in

Budaya Membaca di Rumah

Saya sering ditanya apabila menyampaikan ceramah kepada ibubapa berkaitan dengan pendidikan anak-anak dan kepentingan ilmu. Walaupun saya terlalu muda pada usia dan pengalaman hidup.

“Ustaz, bagaimana hendak membudayakan tabiat membaca anak-anak di rumah? Susah, kadang-kadang televisyen lebih diutamakan,” keluh seorang ibu yang melebihi usia saya.

Dalam meleraikan persoalan ini, saya suka mencadangkan kepada sesiapa sahaja yang ingin mewujudkan suasana ilmu di rumah. Perlu diingatkan bahawa, ini sebagai panduan sahaja dan mungkin bagi sesetengah orang berlainan pula cadangannya.

Sediakan sudut atau ruang membaca di rumah.

Sudut atau ruang sebenarnya amat penting dalam melahirkan suasana ilmu di rumah. Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna pernah menyarankan agar disediakan kutub khanah (sudut baca) sendiri di rumah walaupun bersaiz kecil (Asy-Syahid Hasan Al-Banna (1987). Risalah At-Ta’alim. Ust. Mohamad bin Daud Ali Al-Iraqi (terj.) Kelantan : Pustaka Aman Press Sdn. Bhd. hal. 53).

 

 

 

Dalam hal ini, ibubapa harus keluarkan sedikit dana untuk membeli rak buku kecil. Tetapi adakalanya ibubapa lebih selesa membeli perabot-perabot lain yang lebih mahal. Jadi apa salahnya untuk habiskan sedikit duit untuk membeli rak buku yang tidak seberapa harganya itu.

Menurut Prof. Madya Dr. Aminah Ayob, Dekan Pusat  Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), “Kebanyakan keluarga Melayu hanya memberi tumpuan kepada perabot rumah hingga terlupa untuk menyediakan sudut  membaca atau perpustakaan keluarga di rumah.” (Melayu Pentingkan Perabot Daripada  Sudut Membaca. Berita Harian, Jumaat, 28 Februari 2003).

Bahan bacaan yang sesuai dan menarik.

Antara cara yang boleh digunapakai untuk menarik minat anak-anak membaca ialah dengan menyediakan bahan bacaan yang sesuai dan menarik. Pengalaman mengajar di sekolah rendah telah membentuk perspektif saya begitu. Saya kira ia boleh diaplikasi di rumah. Saya sarankan ibu bapa selalulah ke kedai buku untuk mencari bahan-bahan yang sesuai dan menarik. 

 

Sudah banyak penerbit yang memahami inspirasi pengguna dengan menerbitkan buku-buku yang berwarna-warni dengan tidak mengabaikan kualiti isi dan kertas.

Sebagai ibubapa kita harus teliti dalam memilih buku-buku bacaan anak-anak. Ini bertujuan untuk  mengelak daripada membeli buku-buku yang tidak mengandungi pengajaran kepada mereka. Selain daripada itu, buku-buku yang ingin dibeli haruslah dipastikan tiada gambar-gambar yang tidak syar’i. 

Perkara ini penting dalam membina jati diri yang tulen dan membentuk pemikiran serta tingkah laku yang soleh. Kita tidak hanya ingin mencipta manusia yang memiliki kepandaian tetapi ingin juga melahirkan insan yang mengenali jati diri sebagai hamba Allah.

Bahan bacaan yang sentiasa baru.

Perkara ini memerlukan sedikit penjimatan daripada ibu bapa. Duit gaji yang diterima mungkin diperuntukkan sedikit untuk membeli bahan bacaan yang baru pada setiap bulan. 

 

 

Saya tidak kata ibu bapa perlu membeli buku setiap bulan. Boleh juga membeli majalah pendidikan seperti  Asuh, Kuntum, Dewan Pelajar, Ana Muslim, Celik, Mahir, Kembara Ustaz dan pelbagai lagi (beberapa majalah yang disebutkan diatas tidak lagi diterbitkan). Maka tidak ada alasan untuk tidak memiliki bahan-bahan bacaan yang sentiasa baru.

