in

Cerpen: Wad 313 (Edisi Covid-19 dan Ramadhan)

Seharian tangisan langit menyembah bumi, seolah-olah meratapi petaka yang bakal tiba pada dunia. Dingin malam tidak mampu menyejukkan Muhammad Fateh yang sedang khusyuk menatap kaca televisyen. Patah kata yang dituturkan oleh penyampai berita siaran TV3 diamati dengan teliti.

“Pada 31 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Coronavirus sebagai darurat kesihatan dunia. Detik 13 Mac, COVID-19 telah diisytiharkan sebagai pandemik selepas mengambil kira peningkatan ketara kes di negara selain China.

Pada 15 Mac 2020  Sebanyak 190 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes. Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes baharu adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.” Ujar pembaca berita dengan wajah yang begitu serius mengambarkan ketegangan situasi dialami.

Kesunyian dipecahkan dengan jeritan si cilik.

“Baba! Jom teman Irfaan main susun puzzle”. Jerit anak kecil sambil terkedek-kedek berlari menuju ke arah ayahnya. Sepantas kilat Fateh bangun menjauhkan diri. Berhenti Irfaan! Jangan dekati Baba, Baba tidak sihat”. Resah dan gundah menghantui Fateh. Bersama takungan air dimata, sepantas kilat tangga rumah didaki menuju ke ruang bilik utama. 

Daun pintu dihempas. “Maafkan Baba irfaan, Baba tak berniat nak marah kamu”, monolog hati kecil Fateh. Apa perlu aku buat? Aku takut ya Allah. Sayu rintihannya bagaikan jam kehidupan bakal menjerut lehernya ke lubang kematian.

Muhammad Fateh merupakan salah seorang peserta perhimpunan tabligh yang berlangsung di Masjid Sri Petaling. Sesudah selesai daripada program, beliau terus menjalankan dakwah selama 40 hari di kawasan pendalaman orang asli. Hari ini baru beliau berpeluang bertemu keluarganya di rumah.

Pantas telefon bimbit dicapai. Mencari tahu bagaimana keadaan sahabat-sahabatnya yang lain. Allahu akhbar! 95 orang kenalannya sudah disahkan positif. Jari Fateh laju mendail nombor telefon Maulana Sufian. “Assalamualaikum Abi , bagaimana kondisinya? Sudah buat saringan kesihatankah?” soal Fateh kepada murabbi beliau. “Saya sudah di wad isolasi sekarang, sah positif Covid-19”. Tenang suara di hujung talian. Tiba-tiba talian sunyi.. Tetapi sunyi itu punya suara menyampai resah dilubuk hati Fateh. 

“Muhammad Fateh, jangan biarkan ketakutanmu menghilangkan Allah azzawajalla dihati. Pergilah serahkan diri, perjuangan ini adalah satu tarbiyyah dan dakwah. Ingat matlamat jalan kita untuk mempermudahkan urusan saudara seislam, jika kamu berdiam, maka akan menyusahkan diri bahkan risiko kepada keluargaku sendiri.” Nasihat yang penuh dengan kelembutan itu meresap terus ke kalbu Fateh.

 “Baiklah, saya pergi buat pemeriksaan dengan kadar segera.” Nekad beliau membuat tindakan. Batuk yang dialami baru-baru ini menguatkan lagi keyakinannya bahawa virus itu sudah menyerang tubuhnya. Setelah bersiap dengan sebarang kemungkinan dikhabarkan hal tersebut kepada Maria isterinya yang tercinta. Fateh bersama isteri dan anaknya terus menuju ke hospital yang terdekat untuk membuat ujian saringan. Ya Allah Ya Muhaimin, lindungilah kami sekeluarga daripada wabak ini. 

