Home Artikel Sastera Cerpen: Lara di Hujung Senja.

Cerpen: Lara di Hujung Senja.

“Lepaskan aku!”

Lelaki tua itu menjerkah sambil meronta-ronta. 

“Biarkan aku mati kebuluran di sini!”

Tiga orang pegawai mengerahkan segenap tenaga mereka untuk menahan lelaki warga emas berusia 72 tahun, juga dikenali sebagai Wak Parjo.  Walaupun tubuhnya kurus kering dan berpakaian compang-camping, namun semangat kentalnya untuk menikmati kebebasan begitu utuh sekali.  

Sudah banyak laporan yang diterima daripada orang awam tentang Wak Parjo. Selain berkandilkan bulan, dia juga mengais sisa makanan di tong-tong sampah. Tiada siapa yang mengetahui tentang asal usulnya atau keluarganya. Yang mereka tahu, Wak Parjo sudah sinting. Berbual sendirian. Merapu yang bukan-bukan.

 

Setahun Kemudian

Genap setahun Wak Parjo ditempatkan di rumah tumpangan warga emas Sinar Harapan.  Keadaannya lebih terurus. Tubuhnya berisi sedikit. Tiada lagi santapan basi yang memasuki kerongkongnya.  Rambut putih yang meliputi kepalanya disisir rapi. 

Apa-apa yang terpacul daripada bibirnya menunjukkan dia masih waras. Hanya dia tidak banyak berbicara. Tidak banyak kerenah. Lantaran itu dia disenangi para penghuni dan pegawai Sinar Harapan. 

“Wak fikirkan apa tu?” sapa pegawai yang bernama Mastura. Kebetulan dia sedang berlalu di sebelah Wak Parjo.

Segurat senyuman merekah daripada bibirnya yang kusam. Di antara pegawai di situ, dia mudah mesra dengan Mastura. Mungkin kerana Mastura mengingatkannya akan seseorang. Atau mungkin kerana dia pandai menambat hatinya yang gersang.

Wak Parjo menghulurkan keratan akhbar kepada Mastura. Bebola mata Mastura terpacak pada berita dan sepasang gambar mempelai yang tertera. Tiada apa-apa yang menarik. Hanya kisah tentang seorang wanita marhaen bernikah dengan seorang jutawan.  Tiba-tiba matanya terpaku melihat nama wanita itu: Sarah Binte Parjo.

“Apa benar Sarah anak Wak?  Saya ingat Wak bujang terlajak.  Maaf, maksud saya belum berumah tangga,” jolok Mastura, ingin mendapat maklumat lanjut.

Wak Parjo mengangguk perlahan. 

“Wak nak jumpa dia ke?”

Kepalanya menggeleng laju. Tangan kanannya pula bergoyang-goyang beberapa kali menidakkan pertanyaan Mastura. 

Reaksi Wak Parjo menyentakkan Mastura. Terdetik di dalam hatinya pasti ini satu lagi kes penderaan atau pengabaian.

Mastura tidak sanggup melihat Wak Parjo saban hari bermandikan air mata setiap kali menatap keratan akhbar itu.  Dia berhasrat untuk membantu Wak Parjo. Setelah memperoleh alamat rumah Sarah, dia memujuk Wak Parjo agar mengunjungi anaknya. Pada awalnya Wak Parjo bersikeras tidak mahu menurut. Tapi mungkin kerana rindu dendam yang terpendam di sanubari, Wak Parjo akhirnya setuju.

Setibanya di rumah Sarah, Mastura dan Wak Parjo dijemput masuk oleh seorang pembantu rumah. Mereka terpesona dengan rumah agam tersergam indah dengan hiasan pokok-pokok bunga orkid serta halaman yang luas. Di dalam rumah banglo tiga tingkat itu,  terdapat lampu-lampu kristal yang bergemerlapan serta bingkai-bingkai lukisan dan perhiasan mewah. 

Sedang Wak Parjo dan Mastura menanti penuh debaran, muncul sepasang suami isteri. Raut wajah mereka persis di dalam gambar di akhbar. Wanita berambut perang beralun itu merenung tajam ke arah Wak Parjo.   

“Sarah,” sapa Wak Parjo terketar-ketar.  “Ini ayah.”

“Siapa yang bawa orang tua ini ke sini?” tingkah wanita itu.  Matanya menjegil. Dia tidak dapat menyembunyikan kejengkelan di dalam hatinya. Dicapainya beberapa kusyen merah di atas sofa lalu dibalingnya ke arah Wak Parjo.  Beberapa biji kusyen itu hinggap ke wajahnya. Wak Parjo tersentap. 

“Aku tidak ada ayah macam kau! Kau keluar dari sini!  Aku haramkan kau jejakkan kaki ke rumah aku ini!”  Herdikannya semakin galak. 

“Sarah, hentikan semua ini!” Bentak suaminya yang bertubuh sasa itu. Namun Sarah semakin ligat mencampakkan benda-benda di hadapannya ke arah Wak Parjo. Dia bagai dirasuk iblis. Kesabaran suaminya semakin menipis.

