in

Khabar Angin dan Berita Palsu Tatkala Pandemik

Pada tahun 2020, landskap kehidupan manusia sejagat berubah dek penularan satu penyakit yang disebabkan oleh virus korona, iaitu COVID-19. Sehingga kini, penangan virus tersebut masih terasa di setiap pelosok dunia.

Ketika kita sedang bertarung dengan virus yang tidak kelihatan itu, kita juga sedang berperang dengan satu lagi penyakit dalam masyarakat. Penyakit yang dimaksudkan adalah penyakit khabar angin dan berita palsu. Mengapa dikatakan ia sebagai penyakit?

Khabar angin dan berita palsu juga boleh memudaratkan jika tidak ditanggani dengan betul dan tidak diusahakan langkah-langkah pencegahannya.

Keadaan seperti ini disebut sebagai infodemik. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) telah mendefinisikan infodemik sebagai lambakan maklumat, sama ada benar atau palsu, yang berlaku ketika pandemik.

Ketika artikel ini ditulis, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) baru sahaja mengeluarkan kenyataan bahawasanya 370 berita palsu berkenaan pandemik ini telah dikesan dan diperbetulkan oleh Pasukan Respon Pantas (PRP).

Pasukan tersebut yang ditubuhkan pada 16 Mac 2020 bertindak memantau dan memberi respons yang sewajarnya terhadap berita palsu yang menular di media sosial. Ia adalah satu jumlah yang tinggi memandangkan untuk setiap berita palsu yang tersebar, usaha perlu digembleng untuk menangkisnya dan memastikan masyarakat mendapat maklumat yang betul.

Artikel ini memberi fokus perihal khabar angin dan berita palsu yang menjadi-jadi kewujudannya tatkala kita sedang berhadapan dengan pandemik. Walaupun khabar angin dan berita palsu sentiasa sahaja berlaku dalam pelbagai konteks, pandemik ini adalah satu pengalaman yang kita sedang hadapi bersama. Maka, eloklah untuk kita juga sama-sama melihat dan berfikir akan penyakit dalam masyarakat ini.

Khabar angin dan berita palsu, apa bezanya?

Seperti penyakit yang boleh berjangkit dari satu individu kepada individu lain dan seterusnya merebak kepada lebih ramai manusia, khabar angin (rumor) juga mampu menjadi pandemik dalam kalangan manusia.

Menurut DiFonzo dan Bordia dalam buku mereka, “Rumor Psychology: Social and Organizational Approaches”, khabar angin adalah maklumat yang tidak disahkan tetapi relevan secara instrumental yang berlegar dalam sekumpulan manusia. Khabar angin muncul dalam konteks keadaan yang samar-samar, bahaya, dan berpotensi untuk memberi ancaman. Wujudnya khabar angin adalah untuk membantu manusia memahami dan menguruskan risiko.

Berita palsu (fake news) pula, menurut Allcott dan Gentzkow dalam artikel mereka bertajuk “Social Media and Fake News in the 2016 Election”, adalah artikel berita yang telah dibuktikan palsu dan sengaja dijadikannya palsu untuk mengelirukan dan menyesatkan pembaca. Berita palsu, atau berita yang dibuat-buat (fabricated), boleh terjadi dalam bentuk propaganda atau umpan klik (clickbait) yang mempunyai niat untuk memesongkan kepercayaan dan menguntungkan pihak tertentu.

Di sini, kita dapat melihat beberapa perbezaan antara khabar angin dan berita palsu. Khabar angin berkemungkinan merupakan satu maklumat sahih atau salah yang masih belum disahkan. Manakala berita palsu pula sah-sah merupakan satu berita tidak benar yang dicipta dengan niat tidak baik.

Selain itu, disebabkan khabar angin ada nilai instrumental, individu yang menyebarkannya mungkin merasakan ada keperluan yang ia disampaikan untuk dimanfaatkan maklumat tersebut.

Manakala bagi berita palsu, individu yang mereka-reka dan menyebarkannya dalam keadaan mengetahui ia adalah palsu berkemungkinan mahu mencetuskan perasaan panik dan keadaan huru-hara dalam masyarakat.

Dari sudut yang lain, satu maklumat yang sama boleh jadi khabar angin bagi individu tertentu kerana masih tidak mengetahui akan pengesahannya, tetapi merupakan berita palsu pula bagi individu yang lain yang telah mengetahui akan ketidaksahihannya.

