in

Cerpen: Impian Jutawan Seorang Anak Pengawal Keselamatan

“Ingat, kita bukan anak orang senang. Mak dengan abah dua-dua tak dapat masuk universiti. Jadi, mak nak sangat tengok anak-anak mak sambung belajar sampai ke universiti.”- ini adalah pesanan emak yang masih terngiang-ngiang di telinga sampai ke hari ini. Mariam memang membesar dengan pesanan dan nasihat emaknya tentang betapa pentingnya ilmu dan pelajaran dalam kehidupan. Bagi emak Mariam, hanya pelajaran yang mampu mengubah kehidupan setiap insan.

Pesanan itu diberikan di tengah lewat malam ketika Mariam baru berusia 10 tahun. Namun, di lubuk hati seorang kanak-kanak yang masih kecil itu tersimpan impian dan cita-cita yang besar berbekalkan pesanan daripada emaknya tadi. Dia nekad mahu menunaikan impian emaknya. Jauh di sudut hatinya berbisik, “mak, sekarang kita mungkin susah. Tapi suatu hari nanti, kita akan senang sama macam orang lain mak. Mariam janji.” Air mata yang sekian lama bertakung di kelopak matanya cepat-cepat diseka bimbang emaknya perasan apa yang terjadi. Ironi, ketika usia yang sepatutnya masih rancak bermain basikal dan lumba lari bersama rakan-rakan, Mariam sudah punya cita-cita dan visi.

Setiap tahun, Mariam bersungguh ulangkaji demi mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaannya. Namun, sebenarnya Mariam bukanlah melakukan semua ini untuk dirinya sendiri. Emak dan abah menjadi sebab utama kepada segala trofi dan anugerah yang dia berjaya terima saban hari.

….……….

“Mak, tengok ni. Nak pilih dalam ke luar negara?” kata Mariam kepada emaknya yang sedang berdiri di sebelah memerhatikan Mariam yang sedang serabut mengisi permohonan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

“Pilih luar negara, takpe kita cuba je.” Kata emak Mariam. Mariam yang menurut saranan emaknya pun menekan pilihan luar negara.

Atas izin Tuhan, Mariam lepas ujian temuduga dan mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke United Kingdom. Namun, Mariam perlu terlebih dahulu melakukan persediaan A-Level selama dua tahun dan mencapai target minima yang telah ditetapkan oleh pihak penaja.

.………………

Hari tak selalu indah, langit tak selalu cerah. Mariam tersungkur di pertengahan jalan untuk menggapai cita-citanya melanjutkan pengajian ke luar negara. Keputusan peperiksaan tahun pertama A-level telah membuatkan Mariam termenung jauh dengan diri sendiri. Mariam gagal mencapai target minima yang telah ditetapkan oleh pihak penaja. Daripada 15 poin penuh yang sepatutnya dicapai, Mariam hanya berjaya mencapai 12 poin sahaja. Ini bermakna semakin jauhlah Mariam dengan impiannya, semakin sukarlah perjuangan A-Levelnya. 

“Alhamdulillah, it could be worse”, bisik Mariam dalam hati setelah melihat keputusan peperiksaan A-level tahun pertamanya itu. Berkali-kali Mariam cuba pujuk hati dan diri sendiri. 

Namun, berita bahawa kesemua rakan sekelas Mariam selama 10 orang berjaya mendapatkan 15 poin penuh dan hanya Mariam seorang yang kecundang tersebar pada malam itu, seakan menambah garam pada luka Mariam. Mariam ketinggalan bukan satu atau dua poin dibelakang yang lain, tapi ada tiga poin yang perlu ditambah. Masih segar dalam ingatan Mariam, dia membawa diri menangis di sebuah bilik kosong dalam blok asramanya itu. Menangis bagaikan tiada lagi hari esok. Pada saat itu, langit terasa bagaikan tak mungkin akan terang lagi. Segala sinar harapan dan impian untuk mengubah nasib keluarganya seakan terkubur dan hilang dengan sendiri. Mariam bermuhasabah memikirkan silapnya di mana. Jujur, Mariam sangat kecewa akan dirinya sendiri. Bagi Mariam, dialah yang telah menghancurkan masa depannnya sendiri.

….…………..

Mariam masih punya peluang untuk membaiki keputusannya dengan satu cara; ‘repeat paper’. Pun begitu, dengan mengambil keputusan untuk menjawab peperiksaan ulangan, Mariam sebenarnya perlu membayar RM300 lebih, mengulangkaji kembali pelajaran tahun pertama seorang diri tanpa pertolongan pensyarah serta fokus pada silibus pelajaran baru tahun kedua A-level. Lebih memeritkan lagi, bukan satu tapi dua subjek yang perlu Mariam ulangkaji untuk peperiksaan ulangan. 

Apalah gunanya lama-lama mengeluh nasib, Mariam tekad untuk menghabiskan apa yang dia sudah pun mulakan. Maka bermulalah episod kesungguhan Mariam untuk mencapai kejayaan. Tiada satu hari pun yang berlalu tanpa air mata mengalir di pipi. Mariam akan tidur pada pukul 11 malam dan bangun seawal 3 pagi untuk mengulangkaji. Solat hajat dilakukan hampir setiap hari. Begitulah rutin Mariam untuk tahun yang sukar tersebut. Lebih menyedihkan, Mariam bersendirian dalam perjuangannya ini kerana rata-rata rakan-rakannya yang lain tidak perlu melakukan peperiksaan ulangan ini.

Berjalan ke sana sini berseorangan bukanlah satu hal yang asing untuk Mariam. Sekalipun ianya asing, mungkin hanya di waktu awal permulaan. Mariam pernah tersinggung dengan soalan daripada pensyarahnya yang bertanya mengapa dia jalan berseorangan? Adakah dia tidak mempunyai kawan? Pahit untuk ditelan, namun begitulah kenyataan. 

