“Kenapa selalu ajak aku ke pameran seni? Tahu kan aku bukannya suka melihat sesuatu yang aku tidak faham .” Zaiful Rais menolak ajakan Maheer; rakan serumah yang sangat mencintai lukisan.

“Kau seorang sahajalah yang pergi. Aku sibuk.” Zaiful Rais menyambung sambil menghirup kopi.

Walaupun Maheer bukan seorang pelukis, dia suka mengumpul lukisan-lukisan yang berkenan di hati. Lukisan yang dibeli elok di dalam bingkai di ruang tamu dan di dalam biliknya. Zaiful Rais tidak memahami tetapi masih menghormati minat rakannya. Hanya akan terlepas juga bebelan setiap kali lukisan baharu menghiasi dinding rumah mereka.

Dia tidak mengerti mengapa orang sanggup melaburkan wang demi mendapatkan sebuah lukisan yang akhirnya jadi perhiasan di dinding. Kata Maheer, dia sangat berpuas hati apabila mendapat lukisan yang diinginkan. Wang yang dilaburkan bukan persoalannya kerana harga lukisan tidak boleh dinilaikan dengan wang. 

Di mata Zaiful Rais, lukisan hanyalah gabungan warna yang menjadi hidangan mata. Kemudiannya jadi perhiasan yang digantung di dinding. Tidak bermakna apa-apa. Tidak ada masa untuk cuba menghargai usaha keras pelukis atau ambil tahu sebab lukisan itu dihasilkan. Dia memandang lukisan dengan mata, bukannya dengan mata jiwa. Dia seorang yang bersikap objektif, tiada atau lebih tepat mengabaikan nilai sentimental. 

Malam itu Maheer nekad mengajak Zaiful Rais ke galeri.

“Ikut aku esok. Kawan aku adakan pameran solo pertama beliau. Kau kena rasai sendiri. Ini cakap sahaja, tidak pernah mahu ikut bila aku ajak ke pameran seni.” 

“Ya lah. Sekali sahaja. Tiada kali kedua.” Zaiful Rais mengalah. 

“Sekali untuk merasai pengalaman tidak akan mengubah pendirian.” Begitu bisik hati Zaiful Rais. 

“Yeay! Macam itulah kawan. Jangan nanti kau pula tidak mahu balik.” Sempat Maheer mengacah. 

Jam 11 pagi hari berikutnya, mereka sudah terpacak di ruang pameran. Pameran ini bukan pameran berskala besar. Pameran sulung pelukis muda, Hana Insyirah yang mempamerkan 15 buah lukisan. Alasan Maheer mengajak dia datang awal, kononnya tidak ramai orang. Apa pula tidak ramai, pagi itu acara perasmian. Pengunjung memenuhi ruang pameran. Zaiful Rais mengikuti acara perasmian dengan hati separuh. “Cepatlah habis. Tidak sabar nak balik.” Dia ‘berzikir’ dalam hati.  

Pameran Solo: Warna.” Zaiful Rais membaca buku program yang diterima di pintu masuk. Di mana mahu bermula? Bagaimana orang melihat pameran seni? Terasa janggal berada di tempat yang bukan kebiasaan. 

“…kita bukan hanya  memandang lukisan dengan mata.” Sedikit sahaja kata-kata yang hinggap ke telinga Zaiful Rais. Dia langsung tidak memberikan perhatian. Selesai acara perasmian, dia mengikut Maheer ke ruang pameran lukisan. Walaupun bukan acara besar, pameran solo tentu sangat memberi makna kepada si pelukis.

Zaiful Rais cuba memberi ruang kepada dirinya untuk melihat lukisan yang dipamerkan dengan mata hati. Sekalipun setakat ini dia belum faham lukisan-lukisan yang dilihat. Sekadar menjadi hidangan mata. 