Ada juga bahan bacaan yang berbentuk komik tetapi mempunyai pengajaran dan pendidikan. Apa yang penting ialah mampu milik. Ini kerana ada yang harganya tidak sampai RM10. Antara komik yang menarik ialah Takaza, Kad Raya dari Syurga dan Meon. Semuanya penerbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Bacaan keluarga.

Perkara ini penting sebagai galakan dan motivasi kepada anak-anak di rumah. Ramai ibubapa yang hanya tahu menyuruh anak-anak membaca tetapi dalam masa yang sama mereka menonton televisyen. Oleh itu bacaan bersama keluarga amat penting dan perlu dihidupkan di rumah. Jadikan ia sebagai tabiat yang akan melahirkan budaya membaca dalam keluarga.

 

 

Ibubapa harus ingat bahawa mereka adalah suri contoh yang cukup berpengaruh. Anak-anak akan mempelajari daripada ibubapa sama ada yang baik ataupun yang buruk.

Oleh itu bacaan bersama ahli keluarga amat penting dibudayakan. Positifkan minda anak-anak terhadap aktiviti pembacaan. Sikap seperti ini dapat melahirkan sebuah keluarga yang menghargai buku dan sekaligus menyanjung ilmu. (Tiada penulis (2006). Panduan Membudayakan Membaca Bersama Keluarga. Kuala Lumpur : Perpustakaan Negara Malaysia. hal. 12).

Adakan jadual waktu pembacaan di rumah.

Jadual waktu pembacaan adakalanya perlu bagi sesetengah orang. Ini mungkin disebabkan kesibukan jadual hariannya. Masa yang terbaik untuk bacaan keluarga atau menjadualkan aktiviti pembacaan ialah selepas solah maghrib. Walaupun peruntukan masa ini mungkin terlalu singkat, tetapi paling tidak kita telah cuba mewujudkan budaya ilmu di rumah.

Aktiviti pembacaan berjadual ini sebenarnya menggalakkan ahli keluarga untuk berkumpul dan bertukar-tukar bahan bacaan serta maklumat. Oleh itu penyertaan ibu bapa semasa aktiviti pembacaan di rumah amat membantu anak-anak cintakan ilmu dan buku.

Jauhi dari sebarang gangguan.

Semasa aktiviti membaca di rumah, elakkan dari sebarang gangguan terutama televisyen. Ini kerana tarikan untuk menonton televisyen itu lebih kuat berbanding tarikan membaca buku.

Sehebat manapun pengarang buku atau seseronok manapun buku itu, bila di hadapan tv yang pada masa itu siaran atau cerita yang diminati, pasti akan mengabaikan aktiviti membaca. Oleh itu, elakkan daripada membaca sambil menonton televisyen. Seeloknya mengasingkan ruang membaca dengan ruang menonton televisyen. Paling tidak ruang itu dipisahkan dengan rak buku.

Selain itu, elakkan juga membaca sambil berbaring. Sekiranya membaca sambil duduk juga boleh menyebabkan seseorang tertidur, inikan pula membaca sambil berbaring. Peratus untuk terus tidur lebih besar dan kebarangkalian hanya membaca pada perenggan pertama terlalu berpotensi.


Aswady Bin Mohamed atau nama penanya QalbiNada’.. dilahirkan pada tahun 1978. Beliau menetap di Kuala Perlis, Perlis. Kecenderungan penulisan beliau dalam menghasilkan artikel-artikel dan kertas kerja melibatkan agensi kerajaan dan institusi pengajian. Selain itu, beliau juga pernah menghasilkan beberapa modul bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Antara modul yang pernah dihsilkan ialah “Modul Guru Pengasih” pada tahun 2015 bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan “Iman dan Takwa Asas Pembinaan Modal Insan” 2010. Beliau juga banyak menghasilkan puisi dalam pelbagai genre seperi sajak, syair dan gurindam Karya puisi yang pernah diterbitkan ialah Antologi Bintang Utara bersama penulis-penulis Persatuan Penulis Perlis (3P).

Leave a Reply

Loading…

Cerpen: Pelangi Petang

Puisi: Lelaki Biasa Itu Ayahku