah taghut”, kemudian di antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang tetap dalam kesesatan…..”

Setelah diutuskan Rasul, maka menjadi hak manusia memilih sama ada untuk menerima atau menolak dakwah dan seruan para Nabi dan Rasul. Oleh itu, setelah membuat pilihan, maka manusia itu sendiri akan bertanggungjawab dengan apa yang telah dipilihnya dahulu. Untuk itu, setimpal dengan apa yang diterima sama ada syurga atau neraka berdasarkan pilihan yang telah kita sendiri tentukan.

Penciptaan syurga dan neraka tidak menafikan sifat kasih sayang Allah pada para hamba Nya. Ibarat ujian untuk melihat kesungguhan para hamba Nya melayakkan diri sebagai ahli syurga atau neraka.

Begitu juga dengan sistem pendidikan hari ini. Mengapa perlu adanya ujian peperiksaan ? Adakah para guru tidak kasih akan anak muridnya ? Sudah tentu tidak. Ujian peperiksaan dijalankan adalah bertujuan menguji kemampuan para murid semata-mata.

Demikianlah mengapa adanya syurga dan neraka. Ianya sebuah ujian untuk melihat yang terbaik dalam kalangan hamba Nya. Meskipun Allah lebih mengetahui penghujung nasib hidup kita, namun atas kemahuan Nya juga, Allah boleh mengubah nasib kita dengan kekuasaan dan pengetahuan Nya. Semoga Allah berikan kita petunjuk serta taufik Nya.

Disediakan oleh,

Faidhi Azis

“Abi Kenapa Abi Baca Buku Sendiri?” Pertanyaan Si Anak Buat Seorang Ayah Tulis Buku Penuh Inspirasi

Ayah HAMKA: Tokoh Pembaharuan Nusantara