in

Cerpen: Pelangi Petang

Ada apa dengan pelangi waktu petang? Kita tahu, pelangi akan muncul sekejap sahaja setelah hujan reda dan apabila mentari kembali bersinar. Indahnya warna pelangi mampu mendamaikan hati yang resah. Meskipun sebentar, namun mampu memberi berjuta pengertian kepada insan yang melihatnya.

Setiap pertemuan di dunia ini, akan berakhir dengan sebuah perpisahan. Ada pertemuan yang boleh membuatkan kita bahagia, ada juga pertemuan yang bisa mendukakan hati kita. Setiap pertemuan itu telah ditentukan oleh Allah swt. Tidak ada satu pun pertemuan dan perpisahan yang terjadi secara kebetulan. Tidak sepatutnya muncul persoalan “suratan atau kebetulan”.

Bertemu dan berpisah kerana Allah swt. Apabila berlakunya perpisahan, barulah kita mengenal erti nikmatnya ukhuwah itu. Manisnya sebuah ukhuwah kerana Allah swt. Semuanya untuk kita memahami, semua apa yang ada di dunia hanya suatu pinjaman. Berharganya sebuah pertemuan itu, apabila kita berpisah dengan orang kita yang sayang.

Semasa saya berpindah ke Bangi, saya dapat memahami bahawa peritnya sebuah perpisahan dengan sahabat yang berada di tempat lama. Saya sangat rindu dengan suasana, tempat dan orang-orang di sana. Lama juga untuk saya menyesuaikan diri dengan tempat dan suasana yang baru. Perpisahan adalah suatu yang normal dalam kehidupan. Selain itu, ia dapat mematangkan lagi seseorang itu. Saya sedar dan faham, setiap hari kita akan dekat dengan sebuah perpisahan dengan orang sekeliling kita. Semakin menua, semakin ramai manusia datang dan pergi dalam hidup kita. Kita akan tergolong antara orang yang ditinggalkan atau meninggalkan.

Perpisahan akan meninggalkan sebuah kepercayaan kepada satu perhubungan. Jika kita meninggalkan ibu ayah kita di kampung sementara kita jauh merantau mencari rezeki, kita pasti akan pulang kerana sebuah kepercayaan kita kepada mereka. Semoga kita tidak akan pernah lupa pada jasa orang tua. Tatkala hati bersedih dan menangis apabila terpaksa berjauhan dengan sahabat tersayang, kita percaya ukhuwah kita bukan pada jasad tetapi hati. Walaupun mereka jauh di mata, tetapi mereka sentiasa dalam hati. Paling istimewa, kita hadiahkan mereka dengan mendoakan mereka setiap detik. Saya pernah meyakinkan pada sahabat yang pernah bersama-sama ketika dahulu, bahawa dia telah berada di dalam hati saya, di tempat yang paling istimewa.

Manusia akan mudah lupa pada kisah sedih atau gembira seiring dengan waktu berputar. Hari ini kita mungkin rasa berat hati untuk meninggalkan orang yang kita sayang, lama – kelamaan kita akan lupa pada mereka. Perkara ini akan meruntuhkan sebuah perhubungan. Sentiasa hubungi mereka. Ingatlah selalu kebersamaan kita dengannya pada masa lalu. Mengapa kita sentiasa rindu pada seseorang yang kita sayang? Pasti, ada sebuah memori indah yang pernah kita lalui bersamanya. Saya sentiasa merindukan saat-saat manis bersama sahabat saya. Kami masak dan makan bersama-sama, keluar berkelah di tepi pantai dan banyak lagi kenangan indah bersamanya. Setelah terpisah sekian lama, manisnya saat ketika ingin bertemunya lagi. Meskipun kami tidak punya masa yang banyak untuk dinikmati bersama, namun saya yakin dan percaya kepada ukhuwah yang terbina kerana Allah swt. Walaupun jasadnya tiada di depan mata, tetapi dia sentiasa bersama saya ketika susah dan senang. InshaAllah.

Daripada Sayyidina Anas r.a daripada Nabi s.a.w bersabda:
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak akan beriman seseorang pun di kalangan kamu (secara sempurna) sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Hidup ini tidak pernah lari daripada ujian. Hadirnya seseorang dalam hidup kita adalah untuk mendidik kita menjadi lebih baik. Kita suka atau benci pada seseorang itu, pertemuan kita dengannya pasti terkandung beribu hikmah. Semua ujian daripadaNya adalah untuk mendapatkan darjat yang tinggi disisiNya. Sewaktu perpisahan yang berlaku dalam hidup saya, saya cuba memujuk hati bahawa Allah swt akan menggantikan saya dengan sesuatu yang lebih baik. Kita bukannya kehilangan orang yang kita sayang, kita masih lagi boleh meneruskan perhubungan dengan mereka. Perpisahan pasti juga akan terjadi dengan sebuah kematian. Jika kita tidak dapat bertemu lagi di dunia, doakan supaya dapat bersama di syurga nanti. Sahabat yang baik pasti akan mendoakan sahabatnya yang lain. Perbanyakkan teman yang soleh dan solehah kerana mereka mutiara di dunia dan saham berharga di akhirat kelak.

Wahai sahabat-sahabat yang baik, jadikanlah perpisahan itu sebagai satu penguat semangat untuk terus hidup agar perpisahan itu menjadi lebih bermakna. Pesanan buat diri saya dan orang-orang yang pernah mengalaminya.

Every time I close my eyes I see you in front of me
I still can hear your voice calling out my name
And I remember all the stories you told me
I miss the time you were around
I miss the time you were around
But I’m so grateful for every moment I spent with you
‘Cause I know life won’t last forever
(So soon by Maher Zain)

 

Anis binti Semail
Guru,
Kajang Selangor.

Leave a Reply

Loading…

Siri Rahsia Basmallah 2: Apa ada pada huruf Ba’ Basmallah?

Budaya Membaca di Rumah