in

Menjadi Pelajar Muslim di Amerika Syarikat

Setiap pelajar yang diberikan rezeki untuk melanjutkan pengajian di luar negara pasti mempunyai kisah masing-masing mengenai kehidupan sebagai pelajar antarabangsa. Kisah saya seorang manusia yang membawa identiti diri yang berbeza daripada rakan-rakan sekelas dan masyarakat setempat.

Saya seorang pelajar Iowa State University di Amerika Syarikat dalam bidang Psikologi dan turut mengambil pelbagai subjek bawah bidang sains sosial yang lain. Terdapat beberapa peristiwa yang membuatkan identiti saya sebagai seorang Muslim menjadi tumpuan masyarakat.

Di dalam kelas, saya satu-satunya pelajar antarabangsa yang Muslim. Maka, jika ada perbincangan atau perbualan yang menyentuh soal agama, saya yang akan ditanya untuk mendapatkan perspektif yang berbeza. Jika tiada yang bertanya, saya sendiri yang menyoal tentang sesuatu isu yang berkaitan dengan agama Islam.

Salah satu subjek yang mencabar untuk saya adalah Introduction to Queer Studies. iaitu subjek yang membincangkan perihal sejarah, sosiologi, budaya, psikologi, politik, sastera, kesenian, dan falsafah yang mendasari golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, dan queer (LGBTQ).

Pada 15 April 2013, pensyarah kami hadir ke kelas dengan kelihatan sangat sugul dan bertanya adakah kami sudah maklum dengan peristiwa pengeboman yang berlaku ketika acara Boston Marathon. Pensyarah kami berbangsa Yahudi yang berasal dari Northampon dan acara tersebut memang sangat dekat dengan hatinya kerana beliau salah seorang pengamal LQBTQ.

Sepanjang kelas berlangsung, beliau hanya memainkan video berita secara langsung berkenaan peristiwa tersebut. Saya pula sudah tidak senang duduk menonton berita tersebut. “Janganlah disebut Islam atau Muslim”, cetus hati saya. Jika dipetik nama Islam atau Muslim dalam laporan berita itu, saya akan bersuara bahawa kezaliman yang dilakukan atas nama Islam bukanlah datang daripada ajaran Islam yang sebenar, melainkan salah faham interpretasi atau penyalahgunaan ayat al-Quran untuk kepentingan peribadi.

Seorang rakan sekelas saya tegas menyatakan bahawa rakyat Amerika sering menyalahkan golongan tertentu sebagai dalang apa-apa peristiwa kekejaman yang berlaku di negara itu. Walhal, setiap golongan tidak kira agama atau kaum mempunyai kecenderungan melakukan keganasan.

Kita mudah untuk bersikap prejudis apabila berlaku peristiwa-peristiwa keganasan dan menunding jari kepada sesebuah golongan hanya kerana ia sepadan dengan imej mereka. Ada juga sesetengah orang yang tidak menzahirkannya dan ada sesetengah orang yang bersungguh-sungguh menegakkan perkara yang belum pasti.

Selain isu keganasan, isu kebebasan ekspresi dalam menentukan gender sendiri juga adalah pengalaman yang saya tempuh ketika pengajian. Salah satu buku teks untuk subjek Introduction to Queer Studies adalah “Gaga Feminism: Sex, Gender, and the End of Normal”. Saya keliru untuk menggunakan kata ganti diri apa untuk merujuk kepada penulis buku tersebut iaitu J. Jack Halberstam.

Saya sukar mengenalpasti adakah beliau seorang lelaki atau perempuan daripada gambarnya di buku. Daripada pembacaan, penulis sering dirujuk dengan beberapa nama dan kata ganti diri. Untuk keluar daripada perselisihan pendapat, saya gunakan sahaja nama Halberstam itu sendiri, tiada he atau she, apalagi kata ganti nama yang neutral seperti zie atau sie.

Pada musim panas 2012, saya menjalani latihan praktikal untuk subjek Criminal and Juvenile Justice Practicum di salah satu rumah pemulihan akhlak untuk remaja di bawah Youth & Shelter Services, Inc (YSS).

Saya berkesempatan menghadiri sesi latihan Safe Zone yang bertujuan melahirkan personel YSS yang berkelayakan dalam memberi perkhidmatan, termasuklah mewujudkan suasana yang tidak mendiskriminasi mana-mana individu atas dasar usia, bangsa, jantina, identiti, keturunan, agama, nasionaliti, orientasi seksual, dan kelainan upaya.

Namun, saya lihat latihan Safe Zone itu lebih berfokus kepada melatih personal supaya mewujudkan persekitaran yang selamat dan tiada diskriminasi bagi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, queer, questioning, interseks, dan allies (LGBTQQIA). Jika diikutkan, banyak lagi kategori yang ada dan panjang lagi akronim tersebut.