Setiba sahaja di perkarangan hospital, kami disambut frontliner iaitu pejuang barisan hadapan. Dilengkapi dengan PPE mereka mara seumpama medan ini medan pertempuran. Peperangan dengan makhluk Allah yang tidak kelihatan. Walaupun hanya terlihat sipi mata disebalik topeng keselamatan yang diperagakan tapi mata itu tidak mampu menyembunyikan kelelahan mereka dalam usaha menyelamatkan nyawa. Mereka sedang berjihad! 

Alhamdulillah, Maria dan Irfaan negatif Covid-19. Sebak Maria mendengar lafaz syukur seorang suami. Tapi.. abang.. kata-kata Maria tidak mampu diteruskan lagi. Air mata membasahi pipi. Terkenangkan teman hidupnya bakal berpisah dunia bersamanya. Paling wanita itu bimbang, perpisahan sementara ini bakal menjadi petanda perpisahan yang kekal selamanya. 

Tolong jagakan Irfaan sepanjang ketiadaan abang disisi. Jika ditanya kemana Babanya, khabarkan bahawa Babanya sedang pergi berjuang. Jangan dibilang Babanya sedang sakit. Andai ditakdirkan abang syahid di medan ini biarlah Irfaan mengetahui Babanya pergi kerana jihad, bukan kerana sakit. Supaya Irfaan juga ingin syahid di jalan jihad. 

Ayat ini selalu menjadi zikir si suami setiap kali kepergian beliau keluar khuruj (keluar berdakwah).Cuma sebak Maria bukan kepalang kerana mengenangkan suaminya menanggung kesakitan yang dahsyat. Medan tempur ini pasti sengit jika suaminya berjuang sendiri. 

Maria, jangan bimbang Allah sentiasa ada untuk jagakan abang, tiba masa abang akan segera pulang. Jadilah isteri yang taat dan menjaga maruah diri selama abang tiada disisi. Pujuk Fateh kepada isterinya yang sudah berjujuran air mata. Hati Fateh sudah banjir menahan daripada airnya mengalir pada zahir. 

“Aku harus kuat, supaya bidadariku ini tidak lagi menangis”. Lemah bagi seorang Fateh untuk melihat air mata suci seorang wanita.

 ………..

Muhammad Fateh ditempatkan di zon pesakit dalam pemantauan (PUI) iaitu pesakit disyaki Covid-19. Sekitar 10 pesakit ditempatkan di wad tersebut. Alhamdulillah masih ada peluang untuknya terus menyebarkan dakwah. Jiwa dakwah bagi Fateh sudah sebati dengan darah dagingnya. Setiap detik akan dihisab. Jangan bersenang lenang sedangkan masih ramai orang sekeliling memerlukan cahaya Islam. Itulah prinsip yang dipegang.

Batuknya semakin hari semakin berlarutan. Beberapa kali ujian saringan dilaluinya. Peritnya kesakitan tidaklah setimpal peritnya rasa hati yang sudah tidak betah dek terbatas segala pergerakan. Rindu pada Maria dan Irfaan sudah tak keruan. Hanya ‘video call’ sahaja dapat mengubat sedikit rindunya.

“Fateh, aku bosanlah.. kenapa dalam berbillion makhluk Allah dimuka bumi ni aku juga terkena wabak ini. Habis segala perancangan bisnes aku tergendala. Anak bini aku hidup tanpa aku disisi. Apalah dosa aku ni.” Luahan Lukman didengari oleh Fateh. 

Kerana kau insan terpilih. Jawab Fateh dengan tenang.

Terpilih apanya? Kalau aku ini Tuhan sayang mesti diberi kebahagiaan. 

Kayu ukur kasih sayang Allah tidak terpateri  dengan kesenangan zahir Lukman. Fateh cuba melembutkan hati rakan sebelah katilnya. Kalau ingin melihat ujian kita dan ujian Rasulullah SAW, maka tidak tertanding kesulitan yang Baginda alami. Jadi apakah kau rasa Allah sedang menganiaya Kekasihnya sendiri dengan ditimpakan ujian? Sudah pasti tidak!

