in

LoveLove

Hamka Menggambarkan Wanita dengan Personaliti yang Berbeza

Hamka berpendapat bahawa wanita sama pentingnya dengan lelaki dalam hal tanggungjawab beragama, beribadah mengukuhkah akidah. Umum mengetahui karya-karya beliau sering mencetuskan fenomena bagi dunia pembacaan, karya-karya yang masih mendapat tempat dihati pembaca sampai ke hari ini pastinya meninggalkan kesan bagi siapapun yang membaca. Hamka sering membicarakan tentang wanita, melalui karya-karya beliau setiap cuplikan watak dan peranan yang dimainkan pastinya mempunyai inti dan peran besar disebaliknya. Bukankah wanita juga sama berjuang? 

Menyoroti kisah berkenaan wanita, Hamka seolah-olah mengajak pembaca untuk turut terbuai emosi penuh perasaan, pergolakan kehidupan antara miskin dan kaya, antara adat dan cinta, pegangan masyarakat yang sering membahagikan manusia mengikut kasta dan kelompok  golongan iaitu golongan terhormat dan ternama dengan golongan rendahan seperti yang dapat dilihat dalam karya-karya beliau yang masyhur. 

Berikut tiga karya yang mengetengahkan peranan seorang isteri, mengkritik pola berfikir masyarakat setempat yang lebih memandang keturunan dan pangkat sebagai tolak ukur dalam menilai peribadi seseorang. Dalam tiga karya dibawah, terdapat empat watak yang berbeza. Dapat dilihat bagaimana kehalusan pena Hamka “berbicara” sebagai penyampai, memahamkan dan membuka mata dan minda masyarakat. Bagaimana tanggapan masyarakat perlu diubah seiring perubahan zaman.

Menghayati peranan empat tokoh yang digambarkan dalam setiap watak novel dibawah, seharusnya mendatangkan kesedaran berkenaan tanggungjawab dan peranan penting wanita dalam mencipta kedamaian dan kerukunan sesebuah rumah tangga.

Klik gambar untuk beli buku ini!

Merantau Ke Deli

Watak Poniem menzahirkan watak penghijrahan seorang wanita dari lembah terendah kepada kehidupan bermartabat dengan gelaran seorang isteri, bagaimana Hamka memberi kesedaran kepada golongan wanita tentang  kepentingan sebuah ikatan perkahwinan bagi menjaga kehormatan sekaligus solusi agar seorang wanita terjaga dan dilindungi. Tanpa mengira latar belakang dan kisah silam. 

Adapun watak Mariatun, seorang gadis suci, terpelihara, dan kehormatannya terjaga. Berasal dari susur jalur keluarga yang baik-baik, tetapi kerana sikapnya yang kurang matang menjadikannya mudah terbawa emosi, suka merendahkan orang lain dan menunjukkan akhlaknya yang kurang baik dalam pergaulan rumah tangganya. Asbab ketidakdewasaan Mariatun menjadikan Poniem terbuang dan menyebabkan muflisnya perniagaan yang diusahakan suaminya. 

Dua perbandingan akhlak dan latar belakang yang membuka mata, keperibadian yang baik tidaklah hanya didapatkan kerana dilahirkan dalam keluarga yang bermartabat dan terhormat, tetapi peribadi seseorang dapat dibentuk melalui pengalaman hidup. Kehendak untuk berubah dan berhijrah menuju kehidupan yang lebih baik.

Klik gambar untuk beli buku ini!

Terusir

Mariah watak seorang ibu dan isteri yang pada mulanya begitu menjaga diri dan kehormatannya, tetapi didesak oleh keadaan sehingga menelantarkan pegangannya dan menenggelamkan diri dalam lipatan sejarah hitam, sekali lagi Hamka mengasah penanya dengan begitu rapi menyusun kisah agar dapat diambil ibrah didalamnya. 

