Baru jam 4 petang, suasana di dalam MRT tidaklah sesak kerana belum masuk waktu orang balik dari kerja. Aku masuk ke dalam MRT sambil melilau untuk mencari tempat duduk. 

“Wah sejuknya, nyaman rasa! Bahang di luar sana bukan main panas lagi”, getus hati.

Aku terus mengambil tempat duduk yang kosong dan mengambil botol air yang berada di dalam beg. Minum sedikit sekadar menghilangkan haus. Membawa botol ke sudah menjadi tabiat kerana aku cepat dahaga.

Seraya itu, aku memerhatikan orang disekeliling. Ada yang tidur, ada yang memegang telefon bimbit mungkin membaca akhbar atau bermain game. Aku toleh ke kiri. Orang disebelah sedang melukis sesuatu di kertas lukisannya.

“Cantik”, getus hatiku sambil mencuri pandang ke lukisannya. Jarang orang nak buat sesuatu di dalam pengangkutan awam.

Aku terus mengeluarkan buku yang sentiasa berada di dalam beg. Menyambung bacaan yang yang terhenti awal pagi tadi. Buku Kun Anta Muaddaban, mengenai adab-adab yang diajar oleh Rasulullah SAW. Memang sengaja membawa buku bacaan yang ringan supaya mudah dihadam. Kalau bacaan yang berat, boleh pening jadinya!

Ketika hendak memulakan bacaan, tiba-tiba hati ini didatangi rasa sebak, sunyi dan syahdu secara mendadak. Barangkali kerana kerap berjauhan dengan keluarga. Atau kepenatan bekerja? Atau …

Tergesa-gesa aku mencari buku nota berwarna putih.  Sebatang pen dicapai dan terus menulis. 

“Jangan menangis, write what you can”

Teringat semasa sekolah dahulu, abah tidak pernah suruh berjimat dengan wang saku yang aku bawa ke sekolah, tetapi aku tetap berbelanja dengan sederhana. Barangkali sudah terbiasa dengan membawa bekal dan tidak mempunyai selera yang besar. Itu tidak menjadi masalah. Malah, duit yang diberikan turut kekal hingga RM2 atau RM3 semasa ke sekolah sehingga ke tingkatan 5. 

Apabila sudah dewasa, abah tidak pernah menyuruh aku berjimat cermat dan menyimpan wang tetapi aku tetap menyimpan. Kami, adik-beradik pasti mempunyai tabung. Aku akan memaksa diriku untuk simpan juga sebahagian wang. Kalau tidak dari sekarang, bila lagi?  

Sikap abah suka menyimpan resit dan mencatatkan perbelanjaan tidak luput dari pandangan sehingga sekarang. Masa kecil-kecil dulu, langsung tidak faham kenapa perlu simpan resit, rupanya bersebab.

Abah dan mama tidak memanjakan kami dengan makanan ringan. Oleh sebab itu, kami adik-beradik jarang berebut makanan ringan walaupun ia ada dirumah tetapi sekadar ada. Kanak-kanak tetap menjadi kanak-kanak. Tidak lupa kenangan makan KFC bersama-sama. Perasaan seronok, tidak usah di kata!

Aku selalu disuruh untuk seterika baju uniform abah. Pada mulanya, abah  menegur kerana ada kedut di beberapa bahagian baju. Abah ajar aku sehingga aku pandai. Bagi Abah, ada teknik tertentu untuk menggosok kemeja. Kadang-kadang aku rasa seronok, kadang-kadang rasa malas untuk seterika baju. Biasalah, anak remaja.

Abah, insan yang menyokong dan memberi kebebasan untuk aku membeli pelbagai jenis buku di pasaran. Tetapi abah mesti memeriksa isi kandungan buku, harga, jenis kulit dan jalan penceritaan. Abah lebih cenderung untuk aku membeli buku bukan fiksyen. Lebih bermanfaat katanya. Aku iyakan sahaja.

Abah selalu menasihati aku supaya belajar bersungguh-sungguh dan dapatkan keputusan yang baik semasa peperiksaan. Segala kepahitan hidup yang abah lalui, membuatkan abah mengharapkan kami adik-beradik mendapatkan keputusan terbaik dan mempunyai pekerjaan yang bagus. 

Abah selalu memaksa aku untuk jadi berani. Satu kenangan yang aku ingat, ketika darjah 1, pelajar baharu dikehendaki untuk beratur. Aku menoleh ke belakang mengharapkan abah berdiri dekat dengan aku, tetapi abah kekal berdiri jauh. Selepas beberapa ketika, aku menoleh ke belakang lagi, abah tidak lagi kelihatan. Bagiku, mungkin abah telah pulang dan memori aku cukup hingga di situ. 

Sebelum pelajar darjah 6 menduduki peperiksaan, kami dikehendaki untuk bersalam dengan ibubapa. Dan tidak aku sangka, abah ada di situ. Aku bersalaman dengan abah seperti biasa. Aku ingatkan abah outstation lagi.

Air mata menitik ke buku nota lalu aku mengelapnya. Aku perlu menulis semua memori aku dengan abah. Kalau tidak, memori ini hilang. Memori ini kena kekal selama-lamanya. 

Pen di tangan seakan-akan tidak mahu mendengar kata. Kotak memoriku bagaikan hilang. Aku tidak mampu memikirkan lagi kenangan aku dengan abah. 

Adakah salah aku yang tidak berbuat baik dengan abah?

Adakah salah aku yang tidak luangkan masa dengan abah?

Adakah salah aku yang mengelak berjumpa dengan abah?

Atau salah aku yang tidak reti meluahkan perasaan kepada abah?

“Ya Allah, aku inginkan memori tersebut. Aku perlu ingat memori yang manis itu. Memori yang membuatkan aku sayang kepada abah. Memori aku dan abah bergelak ketawa bersama-sama. Apa sahaja yang berlaku, biarlah memori itu kekal buat selamanya. Aku pohon.”

Pengumuman berbunyi menandakan aku tiba di hentian MRT Sungai Buloh. Dengan pantas aku keluar. Buku nota putih ku genggam erat dan air mata diseka laju. 

Abah jangan pergi, Khal perlukan abah.  

Nukilan,

Norhanan Abdul Latip


Hantar karya anda di emel [email protected].

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.