Lukisan yang dipamerkan ada pelbagai saiz, dengan tema yang sama; warna. Zaiful Rais sekadar melihat. Perasaannya masih sama. Di setiap lukisan mereka tidak berdiri lama. Sekadar melewati. Sudah 14 lukisan. Kini mereka di lukisan terakhir. Langkah Zaiful Rais terhenti di situ. Lukisan berwarna biru itu membuat matanya tidak mahu lepas daripada memandang. Semakin lama dilihat, terasa lukisan itu sedang bercerita sesuatu, menarik mata untuk terus memerhati.

Lukisan itu ada warna hitam walaupun tidak banyak. Sebuah lukisan abstrak. Sedangkan lukisan biasa dia tidak faham, apatah lagi lukisan begini. Tetapi ketika dia memandang lukisan itu, terasa lukisan itu seperti sebuah cerita, digambarkan dalam sebuah lukisan yang didominasi warna biru. Dia belum dapat “’ari’ daripada lukisan itu. Kakinya terasa berat dan lemah. Dia kuatkan kaki untuk terus berdiri di situ. 

 “Siap. Jom kita cari makan.” Maheer mengajak dia keluar. Zaiful Rais masih kaku. Dia tidak menyedari keadaan Zaiful Rais.

Hari ini, Maheer sekadar mahu mendedahkan kepada Zaiful Rais pemandangan sebenar di pameran lukisan, jadi dia tidak bercadang berada lama di situ dan akan datang semula pada hari lain. Dia tahu Zaiful Rais juga tidak mahu berlama-lama di situ. 

“Sekejap.” Zaiful Rais belum berganjak. 

“Okey. Ambil masa kau.” Maheer menang. Dia duduk di kerusi berhampiran, memerhati dari situ, memberi peluang kepada Zaiful Rais ‘menikmati’ lukisan itu. 

Zaiful Rais terus memandang lukisan itu. Sebenarnya warna biru bukan warna kegemaran Zaiful Rais. Ada kisah yang mahu dilupakan. Yang berkait rapat dengan warna biru. Perasaan lama yang sudah hampir tertanam dalam hati, muncul semula ke permukaan.

“Ah, buat hal. Sudah kenapa. Aku bukannya faham apa maksud lukisan ini. Tetapi aku merasakan semacam lukisan ini sedang menyampaikan sesuatu.” getus hati Zaiful Rais

Kisah lebih 20 tahun kembali di ruangan mata. Langit biru yang terang dan biru air laut. Dia sedang bermain di pantai. Mereka sekeluarga bercuti di pantai dengan adik perempuan; satu-satunya saudara kandung yang beza dua tahun daripadanya. Suasana hari itu berwarna-warni dan gembira. Biru yang dilihat hari itu menggembirakan. Tetapi biru hari itu berubah menjadi warna tragedi dalam ingatan Zaiful Rais. Siapa menduga hari itu kali terakhir dia bermain-main dengan adiknya. Hari terakhir mereka bersama di dunia. 

Langit biru yang cerah, biru laut yang nampak tenang. Dia sedang menyediakan makan tengah hari dengan ibu. Ayah sedang berehat. Adik meminta izin bermain di gigi air. Suasana tenang sampai terdengar jeritan. “Ada orang lemas.” Dia tidak peduli. Beberapa ketika, dia teringat adik yang belum kembali. Dia berlari. Orang sedang mengelilingi seorang budak. Rupa-rupanya adiknya. Zaiful Rais terkaku.

Kakinya lemah. Dia memegang dinding, menahan diri daripada jatuh. Perasaannya bercampur-campur. “Ah, Mengapa? Mengapa? Mengapa lukisan ini mengembalikan rasa yang aku mahu pendam itu?” Kisah itu sudah disimpan jauh di dalam hati mereka sekeluarga. Seakan-akan ada persepakatan untuk tidak membicarakannya lagi. 

“Encik okey?” Sapaan secara tiba-tiba menyedarkan Zaiful Rais. Mana Maheer? Dia tidak sedar Maheer tiada di sebelah. Tidak sedar berapa lama dia berkeadaan begitu.

“Jom kita duduk di situ. Encik nampak tidak sihat.” Gadis yang menyapanya tadi bersuara.

