in

LoveLove CryCry

Belajar Urus Emosi Seperti Maryam R.A.

Sebagai seorang wanita sudah menjadi kebiasaan kita terlalu banyak berfikir hal yang remeh-temeh dari menu masakan sehinggalah hal yang besar-besar kerana wanita ini istimewa kerana mereka banyak berfikir dengan jiwa dan wanita juga merupakan makhluk yang kaya dengan emosi.

Banyak kisah hebat srikandi islam dalam mengendalikan emosi yang boleh kita telusuri serta mengambil ibrah daripadanya. Antaranya ialah Saidatina Maryam, satu-satunya wanita yang disebut namanya di dalam al-Quran malah telah diabadikan namanya sebagai nama surah. Nama Maryam dinyatakan sebanyak 34 kali dalam 31 ayat al-Quran. Maryam telah diuji dengan pelbagai cabaran dan ujian oleh Allah sepanjang kehidupannya. Fasa kehidupan Maryam yang mencabar boleh diklasifikasikan kepada beberapa fasa seperti berikut:

Kehamilan Tanpa Suami

Allah berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 45 hingga 47;

“(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang yang soleh. Maryam berkata: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: `Jadilah engkau’, lalu menjadilah ia.”

Maryam mengandung dengan izin Allah tanpa pernah disentuh oleh seorang lelaki pun. Hal ini sangat menguji keupayaan Maryam dalam mengurus emosinya. Beliau dicaci dan dihina secara bertubi-tubi oleh Bani Israil. Maryam hanya meletakkan sepenuhnya keyakinan kepada Allah tanpa berasa kecewa dengan ketentuan Allah. Beliau tahu bahawa anak tersebut adalah anugerah Allah yang akan menjadi seorang nabi dan tokoh terkemuka bukan sahaja di dunia malahan akan menjadi golongan yang sangat dekat dengan Allah di hari akhirat nanti.

Bersendirian Semasa Melahirkan Nabi Isa AS

“ Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”. ( Surah Maryam, ayat 25 dan 26)

Setelah mengandung, Maryam mengasingkan diri ke Bayt Lahm yang terletak di sebelah timur kira-kira tujuh batu dari Baitul Maqdis. Hal ini kerana perubahan fizikal perutnya yang semakin besar dan dikhuatiri bakal mengundang pertannyaan orang ramai. Seperti yang kita tahu, rasa gelisah dan cemas adalah satu lumrah kepada wanita yang sedang mengandung. Ini kerana wanita tersebut mengalami suatu proses penyesuaian diri terhadap perubahan fizikal serta psikologi. Ketika Maryam sedang kesakitan untuk melahirkan, Maryam hanya mampu bersandar pada pohon kurma untuk mencari kekuatan. Semasa Maryam hampir putus harapan, Allah mengutuskan Jibril AS. bagi mengurangkan kesedihannya. 

Pulang Ke Pangkuan Masyarakat Sebagai Seorang Ibu.

 Allah berfirman dalam surah Maryam, ayat 27 hingga 30:

 “Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!  Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat! Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian? Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.”

Maryam akur perintah Allah yang telah mengarahkannya untuk membawa pulang bayinya. Pelbagai reaksi negatif masyarakat tatkala melihat Maryam pulang membawa seorang bayi. Ada di kalangan mereka yang menuduh Maryam melakukan zina dan ada juga yang mempersoal kewajaran Maryam melakukan hal tersebut sedangkan dia berasal dari keluarga yang baik agamanya. 

Cara Pengurusan Emosi Maryam R.A. 

1) Kebergantungan seorang mukmin kepada Allah menjadi bukti keutuhan iman dan keyakinannya kepada janji Allah. 

Maryam telah bertanya: “Bagaimanakah aku akan beroleh anak lelaki, sedang aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku bukan perempuan jahat?” (surah Maryam: 20). 

Namun nilai ubudiyyah telah menyedarkan Maryam mengenai kudrat Allah. Allah berfirman dalam surah Ali-Imran: 47:

“Demikian keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya; apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: Jadilah engkau, lalu menjadilah ia”.

2) Melazimi dan memperbanyakkan solat dan zikir.

“ Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk” (Ali `Imran: 43). 

Solat adalah faktor terbesar kepada ketabahan dan keteguhan individu dalam menghadapi sesuatu perkara.

 3) Tazkiyah al-nafs.

Penyucian jiwa menekankan aspek pendidikan kerohanian dalam jiwa manusia dengan kaedah latihan keagamaan atau ibadat. Ia adalah satu kaedah penerapan akhlak melalui proses penghapusan akhlak mazmumah dan menggantikannya dengan akhlak mahmudah.

 4) Beruzlah menjauhi persekitaran dan punca tekanan.

Kisah Maryam ini menunjukkan hebatnya percaturan Allah SWT apabila mengarahkan Maryam mengasingkan diri secara fizikal sepanjang kehamilannya (Surah Maryam: 22-26). Sekiranya Maryam tidak keluar dari kelompok Bani Israil nescaya beliau akan berhadapan dengan kesukaran yang tidak dapat ditanggung secara fizikal dan emosi.

5) Mendapatkan sokongan luar semasa mengasingkan diri.

i) Sokongan spiritual melalui pengutusan Malaikat Jibrail untuk memperteguhkan hati Maryam bahawa anak yang lahir itu bakal membawa rahmat.

ii) Sokongan fizikal dengan menyediakan pohon tamar berbuah dan air sungai mengalir bagi menambah tenaga.

Kuatlah seperti Maryam. Sentiasa menghiasi kehidupan dengan mentaati Allah. Tidak terpedaya dengan kesenangan dunia malah terus menghambakan diri dengan melakukan ibadah siang dan malam serta menjaga kehormatan diri daripada sekecil-kecil perbuatan maksiat.

Kuat; bukan sekadar pada tubuh dan kata, tapi jauh dari hati dan jiwa.

Disediakan oleh:  Nurul Suhailah binti Muhamad Zahari 

“Kenapa Hidup Ini Tidak Adil?”-Refleksi Buku Rembulan Tenggelam Di Wajahmu

Tidak Salah Menjadi Jujur Kepada Diri Sendiri