Home Artikel Sastera Cerpen: Di Bawah Meja Kopi

Cerpen: Di Bawah Meja Kopi

Akhbar di atas meja Kopitiam Arsad itu diambil Khalid lalu dibacanya. Waiter di kopitiam tersebut datang kepadanya lantas dia menjawab “macam biasa ye dik.” Sehelai demi sehelai akhbar itu dibacanya. Khalid mencari berita yang ditulis oleh rakan sekerjanya, Amru dalam akhbar tersebut. Ya, Khalid juga merupakan seorang wartawan tetapi berita kes yang sepatutnya menjadi tugasnya itu telah diserah kepada Amru. Dia penat, sebetulnya tidak mampu untuk meneruskan laporan kes tersebut.

Khalid akhirnya menjumpai berita yang ingin dibacanya. Dia membaca beberapa perenggan berita tersebut dan dia berhenti setelah membaca nama suspek yang terbabit dalam kes tersebut. Dia menghirup sedikit kopi yang dipesannya tadi dan menghembus satu nafas yang berat sekali. “Maafkan aku.” Lafaz yang ringkas tapi sangat berat bagaikan duri di tekak Khalid apabila melafazkannya. Walaupun dia bersendirian ketika itu. Di Kopitiam Arsad.

***

Dua bulan lalu, nama Mansor timbul kembali dalam kehidupan Khalid. Khalid dan Mansor, dua sahabat karib ketika di SMK Tengku Afzan. Di mana ada Mansor di situ ada Khalid. Mansor seorang yang agak rendah tetapi berbadan tegap, lincah dan cergas melayakkanya digelar olahragawan ketika di zaman persekolahan. Khalid pula berkaca mata, tinggi serta kurus dan antara pelajar yang terkehadapan dalam acara-acara penulisan sastera, seperti penulisan kreatif, sajak, pantun dan pelbagai jenis sastera sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Walaupun mereka berdua mempunyai banyak perbezaan tetapi perkara itu tidak membataskan persahabatan dua sahabat karib ini.

Sebelum beberapa minggu sebelum menghadapi ujian SPM, Khalid mengajak Mansor untuk menelaah pelajaran bersama. Memang rutin mereka ketika kelas prep malam begitu. Dan rutinnya juga mereka akan lebih banyak bersembang daripada ulangkaji pelajaran.

“Khalid, aku rasa aku tak tahulah nak jadi apa lepas habis SPM nanti.” Keluh Mansor sewaktu mereka berdua mengulangkaji subjek sejarah. “Ni subjek sejarah ni, aku tak tahu kenapa kita kena belajar peristiwa-peristiwa lepas ni. Orang mat salleh cakap kena ‘move on’, betul tak Khalid?” Memang keluh dan alasan seperti itu sering dikeluarkan daripada mulut si Mansor. Dia memang agak ketinggalan dalam pelajaran.

“Kau jangan macam itu Man. Setiap apa yang cikgu kita ajar kita di sekolah ni, semua ada kebaikan dia. Kita sahaja perlu bahagi masa betul-betul untuk cover semua subjek ini.” Balas Khalid. Jarinya masih menulis beberapa nota penting di nota khasnya. Tertulis beberapa nama-nama tamadun silam seperti Mesir Purba dan Mesopotamia di atas nota khasnya itu.

“Yalah tu Khalid. Aku nak tanya satu soalan ni, kau besar nanti jadi apa eh? Aku tengok kau ni suka menulis, mesti nanti kau jadi cikgu kan nanti.” Tanya Mansor kepada Khalid.

            “Taklah, aku nak jadi journalist”.

            “Journalist? Apa tu Khalid? Kau ni cakaplah Melayu, baru aku faham, hahaha.”

