in

LoveLove

Kisah Pendeta Yahudi Menguji Akhlak Rasulullah SAW

Islam ialah agama yang sangat indah. Keindahan Islam terserlah daripada sosok baginda Rasulullah SAW melalui pertuturan, perbuatan dan keterampilannya. Antara faktor terbesar syariat yang mulia ini tersebar ke seluruh pelosok alam menembusi hati-hati mereka yang memusuhi Islam adalah melalui peribadi Rasulullah dan dakwahnya. 

Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad yang bermaksud;

“Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Bertetapan dengan hadis ini, terdapat satu kisah menarik yang menggambarkan peribadi mulia SAW terhadap seorang pendeta yahudi yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban, al-Hakim, dan Imam al-Baihaqi yang seharusnya menjadi teladan buat para pendakwah dalam meneruskan usaha dakwah banginda SAW ini.

Pendeta Yahudi tersebut ialah Zaid bin Sa’nah. Beliau merupakan salah seorang pendeta yahudi terkenal di Madinah dan dikurniakan Allah dengan luas ilmu pengetahuan dan harta kekayaan. Zaid bin Sa’nah telah memeluk Islam dan berbaiah kepada Rasulullah SAW. Setelah memeluk Islam, beliau turut ikut berperang dalam beberapa peperangan bersama Rasulullah SAW.Beliau telah syahid di dalam peperangan Tabuk bersama Rasulullah SAW pada tahun ke-9 Hijrah. 

Kisah keislamannya sangat menarik kerana sebagai seorang pendeta Yahudi, sudah pasti beliau telah membaca kitab Taurat dan mengetahui akan kerasulan Nabi Muhammad SAW melalui tanda-tanda Nabi akhir zaman yang disebut di dalam kitab Taurat. Namun, dia tetap tidak beriman kepada Rasulullah SAW kerana masih mempunyai persoalan terbuku dalam lubuk hatinya tentang Rasulullah SAW. Persoalan tersebut masih belum terjawab dan beliau inginkan pembuktian.  Katanya:

“Sekilas aku melihat wajah Rasulullah SAW, maka jelas padaku semua tanda kerasulannya kecuali dua perkara yang aku masih ragu dan perlu aku buktikan iaitu kasih sayangnya melebihi sifat amarahnya dan semakin dia dimarahi semakin bertambah kasih sayangnya.”

***

Pada suatu hari, Zaid bin Sa’nah mendapati bahawa baginda SAW keluar bersama Saidina Ali. Kemudian, baginda didatangi seorang lelaki badwi.

Lelaki itu berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, ada sekumpulan kampung Bani fulan, mereka telah masuk Islam dan aku memberitahu mereka sekiranya kalian masuk Islam, rezeki akan datang pada kalian melimpah ruah. Akan tetapi, sekarang mereka ditimpa kelaparan dan kemarau, aku bimbang mereka akan keluar dari Islam disebabkan perkara itu. Sekiranya ada bantuan yang boleh aku hantarkan kepada mereka, maka aku sedia menghantarnya, wahai Rasulullah”.

Kemudian Rasulullah melihat sahabatnya, lalu sahabat berkata:” Tiada apa-apa di sisi kita, wahai Rasulullah”. 

Kemudian Zaid bin Sa’nah mendekati Nabi SAW dan berkata: Wahai Muhammad, mahukah kamu berhutang denganku sejumlah tamar dan membayarnya nanti dengan kebun bani si fulan pada waktu yang ditentukan? ” 

Baginda menjawab: ” Tidak, wahai Yahudi. Tidak perlu bayarannya dengan kebun bani si fulan, akan tetapi aku yang akan berhutang denganmu sejumlah tamar yang diketahui jumlahnya dan aku akan membayarnya pada waktu yang ditetapkan, dan aku tidak menamakan kebun siapa-siapa sebagai bayarannya nanti”.

Setelah dipersetujui, maka Zaid bin Sa’nah memberikannya 80 mithqal wang emas yang sama nilainya dengan kurma yang akan dijual kepada Zaid bin Sa’nah dan bayarannya oleh Rasulullah pada waktu sekian sekian. Lalu Rasulullah SAW menyerahkannya kepada lelaki badwi itu untuk dibawa dan diagihkan kepada orang Islam kampung si fulan yang sedang kesusahan itu.