“Ah, memalukan!” Zaiful Rais tetap mengikut gadis yang menyapanya tadi. Dia betul-betul di luar kawalan.

Selepas beberapa minit, Zaiful Rais mula tenang dan gadis itu mula memecahkan ruang sunyi antara mereka,

“Asyik benar saya lihat encik memandang lukisan itu.” Zaiful Rais tidak tahu menjawab apa. Tidak bersedia dengan situasi itu.

 “Oh. Saya kawan Maheer. Pameran ini mempamerkan lukisan-lukisan saya. Hana. Nama saya Hana Insyirah.” Gadis itu memperkenalkan diri. 

“Oh.” Sepatah dijawabnya. Zaiful Rais memandang gadis di depannya. Berkebaya kosong warna biru muda. Dan lukisan yang membuatkan dia terkaku tadi berwarna biru. Serabut kepalanya. Biru lagi! Warna yang dia tidak suka. Biru warna yang dia mahu elak. Bahkan jika dia membeli pakaian sendiri, tiada yang berwarna biru. Biru tidak lagi menjadi warna yang menggembirakan hati.

Menyedari Zaiful Rais seperti tidak mahu diganggu, Hana Insyirah meminta diri selepas melihat Zaiful Rais sudah tenang. Zaiful Rais menahan. “Maaf. Lukisan tadi mengganggu perasaan saya. Ada hal yang saya sengaja lupakan, tetapi teringat semula saat terpandang lukisan itu.”

“Encik berdiri lama di situ. Saya perhati sejak tadi. Saya takut ada yang tidak kena. Sebab itu saya menyapa. Encik berminat dengan lukisan itu?” 

“Saya sendiri tidak faham. Seakan-akan ada yang menyekat daripada saya pergi daripada terus memandang lukisan itu. Ada tarikan. Ada rasa yang saya tidak boleh ceritakan. Lukisan itu mengingatkan sesuatu yang tidak mahu saya ungkit. Perasaan itu tidak saya rasakan ketika memandang lukisan lain. Bahkan tidak pernah merasakannya saat memandang lukisan sebelum ini.” 

“Encik mahu tahu cerita lukisan ini?” Hana Insyirah membuka cerita. Walaupun dia tidak mengenali lelaki itu, tetap dia mahu berkongsi pengalaman sebagai pelukis. Mana tahu dia juga belajar sesuatu daripada lelaki itu. 

“Jika saudari tidak keberatan.” Mungkinkah ada tali penghubung antara mereka yang membuatkan dia tidak lepas memandang lukisan itu.

“Lukisan biru saya lukis itu melambangkan rindu. Rindu seorang anak kepada ibunya. Biru warna kegemaran emak. Emak yang saya sudah tidak lagi boleh bertemu.”

“Biru. Rindu.” Walaupun Zaiful Rais tidak menyukai biru selepas kejadian yang berlaku, warna biru lukisan itu mengembalikan rasa rindu yang dia sorokkan selama ini. Rindu dia kepada seorang adik. Rindu yang dia simpan sahaja, tidak mahu ibu ayah melihat dia bersedih mengenang satu-satunya adik. Rasa rindulah yang menghubungkan perasaan mereka.

Yang diterjemahkan oleh lukisan biru. Selama ini, biru bagi Zaiful Rais, warna kehilangan dan kesepian. Dan mengingat biru seperti itu. Tiada biru yang menggembirakan selepas peristiwa itu. Sebenarnya warna biru juga warna rindu, yang kembali dalam ingatannya hari ini. Pertemuan dia dengan lukisan itu menjadi sebab ingatannya.  

Zaiful Rais membalas perlahan tetapi masih didengari Hana Insyirah, “Oh, jadi lukisan sebenarnya bukan sekadar gabungan warna tetapi punya makna.” 

Hana ketawa kecil, “Adakah orang melukis, kemudian dipamerkan, tanpa sebab? Tiada orang yang lakukan sesuatu dengan sia-sia, bukan?”