Kita kata sayang Allah, maka dia ingin menguji sejauh mana pengakuan tulennya cinta kita kepadanya melalui pintu ujian. Cinta perlu dibuktikan. 

Tapi  aku sudah tunjukkan kasih sayang aku melalui dunia perniagaan? Infak kepada orang-orang susah, beri sumbangan ke madrasah yang hampir roboh. Tidak cukupkah itu?  Perlu duduk atas tikar sejadah 24 jam baru dikatakan cinta akan Tuhan. Islam tidak sejumud itu. Semakin panas perbincangan Lukman dengan jiran katil sebelahnya ini. 

Tidak ada yang salah dengan perniagaanmu itu. Tapi dalam kesibukan itu, pernahkah kau muhasabah banyak mana sudah perniagaan itu menjadi saham buat akhirat? Bimbang infak kita itu hanya atas dasar mengikuti tips para usahawan untuk berjaya menjemput rezeki, bukan untuk menjemput cinta Ilahi. Ingat, jika laksanakan ibadah untuk dunia, maka dunia kita dapat tetapi jika buat untuk ganjaran akhirat, dunia dan akhirat kita dapat. Manakah lebih untung? Aku rasa ahli perniagaan macam kau lebih bijak menjawab. Semua terletak pada niat. Berniaga merupakan 9/10 daripada perbendaharaan dunia, sunnah Rasulullah SAW, aku kagum dengan mereka yang berjihad dalam bidang ini. 

Aku bukannya apa Fateh, selama ini selalu disibukkan dengan aktiviti perniagaan, masa itu terasa sangat berkualiti. Tapi sekarang ini hanya terbaring di katil hospital sahaja. Lama-lama boleh meroyan sebab  bosan.

Orang yang merasa bosan dengan waktu yang panjang itu antara ciri–ciri tidak bersyukur kepada Allah Taala. Penghuni kubur saja ingin pulang ke dunia untuk beribadat, kita yang masih disini sempat pula merasa bosan untuk hidup. 

Allah turunkan ujian yang turut terkandung rahmat Allah di dalamnya. Ini caranya Allah ingin mendidik aku dan kau, Lukman. Malah wabak ini tarbiah Allah untuk semua manusia kepadaNya. Tutur Fateh sambil melangkah ke almarinya dan mencapai sesuatu.Ini ubat bosan untuk kau, kau nak cari bahagiakan? Cari dalam ini, pasti akan ketemu. Dihulurkan mushaf Al Quran dan terjemahan kepada Lukman. 

Betul ke Fateh? Terkebil-kebil Lukman menerimanya. “Bahagia itu seni rasa..dan tidak akan tahu bagi sesiapa yang tidak pernah merasa. Al-quran pengubat hati yang lompong, bacalah kau akan bahagia.” Fateh terus menerus ingin mengajak Lukman kearah kebaikan. 

Tapi… aku sudah lama tak bacanya.. surah al-Waqiah aku rajin la ulang sebab kata sifu aku kata surah itu pembuka pintu rezeki,hehe. Boleh tak kau ajar aku baca Al-Quran semula?

Insya-Allah, kita sama-sama belajar. Sahut Fateh dengan senyuman.

……..

Ini katil Encik ya. Seorang jururawat berpakaian lengkap PPE membawa lelaki bermata sepet menghampiri sebelah katil Fateh yang sebelum ini tiada penghuninya.

Jam dua petang nanti akan ada doktor datang untuk membuat pemeriksaan lanjut. Harap Encik bersabar ya. Penuh sopan jururawat itu melayan pesakit.

“Loh, apa pasai lambat sangat? Sekarang tak boleh ka? I mahu keputusan segera! Lambat-lambat I boleh mati. I tak mau mati”. Marah lelaki bermata sepet itu tanpa berlapik.

