in

CryCry

Cerpen: Bayang – Bayang Kesyukuran

MALAYSIA, 2008

Tangan tua itu mencapai beberapa ikat sayur sawi yang terletak di dalam kotak gabus itu dan membelek-beleknya. Selepas itu, dia memasukkan 3 ikat sayur sawi bunga yang masih berwarna hijau pekat itu ke dalam bakul yang dijinjit sedari tadi. 

“Amoi, mau cari apa lagi? You mau masak apa harini?” Sebuah senyuman dihadiahkan kepada nyonya penjual ayam yang berdiri tidak jauh daripadanya. 

“Saya mau masak Mi Goreng Special la hari ni nyonya, anak-anak saya balik bercuti dari asrama semalam!”

“Oooo itu macam kaaaaa… banyak bagus la youu…”

Wajah tua itu hanya tersenyum mendengar omelan nyonya tua yang sudah berumur lingkungan 60-an itu. Sekilas matanya memandang ke dalam bakul yang dijinjitnya. Ada separuh ekor ayam yang sudah siap dipotong, 3 ikat sawi bunga, satu plastik sotong, setengah kilo ayam dan udang, dua bungkus mi kuning serta beberapa ulas lada merah. Di minda nya sudah terbayang wajah ceria anak-anak yang begitu dirindukannya menikmati sarapan mi goreng yang mereka sukai hasil air tangannya itu.  

++++

“Assalamualaikum Warahmatullah…” Salam kedua selesai diberi, Fauzi membetulkan duduknya sambil membaca zikir ringkas usai solat Isyak pada malam itu. 

 Dia mengangkat tangannya ke dada dan memanjatkan doa nya kepada yang Esa. 

Sebentar kemudian, Fauzi berpaling ke belakang dan menatap wajah isterinya yang sudahpun selesai berdoa. 

“Abang nak makan apa malam ini? Saya ada buat kentang masak tumis petang tadi.”

Fauzi mengukir senyum manis dan dilemparkan buat isterinya itu. 

“Jom, makan sama dengan abang.” Dia  terdiam. Terbayang di mindanya beras yang hampir kehabisan dan barangan dapur lain yang sudah pun habis. Sejujurnya, dia tidak menjamah walaupun sebutir nasi sejak tengah hari tadi. Hanya sejam sebelum suaminya pulang dari tempat kerja tadi dia sempat menumis kentang yang hanya tinggal sebiji itu. Serta merta, air jernih tumpah ke pipi dari kolam matanya. 

Dengan sisa tangis yang masih mengalir di pipinya, dia menghantar langkah suaminya ke dapur dengan pandangan sayu. 

++++

Fauzi menjamah makanan yang terhidang di hadapan nya dengan berselera sekali. Hampir menitis air matanya melihat suaminya yang begitu baik sekali dan sangat menjaga hatinya sebagai seorang isteri.  

“Alhamdulillah…” Fauzi menjilat butir-butir nasi yang berada di celahan jari nya. Sebuah senyuman manis sekali lagi dihadiahkan buat isterinya yang masih tidak lepas menatap wajahnya sedari tadi. Dia gagal mengawal air matanya daripada tumpah ke pipi. Serta merta dia meluru kearah suaminya dan merangkul tubuh Fauzi dari belakang dengan esakan tangis yang tidak berupaya lagi ditahan.

++++

 Sofea, anak sulungnya, yang mengambil jurusan perubatan baru sahaja pulang bercuti sempena hari raya dari Dublin dan sudahpun bergelar seorang doktor, Fathia, anak keduanya, seorang peguam bela dan peguam cara sudahpun membuka firma guamannya berdekatan rumah mereka, anak ketiganya Farihi, penuntut tahun akhir dan merupakan pelajar cemerlang kuliah kejuruteraan di universitinya. Ilhami dan Hani, masing-masing sedang menjalani tahun 3 mereka di Institut Perguruan dalam jurusan Bahasa Inggeris. Dan yang bongsu, Amani iaitu yang keenam, merupakan penuntut tahun 2 Fakulti Seni Bina jurusan Perancangan Bandar serta mengambil minor dalam jurusan Bahasa Jepun. 

Mata yang redup itu menatap satu persatu wajah anaknya dengan penuh kasih. Mereka yang masing-masing sedang leka menjamah mi goreng tidak perasan akan sepasang mata yang asyik memerhati mereka sejak tadi. 

Ibu, sedapnya. Lama dah Farihi tak makan Mi Goreng Special ibu ni tau!” Ujar Farihi seraya menyenduk mi goreng tambahan ke dalam pinggannya. Dia hanya mengangguk kecil sambil tersenyum simpul melihat tingkah laku anak-anaknya itu.