“Wartawan lah Man, aku nak jadi wartawan yang menulis berita-berita yang sahih dan benar yang dapat menyedarkan masyarakat. Aku dengar kadang-kadang wartawan ni suka mengubah atau mengadakan berita sensasi. Tak sikit juga yang menulis berita yang menimbulkan persepsi dan fitnah. Jadi aku nak jadi seorang wartawan yang berwawasan dan beretika dalam menulis. Aku akan menulis berita yang benar walaupun perkara itu pahit bagi aku untuk menulisnya. Kebenaran tetap kebenaran, Man.” Terang Khalid kepada Mansor.

Mansor kagum dengan azam dan cita-cita sahabat karibnya itu. Dia anggap Khalid mempunyai satu tujuan yang jelas dalam hidupnya. Dia walaupun terkenal di sekolah tersebut tetapi dia sendiri tidak mengenali kemampuan dirinya untuk masa hadapanya sendiri. Dia risau akan keputusan SPM nanti kerana peperiksaan percubaan SPM yang lepas, dia memperolehi keputusan yang agak teruk.

Beberapa bulan berlalu, igauan Mansor benar-benar terjadi. Dia memperolehi keputusan yang tidak cemerlang dalam SPM. Manakala Khalid, memperolehi keputusan yang cemerlang dan melayakkan dirinya untuk menyambung di universiti tempatan dalam bidang yang diminatinya. Sejak itu, mereka agak renggang kerana keterbatasan untuk berjumpa antara satu sama lain.

***

Hampir 10 tahun berlalu, Khalid dan Mansor sudah tidak menghubungi antara satu sama lain. Hinggalah pada suatu hari Khalid ternampak kelibat Mansor yang lengkap berpakaian seragam kebanggaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di kaca televisyen bersama anggota-angota polis yang lain. Ketika itu, Mansor antara ahli anggota PDRM yang berjaya membuat serbuan di sebuah premis pusat hiburan di ibu kota yang menjalankan perniagaan yang haram. Dia berasa teruja kerana sudah lama tidak bertemu dengan rakan karib sekolah menengahnya dulu. Usai menonton berita tersebut, dia menelefon kenalan di pejabat berita untuk mendapatkan nombor telefon ibu pejabat tempat Mansor bertugas. Akhirnya Khalid berjaya menghubungi Mansor dan berjanji dengan dia untuk bertemu di Kopitiam Arsad.

Di Kopitiam Arsad, Khalid melihat seorang lelaki berbaju kemeja kelabu lengkap dengan berjaket hitam beserta topi hitam. Walaupun hampir 10 tahun tidak bertemu, bentuk tubuh Mansor masih tidak banyak berubah. Badannya masih sasa walaupun perutnya makin buncit sedikit dan yang membezakan Mansor yang dulu dan sekarang hanyalah mukanya yang sedikit berjambang dan berkumis. Khalid menyapa Mansor dan kelihatannya dua sahabat karib ini sangat gembira bertemu satu sama lain dek lama tidak bersua muka. Setelah lebih dua jam bersembang kosong di kopitiam tersebut, Khalid meminta izin untuk pulang ke pejabatnya untuk menyiapkan laporan berita dia.

“Man, lama sangat tak jumpa kau ni. Kalau boleh satu hari aku nak sembang dengan kau tapi aku ada kerja pula dekat pejabat. Aku kena pergi cepat sebab aku tak bawak kereta aku, kereta aku rosak dua hari lepas.” Khalid nampak sedih terpaksa berpisah dengan sahabat karibnya yang lama tak berjumpa.

“Lah, habistu kau datang sini naik apa ?” tanya Mansor.

“Aku naik public transport untuk sementara waktu ini. Tunggu kereta dekat bengkel siap. Ni aku datang naik Grab ke sini.” Jelas Khalid.

“Kalau macam tu, mari naik dengan aku. Aku hantar kau dekat pejabat kau.” Pelawa Mansor. Pelawaan Mansor itu disambut dengan baik oleh Khalid. Mereka berdua menaiki kereta Honda Civic Type-R keluaran terbaru. Deruman enjin yang bingit menunjukkan kereta Mansor itu telah diubahsuai.