Terasa tidak bijak pula berkata-kata seperti itu. Perasaan melihat lukisan itu sesuatu yang baharu untuk Zaiful Rais. Hatinya terasa lebih tenang, selepas mengetahui kisah di sebalik lukisan itu. Betapa perasaan bukan hanya untuk disimpan tetapi diterjemahkan dengan lukisan dan dikongsi dengan orang lain. Perasaan itu tidak lagi menjadi beban.

“Oh, betapa saya yang tidak endah. Tidak saya tahu dalam lukisan juga ada kisah. Lukisan juga ada makna, bukan hanya untuk dipandang mata.” 

“Kita tidak faham semua perkara. Tidak apalah. Hari ini encik belajar perkara baharu.” Cerita Hana Insyirah membuka mata Zaiful Rais. Zaiful Rais juga membuka kisahnya dengan warna biru.

***

Malam sebelum pameran. Lukisan sudah siap digantung. Persediaan sudah berakhir. Hanya menunggu hari pameran. Hana memandang ruang pameran untuk kali terakhir. Pameran solo pertama pelukis bernama Hana Insyirah. Konsep warna dipilih sebagai tema untuk pameran sulung ini. Warna-warna yang mewakili perjalanan hidupnya. Warna yang menceritakan perjalanan seni seorang Hana Insyirah. 

“Sekiranya emak ada hari ini…” Hana Insyirah mengesat mata. 

Tidak mudah untuk dia meneruskan pameran ini. Dugaan berat datang saat akhir pameran akan berlangsung. Emak yang sepatutnya menjadi orang pertama melihat pameran Hana, baru meninggal dunia sebulan lalu. Ketika mereka bertungkus-lumus membuat persiapan pameran. Hana dan emak hanya banyak berbual di telefon, dan dia tidak berkesempatan pulang ke kampung. Tetapi emak berjanji untuk datang pada hari pertama pameran berlangsung. 

Dia selalu berangan-angan emak melihat pameran sulung yang diadakan ini. Emak juga tidak sabar dan selalu bertanya setiap kali dia menelefon. Emak pergi dalam keadaan mengejut. Dalam tidur, pada suatu malam. Panggilan telefon yang Hana terima awal pagi sebulan lepas, membuatkan dia pulang ke kampung. Tetapi, hanya untuk bertemu jasad emak yang sudah tidak bernyawa. 

Yang emak tinggalkan, baju kebaya biru muda yang sepatutnya mereka pakai sedondon pada hari itu. Baju yang emak jahit sendiri untuk Hana Insyirah pakai pada hari pertama pameran. 

Seminggu selepas emak meninggal dunia, Hana Insyirah kembali menyibukkan diri dengan persiapan pameran yang tergendala sebentar. Kesibukan membuatkan dia tiada masa untuk bersedih. Walaupun perasaan itu tetap dirasakan ketika dia pulang ke rumah. Memandang lukisan-lukisan yang sudah disiapkan dan tema pameran itu, dia tersedar sesuatu. Tiada lukisan yang tema warna biru. 

Biru, warna kesukaan emak. Ketika itulah dia mengambil keputusan untuk menambah satu lukisan terakhir. Lukisan bertema biru. Lukisan biru yang menjadi lukisan ke-15 itu sepatutnya tiada dalam senarai pameran.

Lukisan biru yang disiapkan sepenuh jiwa dan sarat dengan rindu seorang anak terhadap emak yang baru meninggal dunia. Lukisan itulah yang menyentuh rasa Zaiful Rais. Lukisan yang terlihat kaku banyak bercerita. Lukisan punya “nyawa” jika melihatnya bukan hanya dengan mata. Lukisan yang sama menghadirkan rasa dan boleh ditafsirkan dengan banyak makna mengikut siapa penikmatnya. 

***

Belum selesai Zaiful Rais dan Hana Insyirah berkongsi cerita, Maheer menghampiri. Lama dia hanya memerhati. “Hana, kawan aku ini bukan peminat lukisan. Buta lukisan. Buta perasaan. Lihatlah, dia yang lebih menikmati sekarang.” Maheer mengusik Zaiful Rais. 

“Tidak lagi hari ini. Kawan awak ini sudah temui rasa itu.” Hana membalas.