“Maaf Encik Wong, ramai Doktor sudah tumbang kerana dijangkiti oleh Covid-19 semasa merawat pesakit. Jadi kami kekurangan tenaga. Harap Encik bersabar sedikit.” Bergetar suara jururawat tersebut menahan sebak kerana ramai pesakit sebegini tidak mahu memberi kerjasama.

“I mahu bilik lain, taknak duduk dengan puak terorist ini”. Jari telunjuk lelaki bernama Wong itu tepat ditunjuk ke arah Fateh. Tergamam Fateh yang dari tadi hanya memerhati. Di benaknya, “apa salah aku?”.

Maaf Encik semua wad sudah penuh. Kami tak mampu penuhi hasrat Encik sekarang ini. Harap Encik memahami kami. Balas jururawat tersebut.

“Arh… semua susahkan hidup aku! Pergi mati la”. Hambur Wong.

Tanpa sepatah kata jururawat bersut PPE yang panas itu berlalu. Kadang diam itu lebih baik.

……..

Lukman esok kita sudah mula berpuasa. Beerti malam ini mula solat tarawih. Cuma tahun ini kita terpaksa menyambut Ramadan dalam wad, tiada solat berjemaah di masjid, tiada berbuka puasa bersama insan tercinta, tiada lagi kemeriahan seperti dulu. Sayu Fatih mengenangkan ujian berjauhan daripada nikmat Ramadan dahulu. 

Bersabar ya Fateh, kau yang ajar aku bahawa kesabaran atas ujian itu buahnya ganjaran pahala. Insya-Allah tahun ni aku teman kau puasa sama-sama ya. Kita hidupkan aura Ramadan dalam wad ini. 

Perlahan-lahan Fateh menuju ke arah Wong yang sedang membaca buku. 

“Selamat pagi tuan”. Sapa Fateh untuk menghulurkan salam perkenalan.

“Eh! jangan dekati aku. Kau ni golongan tabligh kan? Disebabkan orang macam kau lah habis rosak Malaysia dengan wabak! Dasar pembunuh”. Marah bukan kepalang Wong kepada Fateh.

Cemuhan di jalan ini sudah kebal buat Fateh. Khuruj menguatkan jati dirinya agar sentiasa bersabar saat mendapat ujian di jalan dakwah. Cuma kali ini agak berlainan kerana merasakan Wong memarahinya kerana dendam.

Wong merupakan seorang pengusaha kedai runcit yang disyaki dijangkiti covid-19 kerana mempunyai pengalaman berjual-beli dengan seorang peserta himpunan tabligh di Seri Petaling.

Pengalaman paling tidak dilupakan oleh fronliner ialah ketika berhadapan kes kecemasan yang mana Wong dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedar diri dan memerlukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Pada masa sama, mereka tidak pasti pesakit ini tidak sedar diri disebabkan serangan jantung atau jangkitan Covid-19. Ini menyukarkan petugas untuk memberikan rawatan sesuai selain risiko kepada petugas sendiri. Sekiranya Wong itu dijangkiti Covid-19, tetapi diberikan rawatan sebagai pesakit biasa seperti prosedur penjana aerosol (tekan dada dalam keadaan tidak sedar diri) atau bantuan pernafasan (intubation), ia akan menghasilkan titisan aerosal daripada mulut pesakit yang boleh menjangkiti petugas. Dalam kes yang rumit seperti ini, mereka  menganggapnya sebagai berkemungkinan besar Wong disyaki Covid-19.

Wong memandang sinis kepada penganut agama Islam. Baginya agama itu sangat tidak punyai maruah. Adakah patut wajah mulia disembah ke tanah unuk tunjukkan taatnya kepada Tuhan. Sebelum ini Wong pernah menganuti agama Kristian, tetapi kini dia sudah tidak merasa tuhan itu wujud kerana hidupnya sentiasa dikecewakan. Kalau tuhan itu ada kenapa tidak dibantu dia tika itu. Bertambah lagi kebencian Wong kepada agama kerana cintanya kepada seorang wanita melayu tidak berbalas sebab perbezaan agama. Baginya agama memenjarakan fitrah manusia, agama hanya satu undang-undang yang diada-adakan.

