Pernahkah anda mendengar tentang sosok seorang wanita yang didiamkan namanya di dalam al-Quran?

Seorang figura yang hanya ditempatkan kecil antara kisah seorang rasul, namun impaknya terasa sehingga ke hari ini. Itulah kisah ibu Nabi Musa a.s. — seorang ibu yang terpaksa berpisah dengan anaknya demi menyahut ilham daripada Allah SWT. Terhimpit kerana perlu mempertimbangkan akibat yang akan diterima daripada setiap keputusannya. 

Masih adakah gelaran ibu untuk ibu yang ‘mengorbankan’ keselamatan anaknya?

“Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya: “Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.”(Surah Taha: 38 – 39)

Jika difikirkan ini bukan sahaja tidak logik malah jauh dari fitrah seorang ibu. Sanggupkah kita sebagai seorang ibu berpisah dengan anak yang baru sahaja melihat dunia. Bahkan, masih ada Firaun dan tenteranya yang sedang rakus membunuh bayi-bayi lelaki itu.

Tidak terbayang bagaimana perasaan dan keadaan ibu Nabi Musa pada ketika itu. Kebiasaannya, ibu-ibu akan sibuk mendodoikan anak, meluangkan masa bersama dan mengawasinya biarpun bahaya itu terlihat jelas. Seperti tidak mahu berpisah!

Namun, siapa sangka air yang tenang akan menjadi bah. Ibu Nabi Musa a.s. perlu memberanikan diri untuk melakukan tindakan yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya sebelum ini.

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.

(Surah al-Qasas:7)

Melalui keserabutan dalam membuat keputusan, Allah SWT sentiasa tahu apa yang berada di dalam hati si ibu. Allah SWT itu tidak pernah kejam dengan hambaNya. Lihat sahaja jaminan yang dijanjikan kepada si ibu tadi.

“Sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.”

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

(Surah al-Qasas:10)

Mendengar kisah Ibu Nabi Musa a.s., kita akan belajar sesuatu. Kisah mengorbankan keinginan yang terhimpit dalam diri malah di luar kebiasaan sebagai seorang ibu. Tiada ibu yang tidak sayang dengan anaknya. Namun, memegang janji Allah bahawa anak tadi akan menjadi seorang Rasul dan kembali padanya, si ibu itu akur.

Bukankah Allah SWT bersama dengan orang yang sabar dan orang yang meletakkan pengharapan kepadaNya?

Tidak semudah kata untuk lalui semua itu. Malah, siapa kita untuk menilai sama ada berat atau ringan ujian seseorang. Walau bagaimanapun, Allah SWT tidak akan menguji jika ia tidak setanding kemampuan hambaNya. Seperti ibu Nabi Musa, kita juga tidak kuat. Tetapi Allah SWT yang mendorong kekuatan itu.

Pengorbanan yang hanya diisi oleh beberapa potong ayat ini telah membina masa depan Musa a.s. sebagai seorang rasul. Kita boleh lihat bagaimana pengorbanan si ibu tadi dalam mengetepikan kepentingan sendiri, menjadikan perjalanan dakwah Nabi Musa itu dicapai.

Kadang-kadang, perkara yang kecil itu terlihat kecil pada kita. Padahal, tanpa disedari impaknya boleh menjadi besar. Adakalanya keputusan kita hari ini sedang meruntuhkan cita-cita dan impian kita. Tidak terbayang semua itu akan terjadi setelah berhempas-pulas dan akhirnya kita pula yang perlu hadap sebaliknya.

Ibu Nabi Musa juga begitu. Mengandung bukanlah sesuatu yang mudah lagi-lagi dengan suasana yang serba tiada kemudahan. Ditakdirkan pula, untuk berpisah dengan bayinya ketika aktiviti pembunuhan bayi lelaki sedang giat dijalankan.

Sungguhpun begitu, si ibu tadi tidak pernah lupa untuk bersangka baik dengan perancangan Allah SWT buatnya. Bukankah Dia sebaik-baik perancang?

Satu saat nanti, kita akan faham mengapa Allah SWT takdirkan kita untuk membuat keputusan sebesar itu. Dan sejujurnya tiada apa yang boleh dititipkan untuk memujuk kamu melewati liku-liku hidupmu. Cukuplah pintaku untuk kita tekuni bersama semangat ibu Nabi Musa ini dan yakin dengan perancangan Allah SWT. 

Apa sahaja yang cuba kamu usahakan, bukankah itu sisi yang paling hampir dengan jiwa seorang manusia?

Menjadi seorang yang sentiasa memberi kasih dan sayang. Menjadi manusia yang memakmurkan bumi ini.

Impian kamu yang dikatakan telah terkubur, tidak akan pernah mati selagi kamu menghidupkan bara itu. Dan jika ia rezeki dan takdir kamu, percayalah masanya akan tiba. Sepertimana, Nabi Musa a.s. dikembalikan kepada ibu yang mencintainya.

Disediakan oleh,

Elina Suraya

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.