Antara latihan yang dilakukan adalah untuk memilih kata ganti diri yang menjadi pilihan dan menulisnya di atas kertas. Kemudian, kami berkenalan antara satu sama lain dan bertanya apa kata ganti diri pilihan individu tersebut. Contoh soalan adalah “What is your preferred pronoun?” dan “What pronoun should I use to refer to you?”.

Latihan ini bertujuan supaya kami tidak semudah-mudahnya menganggap yang individu di hadapan ini lelaki atau perempuan semata-mata berdasarkan fizikalnya. Hal ini kerana, ada golongan yang dari awal-awal lagi tidak mahu masyarakat membentuk pemahaman dan jangkaan daripada kumpulan gender yang konvensional, sama seperti yang dikehendaki penulis J. Jack Halberstam.

Pada awalnya, saya beranggapan bahawa masyarakat Barat amat mudah menerima golongan LGBT kerana sikap keterbukaan mereka. Ternyata saya salah! Salah seorang petugas di YSS yang bermazhab Katolik memberitahu saya bahawa dia sendiri tidak menerima hubungan songsang dan gaya hidup yang diamalkan oleh golongan ini.

Saya juga berkongsi kepada beliau bahawa Islam juga mengharamkan hubungan sedemikian dan manusia harus menerima dan tidak mengubah kejadian fitrah sejak dilahirkan. Malah, lelaki dan perempuan memang dicipta berbeza dan mempunyai tanggungjawab masing-masing.

Sayangnya, apabila kita dilihat tidak bersetuju dengan golongan ini, kita dianggap tidak menghormati hak individu lain. Walhal, Pencipta kita yang menentukan hak kita sebagai manusia.

Sepanjang saya menjalani latihan praktikal di YSS, banyak soalan yang ditanya oleh penghuni, atau kami panggil sebagai klien, di pusat tersebut. Daripada nada dan cara mereka bertanya, saya fikir mereka hanya ingin mengetahui dan bukanlah sebagai provokasi atau mempersoalkan ‘keganjilan’ cara hidup saya. Usia mereka yang baru belasan tahun dan berkemungkinan mereka masih belum terdedah dengan kewujudan amalan agama dan budaya lain di dunia ini.

Antara soalan yang pernah ditanya mereka adalah kenapa saya tidak pernah menjamah sekali hidangan yang dihidangkan dengan mereka. Kebiasaannya saya hanya makan buah sebagai ‘ambil syarat’ sahaja. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya hanya boleh makan daging yang disembelih dengan cara tertentu dahulu. Daging khinzir awal-awal lagi memang diharamkan untuk makan dalam Islam. Belum lagi disebut tentang bahan-bahan lain dan cara masakan yang mungkin bercampur halal dan haramnya.

Mereka juga bertanya tentang pemakaian saya menutup keseluruhan tubuh tatkala musim panas yang membahang. Saya menjelaskan bahawa menutup keseluruhan tubuh kecuali wajah dan tapak tangan adalah kewajiban bagi seorang wanita apabila keluar atau bersama dengan lelaki yang boleh dikahwini.

Jawapan-jawapan yang diberikan zahirnya seperti sudah menjelaskan persoalan-persoalan yang dikemukakan. Jawapan saya ringkas. Kenapa buat begini? Kerana agama saya suruh. Kerana tidak buat begitu? Kerana agama saya larang. Semuanya kerana agama. Namun, terdetik sesuatu di hati saya. Apakah yang mereka fikir tentang Islam berdasarkan jawapan yang saya beri?

Bagi seorang remaja yang mahukan keseronokan dalam kehidupan, Islam sepertinya merampas peluang untuk berseronok. Islam melarang memakan haiwan yang tidak disembelih walaupun kelihatan sedap, menyuruh umatnya menutup aurat walaupun ketika cuaca panas, menghalang hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin walaupun mereka suka sama suka, dan pelbagai lagi suruhan dan larangan.

Pernah saya nyatakan kepada mereka bahawa suruhan dan larangan dalam Islam adalah untuk kebaikan manusia juga. Boleh jadi kebaikannya tidak diperolehi serta-merta, tetapi akan dinikmati pada masa akan datang. Islam melarang banyak perkara kerana mahu mengelakkan terjadinya masalah yang lebih besar. Saya berharap mereka boleh faham perkara tersebut.

Menjadi Muslim dan dikelilingi oleh majoriti yang bukan Muslim membuatkan saya berada dalam posisi yang perlu sentiasa bersedia untuk menyampaikan dan bersoal jawab tentang Islam. Mujur sepanjang pengajian saya di sana, saya tidak pernah berhadapan dengan situasi provokasi. Malah, kami saling menghormati atas dasar sesama manusia walaupun kami berbeza pegangan agama dan gaya hidup.

Saya fikir peluang melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat sebagai peluang dan cabaran untuk saya sendiri untuk lebih mendalami ilmu agama saya.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Pelajar PhD dalam bidang Psikologi di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Mahu Mati Dalam Keadaan Yang Bagaimana?

Apa Pandangan Islam Tentang Pencemaran Alam Sekitar?