Sedangkan, segala yang difikirkan Wong itu salah belaka. Wong hanya belum mampu melihat cahaya Islam. Pepatah melayu ada berkata “tak kenal maka tak cinta” . Jika wong mengetahui betapa islam itu membela asasi manusia dan agama yang sempurna tentu Wong tidak akan berfikiran sebegitu rupa. 

Perkara ini telah diceritakan oleh Lukman kepada Fateh beberapa hari yang lepas. Atas dasar rasa kasih Fateh berniat untuk membantu Wong kenal lebih dekat kepada Islam. Wad isolasi 313 ini menjadi medan dakwah buat Fateh kepada Wong. 

Ujian kesihatan bukan penamat destinasi pejuang Fateh untuk berjihad. Kerana penamatnya ialah mati. Selagi masih punyai sisa kudrat, tanggungjawab ini akan Fateh galas. Segalanya kerana inginkan Cinta Allah Yang Esa.

……..

Allahu akhbar…. takbir diangkat oleh Fateh selaku imam solat tarawih pertama di bulan Ramadan. Beliau menjadi imam kepada lima orang penghuni Wad 313 yang beragama islam. Cuma kali ini tiada lagi lilitan serban dan jubah yang digosok oleh isteri tercinta. Hanya dikenakan sut biru muda sebagai pesakit Covid-19. Jarak antara jemaah turut dijaga sebagaimana garis panduan oleh pihak kesihatan. 

Di penghujung solat Tarawih, Fateh mengalunkan doa yang membuatkan empangan air mata para jemaah pecah. Semua sebak mengenangkan terpisah jauh daripada keluarga tercinta di bulan Ramadan. 

Di satu sudut gerak geri mereka diperhati oleh Wong. Tidak henti-henti Wong melihat di bumbung siling wad tersebut. Memikirkan apa yang ditadah oleh Fateh dan rakan-rakannya itu. Tangan diangkat seperti menadah sesuatu. Aneh melihat ritual ibadah agama itu.

…….

Jam menunjukkan pukul  tiga pagi. Wong terjaga dari tidurnya kerana merasakan sesak nafas.

Ditoleh ke kiri katil, terlihat Fateh sedang melagukan sesuatu daripada sebuah buku yang di pegangnya. Terkumat-kamit mulut menyembut satu bahasa yang tidak difahami Wong. Dibenak Wong mengagak itu kitab suci orang Islam sepertinya juga satu ketika dulu semasa menganut agama Kristian juga turut didedahkan dengan Bible.  

Sesak nafas kali ini semakin memuncak, Wong meronta-ronta tidak mampu menjerit meminta sebarang pertolongan. Terasa bagaikan beliau akan mati detik ini juga.

Bacaan Fateh terhenti apabila mendengar bunyi gelas yang jatuh di sebelah kanannya. Apabila ditoleh, Fateh terkejut melihat Wong umpama orang sedang nazak menanti sakaratul maut. Sepantas kilat Fateh mendekati Wong. 

“Lukman! Tolong panggil Doktor cepat”. Jerit Fateh mengejutkan Lukman yang kebetulan baru sahaja keluar daripada tandas untuk mengambil wudhuk. 

Tanpa sebarang soalan Lukman berlari keluar mencari doktor yang bertugas waktu tersebut.

Sabar Wong, ikut saya mengucap Laillahaillallah… 

Astaghfirullah.. Fateh apa kau buat ni? Wong bukan islam Fateh, macam mana dia nak mengucap.. ingat itu Fateh! Wong BUKAN ISLAM.” Monolog Fateh yang menghimpit hatinya. Ya Allah, andai kau berikan peluang Wong hidup dimuka bumimu ini, aku berjanji Ya Allah untuk membantunya layak mengucapkan kalimah suci itu. Aku janji. Jerit batin Fateh.