Pang!

Satu tamparan singgah ke wajah Sarah. Habis merah padam pipinya. 

Sarah mengerang kesakitan.  Mastura dan Wak Parjo tergamam.

Untuk tidak mengeruhkan keadaan, dengan pantas Wak Parjo melangkahkan kakinya keluar dari rumah bak neraka itu.  Mastura yang masih terpinga-pinga menyusul kemudian. 

Sepanjang perjalanan pulang, jari-jemari Wak Parjo menyeka air mata yang mula bergenang.  Titisan-titisan itu semakin deras.  Hatinya dihiris pilu.

Bilah-bilah hari yang mendatang menyaksikan perubahan mendadak pada Wak Parjo.

Dia tidak lalu makan. Wajahnya asyik menekur ke lantai. Matanya seringkali berkaca.  Dadanya sesekali berombak, entah menahan amarah ataupun kesedihan. Para penghuni dan pegawai di situ tidak betah melihat keadaan Wak Parjo.       

*****

Kemunculan Wak Parjo tempohari telah menyebabkan rumah tangga Sarah dan suaminya, Arman bergolak kencang. Arman melemparkan pelbagai tuduhan dan tohmahan terhadap isterinya.  Pembohong!  Anak derhaka!  Lupa daratan! 

Tergamak Sarah berdusta yang ayahnya sudah meninggal dunia, sehingga sanggup menggunakan wali hakim semasa pernikahan mereka. Arman tidak dapat menerima semua itu. Dia kecewa dengan sikap Sarah. 

Sarah akur dia salah tetapi dia tidak sanggup kehilangan kasih sayang suaminya. Dia tidak tahu bagaimana untuk meluahkan segala kebuncahan yang bersarang di fikirannya. Jika dia membuka mulut, ia ibarat menelusuri jalur kegelapan yang bisa membunuh jiwanya.    

Akhirnya Sarah mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Itulah satu-satunya cara untuk melindungi hatinya yang rapuh. Walaupun ia akan meretakkan ikatan perkahwinannya, namun Sarah pasrah.     

Hari itu Sarah dan Arman bertikam lidah lagi. Arman menggertak akan menceraikannya jika dia tidak menerangkan mengapa dia sanggup berbohong tentang ayah kandungnya sendiri. Mulut Sarah tetap terkatup rapat.  Arman sudah tawar hati melayani kerenah isterinya. Dia mengambil keputusan untuk keluar dari rumah, meninggalkan Sarah larut dalam bebanan masa silamnya. 

Hati Sarah melantunkan doa agar Tuhan menunjukkan jalan keluar yang terbaik terhadap kemelut yang melanda rumah tangganya.

Beberapa hari kemudian, Arman muncul semula tanpa diduga.Apabila dia  berpapasan dengan isterinya di ruang tamu, dia memberi suatu tatapan yang penuh sayu.  Jantung Sarah berdegup kencang. Dia tidak dapat menebak isi hati suaminya. Namun, dia berharap agar rumah tangga yang baru dibina dapat diselamatkan.

Dengan tidak semena-mena, Arman merangkul erat isterinya. 

“Maafkan abang,” bisiknya lembut.  “Abang sudah tahu segala-galanya.” 

Sarah termangu-mangu. Dia musykil bagaimana Arman berubah begitu mendadak sekali. Namun hatinya memanjatkan kesyukuran. Manik-manik jernih mulai bergenang di kelopak matanya. 

Malam itu, dua jiwa disatukan dalam suasana syahdu. Masing-masing membuka lembaran baru yang lebih optimis.     

*****

Suasana di Sinar Harapan diselubungi kesuraman.  Wak Parjo semakin tenat.  Sudah berminggu-minggu tubuhnya terkulai layu di atas katil.  Biji matanya hanya menatap ke atas.  Nafasnya bergelombang. 

Mastura resah. Dia serba salah samada untuk memberitahu Sarah atau tidak. Pasti dia akan dimaki hamun. 

“Telefon sahaja Arman, suami Sarah,” desak Akbar, pegawai yang seusia dengannya.

“Tempoh hari aku ternampak Arman datang ke sini. Lama juga dia bersembang dengan Wak Parjo. Entah apalah agaknya yang mereka bualkan. Macam drama televisyen pun ada. Mula-mula aku nampak Arman seperti marah-marah. Kemudian mereka berdua menangis. Akhirnya mereka berpelukan.”

Mendengar penjelasan Akbar, Mastura berasa kesal. Mengapa dia tidak diberitahu tentang hal ini lebih awal lagi?  

*****

Arman bingkas menyuruh Sarah bersiap-siap untuk bertemu ayahnya, setelah menerima panggilan daripada Mastura. Dengan berat hati Sarah terpaksa menurut. Dia melakukan semua ini bukan kerana kasihankan ayahnya.  Tapi demi Arman! 

