Di dalam al-Quran, dikisahkan perihal tujuh orang pemuda bangsa Romawi Timur yang mempunyai visi dan misi yang sama, iaitu memperjuangkan tauhid dan keimanan kepada Allah Ta’ala. Kelompok pemuda tersebut dikenali dengan sebutan Ashab al-Kahfi, bermaksud para penghuni gua yang mana Allah abadikan kisah mereka di dalam surah al-Kahfi, surah yang ke-18, bermula ayat 9-26.

Singkat cerita, mereka hidup di bawah kediktatoran seorang raja yang bernama Diqyanus atau Decius (bahasa Romawi) yang terkenal dengan kezalimannya serta tidak memperkenan penduduknya menyembah Allah. Bagi menyelamatkan akidah masing-masing, tujuh orang pemuda itu telah berhijrah dan mengasingkan diri ke dalam gua untuk berlindung daripada kekejaman sang raja. Lalu mereka tinggal di dalam gua (ditidurkan oleh Allah) selama 300 tahun ditambah sembilan tahun seperti yang diungkapkan melalui ayat ke-25, surah al-Kahfi:

“Dan mereka tinggal di dalam gua selama tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).”

Apa yang menarik, melalui konteks ayat di atas ialah Allah tidak secara langsung menyebut 309 tahun, tetapi 300 tahun ditambah 9 tahun.

Ramai di kalangan ahli tafsir yang cuba membedah makna dari frasa kata “300 tahun ditambah 9 tahun”. Kebanyakan daripada mereka sepakat bahawa yang dimaksud dengan 300 tahun ditambah 9 tahun ialah tempoh lamanya para pemuda itu tinggal (ditidurkan) di dalam gua, iaitu di antara 300 hingga 309 tahun. Namun, penyebutan angka 300 dan 9 memunculkan beragam penafsiran.

Sebahagian ahli tafsir menyatakan, yang dimaksudkan dengan 300 tahun ialah ukuran lamanya Ashab al-Kahfi tinggal di dalam gua tersebut berdasarkan kiraan tahun Syamsiyah, iaitu sistem penanggalan berdasarkan revolusi bumi mengelilingi matahari. Penanggalan yang menggunakan sistem ini salah satunya ialah tahun Masihi. 

Sementara 309 tahun merupakan ukuran lamanya Ashab al-Kahfi tinggal di dalam gua berdasarkan kiraan tahun Qomariyah, iaitu sistem penanggalan berdasarkan kiraan tempoh gerakan bulan mengelilingi bumi. Salah satu penanggalan yang menggunakan sistem ini ialah tahun Hijriyah. Perbezaan kiraan di antara tahun Qomariah dan tahun Syamsiyah dalam tempoh seratus tahun ialah 3 tahun. Inilah pandangan yang paling kuat dalam konteks ayat ini.

Ahli tafsir yang berpendapat bahawa frasa “300 tahun ditambah 9 tahun” merupakan isyarat kiraan tahun Syamsiyah dan Qomariyah antaranya ialah Imam Ibnu Kathīr dalam karya agungnya, Tafsir al-Quran al-‘Azhim (Tafsir Ibnu Kathir), Syeikh Muhammad Tahir Ibnu ‘Asyur dalam karyanya Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir dan Syeikh Wahbah al-Zuhayli dalam karyanya Tafsir Munir fi al-‘Aqidah wa asy-Syari’ah.

Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaimin pula sewaktu menafsirkan ayat ke-25 surah al-Kahfi memberikan komentar bahawa pendapat yang menyatakan 300 tahun merupakan kiraan berdasarkan tahun Syamsiyah dan 309 tahun merupakan kiraan berdasarkan tahun Qomariyah adalah pendapat yang lemah. 

Alasannya yang pertama, tidak dapat dipastikan bahawa yang Allah inginkan ialah tafsiran sedemikian. Alasan yang kedua, di dalam al-Quran hanya terdapat satu perkiraan waktu dan penanggalan, iaitu berdasarkan kiraan hilal atau bulan seperti yang disebutkan di dalam surah al-Baqarah: 189; Yunus: 5 dan al-Hajj: 22.

Terlepas daripada perbezaan pendapat perihal tafsiran ayat ke-25 surah al-Kahfi, kesudahannya kita serahkan apa jua rahsia tersirat di sebalik konteks ayat tersebut kepada Allah, seperti yang dijelaskan pada ayat seterusnya, 

“Katakanlah, “Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua); kepunyaan-Nya-lah semua yang tersembunyi di langit dan di bumi.”

Namun, satu hal yang perlu dicatat ialah al-Quran telah memberikan garis besar dasar ilmu pengetahuan yang boleh dikembangkan. Salah satunya ialah ilmu I’jaz al-Quran yang merungkai rahsia ayat-ayat al-Quran sebagai mukjizat yang penuh dengan pedoman dan ilmu pengetahuan. Dengan catatan bahawa ilmu yang dikembangkan tersebut tidak menyalahi ketentuan Allah dan Rasul-Nya.

Wallahu a’lam.

Disediakan oleh: 

Muhammad Fahmi bin Md Ramzan

Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.