Sebagai contoh, Rosnah tinggal di kawasan berhampiran dengan zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Ibunya, Makcik Kiah, mendapat mesej daripada kumpulan WhatsApp yang mengatakan ada individu yang telah disaring dan memakai gelang pink lari dari kawasan PKPD dan berkeliaran di kawasan tempat tinggal Rosnah. Makcik Kiah risau akan keselamatan anaknya dan menghantar mesej itu kepada Rosnah. Pada sidang media oleh Menteri Kanan (Keselamatan), menafikan hal tersebut dan memberi jaminan bahawa zon PKPD dikawal rapi oleh pihak berkuasa.

Bagi Makcik Kiah, ia mungkin satu khabar angin pada awalnya, namun niatnya untuk menyampaikan maklumat tersebut kepada Rosnah dirasakan perlu supaya anaknya lebih berjaga-jaga. Makcik Kiah pula baru mengetahui yang ia merupakan satu berita palsu melalui sidang media pada pukul 2 petang itu.

Manakala bagi individu yang mereka-reka berita bahawa terdapat individu lari dari zon PKPD, baginya mungkin ada niat jahat untuk mewujudkan kegusaran bagi masyarakat di kawasan terbabit. Boleh jadi juga, individu yang awal-awal menulis tentang hal tersebut sebenarnya tersalah kerana menyangka individu yang dilihatnya di kawasan tersebut adalah penduduk di zon PKPD, atau gelang pink yang dipakai adalah gelang pesakit biasa yang baru keluar dari hospital dan belum dibuang.

Mengapa kita menyebarkannya?

Kadar penularan virus dilihat melalui nilai reproduksi (reproductive number, atau istilah matematiknya R naught, R0). Kadar penularan COVID-19 di Malaysia sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah 3.55. Ini bermakna, setiap seorang individu akan menjangkiti lagi 3.55 individu lain.

Khabar angin dan berita palsu pula lebih cepat tersebar berbanding virus itu sendiri. Manakan tidak, satu khabar angin atau berita palsu yang dikongsi oleh seorang individu dalam akaun media sosial akan dilihat oleh entah berapa ramai lagi manusia lain. Jika hanya lima orang individu yang melihatnya berkongsi pula di akaun sendiri dan dilihat oleh audiens mereka, bayangkanlah kadar penularan khabar angin dan berita palsu itu dalam tempoh yang sangat singkat.

Diambil kira juga faktor yang penularan khabar angin dan berita palsu boleh sahaja berlaku walaupun jarak antara dua orang individu melebihi satu meter. Dunia maya sememangnya mendekatkan yang jauh.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong individu tergerak untuk menyebarkan satu-satu khabar angin atau berita palsu. Bagi berita palsu, penyebarannya mungkin berpunca daripada individu seperti prankster, penipu (scammer), atau ahli teori konspirasi yang mempunyai agenda tersendiri untuk mereka-reka dan meyebarkan berita palsu.

Bagi khabar angin pula, kita masih boleh sedikit bersangka baik terhadap penyebarannya. Satu-satu maklumat yang negatif (contoh: khabar angin tentang individu lari dari zon PKPD) lebih berkemungkinan untuk disebarkan kerana ia dilihat mampu untuk mengelakkan musibah (contoh: kemungkinan lebih banyak jangkitan di kawasan itu) daripada berlaku, terutamanya sesama individu yang rapat dengan kita.

Kadar penyebaran khabar angin meningkat apabila sesuatu keadaan menjadi semakin samar-samar dan kadar tersebut akan berganda jika perkara terbabit dianggap sangat penting oleh masyarakat. Dalam situasi yang penuh ketidakpastian dan ancaman seperti pandemik, satu-satu maklumat akan dilihat sebagai sangat berharga.

Maka, individu yang mempunyai dan berkongsi apa-apa maklumat yang dianggap penting akan meningkatkan status dan prestij dirinya dalam jaringan sosial. Malah, untuk menjadi yang terawal berkongsi sesuatu maklumat yang dikira sensasi akan dilihat sebagai individu yang hebat.

Oleh itu, sebarang maklumat yang diperolehi akan terus disebarkan tanpa menunggu pengesahan pihak autoriti yang biasanya akan mengambil masa lebih panjang.