Kemudian, Zaid bin Sa’nah mendatangi Rasulullah SAW dua atau tiga hari sebelum tarikh yang kami telah persetujui. Ketika itu, Baginda bersama Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan sekumpulan sahabat lain baru sahaja selesai solat jenazah seorang sahabat Ansar bersama Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan sekumpulan sahabat lain. 

Ketika Baginda ingin duduk bersandar di dinding, Zaid bin Sa’nah menarik baju Baginda dengan keras dan menatapnya dengan wajah yang bengis di hadapan sahabat-sahabatnya yang lain seraya berkata :

” Wahai Muhammad! Kenapa kamu belum bayar hutang aku? Aku kenal sangat dengan kaummu Bani Abdul Muttalib yang suka melambat-lambatkan pembayaran hutang sejak aku bermuamalat dengan mereka!” 

Zaid bin Sa’nah melihat kearah Saidina Umar ketika itu. Matanya menunjukkan kemarahannya yang amat sangat. Lalu Umar berkata:

” Wahai musuh Allah! Boleh kamu berkata dan bertindak kasar begitu pada Rasulullah? Demi Allah yang telah mengutusnya dengan kebenaran, sekiranya aku tidak takut akan azab Allah, aku sudah penggal kepalamu dengan pedangku ini! ” 

Rasulullah Saw memandang kepada Umar dengan tenang. Baginda SAW berkata: 

“Wahai Umar, pergilah bersamanya dan bayarlah hutangku padanya dan tambahkanlah baginya 20 sha’ tamar sebagai ganti rugi atas ancamanmu kepadanya tadi”

Zaid bin Sa’nah dan Saidina Umar pun pergi dari tempat itu. Lalu Umar telah membayar 20 sha’ tamar seperti yang disuruh Rasulullah. Lalu Zaid berkata: ” Tambahan untuk apa ini?” 

Jawab Umar: ” Rasulullah SAW menyuruhku menambahkan 20 sha’ tamar sebagai ganti rugi atas ancamanku kepadamu tadi.” 

Zaid bin Sa’nah berkata: ” Adakah kamu kenal siapa aku, wahai Umar? “

Jawab Saidina Umar: ” Tidak! Siapa kamu? ” 

Lalu, Zaid bin Sa’nah pun memperkenalkan dirinya: ” Aku ialah Zaid bin Sa’nah, pendeta yahudi yang terkenal itu.” 

Saidina Umar bertanya: ” Apakah yang membuatmu boleh berkata dan berbuat kasar begitu kepada baginda? ” 

Jawab Zaid bin Sa’nah: ” Wahai Umar, sesungguhnya semua tanda kenabian telah tampak sekilas aku melihat wajah baginda kecuali dua perkara yang aku masih aku ragu iaitu kasih sayangnya melebihi sifat amarahnya, dan semakin dia dimarahi semakin bertambah kasih sayangnya. 

“Kerana itulah aku menguji Baginda dua perkara tersebut, dan aku telah menyaksikan wahai Umar, bahwa aku redha Allah sebagai tuhanku, Islam sebagai agamaku, Nabi Muhammad SAW sebagai utusanNya”

Akhirnya Zaid bin Sa’nah mengucapkan dua kalimah syahadah.

***

Begitu sekali Zaid bin Sa’nah berusaha untuk membuatkan baginda marah kepadanya dengan menarik baju baginda dengan kasar, menatapnya dengan bengis, meminta hutang sebelum waktu yang dipersetujui, memaki keturunan baginda di hadapan orang ramai walaupun beliau tahu bahawa baginda ketika itu adalah pemimpin Madinah. 

Sengaja Zaid bin Sa’nah memancing kemarahan Rasulullah SAW, tetapi benarlah bahawa kasih sayang baginda SAW benar-benar mengatasi amarahnya. Mulianya akhlakmu, wahai Rasulullah SAW. Moga kita semua mampu mencontohi akhlak Baginda SAW.

Disediakan oleh,

Hadi Sayuti 


*Nota: 1 sha’ bersamaan 4 mud, 4 mud bersamaan kurang lebih 3 kilogram.

Integriti Seorang HAMKA

Bagaimana Untuk Belajar Tentang Akhlak dan Adab?