Home Artikel Dunia Buku Manga: Alat Propaganda?

Manga: Alat Propaganda?

Sebelum perang dunia ke 2, sistem pendidikan Jepun adalah berpandukan The Imperial Rescript on Education dengan meletakkan syarat untuk setiap buku teks yang diterbitkan perlulah diluluskan oleh kerajaan dalam usaha untuk menyebarkan agenda nationalis mereka. Perkara ini diluluskan oleh kerajaan Meiji pada tahun 1890. Namun, perkara tersebut dihentikan apabila Jepun turut serta dalam Perang Dunia ke 2. Amerika Syarikat yang berjaya menduduki Jepun telah campur tangan melalui Pemerintah Agung Kuasa-kuasa Berikat (Supreme Commander for the Allied Powers – SCAP) dengan memadam isi kandungan buku teks yang menurut pandangan mereka merupakan propaganda militan. Keseriusan mereka dalam mengubah isi kandungan buku teks tersebut membawa kepada satu peristiwa yang digelar sebagai “blacked-out textbooks”.

Campur tangan tersebut bertujuan untuk memastikan Jepun mengikut sejarah standard yang diguna pakai di seluruh dunia. Namun, Kementerian Pelajaran, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun yang lebih dikenali sebagai Monbusho mempunyai agenda mereka yang tersendiri iaitu untuk mengekalkan status quo dengan mendesak untuk menggunakan isi kandungan buku teks sejarah mengikut  kemahuan mereka (isi kandungan yang sama sebelum pendudukan Amerika Syarikat).

Bagi menghalang niat Jepun itu, SCAP melaksanakan satu sistem yang memberikan kuasa kepada sebuah badan bebas untuk menilai dan mengesahkan isi kandungan buku teks. Namun, sistem tersebut dimanipulasi oleh pegawai Monbusho dengan menggubal dan melaksanakan polisi yang membenarkan kementerian untuk memilih individu yang akan dilantik untuk mengesahkan kandungan buku teks tersebut.

Setelah perang, selain daripada menggunakan helah dengan memberi kuasa kepada kerajaan untuk menentukan isi kandungan buku teks, beberapa orang sejarawan revisionist membentuk kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Atarashii Rekishi Kyokasho o Tsukurukai ( The Japanese Society for History Textbook Reform atau Tsukurukai). Buku teks yang dihasilkan mereka iaitu Atarashii Rekishi Kyokasho (New History Textbook) telah mendapat banyak kritikan kerana penulisan mereka yang memberi justifikasi mengenai isu sensitif seperti pembunuhan beramai-ramai di Nanjing dan  hanya sekadar mencatat peristiwa berdarah tersebut sebagai “Insiden Nanjing”.

Mereka juga bertindak menggelar  comfort women sebagai pelacur.  Namun, usaha ultra nationalist ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan kerana buku teks yang mereka terbitkan tidak mencapai sasaran jualan mereka iaitu  menembusi 10% pasalan. Mereka sekadar mendapat jualan sekitar 0.04% iaitu hanya terjual kepada 18 daripada 11,102 sekolah menengah.

Walaupun gagal mencapai sasaran yang mereka mahukan mereka tetap bersemangat untuk meluaskan capaian ideologi mereka kepada masyarakat awam dengan menggunakan pelbagai media yang berbeza seperti manga.

Antara manga yang terkenal ialah Sensoron karya nasionalis bernama Kobayashi Yoshinuri yang merupakan koleksi tulisan beliau di dalam kolum sebuah majalah iaitu Sapio. Dalam karyanya itu, Kobayashi mempertahankan tujuan dan tindakan tentera Jepun semasa Perang Dunia ke 2. Karya tersebut mendapat sambutan ramai terutamanya anak muda kerana beliau menggunakan bahasa santai yang digunakan dalam kehidupan seharian untuk membincangkan idea-idea seperti politik.

Sensoron

Tulisan Kobayashi dikatakan memberikan pengaruh yang lebih besar kepada masyarakat umum dibandingkan dengan tulisan ahli akademik kerana manga tersebut dijual sebanyak 650,000 naskhah dan sehingga kini masih terjual dalam pasaran Jepun. Kejayaan ini menyebabkan Kobayashi menerima kritikan daripada ahli akademik melalui artikel dan jurnal mereka kerana menyebarkan idea yang dianggap berbahaya.

Namun, apa yang tidak ahli akademik sedari ialah tulisan mereka tidak mesra pembaca. Hal ini kerana, artikel dan jurnal akademik mereka ditulis dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa yang sukar diakses oleh masyarakat awam. Berbeza sekali dengan manga karya Kobayashi. Walaupun perlulah kita akui bahawa tulisan dan kritikan ahli akademik mampu untuk membawa perubahan dalam polisi dan isi kandungan buku teks, tetapi idea ultra-nationalis Kobayashi lebih dekat dengan masyarakat umum. Begitulah berkuasanya tulisan dalam membentuk masyarakat.

Oleh: Farza Affendy

Rujukan:

Routledge Critical Studies in Asian Education. (2014). Controversial History Education in Asian Contexts. New York: Routledge.

Share:

You may also like

Leave a Reply

Copy link
Powered by Social Snap