Bagaimana tanggapan dan penilaian manusia mengenai latar belakang seseorang mendahului hati nurani yang dimiliki, dalam novel terusir Hamka mengajak untuk merenungi bagaimana seharusnya seorang wanita menanggapi fitnah yang melanda dirinya, bagaimana seharusnya seorang wanita tidak mudah berputus asa dalam kehidupan rumah tangganya, bagaimana seharusnya seorang wanita tegar memperjuangkan hak anak dan membela dirinya yang teraniaya.

Pilihan menentukan corak perjalanan seterusnya, watak Mariah mengajar tentang dua perkara dalam hidup pertama, untuk tidak mudah berputus asa dalam kehidupan dunia, kedua, mengajarkan sikap dan hati nurani seseorang tidak dapat dinilai dari luaran atau penampilan yang ditonjolkan.

Klik gambar untuk beli buku ini!

Angkatan Baru

Angkatan baru, menampilkan kisah kehidupan moden yang mengetengahkan pendidikan, kerana itulah watak Syamsiah seorang wanita yang terpelajar dan berpendidikan agama, tetapi sayangnya jiwa muda menghancurkan segalanya, tatkala seorang wanita sudah kehilangan sifat malunya, menjadikan perubahan zaman sebagai titik ukur dalam kehidupan, saat itu jugalah ilmu pengetahuan menjadi kertas yang hanya tinggal untuk dikenang. Ibarat lukisan indah yang digantung didinding rumah, tidak bermanfaat melainkan hanya untuk sanjungan dan pujian semata-mata bagi yang melihatnya.

Dalam karya ini Hamka  mengangkat watak seorang wanita dari keturunan yang baik dan terpelajar pula tetapi gagal dalam menzahirkan keperibadiaan yang benar-benar dituntut dalam agama. Watak Syamsiah yang dibiarkan hanyut dalam kisah romantika yang selalu muncul dalam fantasinya menjadikannya seorang wanita yang gagal menjalankan tanggungjawab sepenuhnya sebagai seorang isteri.

Dalam karya Angkatan baru, Hamka mengkritik perubahan yang dibawah anak-anak muda, seperti watak Syamsiah terlalu membuka minda kepada perubahan moden sehingga hilangnya perasaan malu yang selalu diibaratkan sebagai mahkota terbesar dalam diri seorang wanita. Tanpa perasaan malu hilanglah benteng pertahanan sebagai muslimah.

Dapat disimpulkan keseluruhan tiga karya di atas memaparkan tentang tanggungjawab, akhlak, ilmu pengetahuan, pegangan wanita dalam memainkan peranan membentuk kerukunan rumah tangga, bagaimana watak-watak yang dibawa dengan personaliti dan latar belakang yang berbeza, tetapi memegang peranan yang sama iaitu watak seorang isteri, dengan konflik kehidupan rumah tangga. Bagaimana pilihan mereka menjadi asbab kejayaan dan kegagalan dalam mengharungi kehidupan.

Wanita adalah madrasah pertama anak-anaknya, Hamka berkata didalam bukunya berjudul Berbicara tentang wanita, “jika perempuannya baik, baiklah negara, dan jika mereka bobrok, bobrok pulalah negara”. Begitu tinggi nilai dan martabat wanita sehingga kepintaran dan peribadi para wanita menjadi tolak ukur sesebuah negara. 

Ilmu pengetahuan seharusnya membentuk akhlak mulia bagi para wanita, sifat malu menjadikannya tidak bermudah-mudah dalam segala hal terkait pergaulan dan semisalnya. Adapun berkenaan pengalaman hidup setiap orang adalah umpama guru yang mengajar dan membentuk jati diri, apa yang penting bagi seorang manusia adalah bukan dari mana asal usul dirinya, kerana setiap orang bermula dengan cara yang sama iaitu tidak berpengetahuan dan tidak memiliki apapun seawal kelahiran, tetapi ke arah mana tujuan hidup dan bagaimana pengakhirannya. 

Bukahkah kehidupan ini mengajarkan tentang sebuah perjalanan? 

 Disediakan oleh : Aishah Nerina

Orang-orang Biasa Juga Boleh Berjaya

Kisah Budak Kampung di Bumi Madinah