Saya pernah bekerja di sebuah syarikat peruncitan global sebelum bertukar kerja. Semasa di tempat kerja lama, beberapa kali saya sertai rakan-rakan kerja bermain badminton secara santai. Setelah bekerja di syarikat baru, ada satu hari saya sertai rakan kerja lama kerana kebetulan ketika itu ada kelapangan. Hendak dijadikan cerita, saya bermain badminton dalam keadaan badan saya berada dalam keadaan keletihan, saya diprovokasi berkali-kali oleh seorang pemain kerana prestasi permainan saya kurang menyenangkan dia. Walhal setahu saya permainan ini ialah secara santai dan rekreasi, bukannya dalam satu pertandingan melibatkan beberapa pemegang taruh (stakeholders). Pertandingan peringkat kampung pun bukan.

Akhirnya, pada set yang kedua, saya beralih ke bangku untuk berehat daripada terus bermain. Jika hendak diikutkan perasaan ketika itu, mahu sahaja dituruti untuk menyumpah seranah. Tetapi apabila memikirkan tentang adab dan akhlak, serta suasana santai bersama bekas rakan sekerja yang lain, lebih baik diam sahaja daripada memarakkan (escalate) keadaan tersebut. Mujur semasa kejadian itu berlaku, seorang rakan yang lain sedar dan berkata secara lembut pada saya, “Set kedua nanti kamu rehat ya”. 

Apabila berlaku kejadian ini di hadapan saya, mengingatkan saya betapa banyaknya kejadian teruk disebabkan sikap jelek kita yang merendahkan orang lain tetapi disaluti dengan istilah provokasi sukan dan bukannya hal peribadi. 

Kejadian yang baru sahaja menggegarkan dunia sukan ialah pada awal Oktober 2022 yang mana berlaku kematian seramai 129 orang ketika perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Indonesia. Kita boleh meraikan perasaan geram dan tidak puas hati terhadap seseorang, tetapi dilarang untuk melampaui batas.

Rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Indonesia

وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

(Tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

(Al-Baqarah 2:190)

Ada orang yang sifatnya bongkak dan meninggi diri. Mereka cenderung kepada perwatakan narsisistik toksik dan tidak peduli nilai-nilai murni yang ada seperti berakhlak mulia, sabar dalam konflik, berkata baik, dan menghormati orang lain sekalipun pihak lawan. Kebiasaan yang ada pada orang begini kerana Allah telah mengurniakan bebeberapa kelebihan pada mereka dalam bentuk kewangan, kesihatan, peluang baik, dan lain-lain. Ini yang disebutkan sebagai ‘istidraj’, iaitu kurniaan yang diterima Allah tetapi semakin sesat dalam melakukan kemungkaran.

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”

(Riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan al-Tabarani)

Kadangkala kita tertanya-tanya kenapa individu begini tiada akal budi (common sense) dalam perkara yang jelas. Contoh kes saya di atas, apakah sebab tidak boleh berkata baik apabila ingin seseorang melakukan sesuatu. Dia boleh sahaja cakap dengan elok dengan saya untuk pergi berehat kerana mahu bermain dengan orang yang lebih handal, tetapi itu tidak dilakukannya. Sebaliknya mengeluarkan perkataan kurang ajar untuk menyakitkan hati dengan harapan kita beredar dari situ walhal tujuannya sama. 

Justeru, tidak semua orang memiliki akal budi yang sihat sekalipun menginjak usia tua dan bergaul dengan ramai orang. Walaupun lebih banyak ‘makan garam’ bukanlah ukuran kematangan perilaku. Apabila difikirkan, inilah yang dipanggil sebagai hasutan syaitan dan belitan hawa nafsu yang menguji setiap insan. 

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ 

Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak-anak Adam melalui saluran darah.”

(Riwayat Bukhari)

إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي

Kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.”

(Yusuf 12: 53)

Sepanjang menjalani kehidupan, saya kira para pembaca turut pernah mengalami situasi dipandang rendah. Selain pengalaman sewaktu beriadah itu, ada satu lagi insiden yang tersimpan dalam ingatan. 

Ketika itu ialah hari saya menduduki ujian pemanduan kereta atau lesen D. Sebaik sahaja tiba giliran saya masuk ke dalam kereta, pegawai tersebut terus memarahi saya. Pada mulanya beliau mengatakan saya tidak memberikan salam walhal dia tidak mendengarnya. Kemudian, pegawai itu menyuruh saya memandu kereta dengan laju walaupun bukan itu yang diajar oleh sekolah memandu. Sepanjang perjalanan tersebut yang sekejap, dia hanya mengeluarkan kata-kata kesat. Disebabkan malas untuk mengulangi ujian, saya bertindak meminta maaf berkali-kali. 

Pada awalnya, saya anggap mungkin dia hendak menguji kita memandu dalam keadaan stress. Namun, apabila berakhir saya fikir pegawai itu ada masalah kecelaruan fikir dan sakit mental. Jika dilaporkan perkara ini ke pihak atasan, sudah tentu saya tidak ada sebarang bukti untuk mengukuhkan dakwaan. Itulah realiti dunia ini. Kejadian ini berlaku pada tahun 2017 dan kebetulan pada 2018 telah dilaporkan media mengenai kes gangguan seksual pegawai JPJ terhadap gadis 17 tahun ketika ujian pemanduan. Walaubagaimanapun, pegawai tersebut hanya dipindahkan ke bahagian lain sementara siasatan lanjut dijalankan terhadap kes itu.