“Eh, lama kita berbual. Saya tidak perkenalkan diri pun.” Zaiful Rais baru menyedarinya. Sedangkan mereka sudah berbual panjang.

“Saya Zaiful Rais. Pertama kali datang ke galeri. Selalu marah Maheer setiap kali dia beli lukisan baharu. Kawan baik Maheer.” Panjang pula dia memperkenalkan diri. 

“Asyik betul aku tengok kau tenung lukisan tu tadi, Zaiful.” Maheer belum habis mengusik. Gembira dia hari ini berjaya mempengaruhi Zaiful Rais.

“Mana aku tahu boleh seperti ini, hanya dengan melihat sebuah lukisan. Selama ini aku tengok lukisan yang kau beli, mana aku ada rasa apa-apa.” Lekas sahaja dia membela diri. 

“Ini yang orang kata, jangan terlalu tidak suka, nanti terlebih suka.” Maheer ketawa dengan nada jahat. 

Perbualan mereka tidak terhenti di situ. Maheer mengajak mereka ke kafe berhampiran. Perbualan antara seorang yang baru belajar melihat lukisan dengan mata hati, peminat dan pengumpul lukisan dan pelukis terus berlangsung. 

Zaiful Rais membuka kisah yang selama ini tdak pernah diceritakan kepada orang lain. “Adik meminati lukisan dan suka melukis. Kami sekeluarga memang menyokong dan minat adik belajar melukis. Dengan harapan adik akan menjadi pelukis besar pada suatu masa nanti. Sampailah peristiwa di laut itu. Saya semacam mahu menghapuskan semua ingatan yang berkait lukisan.” 

Maheer kelihatan terkejut. Tidak menyangka ada kisah lain yang dia tidak tahu. Selama ini dia menyangka Zaiful Rais hanya tidak tahu tentang lukisan. 

“Tidak bolehlah begitu. Jangan biarkan kisah semalam menghantui dan menyebabkan awak tidak menikmati apa yang sedang di depan mata. Tentu bukan itu yang adik awak mahukan. Dia pastinya mahukan awak meneruskan hidup baik-baik.” Hana tahu dia tidak boleh membuatkan Zaiful Rais kembali menyukai warna biru atau lukisan. 

“Awak kena hargai apa yang ada di depan mata. Sekalipun dia sudah pergi, dia masih perlu hidup dalam diri awak. Macam yang saya lakukan. Ini cara saya mahu emak terus bersama-sama saya. Saya akan abadikan kenangan kami dalam bentuk lukisan. Dan saya akan terus melukis. Dengan cara itu saya tahu emak ada bersama-sama saya.”

“Terima kasih. Banyak yang saya belajar hari ini. Saya akan cuba buang rasa tidak suka terhadap warna biru. Sedikit demi sedikit dan ambil masa. Tetapi tidak mustahil, bukan?” 

“Tidak ada yang mustahil selagi awak mahu. Perlahan-lahan. Saya percaya adik awak gembira dengan perubahan awak. Jangan biarkan perasaan tidak suka menguasai.” Hana menutup perbualan mereka pada hari itu.  

“Aku yang paling gembira hari ini. Sebab berjaya hasut kawan aku ini datang, dan dia belajar sesuatu yang sangat berharga. Aku juga tahu cerita yang selama ini dia rahsiakan. Terima kasih, Hana.” Mereka melangkah keluar dari restoran dengan rasa lapang. 

Zaiful Rais menarik nafas lega. Siapa sangka, kedatangan dia ke galeri untuk pertama kali, membuka hati untuk sesuatu yang selama ini dia tutup rapat. Pintu kenangan silam. Kini dia membuka pintu itu, dan membenarkan kenangan bersama adik terus bersemi di dalam hati. “Terima kasih, Hana.” Bibirnya tersenyum. Memandang Hana yang berkebaya biru, dan sedang berlalu, makin jauh meninggalkan restoran. 

-Tamat-

Disediakan oleh,

Jamilah binti Mohd Norddin

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.