++++

Beberapa titik air jernih membasahi helaian kertas yang dipegang Amani sejak tadi. Dia yang masih berdiri di luar balkoni itu masih memegang sekeping gambar yang sudah hampir terkoyak dek basah terkena air matanya. Amani mendongakkan kepalanya, sejurus pandangannya dihalakan ke sekitar laman balkoni rumahnya itu yang penuh dengan bunga dan pokok menghijau, berwarna warni, indah sekali menghiasi seluruh pelusuk laman.

Serta merta terbayang di mindanya satu tubuh tua yang amat dirinduinya sedang menyiram pokok-pokok di sekitar dengan senyum yang tidak pernah lekang daripada wajahnya. Nafas dihela perlahan, lantas sekeping gambar kenangan ahli keluarganya itu digenggam erat ke dada.


GAZA, 2008

Tangan kanannya berbalut dan berikat anduh. Tangan kirinya membelek sayur-sayuran dan kekacang yang sudah kekuningan dan lecur. Pandangannya dihalakan ke sekeliling pasar yang lengang. Hanya beberapa orang penjual yang masih setia menunggu pelanggan di gerai masing-masing. Bangunan yang sudah separuh roboh ini merupakan pasar awam penduduk di daerah ini dan sangat meriah sekali dengan aktiviti jual beli pada suatu ketika dahulu. Matahari sudah meninggi dan cahayanya sudah menerobos masuk ke celah-celah dinding bangunan yang berlubang. Sepasang mata yang redup menoleh ke dalam bakul rotannya yang sudah dipenuhi dengan sayur dan kekacang untuk dimasak. 

“Mahu cari apa lagi, Puan?” Satu suara dari arah belakang menyapa dirinya yang masih berdiri di tengah-tengah pasar itu. Seorang lelaki penjual daging sedang berdiri di gerainya sambil menghalau lalat yang menghurungi daging jualannya.

Sudah cukup, saya mahu segera pulang memasak untuk anak-anak yang sedang kelaparan. Lauk yang ada ini pun inshaAllah akan bertahan untuk tiga minggu.” 

“Semoga anak-anakmu sihat sejahtera. Saya berharap segala yang berlaku ini akan segera berakhir.” Mata yang redup itu hanya menunduk. Dia menghela nafas perlahan. 

“Saya pergi dahulu.”

++++

“Abang, makan tengah hari sudah tersedia. Saya masak makanan kegemaran abang dan anak-anak!” Ahmad berpaling ke arah isterinya dan mengangguk laju. 

“Anak-anak, mari kita makan bersama!” Ahmad melaung memanggil anak-anaknya yang masih leka bermain bola di luar rumah. Kelima-lima kepala sedang menatap hidangan yang terhidang di meja makan dengan gembira. Ada Maqluba, Musakhan, Hummus dan Kanafeh yang nampak menyelerakan sekali.

“Aku mahu ini!” Moustafa, anak sulung Ahmad segera mencapai Musakhan yang terletak tidak jauh daripada pinggannya. 

“Moustafa, jangan lupa adik-adik mu!”

Ahmad menggelengkan kepalanya melihat tingkah laku anak sulungnya yang masih kebudak-budakan itu. 

“Abang, jemput makan, ini sahaja yang saya mampu sediakan.” Ahmad menoleh ke sebelahnya lantas dia menggeleng perlahan.

“Jangan risau, abang akan makan bersamamu. Biarkan anak-anak mengisi perut mereka dahulu.” Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat Ahmad daripada wanita berlesung pipit yang duduk di sebelahnya. 

++++

Ibu, adakah makan tengah hari sudah tersedia?” Satu suara mengejutkan dirinya daripada lamunan yang panjang. Segera dia berpaling ke arah suara yang memanggilnya. 

“Naeem, sudah, tolong bantu ibu bawa hidangan ini ke meja.” Naeem mengangguk lantas meluru kearah ibunya dan mengambil semangkuk sayur dan kekacang yang sudah direbus.  Naeem, Moustafa dan Sayed adalah harta yang ditinggalkan buat dirinya semenjak suaminya pergi menghadap illahi beberapa bulan yang lepas sewaktu kediaman mereka dihancurkan peluru berpandu dari arah udara. Sepasang mata yang redup itu tidak lepas memandang wajah ketiga-tiga anaknya yang sedang menikmati hidangan yang dimasaknya. Moustafa, Naeem dan Sayed berumur 21, 18, dan 16 tahun. Mereka masih belajar di sekolah dan universiti di daerah mereka menetap ini.