 Daripada dua kejadian ini menunjukkan bahawa betapa rosaknya akhlak kita hanya kerana tiada saksi dan rakaman. Orang yang merasakan diri dia lebih tinggi kedudukannya berbanding kita dengan mudah mengambil kesempatan dan memandang rendah. Keadilan tidak semestinya akan berpihak pada kita kerana kekurangan bahan bukti tetapi tempat yang paling adil ialah pada hari akhirat yang tiada sebiji zarah pun terlepas daripada dihakimi Tuhan Maha Besar.

نَّمَا أَنَا بَشَرٌ وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ، وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي عَلَى نَحْوِ مَا أَسْمَعُ. فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا فَلاَ يَأْخُذْهُ، فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنْ النَّارِ

Saya hanyalah manusia biasa, dan kamu mengadukan sengketa kepadaku, boleh jadi sebahagian di antara kamu lebih petah berbicara daripada yang lainnya sehingga aku putuskan seperti yang ku dengar. Maka barang siapa yang aku putuskan (menang) dengan mengambil hak saudaranya, janganlah dia mengambilnya, sebab itu seakan-akan aku memberikan potongan api neraka untuknya.”

(Riwayat Bukhari)

Menurut laporan UNICEF tahun 2020, belia dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan pembuli siber kedua terbesar di benua Asia. Berdasarkan penyelidik dalam kajian tersebut, faktor mereka melakukan buli siber disebabkan ingin mendapatkan perhatian kerana kurang kasih sayang dan kesunyian.

 Berdasarkan kaji selidik lain pada tahun 2014 yang bertajuk “Trolls just want to have fun”, mengesahkan bahawa ‘troll’ ialah orang yang mempunyai sifat narsisistik, psikopatik, dan sadistik. Troll ialah satu slanga internet bermaksud individu yang kebiasaannya menggunakan profil palsu, masuk ke dalam perbincangan dan komen, serta menyiarkan mesej berbentuk sinikal dengan niat untuk mengejek, dan menyakitkan hati orang lain sambil menyimpang daripada tujuan asal perbincangan atau tajuk isu yang berlaku. 

Apa yang menarik ialah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah menulis berkenaan hal ini lalu menyimpulkan bahawa perbuatan troll yang melanggar syariah adalah dilarang dan boleh membawa kepada dosa. Kenapa troll kebanyakan menggunakan profil palsu ialah kerana mereka gemar bersembunyi di sebalik paparan skrin tanpa siapa tahu. Sekiranya kita ingin laporkan ke pihak berkuasa pun, mungkin tidak dilayan kerana memerlukan kerja lebih untuk mengesan siapa suspeknya. Begitulah lumrah dunia, apabila tiada bukti dan saksi, akhlak ternoda dengan kemungkaran terhadap orang lain. 

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.”

(Riwayat Bukhari)

Dalam pergaulan dan interaksi sosial, kadang-kala ada perkara yang kita terlepas cakap atau lakukan pada seseorang. Pada kita itu ialah tidak sengaja dan tak perlu diperbesarkan, tetapi mungkin pada individu yang kena itu bukanlah satu hal yang remeh. Inilah ragam dalam hidup bermasyarakat. Ada juga yang kita menjadi mangsa tetapi kita diamkan sahaja walaupun terguris hati kerana terpaksa menjaga suasana harmoni dan hubungan baik. Perkara ini pada saya agak sensitif kerana mungkin disebabkan kesilapan yang kita anggap kecil, akan dibawa ke mahkamah akhirat dan terpaksa menanggung bebannya nanti. Malah, terdapat kisah apabila Rasulullah pernah memukul seorang sahabat dan bersedia dibalas balik.

بَيْنَمَا هُوَ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ وَكَانَ فِيهِ مِزَاحٌ بَيْنَا يُضْحِكُهُمْ فَطَعَنَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي خَاصِرَتِهِ بِعُودٍ. فَقَالَ: أَصْبِرْنِي. فَقَالَ: اصْطَبِرْ. قَالَ: إِنَّ عَلَيْكَ قَمِيصًا وَلَيْسَ عَلَيَّ قَمِيصٌ، فَرَفَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَمِيصِهِ، فَاحْتَضَنَهُ وَجَعَلَ يُقَبِّلُ كَشْحَهُ، قَالَ إِنَّمَا أَرَدْتُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ

Ketika dia (Usaid bin Hudhair) sedang berbual dengan kaumnya dan di dalamnya terdapat gurauan yang membuatkan mereka tertawa. Maka Nabi SAW telah memukul pinggangnya dengan sebatang kayu. Maka dia berkata: “Beri saya kesempatan untuk melakukan qisas (membalas dengan yang setimpal)”. Beliau bersabda, “Silakan membalas.” Dia berkata, “Kamu memakai baju, sedangkan aku (ketika kamu memukulku) tidak memakai baju.” Maka Rasulullah SAW mengangkat bajunya. Maka dia terus memeluk dan mencium pinggang Rasulullah SAW sambil berkata: “Inilah yang aku inginkan wahai Rasulullah.”

(Riwayat Abu Daud, al-Baghawi, al-Thabarani, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Justeru, hal ini menginsafkan kita. Namun, tidak ramai yang bersedia untuk dibalas balik terhadap apa yang telah mereka lakukan pada orang lain. Lebih parah lagi, mereka menganggap perbuatan mereka itu betul dan perlu dilakukan. Disebabkan mempunyai personaliti narsisistik dan sadistik, keupayaan kognitif seseorang menjadi rosak. Hal ini amat berbahaya sekiranya individu seperti ini memegang jawatan atau peranan yang penting dalam masyarakat. Lantas akan meresap perlahan-lahan sehingga sesuatu kaum itu ditimpa bala oleh Allah. Semoga kita menjadi sebuah masyarakat yang seimbang dalam mengajak kebaikan dan melawan kejahatan.

Disediakan oleh: Muhammad Baha’uddin Hamizan

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.