“Wow Mansor! Gempak betul kereta kau ni. Kereta mahal ni. Bunyi dia lain macam. Hahaha. Kau mesti Superintendent kan sekarang.” Puji Khalid kerana kagum dengan kereta Mansor yang merupakan antara kereta idaman ramai lelaki di Malaysia sekarang.

“Hahaha. Aku Inspektor sahaja, Khalid. Tapi aku kan jenis memang minat kereta dari dahulu. Sebab itu aku banyak laburkan duit aku dekat minat aku ini.” Terang Mansor. Mereka berdua bersembang beberapa perkara dan berjanji akan berjumpa lagi. Sejak pada hari itu, mereka berdua asyik berjumpa di Kopitiam Arsad atau Khalid akan menziarahi keluarga Mansor di rumah.

***

Pada satu malam, Khalid dan Mansor telah berjumpa seperti biasa. Mereka bersembang sambal menikmati kopi kegemaran mereka di Kopitiam Arsad. Bagi mereka kopi dibacuh di Kopitiam Arsad sangat istimewa kerana pemilik kopitiam tersebut daripada Arab. Aroma kopinya berbeza dengan aroma kopi di kedai-kedai kopi yang lain. Dan mereka pasti akan makan minum di meja yang sama iaitu meja kiri paling hujung di kedai kopi itu. Tersorok tetapi masih selesa untuk menikmati secawan kopi buatan Pak Arab.

“Man, aku sekarang tengah pening ni. Bos aku asyik push aku buat liputan dan kajian mengenai masalah rasuah di negara kita. Pening aku fikir macam mana nak buat laporan berita isu ini.” Khalid mengadu kepada Mansor.

“Kenapa bos kau bagi kau cover berita ini? Tiada berita lain lagi ke nak siarkan? Berita macam itu mana orang nak baca Khalid. Baik lah kau cover berita tentang kes skandal gossip artis-artis kita. Aku dengar artis terkenal itu, Tima Keembong sudah putus dengan Kamil Adil. Berita macam itulah baru panas kalau kau siarkan Khalid.” Cadang Mansor dengan muka yang sedikit mencebik.

“ALLAH, kau kena faham Man. Bos aku ini memang minat berita jenis jenayah dan salah laku ini. Kadar rasuah di negara antara tertinggi di rantau ini Man. Lagi-lagi bila berkait dengan pegawai kerajaan atau anggota beruniform ini.” Balas Khalid. Dia menghirup sedikit kopinya dengan mata terpejam. Nikmat sungguh!

“Amboi! Kau nak tuduh orang macam aku lah yang banyak makan rasuah. Polis, bomba, kastam maksud kau antara pemakan rasuah ye!” Nada Mansor agak kuat dan terasa sedikit agak tegang.

“Eh! Bukan macam itu, Man. Maksud aku menurut laporan kajian sahaja. Aku hanya sebut dalam laporan bukan aku tuduh kau. Kau jangan salah faham pula.” Pujuk Khalid.

Mansor agak terganggu dengan topik bualan antara mereka berdua. Dia pulang ke rumah dengan rasa sedikit gelisah dan rimas. Buat pertama kali, rasa kopi kegemaran Mansor itu terasa kelat. Tak sedap dek perbualan malam itu. Khalid juga pulang awal. Ketika dalam perjalanan ke tempat letak keretanya, Khalid telah ditahan dua orang lelaki berbadan tegap. Bertopi hitam dan bercermin mata hitam. Garang. Salah seorang daripada mereka menunjukkan lencana polis. Khalid agak ketakutan.

“Assalamualaikum Encik Khalid. Maaf mengganggu. Boleh kita berbincang sebentar di Kopitiam kegemaran encik itu. Ada hal penting yang hendak dibincangkan. Harap encik beri kerjasama kepada kami.” Kata salah seorang daripada dua lelaki yang menahannya. Khalid terpaksa akur dengan ‘pelawaan’ tersebut. Perbincangan tersebut berjalan dengan serius dan Khalid pulang dengan hati yang berat dan muka yang sugul.