Tempoh hari Arman cuba menasihatinya agar menerima ayahnya seadanya. Mana mungkin begitu mudah dia melupakan sejarah silam yang menghantuinya hingga kini?  Tidak sama sekali! Namun dia pergi juga ke Sinar Harapan bersama Arman kerana terlalu menyayangi suaminya.   

Semakin mereka menghampiri ruang yang menempatkan Wak Parjo, semakin terasa debaran di hati Sarah.  Mahu sahaja dia membuka langkah seribu. 

Apabila matanya menatap ayahnya yang tergeletak di atas katil, Sarah tidak dapat membendung perasaannya. 

Dengan tidak semena-mena segala rentetan sejarah hidupnya muncul bertalu-talu di benaknya. Bagaimana mungkin terbit sekelumit belas ihsan terhadap insan kejam di hadapannya? Yang telah meragut kebahagiaannya serta ibunya? Kian lama hatinya mengempang kebencian. Bukan mudah untuknya melupakan peristiwa hitam yang melanda keluarganya.  Inikan pula untuk memaafkannya?  Tidak sama sekali!

Nafas Wak Parjo kembang kempis. Dia memandang ke arah Sarah. Wajahnya sayu dan beku. Hatinya merintih ingin memohon ampun, namun tiada apa-apa yang keluar daripada bibirnya yang terketar-ketar. 

Betis kirinya bertaut dengan betis kanan. Nafasnya kini mendesak sampai ke tenggorokan. Wak Parjo yakin saatnya telah tiba. Seluruh urat di badannya bagaikan dicarik-carik. Betapa azabnya! 

Sarah menekupkan wajahnya ke telapak tangannya. Air matanya mula mengalir.   Bukan tangisan kesedihan. Tapi rintihan peperangan batin. Antara kesumat dan memberi kemaafan. 

Seketika itu juga Sarah bergegas keluar, meninggalkan para pegawai Sinar Harapan yang menekur membaca surah Yaasin.  Arman hanya memerhatikan isterinya sehingga hilang dari pandangan.  Dia akur Sarah memerlukan masa untuk berhadapan dengan keadaan yang kritikal ini. 

Sarah merebahkan punggungnya di bangku kayu berhampiran pintu masuk Sinar Harapan.  Dia menangis keras.  Lama juga dia berkeadaan sedemikian rupa.  Tiba-tiba dari hujung matanya dia melihat sesusuk tubuh kecil menghulurkan sehelai tisu kepadanya.

Budak perempuan bertudung putih dan berwajah comel mungil itu memerhatikan Sarah dengan matanya yang sayu dan redup.  Pada kedua telapak tangannya yang kecil terdapat senaskah Al-Quran yang sudahpun terbuka. 

Sarah mengambilnya lalu membaca tafsirannya yang tertera:

            “… Dan hendaklah mereka memberi maaf dan berlapang dada.  Apakah kalian tidak ingin Allah mengampuni kalian?  Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”         

Perlahan-lahan keinsafan menyelinap di setiap sudut hatinya.  Satu persatu simpulan kebencian mula terlerai. 

“Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku dan ayahku,” bisik Sarah.

Dia cuba memaafkan ayahnya…

Yang culas terhadap tanggungjawabnya angkara belenggu judi dan jerat hutang,

Yang ketika itu tergamak merenggut rantai pusaka daripada leher ibunya yang terkulai layu dibelasahnya,  

Yang hampir-hampir melacurkan anaknya sendiri!  Mujur Sarah sempat melarikan  diri dan menumpang di rumah kawannya.

Air mata Sarah mula membasahi pipi, mengalir deras menjernihkan keladak di hati.  Mengubur dendam yang bertaut erat.

Dia ingin mengucapkan terima kasih kepada budak perempuan itu yang telah berjaya membuka pintu hatinya yang kian lama terkunci.  Diperhatikan sekelilingnya, namun budak itu tidak kelihatan.  Kemunculan dan pemergian budak itu bagaikan suatu misteri.  Tiba-tiba bulu romanya meremang.  Cepat-cepat Sarah melangkahkan kakinya menuju ke ruang yang menempatkan ayahnya.

Sejurus Sarah tiba, dia mengucup tangan ayahnya yang longlai.

“Ampunkan Sarah, ayah,” hela Sarah perlahan.  Tangisan keinsafan mulai merangkul jiwanya.   “Sarah sudah maafkan ayah.”  Berulang-ulang dia mengucapkan kata-kata itu.

Setiap orang yang berada di situ turut berasa sebak.  

Tidak lama kemudian, Wak Parjo menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Dia pergi  menghadap sang Pencipta yang Maha Kekal.  Terbujur keseorangan, berpindah ke alam barzakh. 

Serpihan lara di hati Sarah mula reda.  Ketenangan dan kesyahduan beransur-ansur menyusup masuk ke kamar hatinya.

Air hujan mula menitik-nitik mengguyur bumi, menemani senja yang mula berlabuh.    

 

Share:

You may also like

Leave a Reply

Copy link