Akhirnya, Mariam selesa sendiri. Dia jumpa cinta untuk diri sendiri. Dia jumpa penghargaan dari dirinya untuk dirinya sendiri. Kedengaran sadis, namun itulah yang Mariam paling inginkan. Kerana saban tahun, dia berjuang membelakangkan perasaan dirinya dan meletakkan yang lain di hadapan. Di kemuncak sebuah perjuangan, Mariam benar-benar lelah mencuba untuk terus menerus membahagiakan, akhirnya Mariam pujuk bahu sendiri dan terus berjalan. Mariam bukan berjalan sendiri seperti yang pensyarahnya sangkakan, Mariam sebenarnya berjalan bersama Tuhan. Jika jatuh, dia tahu Tuhan takkan pergi meninggalkan. Jika lelah, dia tahu Tuhan dengar dan berikan cara untuk ceriakan keadaan. Atau sekalipun Mariam tertinggal di belakang kerana terlalu tak larat untuk mengejar orang lain yang jauh terkehadapan, Tuhan ada untuk memujuk dan terus membisikkan harapan.

….…………………

Mariam juga pernah dikatakan seperti tiada “life”. Hal ini kerana, waktu petang yang sepatutnya digunakan untuk berehat atau beriadah, Mariam habiskan untuk sambung mengulangkaji. Mariam sibuk menyiapkan soalan-soalan peperiksaan tahun lepas yang masih berbaki. Ada masanya, satu soalan memerlukan Mariam untuk mengulangnya sebanyak lebih tiga kali supaya dia betul-betul faham konsep dan cara menjawab soalan itu. Mariam tidak dilahirkan genius, ada orang buat sekali terus faham dan ingat sampai bila-bila cara nak jawab. Namun bagi Mariam, perkataan genius tak wujud dalam kamus kehidupannya. Dalam hidupnya, cuma ada kesungguhan yang luar biasa. Alhamdulillah, walaupun acap kali kesungguhan seorang Mariam dipertikai oleh orang sekeliling, Mariam yakin dia tidak akan mampu berada di mana dia berada sekarang jika dia tidak bersungguh sejak dulu lagi.

Apalah sangat cakap belakang orang lain tentang dirinya. Jika mereka rasa cakap-cakap mereka tentang Mariam mampu merendahkan dan membuatkan Mariam bersedih. Mereka tentunya silap besar sekali. Mariam tak hidup untuk puaskan hati orang yang berada di sekelilingnya. Mariam hidup berbekalkan nasihat emaknya bahawa pelajaranlah yang mampu mengubah kehidupan setiap insan. Jadi, jika ditanya sebab sebenar akan sebuah kesungguhan luar biasa yang ditunjukkan Mariam, tentulah tidak lain tidak bukan untuk ubah nasib keluarganya ke arah yang lebih baik.

Walaupun Mariam jelas tidak ambil kisah tentang apa yang dikatakan orang lain kepadanya. Namun, jauh di sudut hati kecil Mariam ada kekecewaan yang tersimpan rapi. Mariam pelik kenapalah terlalu ramai yang mempersoal dan mempertikaikan keinginan dan kesungguhannya dalam menuntut ilmu dan pelajaran. Bukankah sepatutnya kita saling menyokong dan memberi semangat kepada yang lain? Jika suatu hari nanti kita berjaya, bukankah kita berjaya untuk satu sekolah, negara dan generasi yang sama? Jika berusaha dengan bersungguh itu suatu kesalahan, maka akan lenyaplah harapan orang yang hidup berbekalkan usaha selama ini. Selari dengan lenyapnya sebuah harapan, lenyaplah juga impian-impian besar untuk mengubah nasib diri, keluarga dan negara satu hari nanti.

….……………

Akhirnya atas izin Tuhan, usaha keras Mariam membuahkan hasil. Segala kerja keras dan penat lelah Mariam terbayar. Keputusan peperiksaan ulangan Mariam telah membuatkan dia berjaya mencapai 14 poin daripada 12 poin tadi. Lebih mengejutkan pensyarahnya, Mariam berjaya mendapat 89 markah untuk subjek ulangan tersebut daripada 69 markah sebelum ini. Benarlah janji Tuhan yang diulang dalam al-quran, lepas susah ada senang. 

Alhamdulillah, Mariam berjaya menjejakkan kaki dan diterima masuk ke sebuah universiti yang diiktiraf antara 30 terbaik di dunia. Mariam bersyukur atas apa yang dimilikinya hari ini. Dikelilingi rakan-rakan yang baik, keputusan peperiksaan yang memberangsangkan dan persekitaran yang menenangkan menjadi nikmat terbesar yang dia syukuri setiap hari.

Andai saja Mariam berputus asa ketika awal dia diuji, pasti Mariam tidak berada dimana dia berada sekarang. Mariam masih dengan cita-cita dan impiannya untuk mengubah nasib keluarganya satu hari nanti. Segala penat lelah dan pengorbanan kedua ibu bapanya perlu dibalas apabila dia sudah bekerja nanti. Mariam juga memasang impian untuk membantu golongan yang memerlukan melalui pelajaran suatu hari nanti. Bagi Mariam, hanya pelajaran yang mampu mengubah kehidupan insani.

Mariam ingin menjadi bukti, bahawa anak seorang pengawal keselamatan juga mampu berjaya dan terbang tinggi.

 

Nukilan: Mariam Medina

 

Leave a Reply

Loading…

Surah al Asr: Kaitan diantara Sumpah dan Masa

Cyrus The Great : Penakluk Timur Dan Barat