***

Pada hari minggu, kebiasaanya Mansor akan berehat di rumah. Merehatkan kepala yang asyik berfikir tentang laporan-laporan kes yang bertimbun untuk disiapkan. Juga memikirkan ‘perkara’ tersebut. Runsing kepala dibuatnya. Dan kebiasaannya, waktu rehat Mansor akan terganggu apabila isterinya Rohayu datang kepadanya sambil bercekak pinggang dengan muka yang mencebik seperti waktu sekarang.

“Abang ni, asyik rehat di rumah sahaja. Itu barang-barang dapur itu. Siapa nak pergi beli? Pampers dan susu anak awak ni dah lama saya cakap dah nak habis. Tak pergi beli-beli lagi. Duit semua bagi dekat kereta yang awak sayang sangat itu. Habis anak awak, isteri awak ini siapa nak bagi makan?” Bebelan Rohayu mula menghiasi ruang rehat rumah Mansor. Mansor hanya mendengus sahaja dan berlalu pergi apabila mendengar telefon bimbitnya berbunyi. Ada panggilan. Nama Lim Chow Kit keluar di skrin telefonnya.

“Hello Lim, kenapa call aku weekend ni. Lu tahu kan, hari ini hari rehat aku.” Suara Mansor agak keras. Kemungkinan disebabkan hari rehatnya diganggu.

Sorry Mansor, wa terpaksa telefon lu sebab bos sudah banyak bunyi. Banyak sudah tempat orang wa kena serbu sama lu orang polis. Bos suruh jumpa sama lu esok untuk bagi itu ‘barang’. Nanti lu bahagikan ‘barang’ itu dekat anak buah lu.” Lim cuba ambil hati Mansor.

“Okey. Esok kita jumpa di tempat biasa. Kopitiam Arsad. Pukul 10 pagi.” Putus Mansor. Setiap kali panggilan seperti itu diterima Mansor, pasti akan timbul dua perasaan di hatinya. Seronok tetapi risau. Seronok menerima habuan, risau akan akibat jika terbongkar. Mansor menelefon Khalid untuk memberitahu yang dia tidak dapat bertemunya macam biasa di Kopitiam Arsad kerana ada urusan dengan orang lain di sana.

***

Mansor dengan jaket kegemaranya sudah memesan secawan kopi untuknya dan satu gelas jus epal untuk Lim Chow Kit. Dia masih menunggu ketibaan Lim. Tiba-tiba, telefonnya berbunyi. Sangkaanya Lim, rupanya Khalid yang menelefon.

            “Assalamualaikum Man, kau ada dekat mana itu?” Tanya Khalid dalam panggilan.

            “Wasalam. Aku ada dekat tempat lepak biasa. Sorry Khalid, tak boleh lepak macam  biasa dengan kau dekat sini. Aku kena jumpa orang untuk selesaikan kes terbaru aku ini. So, rahsia lah. Tak boleh kau ada sekali.” Tipu Mansor.

            “Hahaha. Takpe Man, lain kali kita lepak. Cuma aku nak pesan je Man, setiap perkara yang kita buat Allah akan hisab nanti. Ingat anak bini kita dekat rumah. Jangan sampai kita menyesal dengan habuan dunia yang sedikit.” Khalid berpesan.

            “Aik, apahal pula kau ni Khalid. Hahaha. Jadi ustaz pula. Baik-baik, aku ingat pesan kau. Aku memang tengah dalam urusan kerja ini, bukan aku dating dengan skandal aku. Hahaha. Okey bye.” Mansor hanya mengambil pesanan Khalid sebagai satu gurauan sahaja. Beberapa minit kemudian, Lim sudah sampai dan mereka berborak dalam keadaan yang agak serius dan tegang sedikit.