Moustafa, merupakan pelajar tahun tiga jurusan syariah di universiti nya dan merupakan pelajar terbaik setiap semester kerana cemerlang dalam akademik dan kokurikulumnya. Anak sulungnya ini bercita-cita ingin menjadi pensyarah di universiti luar negara apabila tamat belajar nanti.

Naeem, penuntut tahun pertama kuliah kujuruteraan di universiti yang sama seperti abangnya. Naeem sangat meminati bidang mekatronik dan berhasrat untuk menghasil kan jet peribadi miliknya sendiri suatu hari nanti.

Sayed yang terakhir, iaitu anak bongsunya masih bersekolah dan sentiasa memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang setiap kali peperiksaan.

Dia menghela nafas perlahan. Air jernih mengalir deras menuruni pipinya. Terasa seperti semalam dia membesarkan anak-anaknya ini bersama suami yang amat dicintainya.

++++

“Naeem, kalau aku syahid, tolong jagakan ibu.” Moustafa menyepak bola kearah adiknya, Naeem. Manakala Sayed leka dengan telefon bimbitnya mengambil gambar.

“Kalau aku juga syahid? Siapa yang akan jaga ibu?” Moustafa mengejar bola yang sedang digelecek Naeem dan berusaha memintasnya. 

Sekilas dia memandang kepada Sayed di kejauhan. 

“Aku akan harapkan Sayed.”

“GOLL!!” Naeem meloloskan bola ke dalam gawang gol dan berteriak. Moustafa hanya tersenyum memandang tingkah laku adiknya itu. Dia melontarkan pandangannya kearah langit yang membiru dan beberapa ekor burung yang terbang beriringan sambil bercicipan.

“Naeem, Moustafa, jom kita ambil gambar bersama di sana!!” Sayed berteriak kepada abang-abangnya sambil menghala kan telunjuknya kearah bangunan yang sudah hancur yang terletak tidak jauh dari padang tempat mereka bermain. Bangunan itu dahulu merupakan rumah mereka yang mempunyai balkoni di atasnya, dan setiap petang mereka sekeluarga akan duduk bersama di balkoni tersebut sambil menikmati pemandangan indah.

Moustafa dan Sayed berlari – lari anak menuju kearah adik bongsu mereka yang sudah pun memanjat tangga rumah yang sudah roboh dan naik ke balkoni. Langkah Moustafa dipercepatkan memanjat tangga yang sudah separuh hancur itu. Dia memejamkan matanya dan memegang dadanya yang tiba-tiba berdegup dengan sangat kencang. Naeem, Moustafa, Sayed duduk beriringan di tepi tembok balkoni rumah mereka dan masing-masing memandang kearah kamera telefon bimbit milik Sayed sambil mengukir senyum manis. 

“1, 2, 3!” Sayed menyentuh butang bulat berwarna putih di skrin telefon bimbitnya. 

“BOMMMM!!!!!!”

++++

Mata yang sentiasa redup itu hari ini tidak henti – henti mengalirkan air matanya. Dia bangkit daripada duduk nya dengan kepayahan sambil berjalan perlahan-perlahan menuju kearah bangunan yang sudah seratus peratus hancur. Serpihan simen dan batu-batu berselerak memenuhi jalan.

Di sana sini terdengar jeritan orang ramai yang berusaha menyelamatkan mangsa- mangsa di celahan runtuhan. Dia terduduk. Beberapa orang lelaki sedang mengusung tiga tubuh yang sudah hancur wajahnya dan terputus tangan dan kakinya.

Tiga tubuh itu diselimutkan dan di letak kan di atas tanah. Dia segera meluru ke arah wajah – wajah yang tertutup itu dan membukanya satu persatu. Tiga wajah pemuda yang sudah hancur namun cukup dikenalinya, seolah – olah sedang tersenyum manis kepadanya. Air mata nya bercucuran. Dia memeluk erat ketiga-tiga tubuh tersebut dengan esak tangis yang semakin kuat kedengaran. Di bawah celahan runtuhan bangunan, sebuah telefon bimbit yang sudah separuh hancur digenggam erat oleh satu tangan yang sudah terputus dan diselimuti darah pekat. Sekeping gambar tiga anak muda sedang tersenyum manis masih terpampang di skrin telefon. 

TAMAT

Disediakan oleh,

Baiduri Zaiyyanna Mohd Farudz

Disapa Pakcik Tabligh di Masjid Nabawi

Wabak Virus Telah Muncul Sejak Zaman Nabi Lagi