Sabar Wong, Doktor hampir tiba.. pujuk Fateh. Dalam keadaan sesak itu Wong mampu melihat Fateh yang resah sedang membaca sesuatu sambil mengurutkan tangannya ke dada Wong. Ajaibnya tindakan itu menyebabkan nafasnya yang mengombak laju tadi kian tenang. 

Tiga orang jururawat yang memakai sut PPE telah sampai bersama perkakas perubatan. Langsir katil Wong ditarik untuk urusan rawatan seterusnya. 

Fateh diatas katilnya tak henti-henti mendoakan keselamatan buat Wong. Tika itu sudah menjelang waktunya sahur. Waktu mustajab untuk berdoa. Peluang ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Fateh untuk bermunajat kepada Allah.

……

Semenjak daripada peristiwa di sepertiga malam itu, Wong semakin berlembut hati dengan Fateh dan Lukman. “Baiknya mereka membantu aku yang tiada sebarang pertalian darah dengan mereka”. Terharu Wong dengan keprihatinan dua orang muslim itu.

Pada penghujung petang itu, terlihat Fateh dan kawan muslim yang lain sedang menghamparkan tikar.. lalu satu persatu makanan dihidangkan. Ada jamuankah? Wong memberanikan diri menghampiri kumpulan tersebut untuk mencari tahu apa yang sedang berlaku. 

“Ada jamuan ke?”.Tanya Wong pada Fateh. “Ye..jamuan berbuka puasa. Marilah Wong, sertai kami”. Jemput Lukman dengan gembira. “Er ..tapi saya tak puasa..”

 “Takpe esok masih ada kalau awak nak belajar puasa dengan kami. Ada lagi 29 hari tau peluang awak nak belajar puasa.” Celoteh Fateh meredakan kegusaran Wong. 

Wah lamanya! Boleh mati saya macam ini. Kata-kata Wong mengundang ketawa Fateh dan sahabat-sahabatnya itu. “Kelakar la awak ni Wong” Sakat Lukman.

Baiklah berbaki setengah jam lagi untuk waktu berbuka. Di kesempatan ini sudilah saya untuk memberi sedikit tazkirah ringkas. Topik hari ini ialah “Hak Orang Islam kepada orang bukan Islam”. Tazkirah yang disampaikan begitu membumi ke hati Wong. Sekarang persoalannya sedikit terjawab kenapa Fateh ingin membantunya hari itu. Kerana agamanya yang mengajar bahawa perlu turut menyantuni orang bukan Islam selagi tidak bercanggah dengan pegangan mereka. 

Hari demi hari banyak perkara baru yang dipelajari oleh Wong tentang Islam. Paling memberi kesan kepada hatinya adalah segala akhlak yang ada pada Muhammad Fateh. Setiap kali mendampingi beliau, timbul ketenangan yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Segala persoalan tentang islam Fateh menjawabnya dengan penuh ikhlas. Paling menarik Fateh cuba memahamkannya melalui penemuan kajian saintifik yang membuktikan sunnah yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu mempunyai hikmah yang besar kepada manusia. 

………

Hampir setiap malam Wong bermimpi situasi ada satu lembaga putih yang bercahaya membisikkan satu kalimah yang tidak difahami olehnya. Kalimah itu berulang kali datang dalam mimpinya. 

Satu hari Wong bertekad untuk bertanyakan kalimah itu kepada Fateh. Setelah mendengar lafaz kalimah tersebut daripada mulut Wong, Fateh terkesima. Allahuakhbar itu lafaz syahadah Wong. Ini hidayah daripada Allah untuk awak. 

Setelah panjang lebar Fateh menjelaskan. Akhirnya tanpa sebarang paksaan Wong meminta Fateh mengajarkannya cara melafazkan kalimah tersebut dengan sempurna sekaligus mengisytiharkan keislaman beliau. Petang Jumaat di bulan Ramadan, bersaksikan Wad isolasi 313 menjadi tempat bersejarah buat Wong. Kini Wong dikenali sebagai Muhammad Umar sempena nama yang dihadiahkan khusus oleh Fateh kepadanya. Hikmah sepanjang tempoh dikuarantin di wad ini bersama Fateh akan terpahat utuh di hati Umar.

