in

LoveLove

Nyai Ontosoroh, Gundik yang Bangkit Melawan

Sering kali timbul rasa menyesal dalam diri apabila mula membaca buku yang telah dibeli bertahun dahulu. Setelah dibaca, buku itu amat bermakna bagi saya termasuklah buku Bumi Manusia.

Buku Bumi Manusia merupakan buku pertama dalam Tetralogi Buru yang ditulis oleh Pramoedya Ananta Toer, seorang penulis dan nasionalis terkenal Indonesia yang pernah menjadi tahanan politik, malah keseluruhan tetralogi ini memang ditulis ketika beliau dipenjarakan. Begitu fenomenanya penulisan beliau sehingga novel ini pernah diharamkan oleh Jaksa Agung (Peguam Negara) selama setahun selepas diterbitkan.

Watak utamanya iaitu Minke diilhamkan daripada RM Tirto Adisuryo, seorang tokoh kewartawanan Indonesia yang sering mengkritik tajam kerajaan kolonial Belanda. Bumi Manusia yang berlatarkan waktu penjajahan Belanda memaparkan situasi tragis rakyat Indonesia yang kehilangan hak di bumi mereka sendiri.

Terdapat tiga golongan utama yang tinggal di Indonesia ketika itu. Pertama, Pribumi iaitu rakyat asli Indonesia sendiri. Kedua, Indo yang merupakan anak daripada campuran Indonesia dan Belanda (Eropah). Ketiga, Totok iaitu keturunan Belanda tulen dan memiliki kedudukan tertinggi di tanah Indonesia. Ketika itu, usahkan hendak memasuki kedai Belanda dan berpakaian seperti orang Belanda, bertutur dalam Bahasa Belanda juga pasti diherdik. 

“Kowé kira, kalo sudah pake pakean Eropa, bersama orang Eropa, bisa sedikit bicara Belanda lantas jadi Eropa? Tetap monyet!”

Walau bagaimanapun, artikel ini memberi fokus kepada watak seorang wanita pribumi iaitu Nyai Ontosoroh. Nyai adalah panggilan kepada wanita yang tinggal bersama seorang lelaki dan melahirkan anak untuknya tanpa sebarang ikatan perkahwinan. Begitulah yang terjadi kepada Nyai Ontosoroh atau nama sebenarnya Sanikem, dijual oleh ayahnya sendiri kepada lelaki Belanda bernama Herman Mellema tanpa sebarang belas kasihan hanya demi satu kenaikan pangkat.

Ketika itu, wanita pribumi umpama manusia kelas kedua yang masih belum berhak mendapat peluang pendidikan. Namun, perkahwinan Nyai Ontosoroh dengan Herman Mellema membuka ruang untuk dirinya menuntut ilmu, belajar mengenal huruf dan membaca sehingga Nyai Ontosoroh mampu mengurus perniagaan sendiri tanpa bantuan orang lain.

Pasti ramai orang memandang rendah statusnya sebagai seorang nyai, namun dengan ilmu yang ada, bicaranya tidak ubah seperti wanita Belanda sehingga Minke yang merupakan lulusan sekolah HBS (sekolah menengah di Indonesia milik Belanda) berasa kagum dengannya. Bagi Nyai Ontosoroh, dengan ilmu pengetahuan sahahalah boleh meletakkan dirinya di tempat yang tinggi semula selepas maruah dipijak-pijak kerana menjadi seorang gundik.

Lumrah penjajah, mereka pastinya tidak mahu langsung dikalahkan oleh pribumi yang mereka jajah.

“Tak bisa mereka melihat Pribum tidak penyek terinjak-injak kakinya. Bagi mereka Pribumi mesti salah, orang Eropa harus bersih, jadi pribumi pun sudah salah.”

Kematian Herman Mellema menyebabkan Nyai Ontosoroh diheret ke perbicaraan mahkamah untuk mencari pembunuh sebenar. Pegawai Belanda mengambil peluang itu untuk meletakkan pribumi serendah-rendahnya dan cuba menuduh Nyai Ostosoroh sebagai pesalah kerana dialah orang yang paling untung dengan kematian itu. Seluruh perniaagaan akan jatuh ke tangannya. Dalam sesi perbicaraan, Nyai Ontosoroh berterusan diherdik kerana tarafnya sebagai pribumi dan ‘nyai’.

Pram terus mengangkat wanita menjadi hero dalam cerita ini saat Nyai Ontosoroh langsung tidak takut bersuara di hadapan para hakim dan para pegawai sehingga membuat mereka menelan kesalahan mereka sendiri.

“Siapa yang menjadikan aku gundik? Siapa yang bikin mereka jadi nyai-nyai? Tuan-tuan bangsa Eropa, yang dipertuan. Mengapa di forum resmi kami ditertawakan? Dihinakan? Apa tuan menghendaki anakku juga jadi gundik?”

Begitu tidak adil undang-undang Belanda ini! Disebabkan Nyai seorang pribumi, maka dia langsung tidak berhak kepada anak yang dikandung dan dilahirkannya sendiri hanya kerana anaknya seorang Indo. Kerana ego sang kolonial, sanggup mereka memisahkan si ibu dan anak. Walaupun tewas, Nyai tidak menyerah awal. Pelbagai cara diusahakan demi mempertahankan anaknya iaitu Annelies. Dicarinya peguam terbaik yang boleh membantu, dilawan sahaja pengawal yang dihantar pegawai Belanda yang cuba mengatur rumahnya dan dihantarkan utusan bagi menemani anaknya ke Belanda.

Penjajah tidak boleh sewenang-wenangnya membuli pribumi di bumi mereka sendiri.

“Kita telah melawan, Nak, Nyo, sebaik-baiknya, sehormat-hormatnya.”

Begitu teguh dan lantangnya suara seorang wanita yang bernama Nyai Ontosoroh. Watak seorang wanita yang diangkat Pram di dalam karya Bumi Manusia. Walaupun Nyai Ontosoroh hanya watak yang direka tetapi Nyai Ontosoroh adalah watak yang begitu dekat dengan Pram. Di dalam sebuah wawancara, Pram berkata, “Ia merupakan perpaduan daripada Ibu saya sendiri. Saya terlalu dekat dengan Ibu saya. Dialah guru saya.

Disediakan oleh,

Nuraina Akmal


Hantar karya anda di emel [email protected]

Al Furai’ah: Wanita Madinah yang Hartawan dan Dermawan

Ibu Hamil dan Menyusukan Anak, Golongan yang Diberikan Kelonggaran Berpuasa