in

CryCry LoveLove OMGOMG

7 Kesan Dosa Terhadap Kehidupan di Dunia

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا ۖ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah: “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.” (45:15)

Perkataan dosa di dalam Al-Quran biasa disebutkan dengan kalimah-kalimah seperti الذنب, أثم atau جرم. Dosa yang dimaksudkan adalah melakukan sesuatu perkara yang ditegah atau meninggalkan sesuatu perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT dan syariat islam atau perlakuan dosa itu akan mengakibatkan kesan dan gambaran yang negatif kepada si pelaku dosa mahupun kesannya kepada orang sekelilingnya.

Seseorang yang melakukan dosa atau melanggar syariat Islam pasti akan mendapatkan balasan yang setimpal di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak kecuali bagi mereka yang telah bertaubat dengan bersungguh-sungguh ketika di dunia.

Dari sudut saintifik dan psikologi, mereka yang melakukan sesuatu dosa pasti tidak akan merasa tenang dan tenteram dalam kehidupannya kerana mereka terpaksa berusaha bersungguh-sungguh untuk menutup segala kelakuan dosa daripada diketahui orang lain.

Sebagai contoh, penerima rasuah. Sudah pasti sepanjang hidupnya sentiasa dibelenggu dengan kerisauan dan ketakutan jikalau terbongkar segala perbuatan rasuahnya oleh pihak yang betanggungjawab. Nikmat dan habuan daripada perbuatan dosa hanya sementara sahaja tetapi kerugiaan dan kesengsaraan akan sepanjang hayatnya.

Rasulullah SAW bersabda: “ Sesungguhnya kebaikan itu adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa itu adalah apa yang menggelisahkan hatimu dan kamu benci jikalau manusia mengetahui akan-nya” (Ahmad-16975)

Perbuatan dosa bukan sekadar memberi kesan buruk kepada sang pelaku dosa, malah memberi kesan negatif orang di sekelilingnya. Lebih–lebih lagi apabila perlakuan dosa itu menganggu ketenteraman masyarakat dan menjadi sebab turunnya bala daripada Allah SWT.

Di dalam Al-Quran, terdapat banyak kisah tentang bagaimana sesebuah negeri atau kerajaan itu hancur disebabkan oleh perbuatan dosa. Antaranya, kaum thamud iaitu ummat Nabi Lut a.s yang telah dibinasakan Allah disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri. Selain itu, kisah azab banjir besar terhadap ummat Nabi Nuh a.s. Semua azab yang diturunkan kerana perbuatan dosa mereka yang melampaui batas.

Firman Allah SWT:

أَلَمْ يَأْتِهِمْ نَبَأُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ وَقَوْمِ إِبْرَاهِيمَ وَأَصْحَابِ مَدْيَنَ وَالْمُؤْتَفِكَاتِ ۚ أَتَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ ۖ فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

“Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.” (9:70)

Al-Imam ibn Al-Qayyim telah menghuraikan dengan panjang lebar tentang kesan-kesan akibat melakukan dosa. Terdapat tujuh kesan dan akibat perlakuan dosa terhadap kehidupan kita semua, antaranya:

1) Terhalang daripada menerima ilmu Allah ataupun ilmu yang hak.

Ilmu adalah cahaya yang dicampakkan ke dalam hati seseorang manusia dan sebarang kemaksiatan akan memadamkan cahaya tersebut. Seperti mana kisah seorang murid iaitu Imam Syafie yang dikagumi oleh gurunya sendiri iaitu Imam Malik kerana kecerdasan dan kepintaran Imam Syafie. Oleh itu, Imam Malik sentiasa berpesan kepada Imam Syafie agar sentiasa menjauhi dosa.

Kata Al Imam Malik:

إن اللهَ ألقى على قلبك نورًا، فلا تُطفئه بظُلمة المعصية

“ Sesungguhnya Allah telah menerangi hatimu dengan cahaya, janganlah engkau padam cahaya tersebut dengan kegelapan maksiat”

2) Terhalangnya daripada memperoleh rezeki yang berkat dan kemudahan dalam setiap urusan.

Bertakwa kepada Allah SWT akan mendatangkan rezeki yang berkat dan setiap urusan hamba-Nya akan menjadi mudah. Firman Allah SWT:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا, وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

“dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (65:2&3)

3) Hati akan berasa jauh dan asing daripada Allah SWT.

Hati akan berasa jauh dan terasing ibarat jauhnya sang pelaku maksiat dengan orang-orang yang baik dan soleh, kerana dekatnya sang pelaku itu dengan syaitan.

4) Dosa akan menggelapkan hati seorang hamba umpama gelapnya malam.

Ketaatan adalah sebuah cahaya dan maksiat adalah sebuah kegelapan. Apabila hati seorang hamba semakin gelap, hatinya akan semakin tidak tenteram dan runsing sehingga ia jatuh ke dalam kebinasaan, bid’ah, sesat dan lain-lain kecelakaan tanpa dia sedari ibarat seperti seorang yang buta keluar pada waktu malam dengan berjalan kaki. Semakin banyak dosa yang dilakukan semakin gelap hatinya sehingga tampak gelap dan kusam di wajahnya.

5) Dosa dan maksiat akan melemahkan hati juga tubuh badan seorang hamba.

Sumber kekuatan seorang hamba itu datang dari hati. Jika kuat iman dan hatinya pasti akan kuat tubuh badannya. Tetapi bagi sang pelaku maksiat, walaupun tubuh badannya kelihatan kuat tetapi ia tetap selemah-lemah manusia.

6) Maksiat juga akan memendekkkan umur dan menghilangkan keberkatan dalam hidup.

Manakala perbuatan yang baik akan memberikan keberkatan sepanjang pertambahan umurnya. Kehidupan yang sebenar untuk seorang hamba adalah hatinya hidup, manakala mereka yang hatinya mati hakikatnya dia telah mati. Allah SWT telah menyatakan bahawa orang-orang kafir dan orang yang tidak beriman kepada-Nya diibaratkan sebagai mayat yang masih berkeliaran di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT:

أَمْوَاتٌ غَيْرُ أَحْيَاءٍ ۖ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

“Makhluk-makhluk itu tetap akan mati, bukanlah kekal hidup; dan mereka tidak mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan (menerima balasan)” (16: 21)

Hari-hari orang yang berpaling daripada perintah dan syariat-Nya ibarat berlalu pergi begitu sahaja dan pasti akan menjadi satu kesesalan buat mereka suatu masa nanti. Firman Allah SWT:

 يَقُولُ يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِي

Ia akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!” (89:24)

7) Mengundang kepada dosa yang lain.

Jika seorang hamba yang terjebak dengan maksiat dan tidak bertaubat atas perlakuannya pasti akan mengundang kepada perlakuan dosa yang lain.

Oleh itu, lazimilah dengan solat sunat taubat atau istighfar agar dosa-dosa kita sentiasa diampuni Allah s.w.t. Semoga peringatan ini menjadikan kita lebih cakna agar tidak membiasakan dengan melakukan dosa walaupun hanya sekecil-kecil dosa.

Disediakan oleh,

Anwar Shahir

Memudahkan Perkahwinan Itu Tuntutan Syarak

Dosa Jepun Terhadap Wanita