Kesihatan Umar semakin pulih. Berkat penjagaan oleh para pejuang perubatan yang sangat baik. Tak henti-henti mengerah keringat untuk pekerjaan yang merisikokan nyawa mereka. Semoga ganjaran pahala berlipat kali ganda diberikan kepada mereka. Beberapa hari lagi Umar sudah dibenarkan untuk keluar daripada wad. 

Kegundahan di hati Umar jelas kelihatan apabila menyedari kesihatan Fateh semakin hari semakin merosot. Kebelakangan ini Fateh kerap menghabiskan masanya bersama al-Quran dan ‘video call’ bersama anak dan isterinya. Jelas terpancar kerinduan yang amat mendalam untuk segera mendampingi keluarganya. 

“Baba, cepatlah pulang.. Irfaan nak Tarawih dengan Baba dan ummi. Ummi setiap malam nangis rindu baba.” Celoteh Irfaan menggambarkan kerinduan. 

Baba sedang berjuang ni sayang. Doakan la Baba ya. 

Ala Baba, pujuklah bos Baba kasi cuti sehari je, sehari je untuk berehat jumpa Irfaan. Pujuk Irfaan kepada Babanya.

“Mana boleh sayang, bos Baba kata kalau nak berehat kena mati dulu. Dunia ini kan tempat berpenat lelah. Irfaan jaga Ummi ya. Kalau ummi sedih lapkan air matanya. Bisikkan Baba Irfaan kata, dia sayang sangat pada Ummi”. Pesan seorang bapa kepada anaknya.

 Talian diputuskan setelah puas melunaskan rindu buat anaknya. 

Jika esok hari keadaannya semakin parah, Fateh akan dipindahkan ke bilik perseorangan untuk mendapatkan rawatan yang lebih ketat. Selepas selesai mengerjakan solat Dhuha Fateh merasakan dadanya umpama tertusuk sesuatu. Pedihnya ya Allah.. Umar yang melihat situasi itu segera memapah Fateh ke katilnya. 

“Fateh kau ok tak ni? “

Pedih Umar. Sekejap aku panggilkan Doktor. Belum sempat Umar melangkah pergi, tanggannya segera ditarik oleh Fateh. Sebelum kau pergi, aku nak dengar kau ucapkan lafaz syahadah yang aku ajar dahulu, Boleh? Keperitan Fateh disembunyikan sambil menyatakan keinginan terakhir beliau. 

Lafaz syahadah diucapkan satu persatu oleh Umar, dan diikuti oleh Fateh dengan perlahan. 

Umar sudah tidak tahan menyembunyikan air mata. 

“Sekejap Fateh aku pergi panggil Doktor. Kau janji tunggu aku!” Lantas Umar berlari mendapatkan  bantuan. 

“Ye aku janji tunggu kau..  semoga kita dapat berbuka puasa disyurga Umar.” 

Pada 10 fasa terakhir Ramadan, Muhammad Fateh menghembuskan nafas terakhir sebagai syahid akhirat kerana terkorban oleh serangan wabak 

“Dulu kau pernah ajarkan kalimah itu kepada aku, hari ini di bulan Ramadan.. asbab kesungguhan kau, aku mampu mengajarkan kembali kalimah itu dipenghujung hidupmu. Tenanglah engkau disana Muhammad Fateh. Syurga menantimu.”

Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan karunia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahwa tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. 

(QS Ali-Imran 169-170)

 

Disediakan oleh,

Dhiya Arwa Sulayhi

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Loading…

Buya HAMKA Dan Kisah Pelacur Di Mekah

Guru Aini: Cerita Hebat dan Luar Biasa Matematik