            “Lu Mansor memang tak reti buat kerja lu ke? Wa suruh lu buat kerja senang sahaja. Lu tutup mulut-mulut  anak buah lu. Jangan serbu kedai orang wa.” Lim agak emosi. Mungkin kerugian yang banyak terpaksa ditanggung geng-geng mereka yang menjalankan perniagaan yang haram di sebalik perniagaan yang sah di sisi undang-undang sebagai helah.

            “Woi Apek Mata Sepet! Aku dah suruh semua anak buah aku senyap. Yang pergi buat report serbu kedai kau tu bukan dari pasukan aku. Itu pasukan lain. Kau ingat cukup ke duit kau bagi itu nak suap semua mulut dekat balai polis itu!” Mansor tak mengalah. Egonya memang tinggi walaupun dia tahu dia sedang melakukan perkara yang salah.

            “Alasan lu memang banyak lah Mansor. Tapi tak apa, kami dah sedia duit untuk lu bagi suap anak-anak buah lu dengan mulut-mulut yang bocor rahsia dekat pejabat lu.” Lim cuba bermain emosi dengan Mansor. Dia tahu untuk bagi senyap orang macam Mansor dengan hulur sedikit ‘duit kopi’ sudah memadai. Dia menyerahkan beberapa sampul berisi duit di bawah meja kopi mereka. Ketika Mansor cuba untuk mengambil sampul-sampul berisi ‘duit kopi’ Lim, dia terperasan ada sesuatu di bawah meja mereka. Bagi seorang yang bertugas sebagai polis, dia dengan senang dapat mengecam alat tersebut. Perakam suara!

Tiba-tiba empat orang lelaki berbadan tegap masuk ke kopitiam tersebut dan menyuruh Mansor dan Lim untuk menyerah. Dua lelaki berseragam polis, dua lagi berpakaian biasa dengan topi hitam serta cermin mata hitam.

“Kamu berdua ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan rasuah! Bagi kerjasama kepada kami dan sebarang alasan dan dakwaan akan dibincang di balai polis.” Arah seorang lelaki. Dia merupakan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mansor dan Lim telah dibawa ke balai kerana terlibat dalam jenayah salah laku, pecah amanah, serta rasuah.

Di luar kopitiam tersebut, ada sepasang mata mengintai kejadian tersebut dari luar. Khalid menyaksikan sahabatnya itu ditangkap oleh SPRM dan PDRM. Dengan bantuannya. Khalid telah membantu siasatan pihak SPRM dan PDRM dengan meletakkan perakam suara di bawah meja tempat kebiasaanya dan Mansor lepak. Perakam suara itu akan dijadikan bahan bukti di mahkamah dan pihak SPRM meminta bantuannya untuk memberi sedikit maklumat berkenaan gerak-kerja dan aktiviti Mansor. Matanya berair dan lafaz ‘maafkan aku’ terus bermain di monolognya.

***

Khalid membaca berita bertajuk ‘DUIT KOPI DI BAWAH MEJA KOPI’. Berita tersebut mengenai tangkapan seorang pegawai polis dan geng kongsi gelap yang terlibat dalam rasuah dan sindiket jenayah di sekitar Chow Kit dalam akhbar yang menjadi tempatnya bertugas sebagai wartawan. Mansor bin Ibrahim nama pegawai tersebut. Sahabat karibnya sendiri. Air matanya tumpah saat membaca nama tersebut. Dia menghirup saki-baki air kopi Arab yang menjadi kegemaran mereka berdua hingga tiada baki lagi dalam cawan tersebut. Helaan nafas yang berat diluahkan, jatuh lagi bersama beberapa titisan air mata yang mengalir di pipinya. “Maafkan aku…” Lafaz yang ringkas tapi sangat berat bagaikan duri di tekak Khalid apabila melafazkannya. Walaupun dia bersendirian ketika itu. Tiada Mansor, tiada Lim Chow Kit, tiada duit kopi. Hanya dia dan secawan kopi. Di Kopitiam Arsad.

 

Oleh: Nazef Iskandar B Abdullah

Related Post

Leave a Reply

Copy link
Powered by Social Snap