in

LoveLove AngryAngry CryCry CuteCute

Novel Atau Bahan Bacaan Ilmiah?

Menghadapi fasa isolasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan menyebabkan ramai buntu apa yang harus dilakukan di rumah. Bosan juga memenuhi hari dengan menonton rancangan televisyen sahaja. Itupun rancangan yang kerap diulang-ulang.

Namun tiada hari yang bosan buat penggemar buku. Hari-hari mereka dipenuhi dengan aktiviti membaca buku sehingga berjam-jam. Mereka betah membaca lebih-lebih lagi jenis individu yang teguh berprinsip bahawa dengan membaca bukan sahaja dapat memanfaatkan masa lapang malah dapat juga mencambah idea dan meningkatkan kemahiran berfikir. Bagi yang baru bertatih menjadikan ‘membaca buku’ sebagai hobi yang baru, mungkin mereka akan tertanya buku apa yang harus mula dibaca? 

Jika diamati, banyak sekali bahan bacaan yang menapak di pasaran. Mereka boleh mula memilih sama ada membaca novel atau bahan bacaan ilmiah yang menjadi kategori umum dalam asas bahan bacaan. Banyak novel dalam kategori seperti novel islamik, novel cinta, novel kanak-kanak, novel sejarah dan lain-lain. Bahan bacaan ilmiah pula terdiri daripada artikel, jurnal, ataupun surat khabar dan sebagainya.  Yang mana perlu diutamakan, baca novel dahulu atau bahan bacaan ilmiah?

Hakikatnya kedua bahan bacaan tersebut saling mengandungi kelebihan isi penulisannya masing-masing. Selalu terjadi situasi pensyarah di universiti yang terkilan dengan kurangnya reaksi pelajar terhadap perbahasan dalam isu-isu semasa yang berkaitan dengan bidang pengkhususan mereka. Mereka mendakwa bahawa pendedahan kepada bacaan novel cinta atau tayangan filem antara punca kurangnya daya berfikir pelajar dalam sesuatu permasalahan. Kesannya pelajar tidak berfikiran kritis malah sekecil-kecil asas perbahasan dalam bidang mereka pun tidak boleh dikuasai mereka.

Mungkin sahaja kerana novel-novel dilihat lebih membawa unsur penceritaan yang kita pasti kebanyakannya adalah auta dan direka-reka. Hakikatnya, novel yang pelbagai genre tersebut mampu memberi impak positif kepada individu pembaca dari sudut praktikal.

Berdasarkan pengkajian, novel sebenarnya berkebolehan dalam aspek penerapan motivasi yang lebih berkesan. Misalnya ketika sedang sedih, lalu novel yang dibaca memaparkan sosok individu yang bangkit daripada kesedihan. Pasti sahaja pembaca akan cuba mempraktikkan cara untuk bangkit berdasarkan kisah yang dibaca.

“Oh, kalau sedih perlu buat begini. Tengok orang ini pun sedih, tapi dapat bangkit, kiranya aku pun boleh jadi seperti dia”.

Novel seolah-olah dapat memberi rasa kepada apa yang dirasakan oleh pembaca.

Dalam situasi lain, novel juga menawarkan penceritaan praktikal menghadapi cabaran hidup. Membaca novel dapat menerapkan ilham pembacaan bagaimana untuk berhadapan situasi yang mencabar. Misalnya,  pembaca akan mengamati situasi yang ditunjukkan di dalam novel bahawa watak ini menghadapi tekanan tugasan yang banyak. Tetapi beliau tidak tertekan kerana beliau mempraktikkan pembahagian masa yang terurus. Pembaca novel tidak semena-mena mengiyakan cerita kerana pasti ada suatu peristiwa mirip dengannya. Walaupun berbeza, tetapi teknik yang dapat diaplikasi itu sama.

Bahan bacaan ilmiah juga ada kelebihannya. Ia menawarkan ilmu berasaskan fakta berdasarkan pemerhatian pengkajian dan lain-lain. Tidak seperti novel, bahan bacaan ilmiah seperti artikel, jurnal dan kertas kerja seminar misalnya lebih menumpukan kepada konsep-konsep ilmu berdasarkan teori.

Misalnya ketika dirundung sedih, ada artikel memaparkan bagaimana seharusnya kesedihan dapat diatasi dan mengapa ia perlu diatasi. Tetapi tidak ramai pembaca yang dapat mengaplikasi ilmu teori dalam kehidupan. Begitulah, novel memonopoli aspek praktikal tetapi bahan bacaan ilmiah menawarkan pemahaman daripada aspek teori. Keduanya saling diperlukan oleh pembaca.

Bagus sebenarnya ketika ada pensyarah yang memerli pelajarnya yang kurang gemar membaca bahan ilmiah. Kerana ketika di universiti, akan ada satu kursus penulisan ilmiah yang menuntut pelajar untuk mendalami bidang pengkhususan mereka. Tanpa pembacaan bahan ilmiah yang banyak, sudah pasti pelajar tersebut akan kekeringan idea. Tambahan penulisan ilmiah hanya memerlukan sejumlah fakta yang banyak dengan bahasa yang cukup ringkas. Tidak memerlukan gaya bahasa yang ‘berbunga-bunga’ seperti yang selalu dihidangkan seperti di dalam bahan bacaan novel.

Bahan bacaan ilmiah membuatkan kita berada dalam realiti sementara bahan bacaan novel membuatkan kita terbang dalam dunia penuh emosi.

Bagi yang sedang menyiapkan latihan ilmiah, sangat disarankan untuk memberi tumpuan kepada bahan bacaan ilmiah. Kerana ia membantu dalam membuat sebuah penulisan yang mantap dengan bahasa fakta bukan bahasa emosi. Bagi yang sebaliknya, pemilihan bahan bacaan diwaktu lapang adalah berdasarkan keperluan kalian. Tiada isu sebenarnya kerana ada sahaja individu yang boleh merangka dua pemikiran dalam suatu masa. Satu jam penulisan fakta, selang sejam penulisan auta. Terserah kepada diri setiap individu.

Sebenarnya tiada penetapan syarat khusus dalam pemilihan bahan bacaan. Bergantung kepada keperluan individu. Tidak tertakluk kepada mana-mana cara khusus. Apa yang pasti keduanya merupakan alat yang dapat dimanfaatkan diwaktu lapang. Novel atau bahan bacaan ilmiah? Pilihlah apa yang perlu menurutmu. Yang penting, budayakan membaca supaya dapat mengisi masa lapang kita!

Disediakan oleh,

Zahidah Ruslan

Kemelut Politik Kartel: Siapa Mangsa?

Adakah Neraka Untuk Jiwa-Jiwa Yang Membunuh Diri?