in

CryCry

Sastera Semakin Hilang Ditelan Zaman

Sastera membawa definisi satu bidang seni kreatif yang menjadikan bahasa sebagai medium pengantara. Bermula daripada tradisi lisan, sastera dilihat semakin berkembang mengikut peredaran masa dari zaman dahulu hinggalah ke hari ini. Masyarakat hari ini dapat membaca pelbagai jenis karya sastera yang mencerminkan gagasan dan daya fikir pengarang yang ingin dikongsi bersama para pembaca. Saban tahun, sasterawan di seluruh Malaysia giat menghasilkan pelbagai karya untuk dijadikan buah tangan bagi rujukan masyarakat di masa depan.

Pelbagai karya agung telah dihasilkan saban tahun mengupas dan membincangkan dengan lebih mendalam mengenai pelbagai cabang ilmu termasuklah aktiviti manusia secara kreatif. Sebagai contoh, kita dapat membaca pelbagai karya Buya Hamka yang didapati di pasaran. Dengan cara ini, kita akan lebih memahami cara fikir masyarakat pada zaman itu, selain mengambil pengajaran daripada pelbagai buku ilmiah yang telah ditulis oleh beliau.

Namun, apalah gunanya jika karya yang dihasilkan hanya kekal tersergam indah di kedai-kedai buku dan perpustakaan di seluruh Malaysia. Malangnya masyarakat hari ini dilihat semakin kurang penghayatan dan minat terhadap karya sastera yang sekian lama menjadi warisan kebanggaan negara. Golongan remaja khususnya kurang menghayati kepentingan meneruskan dan memahami warisan sastera lantas menyebabkan kebanyakan daripada mereka lebih gemar menghabiskan masa melayari internet dan media sosial.

Penggunaan pelbagai kata singkatan di media sosial yang semakin menjadi-jadi ini wajar menyuntikkan kesedaran akan kepentingan memperkenalkan dan mengetengahkan sastera dalam kalangan masyarakat lainnya. 

Penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dilihat sedikit sebanyak menjadi faktor penyumbang terhadap kurangnya penggunaan kata-kata sastera dalam kalangan masyarakat. Usaha pelbagai pihak menggiatkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua pertuturan tidak sepatutnya membantutkan dan menghalang sastera daripada terus berkembang dan dimartabatkan.

Kita khuatir jika masalah ini tidak diberikan sebarang penekanan hingga ia berlanjutan dan tidak mampu kita bendung lagi pada masa akan datang. Justeru, kita menyeru pihak-pihak bertanggungjawab supaya menggiatkan lagi usaha untuk memupuk kesedaran dan minat terhadap sastera terutamanya dalam kalangan remaja. Pelbagai aktiviti berkaitan sastera boleh dianjurkan dengan tawaran hadiah-hadiah lumayan untuk lebih menarik minat masyarakat menyertai aktiviti tersebut.

Tugas memartabatkan kembali sastera yang semakin hilang ini tidak boleh hanya jatuh di atas bahu pihak-pihak bertanggungjawab sahaja. Individu yang mempunyai kesedaran itu sendiri wajar mengambil langkah pertama menyebarkan kesedaran dengan menghasilkan lebih banyak karya sastera yang dekat dalam hati masyarakat hari ini. Jika sekalipun kita tidak mampu menghasilkan karya-karya sastera yang berjela-jela panjangnya, mulakan sahaja dengan menyebarkannya di media sosial dalam skala yang kecil. 

Suka saya kemukakan satu contoh usaha murni yang digerakkan oleh Ahmad Fedtri Yahya; satu nama yang tidak asing lagi dalam industri seni dan usaha beliau mengetengahkan sastera pada zaman kini. Beliau telah menganjurkan pertandingan berunsurkan sastera di pelbagai platform media sosial yang mendapat perhatian dan disambut baik oleh masyarakat terutamanya golongan remaja. Pelbagai pihak telah menawarkan diri untuk menyumbangkan hadiah kepada para pemenang dan telah merancakkan lagi pertandingan serta menarik lebih banyak jumlah penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat.

 

Menerusi pertandingan yang dianjurkan ini, secara peribadi saya melihat keperluan bidang sastera ini diketengahkan dan dibawa ke platform digital demi memastikan keunikan bahasa sastera ini terus segar dan tidak luput ditelan peredaran masa. Platform digital yang banyak diguna pakai hari ini wajar menjadi medium utama dan signifikan dalam usaha memupuk minat dan memperkenalkan sastera dengan lebih mendalam kepada masyarakat.

Usaha murni para sasterawan dari zaman dahulu hinggalah kini wajar kita hargai dengan menggiatkan pelbagai usaha bagi memastikan warisan sastera yang ditinggalkan ini masih kekal relevan dan mendapat tempat di hati masyarakat hari ini. Semoga kesedaran tentang kepentingan warisan sastera ini menjadi titik tolak kepada pelbagai usaha yang akan dijalankan pada masa akan datang demi memastikan karya sastera tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Disediakan oleh: Farisha Nazura

Bagaimana Bahan Bacaan yang Telah Dibaca Membentuk Seorang Kartini?

Kehidupan yang Saling Berubah-ubah