Media sosial sebagai wadah penularan

Menurut analisa yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), majoriti masyarakat Malaysia menjadikan aplikasi WhatsApp dan Facebook sebagai sumber untuk mendapatkan berita. Ciri-ciri yang ada pada media sosial, ditambah pula faktor pemilikan telefon pintar dan kebolehcapaian internet, amat memudahkan individu untuk menulis dan berkongsi apa-apa sahaja maklumat atau berita.

Keadaan ini berbahaya memandangkan sesiapa sahaja, tidak kira daripada akaun sebenar atau palsu, boleh beraksi lagak seorang wartawan berkaliber yang melaporkan berita dari lokasi kejadian.

Sebarang maklumat yang disampaikan melalui media sosial oleh individu tidak melalui tapisan pihak ketiga, pemeriksaan fakta, dan penilaian editorial. Maka, ia terdedah kepada kesalahan fakta dan penipuan.

Malah, media sosial itu sendiri berupaya membentuk fenomena filter bubble dan echo chamber, iaitu individu terdedah melalui pandangan, kumpulan manusia, maklumat, dan berita yang hanya konsisten dengan apa-apa sahaja kepercayaan yang telah ada dalam dirinya.

Kita sebagai pemutus rantaian

Infodemik bukanlah satu keadaan yang boleh terus dihapuskan, tetapi ia tetap mampu diuruskan. Malah, keadaan ini juga telah membuka pintu untuk wujudnya satu bidang yang dipanggil infodemiologi, iaitu sains pengurusan infodemik.

Dalam pengurusan infodemik, komunikasi risiko (risk communication) atau pertukaran maklumat terkini, nasihat, dan cadangan antara pakar dan masyarakat adalah penting. Tujuan komunikasi risiko adalah untuk menyediakan maklumat yang diperlukan oleh masyarakat untuk membuat keputusan yang bijak berkenaan dengan tindakan yang wajar diambil untuk melindungi kesihatan dan keselamatan diri.

Komunikasi risiko adalah komponen penting dalam pengurusan khabar angin. Apabila terdapat khabar angin yang rupa-rupanya benar, pihak yang berautoriti perlu cepat-cepat mengesahkannya dan menyediakan sekali fakta berkaitan dengan situasi atau kejadian tersebut. Saban hari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan Jabatan Penerangan Malaysia, serta pelbagai pihak autoriti lain mengerah keringat untuk menyalurkan berita dan maklumat yang sahih, membetulkan khabar angin, dan menepis berita palsu.

Pelbagai pihak yang berautoriti juga mempunyai inisiatif untuk memiliki akaun media sosial rasmi masing-masing. Hal ini seharusnya dimanfaatkan oleh masyarakat yang menjadikan media sosial sebagai sumber utama berita mereka.

Pada peringkat individu pula, kita seharusnya mempunyai sedikit sikap skeptikal apabila membaca apa-apa sahaja maklumat yang dikongsikan, sama ada melalui media sosial atau cakap mulut. Sebarang maklumat atau berita yang sampai kepada kita haruslah dipersoalkan kebenarannya, terutama yang datang daripada sumber yang tidak rasmi.

Kita juga harus melengkapkan diri dengan ilmu asas berkaitan penilaian sesuatu maklumat dan berita agar kita tahu cara untuk mengesahkannya. Ia harus dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab, terutama jika kita memilih untuk berkongsi maklumat dan berita tersebut.

Seperti mana pandemik COVID-19 menuntut kita mengamalkan norma baharu, begitu jugalah kita dituntut untuk membudayakan amalan menyemak, menganalisis, dan menentusahkan sebarang maklumat dan berita yang diperolehi.

Maka, kita berusahalah menjadi individu yang bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian penyakit masyarakat ini dengan tidak menjadi penyebarnya. Biarlah apa-apa sahaja khabar angin atau berita palsu yang sampai kepada kita, berakhir juga dengan kita apabila kita sendiri memilih untuk tidak klik Share, Forward, dan Copy, Paste, and Send. Ambillah semangat daripada slogan Sebenarnya.my,

“tidak pasti, jangan kongsi”.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Seni Berbual Dengan Orang

Disapa Pakcik Tabligh di Masjid Nabawi