Ayah saya ialah bekas editor di sebuah syarikat penerbitan buku agama yang terletak di Kempas, Johor. Ketika saya kecil, saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepada guru-guru saya tentang pekerjaan ayah saya. Ini disebabkan ayah saya tidak seperti orang lain yang perlu keluar dari rumah untuk bekerja. Beliau hanya bekerja dari rumah di hadapan komputer yang ketika itu tidak ramai memilikinya. Apatah lagi bekerja secara fleksibel dari segi masa.

Semenjak dunia dijangkiti virus Covid-19, berlakunya situasi yang mana interaksi manusia diutamakan melalui komputer dan internet. Istilah ‘work from home’ sudah menjadi norma baharu, dan industri yang melibatkan interaksi manusia dan pengangkutan telah terjunam seperti perhotelan dan penerbangan. Sehingga tular berita mengenai juruterbang yang telah diberhentikan kerja membuka gerai kecil demi kelansungan hidup.

Ketika masih bersekolah, saya selalu memohon pelbagai bantuan kerajaan. Contohnya ialah pinjaman buku teks, biasiswa kecil, dan lain-lain. Setiap kali hendak memohon bantuan, biasanya ayah akan bawa kami ke pejabat Pesuruhjaya Sumpah untuk mengesahkan  pendapatan keluarga.

Hakikatnya, editor buku bukanlah pekerjaan yang lumayan. Lebih-lebih lagi industri buku pula saban tahun semakin menurun pasarannya. Kecuali pada era DS Najib menjadi Perdana Menteri, ketika itu sektor buku agak rancak disebabkan polisi seperti baucar buku kepada pelajar kolej dan universiti.

Ayah tidak mempunyai gaji tetap. Beliau hanya mendapat upah berdasarkan manuskrip yang telah disunting, bergantung kepada persetujuan syarikat tersebut. Walaubagaimanapun, ayah sentiasa menerima manuskrip kerana syarikat tersebut percaya kepadanya dan hasilnya yang berkualiti.

Kadangkala kami akan mengikut ayah menghantar manuskrip yang telah siap disunting. Beliau akan cetak beberapa helai kertas dan membawa salinan dalam cakera padat. Perjalanan ke syarikat tersebut dari tempat kami biasanya mengambil masa dalam 1 jam 30 minit. Kami hanya menunggu dalam kereta sementara ayah berjumpa dengan majikannya.

Syarikat penerbitan itu terletak di dalam gudang. Jadi, kawasan itu ialah seperti tempat industri yang dipenuhi gudang-gudang lain. Yang saya ingat ialah syarikat penerbitan itu terletak bersebelahan dengan syarikat pembuatan kotak. Sebaik sahaja selesai, ayah akan mendapat sepucuk cek. Kami akan terus pergi ke bank berhampiran untuk dimasukkan ke dalam akaun dalam beberapa hari.

Ayah juga mahir dalam sistem operasi komputer. Kerana pengaruh ayahlah, saya juga mahir menggunakan komputer dan hasil ilmu tersebut diamalkan ketika belajar di universiti. Dalam pengajian sarjana muda, saya membuat kerja ‘freelance’ membaiki komputer dengan kaedah ‘format’.

Ketika itu saya tidak utamakan keuntungan dan hanya caj semurah RM20 dan RM30 sahaja untuk sebuah laptop. Saya hanya iklankan di dalam Twitter dan persatuan pelajar. Ramai telah menjadi pelanggan saya dengan cara ‘word of mouth marketing’. Hasil daripada kerja ini dapatlah menampung saya sedikit sebanyak ketika belajar.

Ketika ini, ramai yang terkesan dengan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan. Kebanyakan pekerjaan melibatkan interaksi manusia dan kehadiran orang. Contohnya ialah pawagam di seluruh negara sangat terkesan. Apabila sekolah diarahkan tutup, perkhidmatan penghantar pelajar akan terkesan. Sekolah swasta turut terkesan apabila ibubapa tidak mahu membayar yuran.

Abang saya pernah berkata bahawa sekarang ialah zaman ‘transfer of wealth’. Kita masih punyai wang dalam ekonomi cumanya kitarannya terganggu disebabkan beberapa sektor yang terkesan dan sektor tertentu sahaja yang mencanak naik seperti penghasilan sarung tangan getah seperti yang dilaporkan The Star bahawa keuntungan Top Glove begitu tinggi sehingga mengumumkan dividen 8.5 sen kepada pemegang sahamnya. Tidak semua sektor boleh berpindah kepada internet dan komputer semata-mata. Contohnya ialah pengangkutan bas, penginapan hotel, dan pusat pelancongan. 

Semoga mereka yang terkesan dan ditimpa musibah akan dimudahkan urusan, insyaAllah.

Disediakan oleh,

Baha’uddin Hamizan

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.